Rabu, 25 Mei 2022

TADABBUR AL-QURAN

Semasa bulan Ramadan, antara amalan soleh yang dituntut ialah membaca al-Quran.  Al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadan.  Membaca al-Quran suatu ibadah yang mulia dan mempunyai banyak kelebihan.  Namun sekadar membaca tanpa memahami isi dan penghayatan makna belum mencapai matlamat dan tujuan utama al-Quran diturunkan. Membaca al-Quran dituntut untuk ditadabbur dan memahami isinya. Ini adalah tujuan utama Allah menurunkan al-Quran.  Allah berfirman yang maksudnya: "Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.  (al-Isra’ 17;9)

Tadabbur bermaksud melihat akibat atau kesan daripada sesuatu perkara atau perbuatan yang dilakukan. Tadabbur adalah pemerhatian, penelitian, renungan serta pengkajian yang dilakukan terhadap makna al-Quran. Proses ini berlaku melalui penelitian, renungan dan berfikir terhadap hakikat sesuatu atau sebahagiannya memerhatikan perkara disebaliknya

Menurut al-Qardhawi, tadabbur adalah memikirkan di sebalik sesuatu perkara yakni akibatnya. Tadabbur hampir dengan makna tafakkur. Namun makna tafakkur adalah menggerakkan hati atau memikirkan dalil. Manakala tadabbur menggerakkan fikiran tentang akibatnya. Selain itu, makna tadabbur menurut al-Zuhaili adalah merenungkan makna-maknanya dan meneliti kandungannya.  

"Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang- orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar."  (Saad 38:29)

Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi, rajin berusaha dan berilmu tinggi. Kefahaman terhadap al-Quran merupakan suatu anugerah daripada Allah swt. Ia dianugerahkan kepada mereka yang sungguh-sungguh mempelajari isi kandungan al-Quran. Namun pengamalan membaca al-Quran beserta tadabbur amat kurang dititikberatkan pada masyarakat kini. 

Kelemahan umat Islam ialah tidak memahami isi kandungan al-Quran.  Mereka membaca secara tartil dan bertajwid, namun kandungannya tidak diberikan perhatian.  Di dalam al-Quran mengandungi pelbagai khazanah kehidupan yang diturunkan oleh Allah ke pada Nabi Muhammmad s.a.w.  Oleh itu membaca tanpa tadabur bererti membaca tanpa matlamat khusus ke arah memahami kandungannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...