Sebagai hakim dalam pertandingan akhir debat ala parlimen Piala Perdana Menteri 2004 sekolah asrama penuh, di PICC Putrajaya.
Selasa, 31 Mei 2011
Isnin, 30 Mei 2011
Murka Allah akibat tangan manusia
Sudah 5 tahun peristiwa ini berlaku. Namun banjir lumpur itu masih aktif. Hampir 800hektar kawasan yang terlibat. Banyak kemusnahan yang berlaku. Banjir lumpur ini didakwa akibat kerja penggerudian perigi minyak. Matlamat aktiviti adalah untuk sedut keluarkan minyak. Tapi yang terpancut keluar adalah lumpur valcano yang tak tertahan banyaknya. Hingga kini lumpur masih lagi keluar dan mengakibatkan malapetaka yang mengerikan. Seorang kawan pensyarah dari UBD baru-baru ini mengadakan lawatan ke sana dan mendapati pengeluaran lumpur masih aktif. Moral di sebalik cerita ini ialah Allah maha kuasa terhadap sesuatu. Walaupun pelbagai persediaan dibuat, namun jika Ia tidak mengizinkan, matlamat yang dirancang tidak tercapai. Minyak yang dicita, lumpur yang menggila. Masih ada yang mendakwa, peristiwa itu adalah fenomena alam. Tapi mereka lupa bahawa semua yang berlaku adalah di bawah kuasaNya. Baca lagi di sini..
Selasa, 17 Mei 2011
Alahai cikgu

Guru adalah tugas yang mulia. Begitulah kebanyakan orang menyatakan darihal kerja sebagai guru. Bila tiba menyambut hari guru, maka pelbagai tema akan direka agar kerja mulia guru lebih menarik lagi. Banyak bunga-bunga harapan dan galakan yang ditampal ke muka kerjaya ini agar kemuliaan kerja guru dapat dijaga dan dihayati oleh masyarakat. Tapi sejauh manakah guru-guru faham akan tema-tema yang diberikan bagi memeriahkan sambutan hari guru yang setiap tahun disambut pada 16 Mei itu.
Isunya di sini ialah sejauhmanakah guru mampu menjaga martabat kerjaya ini agar sentiasa gemerlapan kilauannya. Dengan pelbagai cabaran yang perlu ditempuh sama ada yang datang dari dalam diri mahupun yang bersifat semulajadi, tugas guru mesti ditransformasikan dengan berhemah dan bijaksana. Kebijakan guru dalam menelusuri kehendak pelanggan utama iaitu pelajar yang datang ke sekolah dengan pelbagai ragam dan cita-cita. Di sekolah gurulah yang akan mewarnai kanvas masa depan pelajar.
Namun semua hajat yang diimpikan oleh pelajar dan guru tidak semesti dan selalunya tercapai. Ada hajat sukar untuk dicapai oleh guru. Contohnya untuk mengekalkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tahun lepas bukanlah tugas yang mudah. Ataupun guru cuba untuk mengekalkan kaedah mengajar kelas yang diajarkannya tahun lalu mungkin tidak sama dengan kelas baru yang diuntukkannya pada tahun ini. Bahan bantu mengajar yang digunakan dalam pelajaran minggu lalu mungkin tidak memberi erti yang mendalam kepada pelajar dalam tajuk pelajaran yang lain. Pelajar inginkan guru yang selalunya pandai berlawak semasa mengajar sejarah, namun guru tersebut pada hari itu kehilangan kunci keretanya yang mungkin tersalah tempat dia menyimpannya seperti selalu. Isu-isu yang dilihat remeh itu kadangkala memberi impak terhadap mutu profesionnya.
Sebagai manusia, kelemahan guru dalam menjalankan tugas tidaklah boleh dihukum dengan keras. Dengan beban tugas yang dihadapi semakin berat, ditambah dengan ekspektasi yang tinggi oleh pihak pentadbir atau pembuat dasar menjadikan tugas guru semakin menarik untuk dibincangkan.
Contohnya, hari ini sehari suntuk isteri saya yang bekerja sebagai kaunselor yang antara tugasnya ialah memilih pelajar yang layak untuk mendapat bantuan komputer Satu Malaysia. Kemudian dia perlu menaipkan senarai lebih 100 pelajar yang berjaya ke dalam borang yang memerlukan ketekunan untuk menyudahkannya. Dia menaip dan mengasing-asingkan borang permohonan pelajar dengan pelbagai nama yang pelik dan jarang sekali didengar. Mungkin itulah yang menghiburkan hatinya dan membuatkan dia tertawa dan saya juga terpaksa tertawa sama! Mungkin dia juga tidak begitu memahami tema hari guru tahun ini disebabkan kesibukan tugasnya yang dimulakannya sejak hari Jumaat yang lalu hingga berlarutan selama tiga hari atau lebih. Itu cerita guru di Malaysia.
Di Brunei juga guru-guru mengalami masalah yang sama dari segi beban tugas. Petang tadi, seorang bekas pelajar saya yang mengajar di sekolah rendah menyatakan dia menjalankan pelbagai tugas yang kadang-kadang tak terjangkau oleh akal. Guru-guru perlu menyelia kebersihan tandas, buat kajian eksperimen bagi masalah pembelajaran, serta membuat kerja-kerja yang tidak berkaitan dengan mengajar dalam bilik darjah.
Kesimpulannya, tugas cikgu kini adalah rencam dan warna warni serta memerlukan individu yang matang dalam menghadapi situasi yang datangnya kadangkala di luar jangkaan dan jangkauan guru. Oleh itu guru kini perlu melakukan transformasi yang terkandung di dalam tema hari guru yang entah apa maksudnya dan cara aplikasinya bagi guru yang mengajar di Limbang atau mana-mana saja..SELAMAT HARI GURU CIKGU-CIKGU
Ahad, 1 Mei 2011
Apa yang dikirkan semasa membaca?

Apabila membaca, pembaca berfikir tentang kandungan teks yang dibaca. Pembaca yang tidak mengetahui dan memahami teks yang dibaca, dianggap proses membaca tidak wujud. Bagi pelajar universiti atau pembaca yang matang pemikirannya, hasil daripada proses membaca dianggap penting. Mereka menggunakan proses membaca yang dilalui untuk aktiviti lain yang berkait dengan membaca.
Baca artikel ini yang membincangkan proses pemahaman yang wujud semasa membaca dalam kalangan pelajar universiti.
Sabtu, 30 April 2011
Membaca dan aplikasi perisian cerita interaktif

KESAN APLIKASI PERISIAN CERITA INTERAKTIF SEMASA MENGAJARKAN KEMAHIRAN BACAAN DAN KEFAHAMAN DALAM KALANGAN MURID TAHUN 4 DI BRUNEI DARUSSALAM
YAHYA OTHMAN
DAYANG RAINI PAKAR
Perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan telah dapat menarik perhatian para pendidik masa kini (Wang, 2008). Dengan adanya kemajuan dan kemudahan ini membolehkan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan. Tambahan lagi menurut Zamri dan Mohamed Amin (2008), kecanggihan serta kemampuan komputer menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu senario belajar yang lebih menyeronokkan dan sekaligus banyak mempengaruhi corak pembelajaran masa kini.
Pengajaran Bahasa Melayu sudah tentu tidak terkecuali daripada pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi. Walaupun mata pelajaran Bahasa Melayu hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa yang kelihatannya agak mudah untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yang dianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran (Yahya dan Roselan 2007). Satu daripada isu tersebut dapat dilihat apabila masih terdapatnya murid yang tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan sempurna. Dalam hal ini, seseorang murid itu tidak dianggap menguasai kemahiran membaca jika tidak berupaya membina kefahaman tentang apa yang dibacanya (Korabiak dan Mete 2004).
Baca artikel jurnal ini seterusnya..
Ahad, 17 April 2011
Tentang sakit

Semua orang nak hidup sihat. Tak ada yang berdoa agar ditimpa sakit. Walau bagaimanapun, hidup sihat tak akan kekal selama-lamanya dalam sejarah hidup kita. Ada kalanya kita akan ditimpa sakit. Macam-macam sakit yang kita alami. Dari yang paling sedikit sakitnya hinggalah kepada yang mengancam nyawa. Sakit pening kepala bolehlah ditawarkan dengan makan dua biji paracetamol 500. Insyaallah akan legalah sakit kepala yang dihidapi. Tapi kalau sakit kepala yang berpanjangan hinga boleh bawa mudarat, kita selalu akan jumpa doktor untuk dapatkan nasihat dan ubat yang lebih sesuai. Jika doktor itu masih tidak dapat memberikan rawatan yang boleh menyembuhkan sikt tersebut, kadangkala kita akan rujuk kepada doktor pakar.
Ada juga yang merujuk kepada pelbagai jenis perubatan alternatif. Contohnya jika penyakit yang berkait dengan jin dan syaitan, maka rujukannya ialah berubat dengan orang yang alim dalam hal tersebut. Di samping itu, ada pelbagai jenis perubatan alternatif yang kadang-kadang tidak terjangkau oleh akal fikiran kita.
Begitulah kepedulian kita terhadap perkara yang berkait dengan sakit. Ada yang bersedia dengan mengambil ubat atau supliment sebelum kita diserang penyakit. Kita boleh mengamalkan cara hidup yang boleh menjauhkan diri dari penyakit.
Dalam Islam, kesedaran terhadap kuasa Allah meletakkan penyakit dalam badan kita perlu diyakini. Allahlah yang memberi kita sihat, sakit, suka, duka dan sebagainya. Semua ketentuanNya itu mempunyai hikmah tersendiri yang perlu direnungi.
Disamping berikhtiar secara perubatan moden jangan lupa kita amalkan doa-doa mustajab yang boleh membantu menyembuhkan sesuatu penyakit. Baca tulisan Ustaz Zaharudin Abdul Rahman berkaitan DOA KESEMBUHAN SAKIT DAN PENYAKIT.
Jumaat, 1 April 2011
Kerja kejar harta

Selagi ada kudrat dan peluang, ramai yang terfikir untuk cari harta, sama ada harta diguna untuk kehidupan dunia dan atau bekalan akhirat. Untuk bekalan selepas mati, harta yang perlu dikumpul adalah amal semasa hidup di dunia. Banyak amal bertimbunlah bekal di akhirat. Sikit amal nanti kitab amalan kita akan beritahu segala-galanya.
Bagi harta bekal dunia, ini termasuklah harta diguna untuk makan, sedia tempat tinggal, nak beli kereta, perabut rumah, nak pergi melancong, tunai haji, pergi umrah, pakaian dsb, semuanya pakai duit yang datang dari harta yang dikumpul. Yang malas cari duit, hiduplah dengan apa yang ada. Kadang-kadang kita lihat mereka yang tak ada banyak duit, bahagia juga hidupnya. Pagi pergi menoreh getah, pukul 12 tgh sudah rehat di rumah. Bahagia juga. Oleh itu, hidup ini seperti yang selalu dikatakan oleh emak saya, besar periok besarlah keraknya.
Walau bagaimanapun, sama ada cari harta untuk diri sendiri, atau keluarga perlu ada perkiraan halal haram. Elok baca artikel ini yang ditulis oleh Ustaz Zaharudin berkaitan harta dan halal haram pendapatan yang kita peroleh.
Menurut Ustaz Zaharudin:
Mengumpul dan memperbanyakkan harta, pangkat, kuasa dan pengaruh adalah salah satu dari sifat biasa manusia. Kita sukakan harta disebabkan manfaat segera yang boleh dinikmati darinya. Sama ada harta tersebut dalam bentuk wang tunai atau juga aset seperti kenderaan, tanah, rumah, saham dan sebagainya.
Dalam pada itu, terlalu ramai manusia yang menjadikan harta dan wang sebagai objektif utama dalam kehdiupannya. Mungkin pada asalnya niat berkerja dan berusaha adalah untuk kehidupan, namun ramai juga yang dalam proses pencarian itu, mereka terpesona dengan kenikmatan segera dari harta ini, lantaran itu kehidupan mula berubah dan tindakan mereka juga terkesan.
Allah swt berfirman :
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ . حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ
Ertinya : Memperbanyakkan (harta) dan bermegah-megah dengannya itu sesungguhnya telah melalaikan kamu, sehinggalah nanti kamu sampai ke kubur ( At-Takathur : 1-2)
Perlu juga diambil perhatian terhadap perkara-perkara yang haram dalam mencari harta. Banyak juga hal-hal yang kadangkala sangat penting untuk diberikan perhatian.
"Menurut Ust Zaharudin lagi, hukum komisyen yang diperolehi oleh ejen insuran konvensional adalah HARAM. Demikian menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan insuran konvensional. Justeru, setiap individu yang menjadi ejen adalah dikira mempromosi benda haram dan mengambil upah atas kerja tidak halal tersebut. Amat malang juga, apabila saya dapati terdapat sebahagian ejen-ejen Takaful yang meletakkan DUIT sebagai satu-satunya matlamat dan target mereka, menyebabkan dalam masa yang masa mereka SUDI DAN SANGGUP menjadi ejen kepada insuran riba konvensional. "
Langgan:
Catatan (Atom)
KESAN DOSA
Kesan dosa sangat besar, meliputi kerosakan hati (gelisah, hilang cahaya, sukar ilmu masuk), jauh dari Allah, hilang keberkatan rezeki, t...