Ahad, 4 Disember 2011

Orang UMNO



1. Seminggu berlalu penuh dengan warna warni politik Malaysia yang menarik.Yang paling terkini ialah perhimpunan agung UMNO. Walaupun tinggal di luar Malaysia, namun saya ikuti secara dekat perkembangan politik negara. Di negara tempat saya cari rezeki sekarang tak wujud riuh rendah bertelingkah mana parti politik yang nak disokong. Kehidupan berjalan dengan aman tenteram sebab sistem pemerintahan yang sangat berbeza.

2. Kini, bahan politik Malaysia mudah diakses dalam dunia tanpa sempadan. Kadang kala letih otak dibuatnya. Selepas baca, buat analisis sendiri. Analisis pada perspektif bukan ahli parti. Atau paling kurang berbual sambil minum kopi dengan rakan sejawat dari Malaysia. Kami sering membincangkan senario terkini politik malaysia terkini.

3. Semasa perhimpunan agung UMNO, semasa PM Najib sampaikan ucapan dasar, saya sempat curi-curi dengar melalui internet secara online.Pada hemat saya, PM Najib banyak mengulang-ulang perkara yang telah pernah didengar sebelum ini. Fasal transformasi, perlunya kesetiaan orang UMNO, nak jaga hak orang Melayu, merendahkan kredebiliti pihak lawan, dan sedia untuk pilihanraya. Semasa ucapan perwakilan bertepuk tangan tanda setuju dan seronok dengan mesej yang Presiden samapaikan. lebih kuat dan tinggi nada ucapan, lebih kuat perwakilan bertepuk dan bersorak. Memanglah itu cara yang biasa dilakukan semasa berucap oleh presiden UMNO sebelum Naji berkuasa. Mungkin puas hati Najib bila semua wakil tepuk dan juga menjerit-jerit mengiakan kata-katanya.

4. Namun bagi yang berada di luar dewan persidangan tentunya sudah ada pendirian masing-masing. Maksudnya parti mana yang dia nak pangkah masa mengundi dalam pilihan raya. Walau sekuat mana laungan ucapan, sehebat mana umpan yang yang ditabur, atau seriuh mana perbahasan di dewan sidang, rakyat sudah ada ketetapan di hatinya. Masing-masing ada hak untuk menilai. Mereka juga ada hak untuk buat keputusan.

5. Dalam membuat analisis politik semasa segmen Agenda Awani sempena sidang UMNO, CEO IDEAS, Wan Saiful menegaskan perlunya ada kepelbagaian pandangan dalam sesebuah parti politik. Beliau mengambil contoh yang wujud dalam parti politik di Britain. Malangnya jika situasi berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan parti wujud di Malaysia, selalunya hal itu akan menjurus kepada tamatnya riwayat politik ahli politik tersebut.

6. Bagi orang kampung saya, semua isu yang digagaskan oleh pemimpin parti mereka tak jadi soal. Mereka dah tegar dan biasa dengan pendirian lama yang dianuti. Mungkin pendirian mereka akan terjejas apabila anak-anak yang tinggal di bandar serta sudah terdedah dengan ilmu pengetahuan yang luas mampu mempengaruhi anutan politik ibu bapa mereka. Situasi mudak akses maklumat dan sikap analitis banyak mendedahkan anak-anak mereka di bandar dan dijangka boleh mengubah lanskap politik Malaysia. Slogan dan tagline yang sudah basi oleh parti UMNO yang memerintah boleh merisaukan presiden UMNO.

7. Oleh itu, perang politik dalam media baru mampu menjadi pemangkin dalam gelojak politik Malaysia. Walaupun ahli UMNO yang bersidang di PWTC bangun dengan bersemangat berikrar bersama TS Muhyidin Yassin, dengan menyebut "saya ORANG UMNO" akan bersatu dan berganding tenaga untuk jamin kejayaan dalam PRU 13, namun ikrar itu mungkin hanya tinggal ikrar di bibir manis jika hala tuju politik hanya sekadar untuk berkuasa dan mempertahankan kuasa yang masih berbaki. Apakah mereka faham bahawa kuasa yang mereka ada boleh dipertanggungjawabkan sama ada mereka masih wujud di dunia dan disoal semasa di akhirat kelak. Sejauh manakah ORANG UMNO jujur dalam ikrarnya semasa mereka memerintah negara bukan untuk kepentingan diri dan keluarga mereka sahaja. Atau mereka akan di soal semasa di dunia lagi akan kepincangan dan kejelekan yang telah dilakukan terhadap agama dan bangsa..Adakah UMNO boleh lakukan semua yang diimpikannya..Ada yang kata, jika memaksa untuk melontarkan janji atau berbaiah menggambarkan wujudnya situasi yang kritikal yang wujud dalam parti tersebut.

8. Ini adalah catatan politik dari kaca mata rakyat Malaysia dari luar negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...