Selasa, 17 Mei 2011

Alahai cikgu



Guru adalah tugas yang mulia. Begitulah kebanyakan orang menyatakan darihal kerja sebagai guru. Bila tiba menyambut hari guru, maka pelbagai tema akan direka agar kerja mulia guru lebih menarik lagi. Banyak bunga-bunga harapan dan galakan yang ditampal ke muka kerjaya ini agar kemuliaan kerja guru dapat dijaga dan dihayati oleh masyarakat. Tapi sejauh manakah guru-guru faham akan tema-tema yang diberikan bagi memeriahkan sambutan hari guru yang setiap tahun disambut pada 16 Mei itu.

Isunya di sini ialah sejauhmanakah guru mampu menjaga martabat kerjaya ini agar sentiasa gemerlapan kilauannya. Dengan pelbagai cabaran yang perlu ditempuh sama ada yang datang dari dalam diri mahupun yang bersifat semulajadi, tugas guru mesti ditransformasikan dengan berhemah dan bijaksana. Kebijakan guru dalam menelusuri kehendak pelanggan utama iaitu pelajar yang datang ke sekolah dengan pelbagai ragam dan cita-cita. Di sekolah gurulah yang akan mewarnai kanvas masa depan pelajar.

Namun semua hajat yang diimpikan oleh pelajar dan guru tidak semesti dan selalunya tercapai. Ada hajat sukar untuk dicapai oleh guru. Contohnya untuk mengekalkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tahun lepas bukanlah tugas yang mudah. Ataupun guru cuba untuk mengekalkan kaedah mengajar kelas yang diajarkannya tahun lalu mungkin tidak sama dengan kelas baru yang diuntukkannya pada tahun ini. Bahan bantu mengajar yang digunakan dalam pelajaran minggu lalu mungkin tidak memberi erti yang mendalam kepada pelajar dalam tajuk pelajaran yang lain. Pelajar inginkan guru yang selalunya pandai berlawak semasa mengajar sejarah, namun guru tersebut pada hari itu kehilangan kunci keretanya yang mungkin tersalah tempat dia menyimpannya seperti selalu. Isu-isu yang dilihat remeh itu kadangkala memberi impak terhadap mutu profesionnya.

Sebagai manusia, kelemahan guru dalam menjalankan tugas tidaklah boleh dihukum dengan keras. Dengan beban tugas yang dihadapi semakin berat, ditambah dengan ekspektasi yang tinggi oleh pihak pentadbir atau pembuat dasar menjadikan tugas guru semakin menarik untuk dibincangkan.

Contohnya, hari ini sehari suntuk isteri saya yang bekerja sebagai kaunselor yang antara tugasnya ialah memilih pelajar yang layak untuk mendapat bantuan komputer Satu Malaysia. Kemudian dia perlu menaipkan senarai lebih 100 pelajar yang berjaya ke dalam borang yang memerlukan ketekunan untuk menyudahkannya. Dia menaip dan mengasing-asingkan borang permohonan pelajar dengan pelbagai nama yang pelik dan jarang sekali didengar. Mungkin itulah yang menghiburkan hatinya dan membuatkan dia tertawa dan saya juga terpaksa tertawa sama! Mungkin dia juga tidak begitu memahami tema hari guru tahun ini disebabkan kesibukan tugasnya yang dimulakannya sejak hari Jumaat yang lalu hingga berlarutan selama tiga hari atau lebih. Itu cerita guru di Malaysia.

Di Brunei juga guru-guru mengalami masalah yang sama dari segi beban tugas. Petang tadi, seorang bekas pelajar saya yang mengajar di sekolah rendah menyatakan dia menjalankan pelbagai tugas yang kadang-kadang tak terjangkau oleh akal. Guru-guru perlu menyelia kebersihan tandas, buat kajian eksperimen bagi masalah pembelajaran, serta membuat kerja-kerja yang tidak berkaitan dengan mengajar dalam bilik darjah.

Kesimpulannya, tugas cikgu kini adalah rencam dan warna warni serta memerlukan individu yang matang dalam menghadapi situasi yang datangnya kadangkala di luar jangkaan dan jangkauan guru. Oleh itu guru kini perlu melakukan transformasi yang terkandung di dalam tema hari guru yang entah apa maksudnya dan cara aplikasinya bagi guru yang mengajar di Limbang atau mana-mana saja..SELAMAT HARI GURU CIKGU-CIKGU

1 ulasan:

  1. salam Dr..apa khabar?masih kat Brunei?..setuju sangat dengan pandangan Dr dengan bebanan tugas guru yang semakin bertambah..itu belum masuk lagi kalau sesiapa yang menjadi guru disiplin..terpaksa mengurus pelbagai masalah disiplin yang semakin teruk dalam kalangan pelajar,mengisi pelbagai jenis borang laporan dan adakalanya terpaksa ke balai polis pula..guru yang menjadi guru kelas juga berhadapan dengan tugas yang pelbagai,mengisi pelbagai jenis borang dokumentasi dan laporan..seribu macam lagi tugas guru yang sebenarnya tidak diketahui oleh masyarakat luar yang majoritinya hanya menuntut sesuatu yang luar biasa daripada guru-guru.. apa-apapun, kita harus berbangga menjadi seorang guru, kerana kita merupakan insan yang terpilih untuk menyampaikan amanah daripadaNya.

    BalasPadam

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...