Selasa, 28 Mei 2013

DULU ABAH, KINI MAK

Ketika saya menulis di blog ini, Mak baru saja meningalkan kami 10 beradik untuk selama-lamanya. Setelah bertarung hampir dua tahun melawan sakit kanser usus, akhirnya ketentuan Allah telah tertulis bahawa Mak menemui Allah pada pagi Isnin, 20 Mei, jam 915 pagi di kampung.   Sejak semalam kesihatan Mak semakin kritikal dan nazak.  Dia semakin sukar bernafas walaupun dengan bantuan gas oksijen. Ubat penahan sakit juga sudah tidak berfungsi lagi. Kami adik beradik dan ahli keluarga yang lain silih beganti membacakan surah Yassin dan berdoa agar memohon rahmat Allah ke atas Mak yang terlantar sakit.

Selepas sempat mencium mak jam 615 pagi itu dan  dengan berat hati terus memandu ke UKM untuk bertugas. Dia masih tidur dan lemah. Setelah terima panggilan telefon dari adik bongsu saya di kampung pada jam 915 pagi, hati saya sudah berdetik akan berita yang bakal diterima.  Telahan saya tepat bahawa berita kematian Mak saya terima.  Saya reda dengan ketentuan Allah dan dapat bersabar dengan berita tersebut walaupun air mata sedih menitis sendirian di bilik pejabat. Sebagai anak, saya telah kehilangan permata berharga dalam hidup saya iaitu Mak yang disayangi dan didik saya sejak lahir.

Mak meninggal setelah hampir 3 tahun arwah Abah meninggalkan kami. Abah meninggal  akibat sakit kanser hati. Mak sabar menghadapi situasi kehilangan Abah. Walau bagaimana pun memang sudah ketentuan Allah, Mak juga menderita akibat serangan kanser yang sukar untuk diceritakan kesakitan yang dialaminya.

Tidak dapat nak dituliskan jasa Mak mendidik saya dan adik beradik yang lain. Terlalu banyak dan tak akan hilang dalam inagatn kami. Dalam satu keluarga yang besar (10 beradik) Mak punyai kekuatan dalam mendidik kami. Walaupun tidak mendapat didikan formal di sekolah, namun dia dapat memastikan anak-anaknya berjaya dalam hidup.  Dia bukan saja pentingkan kejayaan dunia, namun  aspek agama menjadi keutamaannya. Dia tidak punya didikan agama secara formal, tapi gesaannya agar anak-anak terdidik dalam agama menjadi fokus hidupnya.

Sebagai anak, saya reda dengan pemergian Mak. Semoga roh mak diletakkan bersama dengan orang-orang yang beriman dan soleh.  Sebagai anak, insyaAllah kami akan sentiasa doakan roh Mak dan Abah dirahmati Allah sehingga akhir hayat kami. Amin ya rabbal alamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...