Sabtu, 2 Mac 2013

KEMAHIRAN MENDENGAR


Dr Yahya Othman

Pengenalan

Mendengar  adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif terutama semasa pelajar di sekolah rendah dan menengah seperti yang terkandung di dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar penting dikuasai disebabkan penggunaannya yang sangat meluas dalam kehidupan. Sehubungan dengan itu, dianggarkan  lebih kurang 60% daripada masa yang digunakan adalah  untuk mendengar.  Disebabkan banyak masa digunakan untuk mendengar, pendengar perlulah memiliki kemahiran mendengar yang berkesan agar mesej yang diterima dapat dimanfaatkan dengan baik.  Mendengar mesej yang diterima dalam pelbagai bentuk dan bahasa yang pelbagaimemerlukan mereka mentafsirkan dalam bebtuk yang difahami.  Kesukaran memahami mesej yang didengar mungkin diakibatkan oleh kelemahan pendengar menerima dan menganalisis mesej tersebut.  Oleh itu, perlu ditekankan keupayaan mendengar yang berkesan agar pelajar dapat menggunakan kemahiran tersebut dalam menguasai mata pelajaran yang lain.

Untuk tujuan tersebut, antara keutamaan dalam mempelajari bahasa ialah usaha untuk menuasai kemahiran mendengar.  Dari segi perkembangan pemerolehan bahasa, proses mendengar dilalui secara semula jadi sejak zaman kanak-kanak lagi. Disebabkan penguasaan bahasa belum dikuasai dengan baik pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak,  penguasaan kemahiran mendengar sekadar mewujudkan respons melalui gerak isyarat atau bunyi bahasa yang hanya difahami oleh ibu bapa mereka sahaja. Kanak-kanak tidak banyak disogokkan dengan aktiviti mendengar yang khusus kerana mereka belum mengerti maksud pertuturan ibu bapanya secara spesifik. Penguasaan kemahiran mendengar dalam konteks memberikan respons melalui bahasa semakin bertambah baik apabila kanak-kanak dapat menggunakan bahasa untuk tujuan mewujudkan komunikasi dengan ibu bapa mereka.

Pada tahap yang lebih matang, pelajar mendengar pada jangka masa yang lama sebelum mencuba untuk bertutur. Kemahiran mendengar juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan makna bagi mesej yang didengar menggunakan bahasa tersebut.  Ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki kemampuan dari segi penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi.  Jika pelajar tidak berusaha mendengar secara efektif, ia tidak akan dapat mengambil bahagian dalam pembelajaran dalam bahasa yang dipelajari.

Mendengar interaktif 

Mendengar secara interaktif melibatkan kedua-dua belah pihak iaitu penutur dan pendengar.  Masing-masing akan berperanan secara aktif semasa sesi perbualan tersebut.  Semasa aktiviti mendengar interaktif, seseorang boleh mencelah dengan mengemukakan soalan tambahan untuk mencari penjelasan, pengulangan atau mengucapkan semula.  Pelajar tidak akan merasa tidak dilibatkan semasa sesi perbualan dalam kelas.  Mereka  akan berpeluang untuk mempraktikkan mendengar interaktif  melalui perbualan dalam kelas biasa yang dapat membantu penguasaan  kemahiran yang ini.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar, waktu yang sedikit diperuntukkan tidak dapat membantu secara maksimum penguasaan kemahiran tersebut.  Pelajar tidak berpeluang untuk menjadi pendengar yang baik.  Ini disebabkan guru lebih banyak memperuntukkan isi pengajarannya menyediakan pelajar dengan keperluan penguasaan kemahiran yang berkaitan dengan peperiksaan.  Penekanan ini juga menjadikan pelajar diabaikan aspek kemahiran mendengar.  Peluang untuk menguasai kemahiran mendengar secara efektif yang terbatas boleh mengakibatkan pelajar gagal dalam mengaplikasikan kemahiran dalam kehidupan.

Dari segi kenyataannya, aktiviti mendengar wujud dalam situsasi yang berbeza dan dengan penutur yang berbeza pula.  Fikirkan kesemua orang yang berbeza yang telah bertutur dalam jangka masa 24 jam dengan kita.  Anda sebenarnya telah mendengar beberapa individu yang bertutur dengan cara yang berbeza.  Berdasarkan kepelbagaian pengalaman dalam aktiviti mendengarpelajar sebenarnya  memerlukan latihan tambahan untuk menyediakan diri sebagai pendengar yang baik.

Mendengar tidak interaktif

Seringkali juga wujud situasi mendengar tidak interaktif.  Pendengar tidak berpeluang untuk memberikan respons secara verbal terhadap mesej yang didengar.  Walau bagaimanapun untuk mendapatkan suasana berkomunikasi yang baik, pendengar perlu bersedia dengan situasi tersebut.  Ini termasuklah keadaan yang pendengar tidak boleh mencelah dengan mengemukakan soalan atau untuk mendapatkan penjelasan.  Mendengar jenis ini dipanggil mendengar tidak interaktif.  Secara ringkasnya, pendengar tidak berupaya mengambil bahagian dalam mewujudkan hubungan dua hala seperti mendengar kuliah, radio, menonton televisyen, filem  atau siaran langsung. 

Bagaimana untuk berlatih mendengar?

Untuk menyediakan beberapa jenis situasi mendengar, dicadangkan agar pelajar memulakan usaha melibatkan diri dengan program mendengar sejak dari awal pembelajaran bahasa.  Di sini dicadangkan beberapa cara yang dianggap sesuai untuk menguasai kemahiran tersebut.

Mendengar secara berterusan 

Usaha untuk menguasai kemahiran bahasa dengan berkesan perlulah dilakukan dengan usaha yang berterusan.  Pembelajaran secara tidak formal dalam persekitaran yang baik dapat membantu pelajar mendengar dengan berkesan dan menjadikan penutur dan pendengar saling memperteguhkan kefahaman terhadap mesej yang diterima.  Pelajar boleh menguasai perbualan  dengan penutur natif bagi bahasa yang anda sedang pelajari (mendengar interaktif) seperti mendengar radio, menghadiri kuliah, menonton televisyen dan filem dalam bahasa kedua (mendengar tidak interaktif).

Pilih bahan yang sesuai

Penggunaan bahan pengajaran sangat penting dalam mewujudkan pemahaman bahasa. Kesesuaian bahan banyak mempengaruhi sama ada kepada penutur mahupun pendengar. Bagi kebanyakan orang, cara termudah untuk memulakan penguasaan mendengar ialah dalam keadaan situasi mendengar interaktif bersemuka, sebab pendengar boleh secara bersungguh-sungguh menguasai pertuturan penutur.  Jika pendengar tidak mempunyai peluang atau tidak selesa dengan cara itu, carilah bahan yang khusus disediakan untuk mengajar mendengar untuk tujuan pemahaman.   Kini terdapat banyak buku-buku teks yang moden mengandungi bahan yang bertujuan untuk menstrukturkan tugasan mendengar pelajar.  Contohnya dengan menggunakan cakera padat interaktif yang boleh menarik minat pendengar untuk mengetahui kandungan teks yang dipelajari.

Di samping itu, pelajar juga boleh menggunakan bahan autentik untuk tujuan memudahkan penguasaan kemahiran mendengar. Walaupun  selesa dengan bahan yang bersifat bersemuka, pelajar boleh mencari bahan untuk tujuan mendengar yang bersifat autentik.  Bahan autentik untuk kemahiran  mendengar banyak terdapat di sekeliling kita.  Ini termasuklah program radio dan televisyen, syarahan, ucapan, filem, dan drama.  Bahan tersebut senang diperoleh dan penutur boleh mendapatkannya dalam susunan yang senang kepada yang agak susah.

Mencari tahap kepayahan yang betul  

Dalam pembelajaran bahasa melalui kemahiran mendengar, bahan yang digunakan perlulah selaras dengan objektif pembelajaran serta tahap pembelajaran pelajar.  Jika penguasaan bahasa pelajar berada tahap permulaan atau pertengahan, pelajar digalakkan menggunakan bahan video terlebih dahulu sebelum menggunakan bahan audio.  Tujuannya agar pelajar mendapat gambaran secara umum tajuk yang akan dipelajari.  Sementara bahan yang memasukkan bahan visual akan memudahkan pelajar mengikuti perkara yang diucapkan.  

Guru boleh memulakan pengajaran dengan menggunakan segmen televisyen yang pendek  berdasarkan topik yang biasa didengar yang dibantu dengan visual.  Kaedah ini akan menjadikan pertuturan lebih jelas dan dapat di sampaikan dengan berkesan.  Contohnya penggunaan rakaman iklan, pengumuman, laporan cuaca, temu bual atau berita ringkas.   Selain itu, pelajar  juga boleh menonton rancangan yang lebih panjang masanya, seperti tayangan filem dengan klu visual yang baik agar boleh membantu memahami perkara yang diucapkan.  Jika pelajar telah mahir, mereka boleh mendengar bahan yang lebih kompleks seperti kuliah, ucapan, diskusi profesional, filem, dan apa sahaja program radio atau televisyen.

Pilih bahan yang boleh menggembirakan

Pembelajaran akan menjadi lebih berkesan jika bahan yang digunakan boleh menggembirakan pelajar.  Ini disebabkan manusia mendengar untuk tujuan mendapatkan maklumat dan hiburan. Pilihlah bahan yang difikirkan akan memberikan maklumat serta dapat menghiburkan mereka.  Oleh itu, perhatian pelajar akan lebih baik dan ia mungkin akan lebih memahaminya dengan mudah.  Secara ringkasnya, jika pelajar meminati sukan, tontonlah rancangan sukan di televisyen atau mendengar laporan di media yang lain. 



Strategi Untuk Meningkatkan Kemahiran Mendengar

Dalam bahagian ini, akan disenaraikan masalah-masalah umum ketika belajar mendengar bagi bahasa pertama dan kedua dengan memberikan beberapa aspek praktikal dan penyelesaian berdasarkan strategi.  Pelajar boleh memilih dan menyesuaikan dengan keperluan kendiri.

Bercakap terlalu cepat

Mendengar perbualan yang terlalu cepat boleh menjadikan pendengar sukar untuk memahami kandungan percakapan tersebut. Jika pelajar merasakan tidak dapat mengikuti perbualan rakan, cubakan teknik berikut yang dijangka akan dapat membantu menghadapi situasi tersebut.  Adalah lebih baik untuk mengkhususkan masalah yang dihadapi agar rakan berbual pelajar tahu apakah yang boleh dibantu untuk menghasilkan pemahaman yang baik.

Bertanya dan nyatakan yang anda tidak memahami percakapannya

Pelajar tidak boleh membiarkan komunikasi melalui pendengaran terganggu akibat tidak memahami pertuturan rakannya.  Jika pelajar tidak memahami perkataan atau frasa, tanyakan penutur tersebut akan maknanya.  Belajar cara mengucapkan frasa untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan seperti "Apakah yang …… dimaksudkan?"  ," Saya tidak tahu apa…… dimaksudkan," dan "Saya tidak tahu perkataan untuk ….."

Minta diulang

Apabila tidak memahami perkara yang dituturkan, pelajar boleh meminta penutur mengulang percakapannya.  Gunakan frasa "apakah yang anda nyatakan?" atau " Tolong ulangi" dalam bahasa yang dipelajari.

Minta bercakap dengan perlahan sedikit

Mungkin rakan pelajar bercakap dengan cepat dan mengakibatkan pelajar tidak dapat mengikuti perbualan dengan berkesan.  Pelajar boleh menyatakan " Tolong bercakap perlahan sedikit" dan " Bolehkah anda bercakap perlahan sedikit?"

Dapatkan penjelasan

Semasa perbualan, pelajar mungkin memerlukan maklumat tambahan bagi mengatasi masalah tidak memahami perkara yang dibincangkan.  Jika pelajar tidak mendapat sebahagian daripada mesej, pelajar boleh bertanyakan soalan tambahan.  contohnya, jika anda tidak dapat mengikuti arahan yang dinyatakan oleh rakan berbual, pelajar boleh tanyakan perkara-perkara yang perlukan penjelasan lanjut.

Menyebutkan semula frasa

Sering timbul masalah pelajar tidak memahami percakapan rakan berbual.  Oleh itu, jika pelajar tidak pasti yang ia memahami apa yang diperkatakan oleh orang lain,  nyatakan semula frasa yang dinyatakan oleh penutur tersebut sebaik mungkin, sebagai contohnya, "  maksud awak….. ?" 

Mengulang ayat yang tidak difahami

Ulang bahagian ayat yang tidak fahami dengan menggunakan intonasi penyoalan.  Sebagai contohnya, jika tidak pernah mendengar perkataan yang tidak mempunyai makna, pelajar boleh mengulanginya.  Penutur akan berpeluang untuk membetulkan perkataan yang tidak difahami.

Beri perhatian terhadap intonasi dan ton suara

Intonasi dan ton suara memberikan panduan terhadap maksud sesuatu pengucapan. Intonasi mungkin akan memberikan klu sama ada pengucapan yang anda dengar adalah kenyataan atau soalan.  Dengan lain perkataan, ton suara boleh boleh menggambarkan sama ada penutur sabar, marah, atau gembira.

Fokuskan kepada kata tanya

Kata tanya yang digunakan semasa pertuturan dapat membantu pelajar memahami perkara yang didengar dengan lebih baik.  Setiap bahasa mempunyai bilangan yang terhad bagi kata tanya seperti siapa, apa, bila, di mana, dan bagaimana.  Sesetengah bahasa menggunakan perkataan yang menunjukkan pertanyaan bagi menunjukkan penegasan.
 
Menganggap perbualan sebagai relevan

Perbualan yang berkesan adalah berkaitan peristiwa yang relevan dengan dirinya sendiri.  Apabila perbualan dapat difahami dan berkaitan dengan persamaan kepentingan kedua-dua belah pihak, akan wujud kemesraan dalam perbualan serta menambahkan kelancaran perbualan. Oleh itu, penutur perlu menganggap bahawa apa yang diucapkan oleh penutur itu berkait dengan pengalamannya.  Kebanyakan perbualan berkaitan dengan keadaan ketika itu.  Perbualan sering berkisar di sekitar cuaca, keadaan sosial, perasaan atau beberapa tingkah laku. 

Mendengar bahasa kedua

Sebagai pelajar yang mempelajari bahasa kedua, kadang kala pelajar tidak memahami serta tidak memperoleh apa-apa semasa menonton televisyen dan tayangan filem dalam bahasa kedua.  Kesukaran ini perlu diatasi kerana ini akan membantu pelajar memahami bahasa yang dipelajari dengan lebih berkesan melalui aktiviti luar bilik darjah secra tidak langsung.  Terdapat beberapa cara yang menekankan aspek membuat ramalan semasa mendengar yang juga melibatkan kemahiran berfikir semasa mendengar.

Gunakan klu visual

Semasa menonton, matikan fungsi suara televisyen dengan hanya melihat visual sahaja. Ini mungkin akan membantu pendengar untuk menumpukan perhatian ke atas pemaparan visual yang dapat memberikan beberapa klu seperti yang terdapat pada latar belakang, aksi, interaksi, ekspresi muka dan gerak isyarat.  Ini akan membantu untuk mendapatkan idea umum perkara yang sedang berlaku.  Tonton segmen tersebut sekali lagi dengan suara untuk memastikan agakan anda tepat.

Gunakan latar belakang pengetahuan

Pengetahuan lalu banyak memberikan panduan kepada penutur dalam memberikan klu untuk memahami sesuatu fenomena yang baru.  Semasa menonton, pendengar boleh melakukan refleksi terhadap perkara yang dilihat dan mengaitkannya dengan pengalaman lalu.  Pendengar menjangkakan maklumat dalam segmen berdasarkan pengetahuan lalu bagi segmen yang terkandung ditonton.  Sebagai contohnya, jika pelajar menonton temu bual dengan seorang pemain piano, ia mungkin akan meramalkan soalan yang akan diajukan adalah berkaitan dengan latihan artis tersebut, komposer yang diminati, rancangan masa depan dan sebagainya.  Setelah memilih apakah maklumat yang akan diperoleh dari segmen tersebut, tonton semula bagi kali kedua untuk mengetahui jawapan bagi soalan tersebut. Ini boleh membantu untuk meramalkan perkataan atau frasa spesifik yang mungkin digunakan.

Gunakan maklumat daripada segmen itu sendiri

Ramalan berkaitan cerita seperti plot, watak dan tema dapat memberikan input kepada pendengar untuk memahami dialog yang dilafazkan oleh pelakon. Oleh itu, butiran berkaitan watak, latar cerita, atau jalan cerita bagi episod itu mungkin  boleh membantu membuat ramalan apakah yang akan berlaku seterusnya.  Ini boleh membantu apakah yang akan diucapkan seterusnya.  Sebagai contoh, jika menonton drama berkaitan pahlawan dan menentang lawannya, apakah yang difikir akan berlaku seterusnya?

Memastikan genre

Pengetahuan pendengar terhadap segmen yang ditonton juga dapat memberikan klu bagi meramalkan apakan yang akan berlaku di dalam segmen tersebut.  Sebagai contoh, jika temu bual, maka tumpukan kepada soalan-soalan yang akan ditanyakan di dalam sesi tersebut.  Manakala jika segmen berita, gunakan strategi untuk mengetahui persoalan siapa, bila, di mana dan mengapa berlakunya peristiwa tersebut.  Jika menonton drama pula, kenal pasti plotnya agar dapat menimbulkan keseronokan ketika menonton.

Mendengar dan mencatatkan perkataan / frasa yang diulang

Perkataan atau frasa yang tidak difahami mungkin boleh diulang beberapa kali.  Kadang-kala, pengulangan akan membantu untuk ramalkan makna perkataan daripada konteks.  Pada masa yang lain, pengulangan akan membantu untuk mengingat perkataan atau frasa yang sesuai untuk bertanyakan seseorang apakah yang dimaksudkan.  Pada masa yang sama, perkataan tersebut boleh dituliskan bagi membolehkan mencari maknanya di dalam kamus.




Kesimpulan

Kemahiran mendengar sangat penting dalam kehidupan seseorang.  Keperluan mendengar secara berkesan dapat mewujudkan suasana berkomunikasi yang baik dengan penyaluran mesej secara dua hala dan menghasilkan persefahaman secara optimum.  Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, pelajar perlu menguasai kemahiran mendengar agar membolehkan mereka dapat menguasai kandungan mata pelajaran yang disampaikan oleh guru dalam pengajarannya.  Keupayaan mendengar yang baik juga merupakan satu kelebihan terutamanya bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran yang akan berlangsung dengan lancar.


BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 ÙˆَÙ‚َضَÙ‰ٰ رَبُّÙƒَ Ø£َÙ„َّا تَعۡبُدُÙˆٓاْ Ø¥ِÙ„َّØ¢ Ø¥ِÙŠَّاهُ ÙˆَبِٱلۡÙˆَٰÙ„ِدَÙŠۡÙ†ِ Ø¥ِØ­ۡسَٰÙ†ًاۚ Ø¥ِÙ…َّا ÙŠَبۡÙ„ُغَÙ†َّ عِندَÙƒ...