Rabu, 2 Oktober 2013

Keberkesanan Strategi Metakognisi dalam Pengajaran Bacaan dan Kefahaman Menggunakan Teks Ekspositori


Yahya Othman, Dayang Raini Pakar

Abstract


Kajian ini mengkaji kesan penggunaan strategi metakognisi dalam pengajaran bacaan dan pemahaman Bahasa Melayu menggunakan teks ekspositori. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk menilai prestasi pencapaian pelajar dalam pengajaran pemahaman menggunakan strategi metakognisi serta menilai kesan penggunaan strategi tersebut dalam pengajaran membaca dan memahami teks. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti strategi-strategi metakognisi yang digunakan oleh pelajar dalam ketiga-tiga proses membaca (sebelum membaca, semasa membaca dan selepas membaca). Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen. Sampel kajian melibatkan 60 orang pelajar Tahun 4 di sebuah sekolah rendah kerajaan di Daerah Brunei Muara. Sampel dibahagikan kepada dua buah kumpulan, iaitu kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Setiap kumpulan melibatkan seramai 30 orang pelajar bertahap sederhana. Hasil kajian ini dianalisis menggunakan ujian-t sampel tak bersandar untuk menilai sama ada terdapat perbezaan yang signifikan bagi min prestasi pemahaman bacaan antara kumpulan kawalan dan eksperimen dalam ujian pra dan pasca. Manakala analisis One Way Ancova digunakan untuk menentukan kesan penggunaan strategi metakognisi terhadap pengajaran bacaan pemahaman. Berdasarkan analisis ujian-t, terdapat perbezaan min prestasi pemahaman bacaan yang signifikan antara skor kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan, t (60) = 12.96, p < 0.0. Analisis data One Way Ancova, p= 0.00 < 0.05 (F-ratio = 493.22/2.25 = 219.41 p < 0.05) juga membuktikan kesan penggunaan strategi metakognisi yang signifikan terhadap pengajaran pemahaman menggunakan strategi metakognisi. Kajian ini juga menunjukkan bahawa strategi metakognisi yang digunakan oleh pelajar ketika menjalani proses membaca adalah pelbagai. Secara keseluruhannya, strategi metakognisi yang digunakan oleh pelajar dalam kajian ini terbukti dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap teks bacaan.

Keywords


strategi metakognisi; pengajaran; bacaan dan kefahaman; teks ekspositori; eksperimen kuasi

baca artikel di GEMA journal online

Cinta ilmu


(TONTON VIDEO INI DAN BACA HADIS BERIKUTNYA)
Antara Hadis berkaitan menuntut ilmu dan mengajarkan ilmu;

1. تَعَلَّمُوْاالْعِلْمَ ، فّإِنَّ تَعَلُّمُهُ قُرْبَةٌ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَتَعْلِيْمَهُ لِمَن ْ لاَ يَعْلَمُهُ صَدَقَةٌ ، وَإِنَّ الْعِلْمَ لَيَنْزِلُ بِصَاحِبِهِ فِى مَوْضِعِ الشَّرَفِ وَالرِّفْعَةِ ، وَالْعِلْمُ زَيْنٌ لِأَهْلِهِ فِى الدُّنْيَا وَالأَخِرَةِ . (الربيع)
“Tuntutlah ilmu,sesungguhnya menuntut ilmu adalah mendekatkan diri kepada Allah Azza wajalla, dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat.” (HR. Ar-Rabii’)
2. يَا أَبَاذَرٍّ ، لَأَنْ تَغْدَوْا فَتُعَلِّمَ اَيَةً مِنْ كِتَابِ اللَّهِ خَيْرٌ لَّكَ مِنْ اَنْ تُصَلِّيَ مِائَةَ رَكْعَةٍ ، وَلَأَنْ تَغْدُوْا فَتُعَلِّمَ بَابًا مِنَ الْعِلْمِ عُمِلَ بِهِ اَوْ لَمْ يُعْمَلْ ، خَيْرٌ مِنْ اَنْ تُصَلِّيَ أَلْفَ رَكْعَةٍ . (ابن ماجة)
“Wahai Aba Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah adalah  baik bagimu dari pada shalat (sunnah) seratus rakaat, dan pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan baik dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari pada solat seribu rakaat.” (HR. Ibn Majah)

Sudahkan kita berkorban?



Ahmad Baei Jaafar,01 Okt 2013
Korban dalam bahasa Melayu boleh difahami dalam banyak maksud. Orang yang teraniaya oleh sesuatu keadaan dikatakan korban. Mangsa yang terlibat dalam kemalangan juga dikatakan korban. Memberi sesuatu demi agama juga dikatakan korban. Tetapi kalau perkataan korban dirujuk kepada bahasa Arab bermaksud dekat – dekat dengan Allah.

Sungguhpun begitu kalau korban itu dirujuk kepada ibadah menyembelih binatang ternakan pada hari-hari 10-13 Zulhijah diistilahkan sebagai “udhiyah”. Namun dalam bahasa Melayu masih menggunakan istilah korban. Ibadah ini akan bermula selepas solat hari raya Aiduladha sehingga hari ke 13 Zulhijah sebelum terbenam matahari.

Ibadah ini disebut korban kerana untuk melakukan penyembelihan binatang ternakan perlukan pergorbanan. Maknanya sebelum boleh menyembelih seseorang itu perlu korbankan wang untuk membeli binatang tersebut. Atau perlu korbankan perasaan sayang kepada binatang yang dipeliharanya sekian lama. Yalah, kalau dijual dapat hasil keuntungannya.

Walau apapun makna korban, ada pihak terseksa atau terkorban kecuali mereka beriman kepada Allah dan Rasul. Bayangkan kalau orang yang teraniaya kerana sesuatu keadaan lalu dia berserah kepada Allah kerana akur dengan takdir Allah pasti jiwanya tenang. Begitu juga dengan yang terkorban dalam sesuatu kemalangan, jika redha dengan takdir ini tentu besar pahala. Apatah lagi kalau dia korbankan kambing kesayangannya tentu besar nilaian Allah.

Korban Zaman Rasulullah


Jika kita lihat kepada amalan ibadah korban pada zaman Rasulullah, hanya melibatkan kibas dan unta. Hal ini kerana pada zaman itu kibas dan unta sahaja yang dipelihara untuk tujuan perdagangan selain untuk makanan mereka sendiri. Selain itu setiap individu dipercayai memelihara kibas dalam kadar yang kecil untuk kegunaan sendiri.

Walau bagaimanapun unta ini tidak dipelihara kecuali untuk tujuan komersial sama ada dijual atau untuk sewaan kenderaan. Oleh sebab unta tidak mampu dimiliki oleh semua orang, maka unta dianggap bahan mewah. Berdasarkan kedudukan itu orang Islam dicabar supaya berkorban dengan menyembelih unta atau kibas dalam sabdanya yang bermaksud:

“Barang siapa mempunyai kesanggupan dan kemampuan (untuk berkorban) tapi tidak mahu berkorban maka janganlah dia mendekati Musholla kami.”


Tentu dengan cabaran ini semua sahabat boleh berkorban dengan menyembelih kibas. Hal ini kerana mereka masing-masing memelihara kibas. Tetapi kalau semua menyembelih seekor kibas, kepada siapa pula daging itu boleh diagihkan. Ya, kalau mereka memikirkan hak dan kepentingan sendiri tentu mereka akan sembelih dan makan sendiri. Tetapi dalam ajaran Islam setiap korban, pemilik hanya boleh makan sendiri sebanyak 1/3 sahaja.

Berdasarkan hukum itu, mereka akur dan mengagihkan daging korban itu sesama mereka dengan tukar menukar daging korban. Jadi, mereka dapat merasai daging korban orang lain. Di sini tidak timbul isu pembaziran kerana lazimnya seekor kibas boleh dimakan oleh satu keluarga orang Arab.

Tetapi bagaimana dengan korban unta? Tidak semua sahabat mampu memilik unta. Maka di sini orang yang layak berkorban untuk ialah orang yang memelihara unta terebut. Tetapi kalau orang lain mampu membeli unta tentu mereka boleh lakukan. Tapi bolehkah mereka lakukan perintah korban kalau mereka tidak ada wang?

Falsafah korban lebih besar


Sebenarnya amalan korban yang direalisasikan pada zaman Rasulullah SAW berdasarkan falsafah yang ditetapkan. Berdasarkan korban zaman Rasulullah dapat kita fahami falsafah korban iaitu suatu tuntutan perjuangan untuk mengenepikan rasa cinta kepada wang, perasaan, dan nyawa. Mungkin dalam hal ini pengorbanan seseorang tidak sama antara satu sama lain.

Mungkin pada orang kaya mereka perlu korbankan perasaan. Mereka banyak harta, banyak unta dan kibas tetapi untuk menyahut seruan korban, mereka perlu korbankan perasaan sayang kepada harta tersebut. Namun mungkin pada orang miskin lain pula cabarannya. Mereka perlu korbankan wang yang sentiasa tidak cukup. Maka mereka perlu mencari wang tambahan untuk membolehkan mereka mendapat kibas dan sembelih.

Falsafah korban yang berjaya dilakukan oleh golongan kaya mahupun miskin adalah tanda mereka redha dengan cabaran Allah. Sungguhpun begitu bentuk pengorbanan ini adalah cabaran awal yang merupakan latihan ke arah pengorbanan yang lebih besar. kalau umat Islam boleh melakukan korban wang dan perasaan tentulah suatu hari nanti mereka mampu melakukan korban yang melibatkan nyawa dan darah.

Lihatlah sahabat Rasulullah seperti yang telah disebut di atas, apabila mereka mampu korbankan wang dan perasaan dengan menyembelih kibas dan unta, maka tiada halangan untuk mereka turun ke medan perang melawan musuh bagi mempertahankan Islam dan negara. Tawaran sukar ini disambut dengan baik.  Mereka tidak sayangkan nyawa dan darah mereka, malah terus mengejar syahid.

Keadaan itu kalau kita bawa ke zaman ini tentu jauh bezanya. Lihatlah berapa ramai umat Islam yang kaya boleh korbankan perasaannya? Biasanya orang kaya sekarang sanggup berkorban adalah kerana wang sudah banyak, lalu dengan itu dia tidak ada rasa sayang dengan berkurangan wang mereka. Manakala orang miskin pula, mereka bukan sahaja tidak sanggup berkorban wang ringgit malah menjadi alasan kuat untuk mereka tidak melakukan korban.

Kalau begitulah kedudukan kita pada hari ini mampukah kita sahut cabaran untuk korbankan nyawa dan darah di medan perang? Inilah realiti umat Islam pada hari ini. Mereka tidak sanggup untuk korbankan nyawa dan darah untuk mempertahankan Islam dan negara. Percayalah mereka yang sanggup masuk angkatan tentera, asalnya bukan kerana mahu berkorban tetapi kerana jaminan gaji tetap dan pencen sepanjang hidup.

Sudahkah kita berkorban?

Tahun ini kita akan menempuh hari-hari korban lagi. Kalau orang di Kelantan dan Terengganu amalan membuat korban adalah secara keluarga. Tetapi kalau orang negeri-negeri lain mereka buat korban melalui anjuran masjid. Walaupun sesebuah masjid membuat korban lebih 10 ekor lembu, namun kalau hendak dibandingkan dengan peratus penduduk sekitar kariah tersebut adalah masih kecil mereka yang sanggup berkorban.

Oleh sebab tidak ramai yang berkorban, maka agihan kepada anak kariah tidak boleh merata dan tidak boleh dalam kadar yang banyak. Persoalannya, adakah mereka yang tidak berkorban itu kerana tiada wang atau sayangkan wang? Kalau jelas mereka tiada wang kenapa tidak usahakan untuk mendapatkan wang tambahan untuk membolehkan mereka membeli lembu atau kambing korban?

Kalau kita sedar pentingnya seruan supaya berkorban tentu mereka akan usahakan untuk mengumpul wang secara bulanan untuk membolehkan mereka berkorban. Kalau cara ini boleh dilakukan sudah layaklah mereka dianggap telah melakukan korban. Ingatlah orang kaya yang sanggup berkorban kerana wang banyak belum tentu boleh dinilai sebagai telah berkorban.

Sebenarnya orang kaya yang hendak berkorban seharusnya bertindak atas dasar hendak korbankan perasaan sayangkan terhadap harta atau wang. Kalau dia sanggup korbankan perasaan sayang kepada wang ringgitnya lalu wang itu dibelinya binatang korban, barulah nilai korbannya tercapai. Saya percaya kita semua mampu berkorban pada tahun ini berdasarkan falsafah korban di atas.

Dalam hal ini Rasulullah memberi jaminan dengan sabdanya yang bermaksud:

“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat korban yang kamu lakukan.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Yakinlah kalau Allah redha dengan pengorbanan yang kita laku apa lagi yang kita harapkan dengan korban ini. Oleh sebab itu sewaktu kita melakukan korban dengan sembelihan binatang ternakan redhalah dengan wang yang dikeluarkan, lepaskan rasa sayang kepada harta yang dimiliki dengan ketentuan Allah. Saya yakin dengan cara ini kita akan mampu tingkatkan korban kita ke arah korban nyawa dan darah.

http://baei.blogspot.com

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...