Dr Yahya Othman
Membaca
merupakan teras kepada segala keupayaan untuk meneroka alam ini dengan diperkukuhkan
oleh faktor kepentingan budaya ilmu (Wan Mohd. Noor Wan Daud, 1994).
Untuk memenuhi keperluan insan berilmu, membaca merupakan wahana yang
paling berkesan terutama dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang
perlu dikuasai.
Konstruktivisme
dalam membaca menegaskan bahawa pembaca membina pengetahuan melalui proses
perkembangan mental yang aktif. Pembacalah
yang membina, mencipta makna dan pengetahuan (Smith, 1993). Golongan
konstruktivis juga percaya bahawa pembaca mampu membina pengetahuan berdasarkan
pembelajaran yang diperoleh sama ada melalui pengalaman ataupun pendedahan (Briner,1999).
Pengetahuan adalah sesuatu yang relatif dan berubah mengikut masa. Menurut
prinsip konstruktivisme lagi, proses pembelajaran bertindak melalui
fungsi penyesuaian. Pembaca mampu menguasai pengetahuan dengan menyesuaikan
dengan keperluan pembelajarannya.
Dalam
konteks proses membaca, teori ini dikaitkan secara
komprehensif dengan pembinaan makna teks yang dibaca. Teori konstruktivisme mengaitkan pembaca dengan pembinaan makna dengan cara mensintesiskan
pengalaman baru dan dikaitkan dengan perkara yang mereka telah fahami sebelum
ini (Bruner, 1966). Pembaca membentuk pemahaman
melalui refleksinya berdasarkan interaksi dengan objek dan idea yang dipaparkan
dalam teks. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak
bermakna, mereka akan menginterpretasikan apa yang dilihat supaya selaras
dengan pemahaman yang dibentuk. Di
samping itu, mereka akan menyesuaikan pemahaman mereka agar dapat menerangkan
maklumat baru dengan lebih baik (Tierney,1990).
Di samping itu, konstruktivisme juga ditafsirkan sebagai satu
komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuannya sendiri (Angela, 1997).
Ini bermakna sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang adalah hasil daripada
aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut dan bukan sesuatu maklumat atau
pengajaran yang diterima secara pasif dari luar. Pengetahuan tidak boleh
dipindahkan secara langsung daripada pemikiran seseorang individu kepada
pemikiran individu yang lain. Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan
sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih (Nik Azis Nik
Pa,1999). Pengetahuan yang terbina adalah kesan langsung keupayaan seseorang
menggunakan sumber-sumber yang sesuai. Dalam konteks proses membaca, pembaca berusaha
membina pengetahuan tersebut secara aktif dengan menjadikan teks yang dibaca lebih
bermakna.
Sementara itu, Spiro (1980) menghuraikan bahawa teori konstruktif menekankan
perlunya peranan pembaca diberikan keutamaan dalam sesi pembelajaran. Ini
kerana pembacalah yang berinteraksi dengan bahan dan peristiwa yang dialaminya serta
memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, pembaca
membina sendiri pemahaman dan membuat penyelesaian kepada masalah yang dihadapi
semasa membaca. Autonomi dan inisiatif yang ditunjukkan oleh pembaca untuk memahami
hendaklah diterima dan perlu digalakkan.
Jika dikaitkan dengan proses pemahaman membaca, konsep ini sangat sesuai
kerana pembaca akan menentukan kesesuaian teks yang dibaca dengan matlamat
membaca yang dirancang sendiri oleh pembaca.
Menurut
teori konstruktif, pengetahuan dibina secara aktif oleh individu dengan
menggunakan pemikirannya (Ausubel, 1968). Dalam konteks pemahaman membaca, pembaca
tidak menyerap secara pasif sebarang maklumat yang diperoleh dari teks. Oleh itu, semasa membaca, maklumat dan
pengetahuan yang diperoleh melalui teks diproses secara aktif dan melibatkan
aspek mental serta strategi membaca yang sesuai. Pembaca akan menyesuaikan
sebarang maklumat baru berdasarkan pembacaan dengan melibatkan pengetahuan
sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan
interaksi sosial bersama rakan-rakan dan
guru-gurunya.
Penggunaan teori
konstruktif dalam proses pemahaman membaca
menghuraikan proses pembelajaran yang dilalui pembaca. Teori ini juga menerangkan cara pengetahuan
diperoleh melalui pembacaan dan
penyusunan idea dari teks melalui
minda manusia. Pembaca dapat membina pengetahuan yang diterima mengikut
pengalaman masing-masing. Pembelajaran terhasil dan dicirikan melalui usaha pembaca
tersebut. Dalam konteks proses membaca teks, pembaca membina makna teks
berdasarkan pengalaman yang telah dialami serta pengetahuan lalu yang dimiliki.
Binaan asas untuk membentuk makna teks yang dibaca perlu berasaskan skema
aktiviti mental yang digunakan dalam
proses renungan atau refleksi kandungan teks tersebut.
Berdasarkan kerangka teoretikal
konstruktif Bruner (1966), pembelajaran dikatakan sebagai proses aktif dengan pembaca membina idea atau konsep berasaskan
pengetahuan terkini atau yang lalu.
Melalui proses membaca, pembaca
dapat
memilih dan mengalihkan maklumat, membina hipotesis, dan membuat keputusan
berkaitan struktur kognitif serta tugasan semasa membaca teks tersebut. Struktur kognitif seperti skema bacaan, model
mental yang menyertakan makna, dan organisasi teks untuk mewujudkan pengalaman
serta menjadikan individu agar lebih luas capaian maklumatnya berbanding maklumat yang terdapat dalam teks.
Pembaca pada asasnya
telah memiliki satu set idea dan pengalaman yang boleh membentuk struktur
kognitif berdasarkan persekitaran mereka. Perkara yang terdapat di dalam
fikiran pembaca tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam
persekitarannya (Mahoney,1991). Menurut Mahoney lagi, realiti
yang diketahui pembaca adalah
berdasarkan pengalaman yang terdapat dalam pemikirannya yang dibina sendiri
oleh pembaca. Oleh itu, usaha pembaca untuk memahami teks mempunyai kaitan
dengan pengalaman membaca mereka yang akan memberikan gambaran kandungan teks
untuk membentuk realiti tersebut.
Di
samping itu, untuk membantu pembaca membina konsep atau pengetahuan baru
melalui proses membaca, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia
ada pada pelajar. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk
dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru
berkaitan huraian teks yang dibaca dapat dibina (Stanovich, 1994). Stanovich menekankan pentingnya pembaca
membina pemahaman secara bermakna agar dapat digunakan dengan berkesan apabila
diperlukan. Pembelajaran melalui pembacaan yang bermakna bermula dengan
pengetahuan atau pengalaman sedia ada pembaca.
Sehubungan
dengan itu, Tierney (1990) berpendapat bahawa pembaca mempunyai idea
mereka sendiri tentang hampir semua perkara terutama sekali perkara yang pernah
dilaluinya. Oleh itu, sebelum membaca teks, mereka boleh menetapkan tahap
pemahaman berdasarkan tajuk yang dibaca. Walau bagaimanapun, kemungkinan akan
wujud juga masalah salah tanggapan terhadap teks yang dibaca. Jika salah tanggapan kefahaman ini diabaikan atau
tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan
tetap kekal.
John
Dewey menguatkan lagi teori konstruktif ini dengan mengatakan bahawa pendidik
yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui proses
menyusun atau membina pengalaman secara berterusan (Brooks & Books,
1999). Di samping itu, beliau juga
menekankan kepentingan penyertaan pembaca di dalam setiap aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Dalam konteks
penguasaan membaca, konsep yang ditekankan tadi dianggap penting kerana semasa
membaca, pembaca perlu melakukan aktiviti mental yang akhirnya membantu pembaca
menguasai teks walaupun dengan tajuk atau tema yang baru dibaca (Muhamad Haron,
1998).
Berdasarkan
teori konstruktif, fungsi guru dalam pengajaran pemahaman akan berubah.
Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian,
penyelidikan, dan cara melaksanakan kurikulum (Lewis,1991)..
Sebagai contoh, kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu kepada kejayaan pembaca membina skema
konseptual adalah berdasarkan kepada pengalaman yang aktif. Dalam pengajaran membaca, guru-guru perlu
memberikan tumpuan kepada sejauh mana pembaca dapat menggunakan maklumat yang
terkandung di dalam teks dalam usaha
untuk membina konsep pemahamannya.
Pada
pandangan ahli konstruktif juga, setiap pembaca mempunyai peranan dalam
menentukan perkara yang akan mereka pembaca (Brooks & Books, 1999). Penekanan diberi kepada usaha untuk
menyediakan pembaca dengan peluang untuk membentuk kemahiran dan pengetahuan.
Dalam konteks penguasaan membaca, peluang
meneroka kandungan teks yang diminati atau mempunyai kaitan dengan
bidang pengajian akan mempengaruhi tahap pemahaman pembaca. Ini akan membantu
mereka menghubungkaitkan pengalaman lalu mereka dengan kegunaan masa depan
dalam bidang atau pengajian mereka.
Berdasarkan
paradigma konstruktif, pengetahuan dilihat sebagai sesuatu yang boleh
disesuaikan dan boleh berubah. Teori ini juga mengandaikan bahawa individu bertanggungjawab terhadap
dirinya sendiri untuk menggunakan pelbagai cara bagi memproses maklumat dan
menyelesaikan masalah (Bruner, 1966).
Oleh itu, semasa proses membaca berlangsung, pembaca boleh menggunakan
pelbagai strategi yang boleh membantu mereka memahami teks yang dibaca untuk
tujuan pembentukan pengetahuan. Ini
termasuklah penggunaan strategi metakognitif serta skemata yang membantu pembaca
memahami teks dengan lebih baik. Pengkaji
menggunakan teori ini dengan mengambil kira wujudnya keperluan pembaca membina
pemahaman berdasarkan teks yang dibaca serta kesedaran untuk memilih strategi
membaca yang sesuai.
Rujuk buku saya, MENGAJAR MEMBACA
Rujuk buku saya, MENGAJAR MEMBACA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan