Memaparkan catatan dengan label Bahasa Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Melayu. Papar semua catatan

Sabtu, 23 Januari 2021

BAHASA ULAR DAN BELUT

Isu bahasa rojak masih dibincangkan sehingga kini.  Walaupun pelbagai gesaan dan peraturan cuba dilakukan, namun penggunaannya masih berlaku.  Tidak kira di mana dituturkan, pencinta bahasa rojak ada di mana-mana.  Dalam situasi rasmi atau sebaliknya, pengguna bahasa rojak mungkin terfikir, darjat sosialnya teguh bila bahasa rojak digunakan ketika berkomunikasi.

Dalam mengukuhkan kedaulatan bahasa Melayu, pernyataan dalam Perlembagaan sahaja tidak mencukupi.  Hal ini bertambah parah apabila waktu beralih dengan cepat.  Perubahan masa kadang kala ditandai dengan perlunya ada perubahan dalam cara bertutur dan berfikir.  Sikap sebegini walaupun dianuti oleh banyak orang, jika dirujuk kepada aspek bahasa kebangsaan menjadikan nilai bahasa itu menjadi semakin parah.  Kita perhatikan kecenderungan untuk menuturkan bahasa rojak menjadikan sensitiviti terhadap bahasa menjadi semakin rendah.  Tiada aturan yang mampu dipertahankan apabila kalangan pemimpin dan penguasa  menjadi selesa dengan bahasa rojak yang dituturkan.  

Walaupun wujudnya dinamika dalam perubahan sesuatu bahasa, jika aspek asas bahasa tersebut tidak dijaga maka kita akan temui satu masa kelak bahasa itu sudah tidak memiliki identitinya.  Bahasa yang 'entah ular entah belut' menjadi sukar ditentukan.  Mungkin juga bahasa Melayu satu ketika nanti dirobek-robek akibat kerakusan pengguna yang tidak dapat dihalang.

Baca catatan Zulkifli Jalil di sini tentang "Bahasa apa ‘sekerat ular, sekerat belut’?" 

Jumaat, 13 Julai 2018

ANALISIS DIALOG DALAM FILEM MELAYU



(Artikel untuk penerbitan Kompilasi Buku Kementerian Dalam Negeri 2018) 



ANALISIS DIALOG DALAM  FILEM MELAYU
Yahya Othman [1]

Dialog adalah wahana dalam filem bagi tujuan menyampaikan dan mengukuhkan mesej.  Sehubungan itu, penggunaan bahasa di dalam dialog penting untuk mempamerkan idealisme pengarah melalui skrip yang ditulis.  Dalam konteks penapisan  filem di Malaysia, dialog yang digunakan pula perlu mengikut  Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010.  Dialog yang tidak menepati garis panduan yang ditetapkan  akan disenyapkan atau adegan berkaitan dipotong.  Permasalahan wujud apabila filem menggunakan dialog perkataan terlarang dalam pembikinan filem Melayu dan  tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.  Untuk tujuan tersebut, kajian secara tinjauan ini meneliti 12  buah filem Melayu dari tahun 2014 hingga 2017 dengan mengenal pasti penggunaan perkataan terlarang melalui dialog.   Filem cereka  tersebut dari jenis seram, tahayul, khurafat,  jenayah, aksi, komedi dan penyiasatan. Analisis dibuat dengan mengenal pasti bahasa tersebut dan mengklasifikasikan penggunaannya.  Dapatan kajian menunjukkan terdapat trend dalam penggunaan dialog menggunakan bahasa kasar, kesat dan lucah di dalam filem Melayu. Penggunaan bahasa terlarang diberikan perhatian di dalam penapisan filem dengan mengambil kira kepentingan dalam sosio budaya dan usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui  dialog dalam perfileman.

Kata kunci:  Dialog, Filem Melayu,  Perkataan  Terlarang

DIALOGUE ANALYSIS IN MALAY FILM

Dialogue is a medium in the movie for the purpose of delivering a message. In that regard, the use of language in dialogue is important to show the idealism of directors through scripts written. In the context of film cencorship in Malaysia, the dialogue used should follow the Film Censorship Guidelines, Ministry of Home Affair, 2010. Dialogue that do not meet the set guidelines will be silenced or cut-off scenes. The problem exists when the films uses a prohibited language dialogue in the making of a Malay films and does not follow the set guidelines. For that purpose, this research surveyed 12 Malay films from 2014 to 2017 by identifying the use of prohibited language through dialogue. The fictional films are of the kind of horror, superstition, crime, action, comedy and investigation. An analysis is made by identifying the language and classifying its use. The findings show that there are trends in the use of dialogue using abusive, vulgar and obscene language in Malay films. The use of prohibited language is given attention in films cencorship taking into account the importance of socio-culture and efforts to uphold the Malay language through dialogue in the film.

Key words:  Dialogue, Malay Films, Prohibited Language


PENDAHULUAN

Dialog mempunyai fungsi yang cukup besar di dalam filem.  Dalam hal ini, Blacker (1996) menggariskan  empat fungsi dialog di dalam filem iaitu  menggerakkan jalan cerita, mendedahkan aspek perwatakan yang yang tidak digambarkan, menjelaskan peristiwa lalu dan meletakkan suasana atau atmosfera bagi filem. Untuk merealisasikan fungsi tersebut, kesedaran berbahasa pula perlu wujud sama ada kepada pelakon dan penonton. Hal ini disebabkan dialog sebagai wahana komunikasi boleh memberi impak kepada penonton.  Pengguna bahasa tersebut sama ada secara  individu ataupun kolektif bertanggungjawab sehingga menimbulkan rasa saling memiliki suatu bahasa. Dengan demikian ia berkemahuan untuk ikut membina dan mengembangkan bahasa itu.  Melalui dialog dalam filem, kesedaran berbahasa akan terpelihara.

Penggunaan bahasa di dalam dialog filem diolah untuk menterjemahkan adegan agar lebih realistik. Tanpa dialog  yang  baik, penceritaan akan lemah dan kurang meyakinkan penonton. Oleh itu, dialog dalam  filem merupakan medium yang sesuai untuk mempertajamkan kreativiti di samping mengungkapkan peristiwa. Kreativiti yang ingin di paparkan melalui tema, plot, watak dan perwatakan jika diadun dengan penggunaan dialog yang meyakinkan boleh menjadikan filem itu bermakna dalam penyampaian mesejnya.

Walau bagaimanapun, usaha ini berhadapan dengan pelbagai cabaran.  Cabaran tersebut datang dari pelbagai dimensi.  Antaranya antara mnenggunakan bahasa yang betul dan baik dengan menggunakan bahasa yang diunjurkan untuk memenangi cita rasa penonton. Penggunaan bahasa terlarang sering diungkapkan dalam menyampaikan perutusan di dalam sesuatu filem. Walaupun pihak penerbit filem faham akan kesan penggunaan dialog bahasa terlarang, namun mereka berpendapat penggunaan bahasa secara semula jadi dianggap lebih  menarik perhatian penonton.

Oleh itu dalam tulisan ini akan membincangkan dan menganalisis tinjauan terhadap penggunaan  dialog menggunakan bahasa terlarang dalam filem Melayu dan cabarannya dalam meningkatkan kesedaran berbahasa dalam industri filem.

Ahad, 28 Mei 2017

KEUPAYAAN MENGUASAI KEMAHIRAN MENULIS MELALUI PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK DALAM PENULISAN BERBENTUK RISALAH DI SEKOLAH RENDAH


YAHYA OTHMAN 
Universiti Kebangsaan Malaysia 

DK. SUZANAWATY PG. OSMAN 
SK. Dato’ Marsal, Brunei 
silent_d1@hotmai.com 

 Abstrak: Kajian ini bertujuan untuk melihat kesan pembelajaran berasaskan projek melalui penulisan berbentuk risalah bagi menguasai kemahiran menulis dalam kalangan murid tahap sederhana di sekolah rendah. Kajian ini dijalankan secara deskriptif berasaskan pendekatan kuantitatif. Kaedah yang digunakan berbentuk kuasi eksperimental dengan reka bentuk pra dan pasca ujian satu kumpulan. Seramai 39 orang sampel dalam Tahun 5 terlibat dalam kajian ini dari salah sebuah sekolah di zon Brunei IIA. Ujian pencapaian murid dan soal selidik minat dan persepsi murid terhadap pembelajaran berasaskan projek digunakan untuk tujuan pengumpulan data. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan SPSS versi 20. Untuk menilai kesan pembelajaran berasaskan projek melalui penulisan berbentuk risalah alat statistik yang digunakan adalah ujian-t berpasangan. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara min pencapaian pembelajaran berasaskan projek melalui penulisan berbentuk risalah dalam ujian pasca, t(39) = -12.75, p<0.5 Kesimpulannya, pembelajaran berasaskan projek melalui penulisan berbentuk risalah dapat membantu untuk meningkatkan keupayaan kemahiran menulis dalam kalangan murid dan sesuai dijalankan di sekolah-sekolah rendah. 
Kata kunci: Pembelajaran berasaskan projek, kemahiran menulis, penulisan berbentuk risalah, kuasi eksperimen 

Artikel penuh di sini

Rabu, 2 November 2016

APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA: PENGUASAAN GURU DAN KEKANGAN DALAM PELAKSANAAN

Yahya Othman, PhD, 
Roselan Baki, PhD 
Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan 
Fakulti Pengajian Pendidikan 
Universiti Putra Malaysia 
43400 UPM, Serdang Selangor 
yahyaoth@gmail.com, roselanbaki@hotmail.com 

ABSTRAK 

Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa pelajar. Persoalannya ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu (BM) melaksanakan pengajaran menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan yang dihadapi. Maka kajian secara tinjauan ini meneliti tahap dan kekangan dalam melaksanakan pengajaran bahasa menggunakan komputer. Di samping itu, kajian juga mengkaji kekangan yang mengganggu pelaksanaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Sampel kajian terdiri daripada 87 guru BM di sekitar daerah Hulu Langat, Selangor. Dapatan kajian menunjukkan sampel kajian menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer dan kebanyakan mereka telah mengikuti kursus asas komputer. Kursus yang berkaitan penyediaan bahan pengajaran multimedia, penggunaan internet dan pembinaan laman web agak kurang diberikan perhatian. Kesan pengajaran BM menggunakan komputer kepada pelajar agak positif terutamanya kepada pelajar yang cerdas. Kekangan utama yang dihadapi oleh guru dalam menjalankan pengajaran BM berbantukan komputer ialah guru kurang mahir mengendalikan komputer untuk pengajaran dan pelajar kurang berminat dalam pembelajaran. 

PENGENALAN 

Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et al. (2004) menyatakan nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan. Teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik, dan meningkatkan literasi maklumat (Roblyer & Schwier, 2003). Justifikasi ini timbul di dalam iklim kritikan berasaskan pelaburan yang besar dalam teknologi yang diragui keberkesanannya (Cuban, 2001). Dalam hal ini, ahli teori telah meletakkan diri mereka sebagai penyokong kepada perspektif yang menjurus kepada efektifnya penggunaan teknologi. 

Rabu, 9 September 2015

APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA: PENGUASAAN GURU DAN KEKANGAN DALAM PELAKSANAAN



Yahya Othman, PhD, Roselan Baki, PhD 

1st International Malaysian Educational Technology Convention Proceeding 

ABSTRAK
Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa pelajar. Persoalannya ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu (BM) melaksanakan pengajaran menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan yang dihadapi. Maka kajian secara tinjauan ini meneliti tahap dan kekangan dalam melaksanakan pengajaran bahasa menggunakan komputer. Di samping itu, kajian juga mengkaji kekangan yang mengganggu pelaksanaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Sampel kajian terdiri daripada 87 guru BM di sekitar daerah Hulu Langat, Selangor. Dapatan kajian menunjukkan sampel kajian menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer dan kebanyakan mereka telah mengikuti kursus asas komputer. Kursus yang berkaitan penyediaan bahan pengajaran multimedia, penggunaan internet dan pembinaan laman web agak kurang diberikan perhatian. Kesan pengajaran BM menggunakan komputer kepada pelajar agak positif terutamanya kepada pelajar yang cerdas. Kekangan utama yang dihadapi oleh guru dalam menjalankan pengajaran BM berbantukan komputer ialah guru kurang mahir mengendalikan komputer untuk pengajaran dan pelajar kurang berminat dalam pembelajaran. 

Untuk artikel penuh sila baca di sini.  

Jumaat, 5 Jun 2015

Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Sumber: Yahya Othman (2014).  Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).  Dewan Bahasa.  14(5).  20-24.


Menguasai dan mengamalkan kemahiran berfikir penting dalam  merealisasikan harapan negara untuk membentuk insan yang berkualiti dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Hasrat Kementerian Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) juga menggariskan usaha untuk membina rupa bangsa yang memiliki daya saing yang tinggi melalui pendidikan berasaskan pemikiran tinggi melalui pendidikan  yang diterima di sekolah. 

Usaha untuk menyediakan murid yang berfikiran aras tinggi, usaha  secara berterusan dijalankan  sejak konsep Sekolah Bestari diperkenalkan. Hingga kini usaha ini masih diberikan penekanan dalam usaha  untuk mencapai tahap berfikir yang memungkinkan murid dapat bersaing dalam dunia global yang semakin mencabar. Konsep kemahiran berfikir semasa mula diperkenalkan lebih menumpukan perhatian kepada penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.  Disebabkan keperluan pendidikan semasa yang lebih kompleks dan bersifat kompetitif, maka kini Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diberikan tumpuan pelaksanaannya untuk direalisasikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

KBAT diaplikasikan dalam sistem pendidikan bagi menggerakkan  potensi minda murid untuk menangani cabaran baru. Melalui KBAT, murid dapat memahami, menterjemah, menganalisis dan memanipulasikan maklumat dengan lebih  berkesan.  Murid perlu mengalami sendiri proses berfikir secara heuristik di dalam pembelajaran atau penemuan sendiri secara terbimbing melalui KBAT.  Untuk mengaplikasikan KBAT, guru perlu menyesuaikan pendekatan dan strategi yang hendak diguna pakai semasa pembelajaran dan pembelajaran


Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM), aspek yang penting untuk mencapai KBAT adalah keupayaan memindahkan kemahiran yang sudah dipelajari di dalam BM kepada situasi komunikasi yang sebenarnya. Dalam situasi sedemikian, kualiti murid dalam berbahasa dapat diukur bukan sahaja kepetahannya bertutur atau menulis tetapi juga melalui kualiti pemikirannya semasa berbahasa. Dalam konteks ini, pengajaran BM yang melibatkan penguasaan kemahiran berbahasa, pelajar dapat menggunakannya  dalam kehidupan seharian. 

Guru sebagai penggerak pemikiran murid perlu memastikan KBAT dikuasai agar dapat meningkatkan keupayaan belajar bahasa mereka kerana melalui KBAT, murid dapat mengawal, menentukan arah dan mengukur kemajuan pelajaran mereka.  Objektif pengajaran BM memerlukan murid yang bukan sahaja dapat menguasai kemahiran berbahasa tetapi mampu menguasai pembelajaran secara kendiri.  Untuk mencapai tahap berbahasa murid yang kompeten,  guru perlu menyediakan situasi pembelajaran yang lebih kondusif dan mencabar agar pembelajaran BM tidak dilihat sebagai mata pelajaran yang membosankan.

Objektif KBAT dalam BM juga menyasarkan agar murid dapat menggunakan pengetahuan yang telah dipelajari dengan lebih produktif. Dalam konteks kemahiran membaca, kebolehan murid menggunakan pengetahuan lalu sangat penting bagi memastikan mereka mampu berfikiran secara kritis melalui teks yang dibaca.  Bagi teks jenis hujahan, murid perlu mahir menganalisis hujah yang ada di dalam teks di samping dapat membuat penilaian terhadap teks tersebut.  Untuk memastikan kemahiran berfikir yang memerlukan pelajar menganalisis dan membuat jangkaan terhadap plot teks jenis naratif pula, guru BM bukan hanya perlu menyediakan bahan bacaan yang mencabar tetapi perlu mendedahkan strategi membaca kritis agar aktiviti membaca berkesan.

Dalam kerangka yang lebih luas, guru juga perlu memastikan pelajar dapat menggunakan pengetahuan, kemahiran dan bersikap positif dalam kehidupan. Dalam aspek pengetahuan bahasa , menjadi keutamaan kepada guru untuk memastikan murid dapat menguasai kandungan ilmu bahasa.  Bagi memastikan ilmu bahasa dapat diterjemahkan semasa berkomunikasi secara berkesan, guru perlu merancang pengajaran dengan memberikan penekanan kepada strategi berfikir agar penguasaan ilmu bahasa dapat dikuasai dalam jangka masa yang lama.

Hal ini disebabkan faktor psikologi seperti keupayaan mengingat dapat memastikan ilmu bahasa yang dipelajari berfungsi secara berkesan.  Selain itu, penguasaan ilmu bahasa juga  menjadikan kemahiran yang diperoleh dapat membentuk sikap murid terhadap kehidupannya.  Maka keperluan berfikir aras tinggi perlu diadaptasikan dalam menyampaikan ilmu tersebut.

Dalam konteks pelaksanaan KBAT, guru perlu mahir mengasimilasikan kemahiran tersebut dengan keperluan kurikulum  BM.  Untuk tujuan tersebut, murid perlu didedahkan dengan aktiviti  pemikiran aras tinggi seperti membanding, menganalisis dan membuat inferens agar murid berupaya meningkatkan kefahaman dan mengukuhkan pembelajaran.

Berdasarkan kurikulum BM, kemahiran lisan dianggap penting terutama dalam konteks menyediakan murid berkomunikasi secara interpersonal sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.  Disebabkan kemahiran ini kurang ditekankan dalam pentaksiran bahasa, maka sering penekanan kemahiran ini sering diabaikan.  Guru mungkin beranggapan murid mahir menguasai kemahiran tersebut walaupun tidak diajar secara formal.  Pandangan seperti ini jika dibiarkan boleh memberi implikasi terhadap kebolehan berkomunikasi murid terutama apabila mereka berada dalam lingkungan kehidupan yang sebenar. Oleh itu, guru BM berperanan agar kemahiran tersebut dapat diajarkan bukan hanya untuk tujuan keperluan di dalam kurikulum tetapi juga dapat menguasai  maklumat dengan berkesan. 

Bagi memastikan murid mampu berkomunikasi menggunakan KBAT, maka guru boleh melaksanakan aktiviti lisan dengan menyediakan bahan dan tugasan yang mencabar minda mereka.  Contohnya dengan melaksanakan aktiviti main peranan dan simulasi bahasa,  guru perlu memberi peluang kepada murid merancang aktiviti kreatif sama ada secara berkumpulan ataupun individu.  Walau bagaimanapun, terdapat kelompok murid yang sememangnya memiliki kebolehan yang terbatas terutamanya dalam berkomunikasi interpersonal.  Hal ini boleh membataskan keupayaannya  mereka untuk menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan yang akan dialaminya dalam aktiviti kehidupan yang sebenarnya. 

Apakah peranan guru bagi memastikan murid yang lemah juga dapat melibatkan diri dalam aktiviti KBAT terutamanya dalam aktiviti lisan? Pemilihan aktiviti yang sesuai dengan kebolehan dan minat mereka boleh membantu mengurangkan masalah kurang daya fikir murid yang lemah dalam pembelajaran.  Contohnya guru boleh mengadakan sesi  soal jawab secara terancang dengan merendahkan tahap berfikir soalan yang dikemukakan. Apabila mereka telah menguasai aras rendah dengan baik, guru boleh mempertingkatkan tahap aras berfikir melalui soalan yang lebih mencabar. Sering berlaku apabila menjawab soalan pada aras tinggi, murid yang lemah terabai disebabkan mereka tidak mampu menjawabnya. 

Dalam pengajaran membaca teks untuk tujuan pemahaman, guru perlu menyediakan bahan yang boleh membantu murid membaca secara kritis.  Misalnya melalui teks jenis fakta atau naratif, pemikiran kritis murid dapat dijana dengan meminta murid membaca dan melakukan analisis kandungan teks.  Murid ditugaskan berfikiran kritis dengan meminta mereka membuat perbandingan isi kandungan jika teks yang dibaca dari jenis perbincangan.  Bagi teks berbentuk naratif, aktiviti berfikiran kreatif dapat diwujudkan melalui latihan membuat peleraian plot yang memerlukan murid merangka penutup cerita yang lebih menarik seperti menonjolkan kejadian yang tidak dijangka boleh berlaku. 

Kemahiran menulis merupakan kemahiran penting untuk  dikuasai oleh murid pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Pada peringkat sekolah rendah, mereka perlu memiliki daya pengecaman dan menulis huruf yang hinggalah boleh membina ayat.  Di samping itu, kemahiran menulis juga memerlukan murid bukan sahaja mampu menukilkan idea yang tersimpan dalam pemikirannya tetapi mereka juga perlu mampu mengorganisasikan idea tersebut agar dapat diterjemahkan dalam wacana yang dapat difahami pembaca.  

Bagi memastikan pelajar dapat mengaplikasikan KBAT dalam kemahiran menulis, guru perlu mampu mewujudkan persekitaran menulis yang kondusif.  Pengaruh iklim pembelajaran yang selesa tanpa tekanan mampu memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara terencana. Berikan murid peluang untuk menyampaikan, memperincikan idea, menganalisis maklumat, serta menyatakan pandangan dengan lancar. Untuk memastikan kelancaran dalam penghasilan sesuatu hasil penulisan, guru BM berperanan  mencungkil, memantapkan, dan menjadikan idea yang difikirkan terjelma dalam bentuk tulisan yang bukan sahaja boleh dibaca malahan boleh memberi kesan sama ada secara eksplisit mahupun intrinsik. Oleh itu bagi memastikan murid menguasai kemahiran menulis dengan baik, KBAT boleh digunakan melalui pedagogi yang terancang dengan baik. Guru BM perlu mahir menulis dan dapat mempamerkan kemahiran menulis kepada murid.  Di samping itu, dengan menggunakan pengurusan grafik yang baik, penulisan karangan boleh menjadi lebih baik kualitinya. 

 Untuk memastikan proses berfikir aras tinggi dapat dilaksanakan secara berkesan di dalam pengajaran dan pembelajaran BM, guru BM perlu menguasai aspek metakognitif.  Strategi metakognitif merujuk kepada cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku.  Melalui strategi ini murid dapat membuat refleksi terhadap maklumat yang diperoleh sama ada semasa aktiviti lisan, membaca, dan menulis. Dalam konteks kemahiran membaca, murid dapat difokuskan pemikirannya terutama dalam menetapkan tahap pemahaman masing-masing apabila melalui proses membaca.  Begitu juga dengan aktiviti kemahiran menulis, murid juga dapat melakarkan maklumat yang ingin ditulis secara jelas melalui refleksi yang diamalkan.

 Kadangkala, persekitaran yang disediakan juga tidak mampu untuk merangsang pemikiran murid menghasilkan penulisan yang baik.  Kesan persekitaran, pengalaman lalu murid, minat terhadap menulis, dorongan menulis dan strategi menulis yang didedahkan oleh guru sangat menyumbang kepada kualiti penulisan yang diharapkan. 

Dalam konteks menulis karangan, pemilihan tajuk yang bersifat hujahan atau fakta sangat sesuai untuk murid mengeluarkan hujah yang mampu mendorong ke arah berfikiran kritis. Di samping mengemukakan tajuk yang boleh menimbulkan polemik, guru juga perlu memberikan peluang kepada murid berfikiran secara kritis melalui aktiviti penulisan yang ringkas seperti membuat ulasan ringkas terhadap bahan berbentuk berita atau rencana yang dipetik dari media massa.  Dengan cara mengemukakan isu-isu semasa, guru mampu menambahkan skemata pengetahuan lalu mereka. 

Bagi memastikan aspek sistem bahasa dapat dikuasai dengan berkesan, guru boleh melakukan beberapa aktiviti yang mampu mendorong murid berfikiran lebih kritis.  Untuk menguasai konsep dan peraturan sistem bahasa yang perlu dikuasai oleh murid, pemilihan aktiviti belajar perlu diberikan keutamaan.  Guru perlu berperanan mengemukakan soalan yang dapat membantu murid kuasai kandungan sistem bahasa tanpa menghafal peraturan yang ada.  Contohnya dalam mempelajari golongan kata BM, guru boleh meminta murid menjawab siri soalan yang mengarah kepada penguasaan dalam pertuturan untuk tujuan komunikasi.  Di samping mengemukakan soalan secara terancang untuk memahirkan KBAT, guru juga perlu memastikan aspek sistem bahasa diaplikasikan dalam   menguasai kemahiran bahasa yang lain.

Jika aspek KBAT dikuasai dengan baik, ia akan menjadi satu alat yang berguna untuk membantu murid belajar. Seterusnya dapat meningkatkan prestasi pencapaian dan memperbaik kelemahan diri. Dalam konteks pengajaran BM, guru perlu mahir dalam memilih strategi belajar yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran bahasa. Jika dianalisis kandungan sukatan pelajaran BM, terdapat banyak hasil pembelajaran yang disenaraikan memberi peluang kepada pelajar menguasai strategi belajar melalui kemahiran bahasa.  Contohnya dalam kemahiran lisan, membaca, dan menulis banyak subkemahiran yang disenaraikan mampu membantu pelajar menguasai strategi belajar yang boleh meningkatkan prestasi akademik dalam mata pelajaran lain.  Oleh itu, guru BM berperanan menterjemahkan hasil pembelajaran itu dalam bentuk aktiviti KBAT yang boleh digunakan oleh murid semasa  mempelajari mata pelajaran yang lain.  Melalui aktiviti ini juga guru mengharapkan murid meningkatkan peningkatan daya fikiran mereka.

Kemahiran berfikir boleh diajar secara langsung atau tidak langsung bergantung pada objektif pengajaran yang ingin dicapai semasa proses belajar berlangsung.   Dalam konteks menyoal secara kritis, guru sebagai Di samping itu, strategi yang dianggap sangat berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran BM.  Strategi menggunakan soalan terancang memerlukan guru BM yang mahir dalam hal tersebut. Soalan berbentuk terbuka boleh dikemukakan dalam aktiviti lisan, membaca dan menulis.  Kelebihan soalan bentuk ini mampu menjana pemikiran murid semasa menjawab.  Di samping bentuk soalan, guru juga perlu mahir dalam teknik menyoal.  Menggunakan lingkaran soalan merupakan cara yang baik bagi mengaitkan antara soalan-soalan yang akan disoal.

Teknik menyoal merupakan satu keperluan dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM. Menyoal dapat memotivasikan murid, menggalakkan pelajar berfikir dan mendapat respons berdasarkan aktiviti lisan, membaca dan menulis. Kajian-kajian juga mendapati guru BM kurang mahir dalam mengendalikan teknik menyoal.  Kebanyakan soalan yang dikemukakan hanya pada aras rendah dan hal ini memberi kesan terhadap kualiti pemikiran murid. 

Untuk memberikan respons terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang dikemukakan dalam belajar bahasa, guru bahasa boleh menggunakan kaedah perbincangan untuk meningkatkan kualiti berfikir murid.  Agak sukar untuk membangkitkan suasana berbincang dalam bilik darjah jika guru tidak memainkan peranan sebagai pemudah cara. Guru perlu mahir mengendalikan sesi perbincangan sama ada dijalankan dalam kumpulan kecil mahupun menggunakan kaedah kelas yang memerlukan penglibatan murid secara menyeluruh. Tajuk perbincangan yang diberikan kepada murid perlu menarik perhatian dan memudahkan aliran idea dikeluarkan dari pemikiran mereka.  Contohnya dalam aktiviti menulis karangan, guru boleh mendapatkan respons murid berdasarkan tajuk karangan yang diajukan melalui perbincangan. 

Alat pengurusan grafik pula boleh digunakan oleh guru BM dengan tujuan untuk memudahkan memahami sesuatu konsep.  Penggunaan pemetaan konsep menggunakan i-Think juga dapat membantu murid dalam kemahiran bahasa dan  sistem bahasa. Jika dibandingkan dengan pernyataan sesuatu konsep yang dibuat dengan cara huraian  secara linear, pengurusan grafik dapat membantu menguasai sesuatu topik secara lebih bersistem. Hal ini disebabkan pengurusan grafik dalam pembelajaran mementingkan penggunaan bentuk ilustrasi atau lakaran.  Dalam kemahiran membaca, alat pengurusan grafik  digunakan untuk membantu dan mengurus cara berfikir yang lebih tersusun dengan tujuan memantapkan pemikiran selepas membaca teks. Pengurusan grafik  dapat menggambarkan secara mudah dan jelas tentang sesuatu idea atau perkara dengan perhubungannya dalam pembacaan dengan aspek-aspek yang berkaitan.

Kaedah penyelesaian masalah juga diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran BM untuk tujuan meningkatkan KBAT. Kaedah ini merupakan usaha dalam bentuk proses kognitif dengan maklumat digunakan sebagai usaha untuk mencari cara yang sesuai bagi mencapai sesuatu matlamat. Guru BM perlu mahir mengembangkan pelbagai langkah penyelesaian kepada murid supaya menggalakkan mereka menggunakan unsur kognitif yang melibatkan proses penaakulan, pembinaan konsep, penilaian dan penyelesaian masalah. Langkah yang paling asas dan penting bagi membolehkan penyelesaian masalah ialah perlunya banyak pengalaman yang berbentuk konsep dan prinsip tentang pelbagai hal. Murid  sepatutnya digalakkan menyatakan pendapat mereka dan pendapat tersebut dihargai demi menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran berfikir semaksimum yang mungkin.


Kesimpulannya, aplikasi KBAT dalam pengajaran BM mampu membantu  murid  berfikir secara lebih mendalam, konsisten, produktif dan berkesan.  BM sebagai mata pelajaran teras dalam kurikulum pendidikan memerlukan usaha guru yang tekal dengan sentiasa memikirkan unsur kreativiti dan inovasi dalam menyampaikan kandungan pelajaran. Peranan guru BM juga perlu selaras dengan hasrat dan usaha Kementerian Pendidikan yang telah merancang  anjakan dalam meningkatkan mutu penguasaan BM.  Usaha yang berterusan dan peranan yang perlu dimainkan oleh guru BM terutama dalam meningkatkan KBAT melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu bagi memastikan objektif kurikulum BM dapat dicapai.  Peranan guru BM bukan setakat menyampaikan pengajaran BM seperti yang terkandung di dalam sukatan pelajaran, tetapi juga menuntut mereka berperanan sebagai penggerak dan pembuka minda dalam memikirkan unsur yang tersirat di dalamnya.

Khamis, 4 September 2014

Hakikat bahasa

Pakar linguistik telah merumuskan tentang hakikat bahasa. Rumusan tersebut jika dianalisis akan menghasilkan sejumlah ciri atau sifat yang merupakan hakikat bahasa. Sifat-sifat tersebut pula yang telah didefinisikan oleh pakar-pakar linguistik di atas dalam menyatakan pelbagai sifat-sifat bahasa.
Sifat-sifat tersebut sebagaimana yang disebutkan oleh Chaer (2007) antara lain:

(1) Bahasa adalah sebuah sistem,
(2) Bahasa itu diwujudkan oleh  lambang,
(3) Bahasa itu berupa bunyi,
(4) Bahasa itu bersifat arbitrari,
(5) Bahasa itu bermakna,
(6) Bahasa itu bersifat konvensional,
(7) Bahasa itu bersifat unik,
(8) Bahasa itu bervariasi,
(9) Bahasa itu bersifat produktif,
(10) Bahasa itu bersifat dinamis,
(11) Bahasa itu berfungsi sebagai alat interaksi sosial,

(12) Bahasa itu merupakan identiti penuturnya

Rabu, 3 September 2014

lama tak tulis dalam blog

Menulis adalah rutin harian.  Setiap hari saya akan menulis.  Tak kira segala jenis aktiviti yang perlukan kemahiran yang terlalu lama wujud bersama tamadun manusia duniawi.  Apa saja yang terlintas dalam fikiran akan ditulis terutama bagi penulis yang aktif.  Namun untuk memulakan usaha menulis memerlukan kekuatan. Kekuatan dalaman sangat kuat pengaruhnya untuk menjadi penggerak usaha ini.  

Dalam hal ini, menulis dalam blog juga ada pasang surutnya.  Sesekali agak keras jari jemari mengetuk key board komputer. Setelah hampir dua tahun bertugas di UKM, baru sekarang teringin untuk membuka semula blog yang pernah bangunkan dulu.  Sudah hampir 45 ribu pengunjung blog ini.  Statistik pengunjung menggambarkan ramai yang mendapatkan bahan pendidikan Bahasa Melayu di dalam blog ini.

Untuk tujuan itu, saya akan berusaha untuk menulis kembali bagi membantu pendidik dan pengkaji bidang bahasa Melayu untuk menambahkan bahan rujukan.  Sebenarnya,  bahan-bahan yang ada di sini hanyalah sedikit berbanding rujukan yang terdapat di luar sana.  


Rabu, 2 Januari 2013

Guru BI dari India

Hasrat bawa masuk guru dari India perlu diteliti

Teo Kok Seong
rencanabh@bharian.com.my
2012/12/29

Tenaga pendidik negara asal bahasa Inggeris lebih efektif

Cadangan untuk mengambil guru Bahasa Inggeris dari India, bagi mengatasi kemerosotan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita, tidak dapat dinafikan adalah hasrat murni. Bagaimanapun, ia perlu diteliti sehemat yang mungkin sebelum dilaksanakan.

Meskipun bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi bersama di India sejak 1967, dan berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai bahasa penting dalam sistem perundangan, pentadbiran kerajaan, pendidikan menengah dan pengajian tinggi, angkatan tentera, media, perdagangan dan lain-lain lagi, ia adalah bahasa pinjaman yang dikenakan kepada rakyat India melalui proses penjajahan.

Bukan bahasa peribumi

Justeru, peminjaman bahasa Inggeris yang kini dituturkan sepertiga penduduk India adalah bukan bahasa peribumi. Dengan ini, akar umbinya berada di tempat lain, iaitu Great Britain atau United Kingdom. Sehubungan ini, United Kingdom bersama-sama dengan Ireland, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand adalah tapak tradisional bahasa Inggeris.

India dan lain-lain, seperti Singapura hanya tempat tersebar dan bertapaknya bahasa Inggeris secara dominan melalui penjajahan British. Ini berlaku apabila bahasa Inggeris terus didukung dalam pelbagai institusi kebangsaan negara ini, walaupun sudah terlepas daripada belenggu penjajah.

Bahasa Inggeris tetap penting

Malaysia walaupun dijajah oleh British, tidak menggunakan bahasa Inggeris secara dominan dalam institusi kebangsaannya selepas memperoleh kemerdekaan. Sebaliknya kita memilih bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk mendukung kedua-dua fungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dengan ini, bahasa Melayu adalah asas kemerdekaan kita. Walaupun begitu, kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, tidak pernah dipandang enteng dan ia adalah bahasa utama kedua di negara ini.

Dalam konteks memperoleh bantuan untuk mempertingkat kecekapan berbahasa Inggeris bagi anak bangsa, kita perlu mendapat tenaga pendidik dan yang berkaitan lain dengan pendidikan bahasa Inggeris, dari negara yang merupakan tapak tradisional di mana bahasa Inggeris adalah bahasa perdana di sana. Oleh itu, India bukan tempatnya.

Tindakan kita mendapat khidmat dari Amerika Syarikat melalui Program Sarjana Fullbright dalam bentuk guru pakar dan pembantu yang adalah penutur jati bahasa Inggeris, adalah langkah betul. Cadangan untuk menghidupkan semula Program Peace Corps yang popular pada 1960-an, agar sukarelawan Amerika Syarikat dapat ditempatkan di Malaysia, untuk antaranya mengajar bahasa Inggeris, adalah juga jalan yang baik.

Walaupun penjajah British yang berjaya menyebarkan bahasa Inggeris pada akhir abad ke-19, Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi besar pada abad ke-20 bertanggungjawab meletakkan bahasa Inggeris pada tempatnya sekarang sebagai bahasa dunia terpenting.

Ragam bahasa Inggeris India 

Dengan status sebagai bahasa dunia, bahasa Inggeris kini terdiri daripada beberapa ragam yang distingtif, yang kadangkala boleh menimbulkan masalah kefahaman, sekalipun dengan ragam Amerika dan British yang boleh dikira sudah mantap. Dalam hal ini, bahasa Inggeris India meskipun ragam standardnya, adalah satu lagi ragam yang tidak dapat dinafikan banyak dipengaruhi budaya setempat dengan pelbagai aspek peradaban di seluruh benua itu, selain pelbagai ciri kenahuan unik.

Khamis, 13 Disember 2012

KEBERKESANAN PENGGUNAAN PETA MINDA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KARANGAN ARGUMENTATIF DI SEBUAH SEKOLAH MENENGAH ARAB DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Yahya Othman, PhD
Azmey Othman

Abstrak: Kajian ini dijalankan untuk menilai keberkesanan penggunaan peta minda terhadap pencapaian penulisan karangan argumentatif para murid di salah sebuah sekolah menengah Arab Negara Brunei Darussalam. Kajian kuasi eksperimen ini dilakukan ke atas murid menengah Tahun 10.Seramai 22 orang murid dijadikan sampel kajian bagi kumpulan eksperimen dan 21 orang murid lagi dijadikan sampel bagi kumpulan kawalan. Melalui sesi pengajaran dan pembelajaran, murid dalam kumpulan eksperimen diberikan rawatan menggunakan peta minda. Data diperoleh daripada pra dan pasca ujian serta temu bual murid. Data dianalisis menggunakan ujian-t dan analisis Kovarians (ANCOVA). Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan terhadap penulisan karangan argumentatif bagi sampel kumpulan eksperimen dalam pra dan pasca ujian dengan nilai t = -11.346, p < 0.05.Di samping itu, dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan terhadap penguasaan ketiga-tiga sub kemahiran penulisan karangan dalam pasca ujian antara sampel kumpulan eksperimen dan sampel kumpulan kawalan. Tiga sub kemahiran tersebut ialah penguasaan aspek isi (nilai t = -8.100, p < 0.05), bahasa (nilai t = -7.512, p < 0.05) dan juga teknik (nilai-t = -3.858, P < 0.005) penulisan karangan. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa penggunaan strategi peta minda dalam pengajaran dan pembelajaran berjaya meningkatkan pencapaian penulisan karangan argumentatif murid.
Kata kunci: Karangan argumentatif, peta minda, kemahiran menulis, kajian kuasi

KESAN DOSA

  Kesan dosa sangat besar, meliputi kerosakan hati (gelisah, hilang cahaya, sukar ilmu masuk), jauh dari Allah, hilang keberkatan rezeki, t...