Zaman sekarang semua nak cepat. Nak pergi dari satu tempat ke tempat lain, kalau zaman dulu-dulu makan masa yang lama. Tambahan pula kalau tempat yang dituju agak jauh. Naik bas masa tahun 60an dah kira bagus. Apa lagi kalau naik kereta. Tentu lebih seronok bukan kepalang. Masa bersekolah rendah dulu pergi sekolah hanya berjalan kaki. Kalau hari hujan payungnya ialah daun pisang yang dicantas di belakang rumah. Tak ada masalah dan sernok pula kalau dapat main air hujan.
Cerita fasal naik kereta, masa di kampung dulu datuk saudara ketika itu ada miliki kereta Morris Minor warna hitam. Yang antiknya, lampu isyarat kereta yang terletak antara pintu belakang dan hadapan kereta akan terkeluar apabila isyarat dinyalakan. Kalau ada kereta jenis itu dikira sudah kaya. Apa lagi anaknya pula ada motorsikal jenis Norton. Kalau bunyinya seakan-akan Harley Davidson kini. Bukan main gah lagi lagaknya kalau lalu di jalan kampung. Ada sekali di malam hari raya saya diajak bersiar-siar keliling kampung oleh datuk saudara. Bukan kepalang sukanya hati dapat peluang nak naik kereta.
Semasa di tahan rancangan pula, ada juga peluang naik kereta pada tahun 60an dulu. Kebetulan ada Cina kontraktor tebang hutan untuk buka kebun getah tinggal di sebelah rumah. Pernah dia tawarkan naik kereta Morris Minor warna hitam juga. Syaratnya ialah perlu membasuh kereta dulu barulah hajat nak naik kereta ditunaikan. Apa lagi saya dan kawan-kawan pun terimalah tawaran tersebut. Maka dapatlah naik kereta Cina jiran saya itu. Seronok betul dapat naik kereta keliling tanah rancangan.
Satu lagi kenderaan yang dianggap penting ialah bas. Masa dikampung, jika nak ke pekan Tampin kena naik bas Eng Giap yang datang arah Kuala Pilah. Seronok naik bas masa kanak-kanak dulu. Pernah satu peristiwa pergi ke Tampin dengan kakak. Disebabkan jarang dapat naik bas, kakak tertekan loceng bas terlalu awal dari yang sepatutnya. Maka kenalah kami berjalan agak jauh dari yang sepatutnya. Selain itu, kalau sekolah adakan program lawatan ke Kuala Lumpur, maka sekali lagi dapat peluang naik bas.
Lain keadaannya sekarang. Semua pantas dan mudah diakses. Pelbagai kenderaan dapat digunakan untuk ke mana saja destinasi. Kalau jauh boleh naik kapal terbang. Kalau ada sungai atau laut naik feri atau bot. Kalau di atas jalan raya, berjenis kenderaan dapat dinaiki. Namun semua itu perlukan wang untuk digunakan. Oleh itu tidak semua dapat menikmati kemudahan itu.
Itulah nilai kehidupan yang banyak ditandai oleh kebendaan untuk memiliki sesuatu yang dihajatkan. Masih ada yang perlu berjalan kaki berbatu-batu untuk sampai ke destinasi. Kayuh sampan untuk ke sekolah. Naik basikal untuk ke pekan beli barang dapur. Terutama yang tinggal di pedalaman yang semuanya masih serba kurang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...
-
Murid-murid sedang menjawab soalan peperiksaan. Dalam benak mereka ialah menjawab untuk lulus peperiksaan. Ada yang matlamatnya ialah ...
-
Dr Yahya Othman Pengenalan Mendengar adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif teru...
-
Sumber: Yahya Othman (2014). Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dewan Bahasa . 14(5)...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan