Sabtu, 13 Jun 2020

Hidup yang fana



Sahabat lama dalam ABIM Tampin

Kamaruzaman Hasanudin adalah sahabat saya sejak 1978 lagi.  Dia berasal dari Taiping dan selepas tamat latihan perguruan ditepatkan di SM Gemencheh.  Saya pula mula menjadi guru pada 1978 di SM Tampin. Kami bertemu dan lebih rapat selepas kami mengajar di sekolah yang sama di Gemencheh pada tahun1979.  Ditambah rapatnya apabila kami berkahwin dengan isteri saya yang berjiran dengan rumah isteri Kamaruzaman di kampung Seri Asahan.  

Kami aktif dalam ABIM sekitar 1980-90 an.  Sahabat kami seperti Ustaz Abd Rahim , Dato' Azam, Baharom, Meor, Md Nor Yasin, Dol hamid adalah antara pemula gerakan ABIM di daerah Tampin.  Mereka kebanyakannya guru.  Banyak aktiviti seperti usrah, tamrin, muktamar dan rehlah yang menjadikan kami semakin rapat.  Kami sama-sama bangunkan TASKI Abim Gemencheh di samping membuka kedai runcit di pekan Gemencheh untuk tujuan ekonomi.  Pusat tuisyen juga kami bangunkan.

Setelah saya berpindah kerana mengajar di Felda palong 2 (1989), mengajar di maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (1992), UPM Serdang (1998) dan berhijrah ke Burunei (2008) hubungan kami semakin jauh.  Saya sesekali bertemu Kamaruzaman ketika pulang ke kampung Seri Asahan Gemencheh,. Itu pun sebab rumahnya di hadapan rumah isteri saya.  

Umur kami semakin meningkat dan setelah bersara pada 2018, Kamaruzaman sangat aktif menggerakkan aktiviti masjid Kg Seri Asahan.  Sememangnyab dia seorang yang gigih.  Dia juga cemerlang dalam kerjayanya.  Jawatan terakhirnya  sebagai Pengetua Cemerlang di SM di Gemas.

Walau bagaimanapun Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.  Pada 9 Jun 2020 yang lalu, Allah telah memanggil Kamaruzaman menemui-Nya. Setelah bertarung dengan serangan strok yang mengakibatkan pendarahan dalam otak, dia pergi buat selama-lamanya pada umur 62 tahun. Pemergiannya amat saya dirasakan.  Hilangnya seorang sahabat yang peramah, mudah membantu dan jiran yang baik.  Dialah  sahabat dan jiran yang rapat sejak zaman bujang kami.  Kini semua peristiwa lalu tinggal dalam lipatan ingatan. Hidup ini fana.  Tinggal sementara sebelum dipanggil oleh Yang Maha Pencipta.

Semoga roh Kamaruzaman  Hasanudin di tempatkan dalam kalangan para solihin dan mendapat reda dan rahmat Allah hingga ke syurga Jannah.  Amin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...