Pengenalan
Mendengar
adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara
intensif terutama semasa pelajar di sekolah rendah dan menengah seperti yang
terkandung di dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar penting dikuasai
disebabkan penggunaannya yang sangat meluas dalam kehidupan. Sehubungan dengan
itu, dianggarkan lebih kurang 60%
daripada masa yang digunakan adalah untuk mendengar. Disebabkan banyak masa digunakan untuk
mendengar, pendengar perlulah memiliki kemahiran mendengar yang berkesan agar
mesej yang diterima dapat dimanfaatkan dengan baik. Mendengar mesej yang diterima dalam pelbagai
bentuk dan bahasa yang pelbagaimemerlukan mereka mentafsirkan dalam bebtuk yang
difahami. Kesukaran memahami mesej yang
didengar mungkin diakibatkan oleh kelemahan pendengar menerima dan menganalisis
mesej tersebut. Oleh itu, perlu
ditekankan keupayaan mendengar yang berkesan agar pelajar dapat menggunakan
kemahiran tersebut dalam menguasai mata pelajaran yang lain.
Untuk tujuan tersebut, antara
keutamaan dalam mempelajari bahasa ialah usaha untuk menuasai kemahiran mendengar. Dari segi perkembangan pemerolehan bahasa,
proses mendengar dilalui secara semula jadi sejak zaman kanak-kanak lagi.
Disebabkan penguasaan bahasa belum dikuasai dengan baik pada peringkat awal perkembangan
kanak-kanak, penguasaan kemahiran
mendengar sekadar mewujudkan respons melalui gerak isyarat atau bunyi bahasa
yang hanya difahami oleh ibu bapa mereka sahaja. Kanak-kanak tidak banyak
disogokkan dengan aktiviti mendengar yang khusus kerana mereka belum mengerti
maksud pertuturan ibu bapanya secara spesifik. Penguasaan kemahiran mendengar
dalam konteks memberikan respons melalui bahasa semakin bertambah baik apabila
kanak-kanak dapat menggunakan bahasa untuk tujuan mewujudkan komunikasi dengan
ibu bapa mereka.
Pada tahap yang lebih
matang, pelajar mendengar pada jangka masa yang lama sebelum mencuba untuk
bertutur. Kemahiran mendengar juga memberikan peluang kepada pelajar untuk
mendapatkan makna bagi mesej yang didengar menggunakan bahasa tersebut. Ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki
kemampuan dari segi penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi. Jika pelajar tidak berusaha mendengar secara
efektif, ia tidak akan dapat mengambil bahagian dalam pembelajaran dalam bahasa
yang dipelajari.
Mendengar interaktif
Mendengar secara interaktif
melibatkan kedua-dua belah pihak iaitu penutur dan pendengar. Masing-masing akan berperanan secara aktif
semasa sesi perbualan tersebut. Semasa aktiviti mendengar interaktif, seseorang boleh
mencelah dengan mengemukakan soalan tambahan untuk mencari penjelasan,
pengulangan atau mengucapkan semula.
Pelajar tidak akan merasa tidak dilibatkan semasa sesi perbualan dalam
kelas. Mereka akan berpeluang untuk mempraktikkan mendengar
interaktif melalui perbualan dalam kelas
biasa yang dapat membantu penguasaan kemahiran yang ini.
Dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran kemahiran mendengar, waktu yang sedikit diperuntukkan tidak dapat
membantu secara maksimum penguasaan kemahiran tersebut. Pelajar tidak berpeluang untuk menjadi pendengar
yang baik. Ini disebabkan guru lebih
banyak memperuntukkan isi pengajarannya menyediakan pelajar dengan keperluan penguasaan
kemahiran yang berkaitan dengan peperiksaan.
Penekanan ini juga menjadikan pelajar diabaikan aspek kemahiran
mendengar. Peluang untuk menguasai
kemahiran mendengar secara efektif yang terbatas boleh mengakibatkan pelajar
gagal dalam mengaplikasikan kemahiran dalam kehidupan.
Dari segi kenyataannya, aktiviti
mendengar wujud dalam situsasi yang berbeza dan dengan penutur yang berbeza
pula. Fikirkan kesemua orang yang
berbeza yang telah bertutur dalam jangka masa 24 jam dengan kita. Anda sebenarnya telah mendengar beberapa
individu yang bertutur dengan cara yang berbeza. Berdasarkan kepelbagaian pengalaman dalam aktiviti
mendengarpelajar sebenarnya memerlukan
latihan tambahan untuk menyediakan diri sebagai pendengar yang baik.
Mendengar tidak interaktif
Seringkali juga wujud situasi mendengar tidak
interaktif. Pendengar tidak berpeluang
untuk memberikan respons secara verbal terhadap mesej yang didengar. Walau bagaimanapun untuk mendapatkan suasana
berkomunikasi yang baik, pendengar perlu bersedia dengan situasi tersebut. Ini termasuklah keadaan yang pendengar tidak
boleh mencelah dengan mengemukakan soalan atau untuk mendapatkan
penjelasan. Mendengar jenis ini
dipanggil mendengar tidak interaktif.
Secara ringkasnya, pendengar tidak berupaya mengambil bahagian dalam
mewujudkan hubungan dua hala seperti mendengar kuliah, radio, menonton
televisyen, filem atau siaran langsung.
Bagaimana untuk berlatih mendengar?
Untuk menyediakan beberapa jenis situasi mendengar,
dicadangkan agar pelajar memulakan usaha melibatkan diri dengan program
mendengar sejak dari awal pembelajaran bahasa.
Di sini dicadangkan beberapa cara yang dianggap sesuai untuk menguasai
kemahiran tersebut.
Mendengar secara berterusan
Usaha untuk menguasai kemahiran bahasa dengan berkesan
perlulah dilakukan dengan usaha yang berterusan. Pembelajaran secara tidak formal dalam
persekitaran yang baik dapat membantu pelajar mendengar dengan berkesan dan
menjadikan penutur dan pendengar saling memperteguhkan kefahaman terhadap mesej
yang diterima. Pelajar boleh menguasai
perbualan dengan penutur natif bagi
bahasa yang anda sedang pelajari (mendengar interaktif) seperti mendengar
radio, menghadiri kuliah, menonton televisyen dan filem dalam bahasa kedua
(mendengar tidak interaktif).
Pilih bahan yang sesuai
Penggunaan bahan pengajaran sangat penting dalam mewujudkan
pemahaman bahasa. Kesesuaian bahan banyak mempengaruhi sama ada kepada penutur mahupun
pendengar. Bagi kebanyakan orang, cara termudah untuk memulakan penguasaan mendengar
ialah dalam keadaan situasi mendengar interaktif bersemuka, sebab pendengar
boleh secara bersungguh-sungguh menguasai pertuturan penutur. Jika pendengar tidak mempunyai peluang atau
tidak selesa dengan cara itu, carilah bahan yang khusus disediakan untuk
mengajar mendengar untuk tujuan pemahaman.
Kini terdapat banyak buku-buku teks yang moden mengandungi bahan yang bertujuan
untuk menstrukturkan tugasan mendengar pelajar.
Contohnya dengan menggunakan cakera padat interaktif yang boleh menarik
minat pendengar untuk mengetahui kandungan teks yang dipelajari.
Di samping itu, pelajar juga
boleh menggunakan bahan autentik untuk tujuan memudahkan penguasaan kemahiran
mendengar. Walaupun selesa dengan bahan
yang bersifat bersemuka, pelajar boleh mencari bahan untuk tujuan mendengar
yang bersifat autentik. Bahan autentik
untuk kemahiran mendengar banyak
terdapat di sekeliling kita. Ini
termasuklah program radio dan televisyen, syarahan, ucapan, filem, dan
drama. Bahan tersebut senang diperoleh
dan penutur boleh mendapatkannya dalam susunan yang senang kepada yang agak
susah.
Mencari tahap kepayahan
yang betul
Dalam pembelajaran bahasa melalui kemahiran mendengar,
bahan yang digunakan perlulah selaras dengan objektif pembelajaran serta tahap
pembelajaran pelajar. Jika penguasaan
bahasa pelajar berada tahap permulaan atau pertengahan, pelajar digalakkan
menggunakan bahan video terlebih dahulu sebelum menggunakan bahan audio. Tujuannya agar pelajar mendapat gambaran
secara umum tajuk yang akan dipelajari.
Sementara bahan yang memasukkan bahan visual akan memudahkan pelajar
mengikuti perkara yang diucapkan.
Guru boleh memulakan
pengajaran dengan menggunakan segmen televisyen yang pendek berdasarkan topik yang biasa didengar yang
dibantu dengan visual. Kaedah ini akan
menjadikan pertuturan lebih jelas dan dapat di sampaikan dengan berkesan. Contohnya penggunaan rakaman iklan,
pengumuman, laporan cuaca, temu bual atau berita ringkas. Selain itu, pelajar juga boleh menonton rancangan yang lebih
panjang masanya, seperti tayangan filem dengan klu visual yang baik agar boleh
membantu memahami perkara yang diucapkan.
Jika pelajar telah mahir, mereka boleh mendengar bahan yang lebih
kompleks seperti kuliah, ucapan, diskusi profesional, filem, dan apa sahaja
program radio atau televisyen.
Pilih bahan yang boleh menggembirakan
Pembelajaran akan menjadi lebih berkesan jika bahan
yang digunakan boleh menggembirakan pelajar.
Ini disebabkan manusia mendengar untuk tujuan mendapatkan maklumat dan
hiburan. Pilihlah bahan yang difikirkan akan memberikan maklumat serta dapat
menghiburkan mereka. Oleh itu, perhatian
pelajar akan lebih baik dan ia mungkin akan lebih memahaminya dengan
mudah. Secara ringkasnya, jika pelajar
meminati sukan, tontonlah rancangan sukan di televisyen atau mendengar laporan
di media yang lain.
Strategi
Untuk Meningkatkan Kemahiran Mendengar
Dalam bahagian ini, akan disenaraikan masalah-masalah
umum ketika belajar mendengar bagi bahasa pertama dan kedua dengan memberikan
beberapa aspek praktikal dan penyelesaian berdasarkan strategi. Pelajar boleh memilih dan menyesuaikan dengan
keperluan kendiri.
Bercakap
terlalu cepat
Mendengar perbualan yang terlalu cepat boleh
menjadikan pendengar sukar untuk memahami kandungan percakapan tersebut. Jika
pelajar merasakan tidak dapat mengikuti perbualan rakan, cubakan teknik berikut
yang dijangka akan dapat membantu menghadapi situasi tersebut. Adalah lebih baik untuk mengkhususkan masalah
yang dihadapi agar rakan berbual pelajar tahu apakah yang boleh dibantu untuk
menghasilkan pemahaman yang baik.
Bertanya dan nyatakan yang anda tidak memahami
percakapannya
Pelajar tidak boleh
membiarkan komunikasi melalui pendengaran terganggu akibat tidak memahami
pertuturan rakannya. Jika pelajar tidak memahami perkataan atau frasa,
tanyakan penutur tersebut akan maknanya.
Belajar cara mengucapkan frasa untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan
seperti "Apakah yang …… dimaksudkan?"
," Saya tidak tahu apa…… dimaksudkan," dan "Saya tidak
tahu perkataan untuk ….."
Minta diulang
Apabila tidak memahami perkara yang dituturkan,
pelajar boleh meminta penutur mengulang percakapannya. Gunakan frasa "apakah yang anda
nyatakan?" atau " Tolong ulangi" dalam bahasa yang dipelajari.
Minta bercakap dengan perlahan sedikit
Mungkin rakan pelajar bercakap dengan cepat dan
mengakibatkan pelajar tidak dapat mengikuti perbualan dengan berkesan. Pelajar boleh menyatakan " Tolong
bercakap perlahan sedikit" dan " Bolehkah anda bercakap perlahan
sedikit?"
Dapatkan penjelasan
Semasa perbualan, pelajar mungkin memerlukan maklumat
tambahan bagi mengatasi masalah tidak memahami perkara yang dibincangkan. Jika pelajar tidak mendapat sebahagian
daripada mesej, pelajar boleh bertanyakan soalan tambahan. contohnya, jika anda tidak dapat mengikuti
arahan yang dinyatakan oleh rakan berbual, pelajar boleh tanyakan
perkara-perkara yang perlukan penjelasan lanjut.
Menyebutkan semula frasa
Sering timbul masalah pelajar tidak memahami
percakapan rakan berbual. Oleh itu, jika
pelajar tidak pasti yang ia memahami apa yang diperkatakan oleh orang
lain, nyatakan semula frasa yang
dinyatakan oleh penutur tersebut sebaik mungkin, sebagai contohnya, " maksud awak….. ?"
Mengulang ayat yang tidak difahami
Ulang bahagian ayat yang tidak fahami dengan
menggunakan intonasi penyoalan. Sebagai
contohnya, jika tidak pernah mendengar perkataan yang tidak mempunyai makna,
pelajar boleh mengulanginya. Penutur
akan berpeluang untuk membetulkan perkataan yang tidak difahami.
Beri perhatian terhadap intonasi dan ton suara
Intonasi dan ton suara memberikan panduan terhadap
maksud sesuatu pengucapan. Intonasi mungkin akan memberikan klu sama ada
pengucapan yang anda dengar adalah kenyataan atau soalan. Dengan lain perkataan, ton suara boleh boleh
menggambarkan sama ada penutur sabar, marah, atau gembira.
Fokuskan kepada kata tanya
Kata tanya yang digunakan semasa pertuturan dapat
membantu pelajar memahami perkara yang didengar dengan lebih baik. Setiap bahasa mempunyai bilangan yang terhad
bagi kata tanya seperti siapa, apa, bila, di mana, dan bagaimana. Sesetengah bahasa menggunakan perkataan yang
menunjukkan pertanyaan bagi menunjukkan penegasan.
Menganggap perbualan sebagai relevan
Perbualan yang berkesan adalah berkaitan peristiwa
yang relevan dengan dirinya sendiri.
Apabila perbualan dapat difahami dan berkaitan dengan persamaan
kepentingan kedua-dua belah pihak, akan wujud kemesraan dalam perbualan serta
menambahkan kelancaran perbualan. Oleh itu, penutur perlu menganggap bahawa apa
yang diucapkan oleh penutur itu berkait dengan pengalamannya. Kebanyakan perbualan berkaitan dengan keadaan
ketika itu. Perbualan sering berkisar di
sekitar cuaca, keadaan sosial, perasaan atau beberapa tingkah laku.
Mendengar
bahasa kedua
Sebagai pelajar yang mempelajari bahasa kedua, kadang
kala pelajar tidak memahami serta tidak memperoleh apa-apa semasa menonton televisyen
dan tayangan filem dalam bahasa kedua.
Kesukaran ini perlu diatasi kerana ini akan membantu pelajar memahami
bahasa yang dipelajari dengan lebih berkesan melalui aktiviti luar bilik darjah
secra tidak langsung. Terdapat beberapa
cara yang menekankan aspek membuat ramalan semasa mendengar yang juga
melibatkan kemahiran berfikir semasa mendengar.
Gunakan klu visual
Semasa menonton, matikan fungsi suara televisyen
dengan hanya melihat visual sahaja. Ini mungkin akan membantu pendengar untuk
menumpukan perhatian ke atas pemaparan visual yang dapat memberikan beberapa
klu seperti yang terdapat pada latar belakang, aksi, interaksi, ekspresi muka
dan gerak isyarat. Ini akan membantu
untuk mendapatkan idea umum perkara yang sedang berlaku. Tonton segmen tersebut sekali lagi dengan
suara untuk memastikan agakan anda tepat.
Gunakan latar belakang pengetahuan
Pengetahuan lalu banyak memberikan panduan kepada
penutur dalam memberikan klu untuk memahami sesuatu fenomena yang baru. Semasa menonton, pendengar boleh melakukan
refleksi terhadap perkara yang dilihat dan mengaitkannya dengan pengalaman
lalu. Pendengar menjangkakan maklumat
dalam segmen berdasarkan pengetahuan lalu bagi segmen yang terkandung ditonton. Sebagai contohnya, jika pelajar menonton temu
bual dengan seorang pemain piano, ia mungkin akan meramalkan soalan yang akan
diajukan adalah berkaitan dengan latihan artis tersebut, komposer yang
diminati, rancangan masa depan dan sebagainya.
Setelah memilih apakah maklumat yang akan diperoleh dari segmen
tersebut, tonton semula bagi kali kedua untuk mengetahui jawapan bagi soalan
tersebut. Ini boleh membantu untuk meramalkan perkataan atau frasa spesifik
yang mungkin digunakan.
Gunakan maklumat daripada segmen itu sendiri
Ramalan berkaitan cerita seperti plot, watak dan tema
dapat memberikan input kepada pendengar untuk memahami dialog yang dilafazkan
oleh pelakon. Oleh itu, butiran berkaitan watak, latar cerita, atau jalan
cerita bagi episod itu mungkin boleh
membantu membuat ramalan apakah yang akan berlaku seterusnya. Ini boleh membantu apakah yang akan diucapkan
seterusnya. Sebagai contoh, jika
menonton drama berkaitan pahlawan dan menentang lawannya, apakah yang difikir
akan berlaku seterusnya?
Memastikan genre
Pengetahuan pendengar terhadap segmen yang ditonton
juga dapat memberikan klu bagi meramalkan apakan yang akan berlaku di dalam
segmen tersebut. Sebagai contoh, jika
temu bual, maka tumpukan kepada soalan-soalan yang akan ditanyakan di dalam
sesi tersebut. Manakala jika segmen
berita, gunakan strategi untuk mengetahui persoalan siapa, bila, di mana dan
mengapa berlakunya peristiwa tersebut.
Jika menonton drama pula, kenal pasti plotnya agar dapat menimbulkan
keseronokan ketika menonton.
Mendengar dan mencatatkan perkataan / frasa yang
diulang
Perkataan atau frasa yang tidak difahami mungkin boleh
diulang beberapa kali. Kadang-kala,
pengulangan akan membantu untuk ramalkan makna perkataan daripada konteks. Pada masa yang lain, pengulangan akan
membantu untuk mengingat perkataan atau frasa yang sesuai untuk bertanyakan
seseorang apakah yang dimaksudkan. Pada
masa yang sama, perkataan tersebut boleh dituliskan bagi membolehkan mencari
maknanya di dalam kamus.
Kesimpulan
Kemahiran mendengar sangat penting dalam kehidupan seseorang. Keperluan mendengar secara berkesan dapat
mewujudkan suasana berkomunikasi yang baik dengan penyaluran mesej secara dua
hala dan menghasilkan persefahaman secara optimum. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran
bahasa, pelajar perlu menguasai kemahiran mendengar agar membolehkan mereka
dapat menguasai kandungan mata pelajaran yang disampaikan oleh guru dalam
pengajarannya. Keupayaan mendengar yang
baik juga merupakan satu kelebihan terutamanya bagi memastikan proses
pembelajaran dan pengajaran yang akan berlangsung dengan lancar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan