Isu bahasa rojak masih dibincangkan sehingga kini. Walaupun pelbagai gesaan dan peraturan cuba dilakukan, namun penggunaannya masih berlaku. Tidak kira di mana dituturkan, pencinta bahasa rojak ada di mana-mana. Dalam situasi rasmi atau sebaliknya, pengguna bahasa rojak mungkin terfikir, darjat sosialnya teguh bila bahasa rojak digunakan ketika berkomunikasi.
Dalam mengukuhkan kedaulatan bahasa Melayu, pernyataan dalam Perlembagaan sahaja tidak mencukupi. Hal ini bertambah parah apabila waktu beralih dengan cepat. Perubahan masa kadang kala ditandai dengan perlunya ada perubahan dalam cara bertutur dan berfikir. Sikap sebegini walaupun dianuti oleh banyak orang, jika dirujuk kepada aspek bahasa kebangsaan menjadikan nilai bahasa itu menjadi semakin parah. Kita perhatikan kecenderungan untuk menuturkan bahasa rojak menjadikan sensitiviti terhadap bahasa menjadi semakin rendah. Tiada aturan yang mampu dipertahankan apabila kalangan pemimpin dan penguasa menjadi selesa dengan bahasa rojak yang dituturkan.
Walaupun wujudnya dinamika dalam perubahan sesuatu bahasa, jika aspek asas bahasa tersebut tidak dijaga maka kita akan temui satu masa kelak bahasa itu sudah tidak memiliki identitinya. Bahasa yang 'entah ular entah belut' menjadi sukar ditentukan. Mungkin juga bahasa Melayu satu ketika nanti dirobek-robek akibat kerakusan pengguna yang tidak dapat dihalang.
Baca catatan Zulkifli Jalil di sini tentang "Bahasa apa ‘sekerat ular, sekerat belut’?"