Jumaat, 5 Jun 2015

Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Sumber: Yahya Othman (2014).  Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).  Dewan Bahasa.  14(5).  20-24.


Menguasai dan mengamalkan kemahiran berfikir penting dalam  merealisasikan harapan negara untuk membentuk insan yang berkualiti dan seimbang seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Hasrat Kementerian Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) juga menggariskan usaha untuk membina rupa bangsa yang memiliki daya saing yang tinggi melalui pendidikan berasaskan pemikiran tinggi melalui pendidikan  yang diterima di sekolah. 

Usaha untuk menyediakan murid yang berfikiran aras tinggi, usaha  secara berterusan dijalankan  sejak konsep Sekolah Bestari diperkenalkan. Hingga kini usaha ini masih diberikan penekanan dalam usaha  untuk mencapai tahap berfikir yang memungkinkan murid dapat bersaing dalam dunia global yang semakin mencabar. Konsep kemahiran berfikir semasa mula diperkenalkan lebih menumpukan perhatian kepada penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.  Disebabkan keperluan pendidikan semasa yang lebih kompleks dan bersifat kompetitif, maka kini Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diberikan tumpuan pelaksanaannya untuk direalisasikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

KBAT diaplikasikan dalam sistem pendidikan bagi menggerakkan  potensi minda murid untuk menangani cabaran baru. Melalui KBAT, murid dapat memahami, menterjemah, menganalisis dan memanipulasikan maklumat dengan lebih  berkesan.  Murid perlu mengalami sendiri proses berfikir secara heuristik di dalam pembelajaran atau penemuan sendiri secara terbimbing melalui KBAT.  Untuk mengaplikasikan KBAT, guru perlu menyesuaikan pendekatan dan strategi yang hendak diguna pakai semasa pembelajaran dan pembelajaran


Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM), aspek yang penting untuk mencapai KBAT adalah keupayaan memindahkan kemahiran yang sudah dipelajari di dalam BM kepada situasi komunikasi yang sebenarnya. Dalam situasi sedemikian, kualiti murid dalam berbahasa dapat diukur bukan sahaja kepetahannya bertutur atau menulis tetapi juga melalui kualiti pemikirannya semasa berbahasa. Dalam konteks ini, pengajaran BM yang melibatkan penguasaan kemahiran berbahasa, pelajar dapat menggunakannya  dalam kehidupan seharian. 

Guru sebagai penggerak pemikiran murid perlu memastikan KBAT dikuasai agar dapat meningkatkan keupayaan belajar bahasa mereka kerana melalui KBAT, murid dapat mengawal, menentukan arah dan mengukur kemajuan pelajaran mereka.  Objektif pengajaran BM memerlukan murid yang bukan sahaja dapat menguasai kemahiran berbahasa tetapi mampu menguasai pembelajaran secara kendiri.  Untuk mencapai tahap berbahasa murid yang kompeten,  guru perlu menyediakan situasi pembelajaran yang lebih kondusif dan mencabar agar pembelajaran BM tidak dilihat sebagai mata pelajaran yang membosankan.

Objektif KBAT dalam BM juga menyasarkan agar murid dapat menggunakan pengetahuan yang telah dipelajari dengan lebih produktif. Dalam konteks kemahiran membaca, kebolehan murid menggunakan pengetahuan lalu sangat penting bagi memastikan mereka mampu berfikiran secara kritis melalui teks yang dibaca.  Bagi teks jenis hujahan, murid perlu mahir menganalisis hujah yang ada di dalam teks di samping dapat membuat penilaian terhadap teks tersebut.  Untuk memastikan kemahiran berfikir yang memerlukan pelajar menganalisis dan membuat jangkaan terhadap plot teks jenis naratif pula, guru BM bukan hanya perlu menyediakan bahan bacaan yang mencabar tetapi perlu mendedahkan strategi membaca kritis agar aktiviti membaca berkesan.

Dalam kerangka yang lebih luas, guru juga perlu memastikan pelajar dapat menggunakan pengetahuan, kemahiran dan bersikap positif dalam kehidupan. Dalam aspek pengetahuan bahasa , menjadi keutamaan kepada guru untuk memastikan murid dapat menguasai kandungan ilmu bahasa.  Bagi memastikan ilmu bahasa dapat diterjemahkan semasa berkomunikasi secara berkesan, guru perlu merancang pengajaran dengan memberikan penekanan kepada strategi berfikir agar penguasaan ilmu bahasa dapat dikuasai dalam jangka masa yang lama.

Hal ini disebabkan faktor psikologi seperti keupayaan mengingat dapat memastikan ilmu bahasa yang dipelajari berfungsi secara berkesan.  Selain itu, penguasaan ilmu bahasa juga  menjadikan kemahiran yang diperoleh dapat membentuk sikap murid terhadap kehidupannya.  Maka keperluan berfikir aras tinggi perlu diadaptasikan dalam menyampaikan ilmu tersebut.

Dalam konteks pelaksanaan KBAT, guru perlu mahir mengasimilasikan kemahiran tersebut dengan keperluan kurikulum  BM.  Untuk tujuan tersebut, murid perlu didedahkan dengan aktiviti  pemikiran aras tinggi seperti membanding, menganalisis dan membuat inferens agar murid berupaya meningkatkan kefahaman dan mengukuhkan pembelajaran.

Berdasarkan kurikulum BM, kemahiran lisan dianggap penting terutama dalam konteks menyediakan murid berkomunikasi secara interpersonal sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.  Disebabkan kemahiran ini kurang ditekankan dalam pentaksiran bahasa, maka sering penekanan kemahiran ini sering diabaikan.  Guru mungkin beranggapan murid mahir menguasai kemahiran tersebut walaupun tidak diajar secara formal.  Pandangan seperti ini jika dibiarkan boleh memberi implikasi terhadap kebolehan berkomunikasi murid terutama apabila mereka berada dalam lingkungan kehidupan yang sebenar. Oleh itu, guru BM berperanan agar kemahiran tersebut dapat diajarkan bukan hanya untuk tujuan keperluan di dalam kurikulum tetapi juga dapat menguasai  maklumat dengan berkesan. 

Bagi memastikan murid mampu berkomunikasi menggunakan KBAT, maka guru boleh melaksanakan aktiviti lisan dengan menyediakan bahan dan tugasan yang mencabar minda mereka.  Contohnya dengan melaksanakan aktiviti main peranan dan simulasi bahasa,  guru perlu memberi peluang kepada murid merancang aktiviti kreatif sama ada secara berkumpulan ataupun individu.  Walau bagaimanapun, terdapat kelompok murid yang sememangnya memiliki kebolehan yang terbatas terutamanya dalam berkomunikasi interpersonal.  Hal ini boleh membataskan keupayaannya  mereka untuk menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan yang akan dialaminya dalam aktiviti kehidupan yang sebenarnya. 

Apakah peranan guru bagi memastikan murid yang lemah juga dapat melibatkan diri dalam aktiviti KBAT terutamanya dalam aktiviti lisan? Pemilihan aktiviti yang sesuai dengan kebolehan dan minat mereka boleh membantu mengurangkan masalah kurang daya fikir murid yang lemah dalam pembelajaran.  Contohnya guru boleh mengadakan sesi  soal jawab secara terancang dengan merendahkan tahap berfikir soalan yang dikemukakan. Apabila mereka telah menguasai aras rendah dengan baik, guru boleh mempertingkatkan tahap aras berfikir melalui soalan yang lebih mencabar. Sering berlaku apabila menjawab soalan pada aras tinggi, murid yang lemah terabai disebabkan mereka tidak mampu menjawabnya. 

Dalam pengajaran membaca teks untuk tujuan pemahaman, guru perlu menyediakan bahan yang boleh membantu murid membaca secara kritis.  Misalnya melalui teks jenis fakta atau naratif, pemikiran kritis murid dapat dijana dengan meminta murid membaca dan melakukan analisis kandungan teks.  Murid ditugaskan berfikiran kritis dengan meminta mereka membuat perbandingan isi kandungan jika teks yang dibaca dari jenis perbincangan.  Bagi teks berbentuk naratif, aktiviti berfikiran kreatif dapat diwujudkan melalui latihan membuat peleraian plot yang memerlukan murid merangka penutup cerita yang lebih menarik seperti menonjolkan kejadian yang tidak dijangka boleh berlaku. 

Kemahiran menulis merupakan kemahiran penting untuk  dikuasai oleh murid pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Pada peringkat sekolah rendah, mereka perlu memiliki daya pengecaman dan menulis huruf yang hinggalah boleh membina ayat.  Di samping itu, kemahiran menulis juga memerlukan murid bukan sahaja mampu menukilkan idea yang tersimpan dalam pemikirannya tetapi mereka juga perlu mampu mengorganisasikan idea tersebut agar dapat diterjemahkan dalam wacana yang dapat difahami pembaca.  

Bagi memastikan pelajar dapat mengaplikasikan KBAT dalam kemahiran menulis, guru perlu mampu mewujudkan persekitaran menulis yang kondusif.  Pengaruh iklim pembelajaran yang selesa tanpa tekanan mampu memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara terencana. Berikan murid peluang untuk menyampaikan, memperincikan idea, menganalisis maklumat, serta menyatakan pandangan dengan lancar. Untuk memastikan kelancaran dalam penghasilan sesuatu hasil penulisan, guru BM berperanan  mencungkil, memantapkan, dan menjadikan idea yang difikirkan terjelma dalam bentuk tulisan yang bukan sahaja boleh dibaca malahan boleh memberi kesan sama ada secara eksplisit mahupun intrinsik. Oleh itu bagi memastikan murid menguasai kemahiran menulis dengan baik, KBAT boleh digunakan melalui pedagogi yang terancang dengan baik. Guru BM perlu mahir menulis dan dapat mempamerkan kemahiran menulis kepada murid.  Di samping itu, dengan menggunakan pengurusan grafik yang baik, penulisan karangan boleh menjadi lebih baik kualitinya. 

 Untuk memastikan proses berfikir aras tinggi dapat dilaksanakan secara berkesan di dalam pengajaran dan pembelajaran BM, guru BM perlu menguasai aspek metakognitif.  Strategi metakognitif merujuk kepada cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai proses berfikir dan pembelajaran yang berlaku.  Melalui strategi ini murid dapat membuat refleksi terhadap maklumat yang diperoleh sama ada semasa aktiviti lisan, membaca, dan menulis. Dalam konteks kemahiran membaca, murid dapat difokuskan pemikirannya terutama dalam menetapkan tahap pemahaman masing-masing apabila melalui proses membaca.  Begitu juga dengan aktiviti kemahiran menulis, murid juga dapat melakarkan maklumat yang ingin ditulis secara jelas melalui refleksi yang diamalkan.

 Kadangkala, persekitaran yang disediakan juga tidak mampu untuk merangsang pemikiran murid menghasilkan penulisan yang baik.  Kesan persekitaran, pengalaman lalu murid, minat terhadap menulis, dorongan menulis dan strategi menulis yang didedahkan oleh guru sangat menyumbang kepada kualiti penulisan yang diharapkan. 

Dalam konteks menulis karangan, pemilihan tajuk yang bersifat hujahan atau fakta sangat sesuai untuk murid mengeluarkan hujah yang mampu mendorong ke arah berfikiran kritis. Di samping mengemukakan tajuk yang boleh menimbulkan polemik, guru juga perlu memberikan peluang kepada murid berfikiran secara kritis melalui aktiviti penulisan yang ringkas seperti membuat ulasan ringkas terhadap bahan berbentuk berita atau rencana yang dipetik dari media massa.  Dengan cara mengemukakan isu-isu semasa, guru mampu menambahkan skemata pengetahuan lalu mereka. 

Bagi memastikan aspek sistem bahasa dapat dikuasai dengan berkesan, guru boleh melakukan beberapa aktiviti yang mampu mendorong murid berfikiran lebih kritis.  Untuk menguasai konsep dan peraturan sistem bahasa yang perlu dikuasai oleh murid, pemilihan aktiviti belajar perlu diberikan keutamaan.  Guru perlu berperanan mengemukakan soalan yang dapat membantu murid kuasai kandungan sistem bahasa tanpa menghafal peraturan yang ada.  Contohnya dalam mempelajari golongan kata BM, guru boleh meminta murid menjawab siri soalan yang mengarah kepada penguasaan dalam pertuturan untuk tujuan komunikasi.  Di samping mengemukakan soalan secara terancang untuk memahirkan KBAT, guru juga perlu memastikan aspek sistem bahasa diaplikasikan dalam   menguasai kemahiran bahasa yang lain.

Jika aspek KBAT dikuasai dengan baik, ia akan menjadi satu alat yang berguna untuk membantu murid belajar. Seterusnya dapat meningkatkan prestasi pencapaian dan memperbaik kelemahan diri. Dalam konteks pengajaran BM, guru perlu mahir dalam memilih strategi belajar yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran bahasa. Jika dianalisis kandungan sukatan pelajaran BM, terdapat banyak hasil pembelajaran yang disenaraikan memberi peluang kepada pelajar menguasai strategi belajar melalui kemahiran bahasa.  Contohnya dalam kemahiran lisan, membaca, dan menulis banyak subkemahiran yang disenaraikan mampu membantu pelajar menguasai strategi belajar yang boleh meningkatkan prestasi akademik dalam mata pelajaran lain.  Oleh itu, guru BM berperanan menterjemahkan hasil pembelajaran itu dalam bentuk aktiviti KBAT yang boleh digunakan oleh murid semasa  mempelajari mata pelajaran yang lain.  Melalui aktiviti ini juga guru mengharapkan murid meningkatkan peningkatan daya fikiran mereka.

Kemahiran berfikir boleh diajar secara langsung atau tidak langsung bergantung pada objektif pengajaran yang ingin dicapai semasa proses belajar berlangsung.   Dalam konteks menyoal secara kritis, guru sebagai Di samping itu, strategi yang dianggap sangat berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran BM.  Strategi menggunakan soalan terancang memerlukan guru BM yang mahir dalam hal tersebut. Soalan berbentuk terbuka boleh dikemukakan dalam aktiviti lisan, membaca dan menulis.  Kelebihan soalan bentuk ini mampu menjana pemikiran murid semasa menjawab.  Di samping bentuk soalan, guru juga perlu mahir dalam teknik menyoal.  Menggunakan lingkaran soalan merupakan cara yang baik bagi mengaitkan antara soalan-soalan yang akan disoal.

Teknik menyoal merupakan satu keperluan dalam proses pengajaran dan pembelajaran BM. Menyoal dapat memotivasikan murid, menggalakkan pelajar berfikir dan mendapat respons berdasarkan aktiviti lisan, membaca dan menulis. Kajian-kajian juga mendapati guru BM kurang mahir dalam mengendalikan teknik menyoal.  Kebanyakan soalan yang dikemukakan hanya pada aras rendah dan hal ini memberi kesan terhadap kualiti pemikiran murid. 

Untuk memberikan respons terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang dikemukakan dalam belajar bahasa, guru bahasa boleh menggunakan kaedah perbincangan untuk meningkatkan kualiti berfikir murid.  Agak sukar untuk membangkitkan suasana berbincang dalam bilik darjah jika guru tidak memainkan peranan sebagai pemudah cara. Guru perlu mahir mengendalikan sesi perbincangan sama ada dijalankan dalam kumpulan kecil mahupun menggunakan kaedah kelas yang memerlukan penglibatan murid secara menyeluruh. Tajuk perbincangan yang diberikan kepada murid perlu menarik perhatian dan memudahkan aliran idea dikeluarkan dari pemikiran mereka.  Contohnya dalam aktiviti menulis karangan, guru boleh mendapatkan respons murid berdasarkan tajuk karangan yang diajukan melalui perbincangan. 

Alat pengurusan grafik pula boleh digunakan oleh guru BM dengan tujuan untuk memudahkan memahami sesuatu konsep.  Penggunaan pemetaan konsep menggunakan i-Think juga dapat membantu murid dalam kemahiran bahasa dan  sistem bahasa. Jika dibandingkan dengan pernyataan sesuatu konsep yang dibuat dengan cara huraian  secara linear, pengurusan grafik dapat membantu menguasai sesuatu topik secara lebih bersistem. Hal ini disebabkan pengurusan grafik dalam pembelajaran mementingkan penggunaan bentuk ilustrasi atau lakaran.  Dalam kemahiran membaca, alat pengurusan grafik  digunakan untuk membantu dan mengurus cara berfikir yang lebih tersusun dengan tujuan memantapkan pemikiran selepas membaca teks. Pengurusan grafik  dapat menggambarkan secara mudah dan jelas tentang sesuatu idea atau perkara dengan perhubungannya dalam pembacaan dengan aspek-aspek yang berkaitan.

Kaedah penyelesaian masalah juga diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran BM untuk tujuan meningkatkan KBAT. Kaedah ini merupakan usaha dalam bentuk proses kognitif dengan maklumat digunakan sebagai usaha untuk mencari cara yang sesuai bagi mencapai sesuatu matlamat. Guru BM perlu mahir mengembangkan pelbagai langkah penyelesaian kepada murid supaya menggalakkan mereka menggunakan unsur kognitif yang melibatkan proses penaakulan, pembinaan konsep, penilaian dan penyelesaian masalah. Langkah yang paling asas dan penting bagi membolehkan penyelesaian masalah ialah perlunya banyak pengalaman yang berbentuk konsep dan prinsip tentang pelbagai hal. Murid  sepatutnya digalakkan menyatakan pendapat mereka dan pendapat tersebut dihargai demi menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran berfikir semaksimum yang mungkin.


Kesimpulannya, aplikasi KBAT dalam pengajaran BM mampu membantu  murid  berfikir secara lebih mendalam, konsisten, produktif dan berkesan.  BM sebagai mata pelajaran teras dalam kurikulum pendidikan memerlukan usaha guru yang tekal dengan sentiasa memikirkan unsur kreativiti dan inovasi dalam menyampaikan kandungan pelajaran. Peranan guru BM juga perlu selaras dengan hasrat dan usaha Kementerian Pendidikan yang telah merancang  anjakan dalam meningkatkan mutu penguasaan BM.  Usaha yang berterusan dan peranan yang perlu dimainkan oleh guru BM terutama dalam meningkatkan KBAT melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu bagi memastikan objektif kurikulum BM dapat dicapai.  Peranan guru BM bukan setakat menyampaikan pengajaran BM seperti yang terkandung di dalam sukatan pelajaran, tetapi juga menuntut mereka berperanan sebagai penggerak dan pembuka minda dalam memikirkan unsur yang tersirat di dalamnya.

The Effects of Metacognitive Strategy in Reading Expository Texts


International Education Studies; Vol. 7, No. 13; 2014 ISSN 1913-9020 E-ISSN 1913-9039 Published by Canadian Center of Science and Education

The Effects of Metacognitive Strategy in Reading Expository Texts


Yahya Othman1, Zamri Mahamud1 & Noradinah Jaidi2
 1National University of malaysia
2Universiti of Brunei Darussalam
Correspondence: Yahya Othman, Faculty of Education, National University of Malaysia, 43600 UKM, Bangi, Malaysia. 
E-mail: yahya.othman@ukm.edu.my


Abstract
The purpose of this study is to evaluate the performance of student achievement during comprehension lesson using metacognitive strategy and examine the effects of the strategy used in reading and understanding expository text lessons. Besides, this study also identified metacognitive strategy used by students in all three reading processes (before reading, during reading and after reading). The research applied a quasi-experimental design. Research sample involved Standard 4 students from a government primary school in Muara Brunei District. Samples were divided into two groups, namely the experimental group and the control group. Each group involved 30 average-ranking students. Research results were analysed using independent t- test samples to assess the significant differences for mean of reading comprehension performance between control group and experimental group during pre and post tests. Meanwhile One Way Ancova analysis was used to determine the effects of using metacognitive strategy during reading comprehension lessons. Based on the t-test analysis, there was a significant difference of reading comprehension performance between the score of experimental group and control group, t = 12.96, p < 0.0. The analysis of One Way Ancova data, p= 0.00 < 0.05 (F " ratio = 493.22 / 2.25 = 219.41 p < 0.05) also proved that the significant effects of metacognitive strategy usage on comprehension lesson. Overall, the metacoginitve strategy used by the students in this study has proven to enhance students’ understanding on the texts that they have read.
Keywords: metacognitive strategy; lesson; reading and comprehension; expository text; quasi- experiment 

Artikel penuh baca di sini

Eksplorasi Eropah 4: Nice, Monaco & Cannes

Nice waktu malam
4 Disember 2015 : Selepas sarapan kami ke Promenade de Anglias (English Avaneu).  Di sini  kami dapat lihat keindahan pantai yang cantik dengan kawasan bersiar-siar yang luas. 

Sekitar pantai di Promenade de Anglias, Nice


Sempat juga melihat-lihat di pasar pagi Salome.  Pasar yang menjual pelbagai hasil penduduk di sekitar.  Terdapat pelbagai bunga-bungaan, buah-buahan, di samping kraftangan yang menarik.

Di pasar pagi Salome

Bunga-bunga segar


Bertemu pelancong dari Malaysia
Selepas maleta pasar pagi kami terus ke Cannes.  Nama ini sinonim dengan festival filem yang menampilkan dunia glamour artis terkenal.  Kami hanya sekadar melihat kawasan sekitar di sini yang terletak berhampiran pantai Mediteranean.  

Dunia glamour di Cannes

Ini bukan artis

Di marina Cannes



Selepas menghirup udara sejuk di Cannes kami ke St Paul De Vence tempat yang terkenal dengan galeri seni moden pelbagai genre.  Banyak galeri yang mempamerkan hasil seni di deretan kedai dalam kawasan bersejarah.

Kota tua St Paul de Vence

kenangan

Seterusnya hari ini kami balik semula ke Monaco dan melihat dari dekat keindahan negara paling kecil di Eropah dengan meneroka Grimaldi Dynasty.  Singgah sebentar di The Rock District sebahagian dari Monaco.  
sekitar Monaco

Di sisi Monaco 

Monaco waktu senja yang cantik

Gembira dapat sampai di Monaco..
Sekitar Monaco
Sebagai penamat lawatan hari ini, acara ini sangat dinanti-nantikan oleh mereka yang nak bergaya.    Walaupun penat, namun hati puas...

Long Champ..di Nice

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 ÙˆَÙ‚َضَÙ‰ٰ رَبُّÙƒَ Ø£َÙ„َّا تَعۡبُدُÙˆٓاْ Ø¥ِÙ„َّØ¢ Ø¥ِÙŠَّاهُ ÙˆَبِٱلۡÙˆَٰÙ„ِدَÙŠۡÙ†ِ Ø¥ِØ­ۡسَٰÙ†ًاۚ Ø¥ِÙ…َّا ÙŠَبۡÙ„ُغَÙ†َّ عِندَÙƒ...