Rabu, 16 November 2011

Budaya dan Strategi Membaca



Budaya dan Strategi Membaca dalam Pembentukan Karakter Guru di Brunei Darussalam (baca artikel penuh)

ABSTRAK
Membaca, dalam konteks pendidikan, adalah faktor penentu kepada keupayaan untuk berjaya. Guru sebagai pembawa obor ilmu dan contoh ikutan sewajarnya perlu berada dalam lingkungan pembaca yang berkesan. Namun untuk meletakkan budaya membaca sebagai pembinaan karakter, guru sedikit tergugat akibat faktor peribadi dan persekitaran profesional yang semakin mencabar. Oleh itu, kajian ini meneliti keupayaan guru untuk memiliki budaya dan strategi membaca yang sesuai dengan pembentukan karakter guru sebagai penyebar ilmu. Kajian dijalankan secara tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik. Sampel terdiri dari 186 guru Sekolah Rendah dan Menengah di Brunei Darussalam. Dapatan penyelidikan
menunjukkan bahawa tahap membaca guru pada tahap tinggi dan sederhana. Sampel yang tempoh mengajar di bawah 10 tahun memiliki budaya membaca yang tinggi berbanding sampel lain. Sampel perempuan pula menunjukkan budaya membaca tinggi berbanding sampel lelaki. Min bagi tujuan membaca untuk mendapatkan maklumat adalah tinggi. Dari segi strategi membaca, sampel menggunakan strategi membaca yang pelbagai dan mereka sedar akan kepentingan strategi semasa membaca.

Ahad, 13 November 2011

Cerita perkahwinan dahulu kala



A Kadir Jasin


PASAL bersunat dan tandas zaman dulu kala kita sudah cerita. Orang tua nostalgia, orang muda mendapatinya sangat jenaka.

Kali ini, kita cerita pula mengenai perkahwinan dulu kala. Bukan lama sangat - tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.

Saya ingat lagi perkahwinan kakak saya. Majlis persandingan berlangsung hampir-hampir subuh. Saya ingat sangat sebab apabila abang ipar saya diusung atas bahu untuk naik ke rumah, sebab jalan lecah (becak), saya sudah bersiap untuk ke sekolah.

Jam 5.00 pagi saya sudah terpaksa berbasikal dari kampung saya ke Pendang, kira-kira lima kilometer jauhnya, untuk menaiki bas United Transport Company (UTC) ke Alor Star, kira-kira 20 kilometer dari situ.

Jadi, tidak sempatlah saya menyaksikan persandingan mereka. Waktu itu, adalah perkara biasa persandingan di buat awal pagi.

Sambil menunggu majlis persandingan, majlis membaca al-Quran, berzikir dan berzanji diadakan sepanjang malam. Pada hari sebelumnya, kenduri diadakan dari pagi sampai malam. Pada sebelah petang diadakan pula majlis bersilat (pencak silat) dengan diiringi gendang keling.

Kalau yang kaya atau moden sikit, sebelah malam diadakan persembahan ghazal parti. Di tempat saya, yang terkenal ialah Ghazal Parti Bukit Raya (kampung Allahyarham Ustaz Fadhil Noor). Tapi yang “top” ialah Ghazal Parti Kepala Batas (kampung Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Boleh kata semua lagu dalam bahasa Arab yang diiringi tarian gelek atau tarian asyik oleh (dengan izin) pondan, darai dan ponen. Mereka pakai pakaian perempuan dan bila kena bedak, celak dan gincu, ramai jantan naik gian.

Pada hari kenduri, pagi-pagi sembelih kerbau dan lembu. Selesai siang daging, menyerok (sarapan) nasi putih dengan gulai kawah daging hancur, ikan tamban asin goreng, sambal belacan dan ulam. Lepas itu, barulah tukang masak mula memasak untuk tetamu. Tok wan saya, Haji Md Hassan, ialah ketua gedohok terkenal. Dia darah campuran Pathan.

Kerana tok wan saya ketua tukang masak, saya dapat layanan istimewa. Dapat makan awal, makan sedap-sedap – daging panggang, jantung panggang, lidah panggang cicah air asam. Sebagai upah, dia dibagi sedikit duit, rokok sekerit (cigarette) Rough Rider (rokok cap tembak), gula, susu pekat manis, kopi, teh dan kuih-muih.

Sebelum sampai majlis perkahwinan, banyak adat istiadat lain kena dibuat dan dilalui. Mula mula-mula sekali upacara menengok iaitu wakil pihak lelaki pergi menengok – lebih kurang mengendap – anak dara. Ada yang curi-curi tengok masa dia mandi di telaga, menjemur pakaian atau masa membawa hidangan dari dapur.

Kalau setuju sebab cantik, tak ada cacat cela besar, parut kudis buta tak nampak sangat,  punggung lebar dan payu dara besar, diadakan pula majlis merisik.

Hal punggung dan payu dara itu penting sebab dulu tak ada klinik bidan. Bersalin dengan bidan kampung. Kepercayaannya, punggung lebar mudah bersalin. Susu ibu pula sangat penting sebab waktu itu tak ada formula bayi dan kalau ada pun tak mampu nak beli.

Kalau anak dara belum berpunya dan keluarga tidak keberatan menerima lamaran, maka dilakukan pulas majlis meminang. Bila semua setuju, dibuat pula majlis hantar cincin bagi mengesahkan pertunangan dan diputuskan hal-hal macam hantaran, emas kahwin, upacara akad nikah dan kenduri.

Selalunya pertunangan antara enam bulan hingga setahun, bergantung kepada musim bersawah dan masa yang cukup untuk mencari duit hantaran, belanja kenduri dan memperbaiki rumah.

Jarak kenduri antara pengantin lelaki dan perempuan seminggu. Perjalanan sukar. Tak ada jalan raya yang sempurna. Jalan tanah merah. Yang kaya berarak naik kereta atau gajah. Yang kurang mampu dengan naik gerak (basikal) dan, kalau tidak jauh sangat, berjalan kaki saja. Dulu tak ada kompang. Pengantin disambut oleh muzik gendang keling dan tembakan senapang patah.

Lepas bersanding, tak boleh masuk bilik dulu. Pengantin lelaki kena balik rumah dia dan tunggu sampai pengantin perempuan datang ke rumahnya seminggu kemudian baru boleh “bersatu”.

Itu pun mak andam buat sibuk nak tumpang bilik dan geng nakal cari helah hendak mengendap (mengintai). Masa itu, rumah kampung dinding papan atau buluh anyam..

Sebelah paginya, kalau pengantin perempuan mandi basah rambut, mak bapa angkat tangan ke langit berdoa dan mengucap syukur. Sembilan bulan lagi, kalau bendang subur dan benih menjadi, dapatlah mereka timang cucu. Wallahualam.

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...