Sumber: Yahya Othman (2014). Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dewan Bahasa. 14(5). 20-24.
Menguasai dan mengamalkan kemahiran
berfikir penting dalam merealisasikan
harapan negara untuk membentuk insan yang berkualiti dan seimbang seperti yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hasrat Kementerian Pendidikan melalui Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) juga menggariskan usaha untuk
membina rupa bangsa yang memiliki daya saing yang tinggi melalui pendidikan berasaskan
pemikiran tinggi melalui pendidikan yang
diterima di sekolah.
Usaha untuk menyediakan
murid yang berfikiran aras tinggi, usaha secara berterusan dijalankan sejak konsep Sekolah Bestari diperkenalkan. Hingga
kini usaha ini masih diberikan penekanan dalam usaha untuk mencapai tahap berfikir yang
memungkinkan murid dapat bersaing dalam dunia global yang semakin mencabar. Konsep
kemahiran berfikir semasa mula diperkenalkan lebih menumpukan perhatian kepada
penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Disebabkan keperluan pendidikan semasa yang
lebih kompleks dan bersifat kompetitif, maka kini Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT) diberikan tumpuan pelaksanaannya untuk direalisasikan dalam
pengajaran dan pembelajaran.
KBAT diaplikasikan
dalam sistem pendidikan bagi menggerakkan potensi minda murid untuk menangani cabaran
baru. Melalui KBAT, murid dapat memahami, menterjemah, menganalisis dan
memanipulasikan maklumat dengan lebih
berkesan. Murid perlu mengalami sendiri
proses berfikir secara heuristik di dalam pembelajaran atau penemuan sendiri
secara terbimbing melalui KBAT. Untuk mengaplikasikan
KBAT, guru perlu menyesuaikan pendekatan dan strategi yang hendak diguna pakai
semasa pembelajaran dan pembelajaran
Dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM), aspek yang penting untuk mencapai KBAT adalah
keupayaan memindahkan kemahiran yang sudah dipelajari di dalam BM kepada
situasi komunikasi yang sebenarnya. Dalam situasi sedemikian, kualiti murid
dalam berbahasa dapat diukur bukan sahaja kepetahannya bertutur atau menulis
tetapi juga melalui kualiti pemikirannya semasa berbahasa. Dalam konteks ini, pengajaran
BM yang melibatkan penguasaan kemahiran berbahasa, pelajar dapat menggunakannya
dalam kehidupan seharian.
Guru
sebagai penggerak pemikiran murid perlu memastikan KBAT dikuasai agar dapat
meningkatkan keupayaan belajar bahasa mereka kerana melalui KBAT, murid dapat
mengawal, menentukan arah dan mengukur kemajuan pelajaran mereka. Objektif pengajaran BM memerlukan murid yang
bukan sahaja dapat menguasai kemahiran berbahasa tetapi mampu menguasai
pembelajaran secara kendiri. Untuk
mencapai tahap berbahasa murid yang kompeten, guru perlu menyediakan situasi pembelajaran
yang lebih kondusif dan mencabar agar pembelajaran BM tidak dilihat sebagai
mata pelajaran yang membosankan.
Objektif
KBAT dalam BM juga menyasarkan agar murid dapat menggunakan pengetahuan yang
telah dipelajari dengan lebih produktif. Dalam konteks kemahiran membaca, kebolehan
murid menggunakan pengetahuan lalu sangat penting bagi memastikan mereka mampu berfikiran
secara kritis melalui teks yang dibaca.
Bagi teks jenis hujahan, murid perlu mahir menganalisis hujah yang ada
di dalam teks di samping dapat membuat penilaian terhadap teks tersebut. Untuk memastikan kemahiran berfikir yang
memerlukan pelajar menganalisis dan membuat jangkaan terhadap plot teks jenis
naratif pula, guru BM bukan hanya perlu menyediakan bahan bacaan yang mencabar
tetapi perlu mendedahkan strategi membaca kritis agar aktiviti membaca
berkesan.
Dalam
kerangka yang lebih luas, guru juga perlu memastikan pelajar dapat menggunakan
pengetahuan, kemahiran dan bersikap positif dalam kehidupan. Dalam aspek
pengetahuan bahasa , menjadi keutamaan kepada guru untuk memastikan murid dapat
menguasai kandungan ilmu bahasa. Bagi
memastikan ilmu bahasa dapat diterjemahkan semasa berkomunikasi secara
berkesan, guru perlu merancang pengajaran dengan memberikan penekanan kepada strategi
berfikir agar penguasaan ilmu bahasa dapat dikuasai dalam jangka masa yang
lama.
Hal
ini disebabkan faktor psikologi seperti keupayaan mengingat dapat memastikan
ilmu bahasa yang dipelajari berfungsi secara berkesan. Selain itu, penguasaan ilmu bahasa juga menjadikan kemahiran yang diperoleh dapat
membentuk sikap murid terhadap kehidupannya.
Maka keperluan berfikir aras tinggi perlu diadaptasikan dalam
menyampaikan ilmu tersebut.
Dalam konteks
pelaksanaan KBAT, guru perlu mahir mengasimilasikan kemahiran tersebut dengan keperluan
kurikulum BM. Untuk tujuan tersebut, murid perlu didedahkan
dengan aktiviti pemikiran aras tinggi seperti
membanding, menganalisis dan membuat inferens agar murid berupaya meningkatkan
kefahaman dan mengukuhkan pembelajaran.
Berdasarkan kurikulum
BM, kemahiran lisan dianggap penting terutama dalam konteks menyediakan murid
berkomunikasi secara interpersonal sama ada secara rasmi mahupun tidak
rasmi. Disebabkan kemahiran ini kurang
ditekankan dalam pentaksiran bahasa, maka sering penekanan kemahiran ini sering
diabaikan. Guru mungkin beranggapan
murid mahir menguasai kemahiran tersebut walaupun tidak diajar secara
formal. Pandangan seperti ini jika
dibiarkan boleh memberi implikasi terhadap kebolehan berkomunikasi murid
terutama apabila mereka berada dalam lingkungan kehidupan yang sebenar. Oleh
itu, guru BM berperanan agar kemahiran tersebut dapat diajarkan bukan hanya
untuk tujuan keperluan di dalam kurikulum tetapi juga dapat menguasai maklumat dengan berkesan.
Bagi memastikan
murid mampu berkomunikasi menggunakan KBAT, maka guru boleh melaksanakan
aktiviti lisan dengan menyediakan bahan dan tugasan yang mencabar minda
mereka. Contohnya dengan melaksanakan
aktiviti main peranan dan simulasi bahasa, guru perlu memberi peluang kepada murid
merancang aktiviti kreatif sama ada secara berkumpulan ataupun individu. Walau bagaimanapun, terdapat kelompok murid
yang sememangnya memiliki kebolehan yang terbatas terutamanya dalam
berkomunikasi interpersonal. Hal ini
boleh membataskan keupayaannya mereka
untuk menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan yang akan dialaminya dalam
aktiviti kehidupan yang sebenarnya.
Apakah peranan
guru bagi memastikan murid yang lemah juga dapat melibatkan diri dalam aktiviti
KBAT terutamanya dalam aktiviti lisan? Pemilihan aktiviti yang sesuai dengan kebolehan
dan minat mereka boleh membantu mengurangkan masalah kurang daya fikir murid
yang lemah dalam pembelajaran. Contohnya
guru boleh mengadakan sesi soal jawab
secara terancang dengan merendahkan tahap berfikir soalan yang dikemukakan.
Apabila mereka telah menguasai aras rendah dengan baik, guru boleh mempertingkatkan
tahap aras berfikir melalui soalan yang lebih mencabar. Sering berlaku apabila
menjawab soalan pada aras tinggi, murid yang lemah terabai disebabkan mereka
tidak mampu menjawabnya.
Dalam pengajaran
membaca teks untuk tujuan pemahaman, guru perlu menyediakan bahan yang boleh
membantu murid membaca secara kritis.
Misalnya melalui teks jenis fakta atau naratif, pemikiran kritis murid
dapat dijana dengan meminta murid membaca dan melakukan analisis kandungan
teks. Murid ditugaskan berfikiran kritis
dengan meminta mereka membuat perbandingan isi kandungan jika teks yang dibaca
dari jenis perbincangan. Bagi teks
berbentuk naratif, aktiviti berfikiran kreatif dapat diwujudkan melalui latihan
membuat peleraian plot yang memerlukan murid merangka penutup cerita yang lebih
menarik seperti menonjolkan kejadian yang tidak dijangka boleh berlaku.
Kemahiran menulis
merupakan kemahiran penting untuk
dikuasai oleh murid pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Pada
peringkat sekolah rendah, mereka perlu memiliki daya pengecaman dan menulis
huruf yang hinggalah boleh membina ayat.
Di samping itu, kemahiran menulis juga memerlukan murid bukan sahaja
mampu menukilkan idea yang tersimpan dalam pemikirannya tetapi mereka juga
perlu mampu mengorganisasikan idea tersebut agar dapat diterjemahkan dalam
wacana yang dapat difahami pembaca.
Bagi memastikan
pelajar dapat mengaplikasikan KBAT dalam kemahiran menulis, guru perlu mampu
mewujudkan persekitaran menulis yang kondusif.
Pengaruh iklim pembelajaran yang selesa tanpa tekanan mampu memberi
peluang kepada murid untuk berfikir secara terencana. Berikan murid peluang
untuk menyampaikan, memperincikan idea, menganalisis maklumat, serta menyatakan
pandangan dengan lancar. Untuk memastikan kelancaran dalam penghasilan sesuatu
hasil penulisan, guru BM berperanan mencungkil,
memantapkan, dan menjadikan idea yang difikirkan terjelma dalam bentuk tulisan
yang bukan sahaja boleh dibaca malahan boleh memberi kesan sama ada secara
eksplisit mahupun intrinsik. Oleh itu bagi memastikan murid menguasai kemahiran
menulis dengan baik, KBAT boleh digunakan melalui pedagogi yang terancang
dengan baik. Guru BM perlu mahir menulis dan dapat mempamerkan kemahiran
menulis kepada murid. Di samping itu,
dengan menggunakan pengurusan grafik yang baik, penulisan karangan boleh
menjadi lebih baik kualitinya.
Untuk memastikan proses berfikir aras tinggi
dapat dilaksanakan secara berkesan di dalam pengajaran dan pembelajaran BM,
guru BM perlu menguasai aspek metakognitif.
Strategi metakognitif merujuk kepada cara untuk meningkatkan kesedaran
mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku. Melalui strategi ini murid dapat membuat
refleksi terhadap maklumat yang diperoleh sama ada semasa aktiviti lisan,
membaca, dan menulis. Dalam konteks kemahiran membaca, murid dapat difokuskan
pemikirannya terutama dalam menetapkan tahap pemahaman masing-masing apabila
melalui proses membaca. Begitu juga
dengan aktiviti kemahiran menulis, murid juga dapat melakarkan maklumat yang
ingin ditulis secara jelas melalui refleksi yang diamalkan.
Kadangkala, persekitaran yang disediakan juga
tidak mampu untuk merangsang pemikiran murid menghasilkan penulisan yang
baik. Kesan persekitaran, pengalaman
lalu murid, minat terhadap menulis, dorongan menulis dan strategi menulis yang
didedahkan oleh guru sangat menyumbang kepada kualiti penulisan yang
diharapkan.
Dalam konteks
menulis karangan, pemilihan tajuk yang bersifat hujahan atau fakta sangat
sesuai untuk murid mengeluarkan hujah yang mampu mendorong ke arah berfikiran
kritis. Di samping mengemukakan tajuk yang boleh menimbulkan polemik, guru juga
perlu memberikan peluang kepada murid berfikiran secara kritis melalui aktiviti
penulisan yang ringkas seperti membuat ulasan ringkas terhadap bahan berbentuk
berita atau rencana yang dipetik dari media massa. Dengan cara mengemukakan isu-isu semasa, guru
mampu menambahkan skemata pengetahuan lalu mereka.
Bagi memastikan
aspek sistem bahasa dapat dikuasai dengan berkesan, guru boleh melakukan
beberapa aktiviti yang mampu mendorong murid berfikiran lebih kritis. Untuk menguasai konsep dan peraturan sistem
bahasa yang perlu dikuasai oleh murid, pemilihan aktiviti belajar perlu
diberikan keutamaan. Guru perlu
berperanan mengemukakan soalan yang dapat membantu murid kuasai kandungan
sistem bahasa tanpa menghafal peraturan yang ada. Contohnya dalam mempelajari golongan kata BM,
guru boleh meminta murid menjawab siri soalan yang mengarah kepada penguasaan
dalam pertuturan untuk tujuan komunikasi.
Di samping mengemukakan soalan secara terancang untuk memahirkan KBAT,
guru juga perlu memastikan aspek sistem bahasa diaplikasikan dalam menguasai
kemahiran bahasa yang lain.
Jika aspek KBAT
dikuasai dengan baik, ia akan menjadi satu alat yang berguna untuk membantu
murid belajar. Seterusnya dapat meningkatkan prestasi pencapaian dan memperbaik
kelemahan diri. Dalam konteks pengajaran BM, guru perlu mahir dalam memilih
strategi belajar yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran bahasa. Jika
dianalisis kandungan sukatan pelajaran BM, terdapat banyak hasil pembelajaran
yang disenaraikan memberi peluang kepada pelajar menguasai strategi belajar
melalui kemahiran bahasa. Contohnya
dalam kemahiran lisan, membaca, dan menulis banyak subkemahiran yang
disenaraikan mampu membantu pelajar menguasai strategi belajar yang boleh
meningkatkan prestasi akademik dalam mata pelajaran lain. Oleh itu, guru BM berperanan menterjemahkan
hasil pembelajaran itu dalam bentuk aktiviti KBAT yang boleh digunakan oleh
murid semasa mempelajari mata pelajaran
yang lain. Melalui aktiviti ini juga
guru mengharapkan murid meningkatkan peningkatan daya fikiran mereka.
Kemahiran
berfikir boleh diajar secara langsung atau tidak langsung bergantung pada
objektif pengajaran yang ingin dicapai semasa proses belajar berlangsung. Dalam konteks menyoal secara kritis, guru
sebagai Di samping itu, strategi yang dianggap sangat berkesan dalam pengajaran
dan pembelajaran BM. Strategi
menggunakan soalan terancang memerlukan guru BM yang mahir dalam hal tersebut.
Soalan berbentuk terbuka boleh dikemukakan dalam aktiviti lisan, membaca dan
menulis. Kelebihan soalan bentuk ini
mampu menjana pemikiran murid semasa menjawab.
Di samping bentuk soalan, guru juga perlu mahir dalam teknik menyoal. Menggunakan lingkaran soalan merupakan cara
yang baik bagi mengaitkan antara soalan-soalan yang akan disoal.
Teknik menyoal
merupakan satu keperluan dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM. Menyoal dapat
memotivasikan murid, menggalakkan pelajar berfikir dan mendapat respons berdasarkan
aktiviti lisan, membaca dan menulis. Kajian-kajian juga mendapati guru BM
kurang mahir dalam mengendalikan teknik menyoal. Kebanyakan soalan yang dikemukakan hanya pada
aras rendah dan hal ini memberi kesan terhadap kualiti pemikiran murid.
Untuk memberikan
respons terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang dikemukakan dalam belajar
bahasa, guru bahasa boleh menggunakan kaedah perbincangan untuk meningkatkan
kualiti berfikir murid. Agak sukar untuk
membangkitkan suasana berbincang dalam bilik darjah jika guru tidak memainkan
peranan sebagai pemudah cara. Guru perlu mahir mengendalikan sesi perbincangan
sama ada dijalankan dalam kumpulan kecil mahupun menggunakan kaedah kelas yang
memerlukan penglibatan murid secara menyeluruh. Tajuk perbincangan yang
diberikan kepada murid perlu menarik perhatian dan memudahkan aliran idea dikeluarkan
dari pemikiran mereka. Contohnya dalam
aktiviti menulis karangan, guru boleh mendapatkan respons murid berdasarkan
tajuk karangan yang diajukan melalui perbincangan.
Alat pengurusan
grafik pula boleh digunakan oleh guru BM dengan tujuan untuk memudahkan memahami
sesuatu konsep. Penggunaan pemetaan
konsep menggunakan i-Think juga dapat
membantu murid dalam kemahiran bahasa dan
sistem bahasa. Jika dibandingkan dengan pernyataan sesuatu konsep yang dibuat
dengan cara huraian secara linear, pengurusan
grafik dapat membantu menguasai sesuatu topik secara lebih bersistem. Hal ini
disebabkan pengurusan grafik dalam pembelajaran mementingkan penggunaan bentuk
ilustrasi atau lakaran. Dalam kemahiran
membaca, alat pengurusan grafik
digunakan untuk membantu dan mengurus cara berfikir yang lebih tersusun
dengan tujuan memantapkan pemikiran selepas membaca teks. Pengurusan grafik dapat menggambarkan secara mudah dan jelas
tentang sesuatu idea atau perkara dengan perhubungannya dalam pembacaan dengan
aspek-aspek yang berkaitan.
Kaedah
penyelesaian masalah juga diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran BM untuk
tujuan meningkatkan KBAT. Kaedah ini merupakan usaha dalam bentuk proses
kognitif dengan maklumat digunakan sebagai usaha untuk mencari cara yang sesuai
bagi mencapai sesuatu matlamat. Guru BM perlu mahir mengembangkan pelbagai
langkah penyelesaian kepada murid supaya menggalakkan mereka menggunakan unsur kognitif
yang melibatkan proses penaakulan, pembinaan konsep, penilaian dan penyelesaian
masalah. Langkah yang paling asas dan penting bagi membolehkan penyelesaian
masalah ialah perlunya banyak pengalaman yang berbentuk konsep dan prinsip
tentang pelbagai hal. Murid sepatutnya
digalakkan menyatakan pendapat mereka dan pendapat tersebut dihargai demi
menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran berfikir semaksimum yang mungkin.
Kesimpulannya,
aplikasi KBAT dalam pengajaran BM mampu membantu murid
berfikir secara lebih mendalam, konsisten, produktif dan berkesan. BM sebagai mata pelajaran teras dalam
kurikulum pendidikan memerlukan usaha guru yang tekal dengan sentiasa
memikirkan unsur kreativiti dan inovasi dalam menyampaikan kandungan pelajaran.
Peranan guru BM juga perlu selaras dengan hasrat dan usaha Kementerian
Pendidikan yang telah merancang anjakan
dalam meningkatkan mutu penguasaan BM.
Usaha yang berterusan dan peranan yang perlu dimainkan oleh guru BM
terutama dalam meningkatkan KBAT melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran
perlu bagi memastikan objektif kurikulum BM dapat dicapai. Peranan guru BM bukan setakat menyampaikan
pengajaran BM seperti yang terkandung di dalam sukatan pelajaran, tetapi juga
menuntut mereka berperanan sebagai penggerak dan pembuka minda dalam memikirkan
unsur yang tersirat di dalamnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan