TANDA Allah SWT memberi kebaikan kepada seseorang. Pertama, apabila cenderung melakukan perkara kebaikan serta ringan hati dan tubuh untuk melakukan ibadah. Hingga sanggup meninggalkan segala kenikmatan hidup di dunia. Taat kepada perintah-Nya dan bertaubat meninggalkan segala larangan-Nya. Kedua, Allah datangkan orang yang baik dari segi akidah, ibadah dan akhlak hingga mendorong seseorang itu melakukan perubahan ke arah lebih baik.
Hakikatnya, hidayah itu milik Allah dan hanya Allah yang berhak memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Bagi memperoleh hidayah-Nya, peliharalah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga hak kita. Mahu menjadi manusia yang baik, perlu baca al-Quran, fahami maknanya dan seterusnya laksanakan segala perintah-Nya seperti yang disebut dalam kitab suci itu. Penjagaan kesihatan yang paling berkesan pula adalah meletakkan Allah dalam pemikiran. Sentiasa merasai Allah bersama-sama. Berfikiran baik terhadap Allah supaya tidak kecewa jika hidup tidak seperti yang diharapkan. Seterusnya, sentiasa berasa Allah mengatasi kehebatan manusia supaya seseorang itu tidak sombong dan takabbur.
Sentiasalah berdoa dengan doa ini untuk mendapat keperibadian diri yang baik: “Ya Allah, janganlah kelebihan yang kami ada itu menjadikan kami sombong, tolonglah lindungi kami daripada sombong dan takabbur. Ampuni kami jika kami riak dan menunjuk-nunjuk. Kami mohon keikhlasan dan kerendahan hati. Jadikan kami hamba yang hidup memberikan manfaat sebanyak-banyaknya. Pilihlah kami, untuk mencukupkan kepada hamba-Mu yang fakir dan miskin. Pilihlah kami untuk memberikan kebahagiaan kepada hamba-Mu yang nestapa. Pilihlah kami untuk memberikan cahaya kepada hamba-Mu yang berada dalam kegelapan. Pilihlah kami untuk menjadi jalan pelindung-Mu kepada hamba-Mu yang teraniaya. Pilihlah kami menjadi hamba-Mu yang sentiasa bermanfaat. Berikanlah kami ‘kunci’ untuk membuka pintu-pintu kebaikan dan pintu-pintu rahmat-Mu, dengan taufik dan hidayah-Mu.”
Sambung bacaan artikel menarik ini di sini..
Sumber asal artikel:
Prof Datuk Dr Muhaya Muhamad, Utusan Malaysia, 29.4.2019
MEMBURU HIDAYAH ALLAH