DALIL
Firman Allah SWT:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ﴿١﴾ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢﴾ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ﴿٣﴾ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤
al-Muzzammil: 1-4
Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah al-Quran dengan tartil.”
TAFSIR AL MUNIR
Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya mengatakan ayat-ayat ini atau surah ini dimulakan dengan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi SAW agar mendirikan solat malam walaupun sebahagian kecil darinya (dari malam) dan pembacaan al-Quran untuk menguatkan rohani Nabi SAW. [Lihat: Tafsir al-Munir, 29/188]
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangkit bagi mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, kemudian tidurnya terlajak sampai ke pagi, maka dicatat niatnya itu sebagai satu pahala, manakala tidurnya pula dikira sebagai kurniaan Allah yang diberikan kepadanya.” (Riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah r.a.)
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Isra’; ayat 79)
KEBIASAAN ORANG SOLIH
Rasulullah SAW bersabda: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)
Solat malam merupakan solat afdhal untuk ditunaikan selepas daripada solat fardhu. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Imam Muslim:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:
وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الْفَرِيضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan solat yang afdhal selepas solat fardhu adalah solat malam.” [Riwayat Muslim (1163)]
CARA
Tiga pendapat:
Pada mulanya tidur, kemudian solat, kemudian tidur dan kemudiannya solat.
Bersolat setelah tidur terlebih dahulu.
Dilakukan selepas solat Isya’.
Inilah dakwaan oleh para ulama’ tabi’in berkaitan cara tahajjud. Boleh jadi mereka melandaskan pandangan itu kepada perbuatan Nabi SAW yang tidur dan solat, kemudian tidur, dan bangun bersolat.
Lantaran itu, mereka menjadikan perbuatan Baginda SAW itu sebagai menunjukkan bagaimana menjunjung perintah dalam ayat al-Quran terbabit. Jika demikian halnya, maka tidak jauh kemungkinan benarnya pendapat tersebut.
MAKAM TERPUJI
Mengapa Qiyamullail menjadi sebab untuk mencapai maqam yang terpuji?
Dalam hal ini, ada dua pendapat dalam kalangan ulama’:
Allah menjadikan apa sahaja yang Dia mahu sebagai sebab untuk mendapatkan kurnia-Nya sama ada diketahui hikmah di sebaliknya ataupun tidak.
BERSUNYI
Dalam qiyamullail mempunyai unsur bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah SWT tanpa pembabitan manusia lain. Justeru, Nabi dianugerahkan dapat bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah SWT pada hari Kiamat. Maka itulah maqam yang terpuji.
Manakala sekalian manusia yang lain tidak sama darjat masing-masing. Darjat yang paling tinggi dicapai ialah oleh Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda SAW dianugerahkan pelbagai kepujian yang tidak dianugerahkan kepada seorang pun, dan Baginda SAW dapat memberikan syafaat tertentu yang tidak dapat diberikan oleh orang lain.