Innalillahiwainnailaihirajiun.
Terhambur kalimat itu apabila mendapat berita kematian emak mentua saya pada 1 Julai 2009 yang lalu. Ketika itu saya sedang berada di pejabat SHBIE, Universiti Brunei Darussalam untuk siapkan artikel yang akan dihantar ke Jurnal JARE UBD. Berita tersebut di terima dengan rasa sebak tapi kesedihan masih dapat dikawal. Beberapa hari yang lalu isteri saya ada beritahu melalui perbualan dalam Skype akan keadaan mentua yang makin uzur. Sudah lebih empat tahun beliau terlantar di katil akibat strok yang dialaminya. Sebelah kanan anggotanya lumpuh. Dia juga tidak boleh bertutur sejak dijumpai terjatuh di dalam rumah kediamannya di kampung. Ketika itu hanya dia seorang diri di rumah setelah beberapa bulan tinggal dengan kami di Bandar Baru Bangi. Sejak itu, dia hanya terbaring di atas katil sehinggalah saat-saat kematiannya.
Mengenang kembali kehidupannya, teringat beberapa peristiwa yang masih terpahat dalam ingatan. Pernah satu hari saya diminta menghantarnya pergi ke ladang getah miliknya beberapa kilometer dari rumah. Kami pergi dengan motosikal. Ketika itu saya bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Datuk Mohd Taha, Gemencheh. Dia nak bersihkan ladang getahnya seluas tiga ekar. Poko getah sudah besar tapi masih belum ditoreh. Dia menebas semak samun tanah getahnya menggunakan penyabit rumput. Saya juga bantu menebas semak. Tapi setelah hampir setengah jam menyabit rumput, saya mulai letih. Namun dia masih lagi gigih bekerja. Saya pula sudah mulai tersandar di pangkal pokok getah. Walaupun dia sudah berumur hampir 60 tahun, tetapi kudratnya memang hebat. Jika buat kerja, sememangnya dia akan pastikan sesuai dengan standard yang diingininya. Jika kita fikirkan, itulah upaya yang dia miliki untuk membesarkan anak-anak dan dengan kehidupan yang begitu mudah kita nampak pada pandangan mata kasar.
Satu lagi perkara yang menjadi kepantangan arwah ialah dia tidak suka barang atau hasil tanamannya dibinasakan. Contohnya pernah satu hari sebatang pokok kekabu yang tingginya dalam tiga atau empat kaki telah ditebang secara tidak sengaja. Bukan kepalang marahnya dia bila dapat tahu pokok itu ditebang walaupun dengan cara tidak sengaja. Pokok kekabu adalah antara tanaman yang dijaga dengan cermat kerana dia sangat suka kumpul isi kekabu untuk dibuat isi bantal. Untuk diguna anak cucu semasa balik kampung. Begitulah cara dia berfikir. Pada fikiran saya, apalah sangat ada pada kekabu. Tetapi pada dia kekabu ada hasil dan berguna kepada anak cucu. Itulah yang perlu difikir sebab cara berfikir tidak selalunya sama.
Ada banyak lagi yang saya kenangkan kehidupan arwah. Di samping gigih, dia seorang yang kuat beribadat. Sembahyang lima waktu ditunaikan dengan taat. Selalu puasa sunat. Sedekah pun begitu juga. Itu sebab kalau anak cucu tak sembahyang maka dia akan berleter panjang. Walaupun dia tak ada didikan agama secara formal, tak pergi sekolah agama tapi bab amal ibadat tak ada tolak ansur. Banding dengan budak-budak sekarang. Belajar agama bertahun-tahun tapi amal ibadat lintang pukang. Cuba kita fikirkan sejauh mana berjayanya sistem pendidikan agama kita berbanding dengan komitmen untuk beramal dan mengerjakan yang suruhan Allah walaupun tanpa pergi sekolah secara formal.
Alfatihah
bersambung....
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...
-
Murid-murid sedang menjawab soalan peperiksaan. Dalam benak mereka ialah menjawab untuk lulus peperiksaan. Ada yang matlamatnya ialah ...
-
Dr Yahya Othman Pengenalan Mendengar adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif teru...
-
Sumber: Yahya Othman (2014). Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dewan Bahasa . 14(5)...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan