Jumaat, 6 Januari 2023

SALMAN AL-FARISI

Siapa Salman Al-Farisi?

Salman al-Farisi adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang lahir sebelum datangnya Islam melalui Nabi Muhammad SAW, lalu mengabdikan diri kepada agama Allah SWT sehingga pada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan. 

Beliau melalui pelbagai pengalaman getir untuk mencari kebenaran, dan akhirnya membawa peranan yang cukup besar dalam peristiwa awal perkembangan Islam di bumi Yathrib (Madinah).

Nama dan salasilah Salman Al-Farisi

Nama sebenar beliau adalah Mabah bin Budzkhasyah bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani, dan lebih dikenali sebagai Salman Al-Farisi. Beliau juga diberi panggilan sebagai Abu Abdillah dan menerima gelaran Salman al-Khair. Ayahnya merupakan ketua kampung di Jayyan, Parsi yang menganuti pegangan Majusi. 

Kelahiran Salman Al-Farisi

Salman dikatakan lahir pada abad ke-7 di sebuah kampung bernama Jayyan yang terletak di Isfahan, Parsi. Beliau menjadi anak yang dikasihi bapanya dan pernah menjadi penjaga api di sebuah kuil di mana terdapatnya tempat pemujaan orang Parsi. 

Kisah Hidup Salman Al-Farisi 

Sebelum datangnya Islam, Salman menganuti agama Majusi seperti ayahnya sehinggalah pada suatu hari dia tertarik dengan cara sembahyang orang-orang di sebuah gereja dan bertanyakan mengenai asal usul agama tersebut. Apabila dia memberitahu ayahnya mengenai hal tersebut, beliau telah dikurung malah kedua kakinya diikat menggunakan rantai kerana bimbang beliau akan pergi dan menukar agamanya. 

Namun beliau telah berjaya melepaskan diri dan pergi ke Syria untuk mengabdikan diri kepada agama Kristian di sana. Setelah beliau berkhidmat bersama beberapa paderi gereja begitu lamanya dan berpindah dari satu-satu tempat, akhirnya seorang paderi gereja yang terakhir beliau temui sebelum kematian paderi tersebut menyatakan bahawa akan muncul seorang nabi di Tanah Arab yang mempunyai sebuah reputasi dan kejujuran yang tinggi, orang tersebut adalah seorang yang akan menerima apa sahaja hadiah yang diberikan kepadanya tetapi tidak akan menerima sebarang sedekah untuk dirinya. 

Beliau telah mengikuti sebuah rombongan orang Arab, dari suku Kalb untuk membawanya ke Tanah Arab dan membayar mereka dengan semua wang yang beliau miliki. Namun, beliau telah ditipu dan dijual kepada seorang Yahudi di Wadi al-Qura (tempat di antara Madinah dan Syria) dan menjadi seorang hamba. Beliau kemudiannya dijual kepada seseorang daripada suku Bani Qurayzah, dan beliau dibawa ke Yathrib. 

Pada ketika itu juga, Rasulullah SAW telah mula menyebarkan Islam di bumi Mekkah, dan melakukan hijrah ke Yathrib lalu mempersatukan suku kaum Aus dan Khazraj di sebuah tempat bernama Quba. 

Mendengar akan berita itu, Salman membawa kurma yang dikumpul oleh beliau lalu pergi menemui Rasulullah SAW dan menyampaikan pemberiaanya itu sebagai sedekah untuk Rasulullah SAW dan para pengikutnya. Namun, Salman melihat Rasulullah SAW tidak menjamah pemberiannya dan hanya memberikan kepada para sahabat Nabi sahaja. 

Lalu, di hari berikutnya ketika Rasulullah SAW dan rombongan hijrah hendak pergi meninggalkan Quba menuju Madinah, Salman sekali lagi memberikan kurma yang dikumpulnya dan menyatakan bahawa itu adalah hadiah buat Rasulullah SAW kerana baginda tidak memakan pemberian sedekah sebelum ini. 

Sifat kejujuran yang tinggi yang ada pada Rasulullah SAW pada ketika itu membawa Salman untuk mempercayai baginda dan memeluk agama Islam. Setelah memeluk Islam, Salman telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW dengan bayaran dan syarat yang dikenakan keatas beliau. Jika ditanya kepadanya, ‘Kamu anak kepada siapa?’ Salman akan menjawab :”Aku Salman, anak kepada Islam daripada keturunan Adam”. 

Setelah itu, Salman Al-Farisi telah menjadi sahabat yang begitu dekat dengan Rasulullah. Abu Hurairah meriwayatkan: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW ketika Surah al-Jumuah diturunkan. Baginda membacanya:

وَءَاخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا۟ بِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka”  [Al-Jumu’ah (62):3]

Seseorang diantara mereka bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah orang yang disebutkan melalui ayat tersebut. Tetapi Rasulullah SAW tidak menjawab meskipun ditanya tiga kali. Lalu, Rasulullah SAW meletakkan tangannya pada Salman lalu berkata, ‘Demi jiwaku berada di tangan-Nya, meskipun jika iman terletak di bintang Suraya, nescaya akan dicapai oleh lelaki berbangsa Parsi (Salman)’.

Kebijaksanaan Salman Al-Farisi

Kebijaksanaan dan idea bernas dalam strategi peperangan Salman Al-Farisi dilihat ketika mana terjadinya Perang Khandaq antara umat Islam di Madinah dengan Kaum Musyrikin Quraisy. Beliau telah mencadangkan kepada pasukan tentera Muslim untuk menggali parit mengelilingi Madinah sebagai cara pertahanan bagi menyukarkan pasukan lawan menyerang kota Madinah. 

Ianya merupakan sebuah strategi dan inovasi ketenteraan yang amat baru dan tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Selain itu, beliau juga menjadi orang pertama yang melaukan terjemahan al-Quran kedalam bahasa asing kerana keluasan ilmu yang dimilikinya. 

Kewafatan Salman

Salman Al-Farisi telah meninggal pada tahun ke-35 Hijrah di Iraq, semasa pemerintahan Khalifah Uthman Affan.

Kebijaksaan dalam menginovasikan sesebuah perkara harus menjadi contoh kepada kita untuk terus berfikiran terkehadapan dan berpandangan luas dalam apa sahaja bidang. Kriteria yang ada pada Salman perlu diikuti oleh segenap generasi baik dalam ilmu duniawi, rohani diri mahupun keperibadian dalam diri. 

Sumber asal baca di sini

https://akumuslim.asia/salman-al-farisi-biodata-kisah-hidup/


Rabu, 4 Januari 2023

TERSILAP NIAT SOLAT ASAR, BOLEHKAH TUKAR KEPADA SOLAT ZOHOR?

Soalan:

Suatu ketika saya pernah bangun untuk solat Zohor, tapi entah kenapa dalam hati saya niatkan untuk solat Asar. Setelah masuk ke rakaat kedua barulah saya sedar akan perkara tersebut. Jadi adakah sah solat jika saya meniatkan dalam hati untuk menukarnya kepada solat Zohor dan menyambung solat seperti biasa? 

Ringkasan Jawapan:

Perbuatan menukar niat solat fardu kepada solat fardu yang lain ketika sedang solat akan menyebabkan solat yang sedang dilakukan seseorang itu terbatal, dan niat solat yang baharu itu juga tidak tercapai.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pada asalnya, antara perkara yang membatalkan solat ialah perbuatan menukar niat solat itu sendiri. Kata Imam al-Khatib al-Syarbini:

(وَ) السَّادِسُ (تَغْيِيرُ النِّيَّةِ) إلَى غَيْرِ الْمَنْوِيِّ، فَلَوْ قَلَبَ صَلَاتَهُ الَّتِي هُوَ فِيهَا صَلَاةً أُخْرَى عَالِمًا عَامِدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ

Maksudnya: Perkara keenam yang membatalkan solat ialah menukar niat kepada perkara yang tidak diniatkan pada asalnya; maka jika seseorang itu menukar solat yang sedang dilakukannya kepada solat lain secara sengaja, maka solatnya terbatal.[1]

Namun dalam hal ini terdapat perincian. Kata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’:

قال الماوَرْدِيُّ: نقلُ الصلاةِ إلى صلاةٍ أقسامٌ: أحدُها: نقلُ فرضٍ إلى فرض: فلا يحصلُ واحدٌ منهما، الثاني: نقلُ نفلٍ راتبٍ إلى نفلٍ راتبٍ؛ كَوِتْرٍ إلى سنةِ الفجر فلا يحصلُ واحدٌ منهما، الثالث: نقلُ نفلٍ إلى فرضٍ فلا يحصل واحدٌ منهما

Maksudnya: Kata al-Mawardi: Perpindahan satu solat kepada satu solat yang lain ada beberapa jenis. Pertama: Perpindahan solat fardhu kepada solat fardhu yang lain, maka tidak diperolehi salah satu dari duanya sama sekali. Kedua: Perpindahan sunat sunat ratib kepada solat sunat ratib yang lain, seperti dari solat witir kepada solat sunat fajar, maka tidak diperolehi salah satu daripada keduanya sama sekali. Ketiga: Perpindahan solat sunat kepada solat fardu, maka tidak diperolehi salah satu daripada kedua-duanya sama sekali.[2]

Imam al-Nawawi menyebut juga pada tempat yang lain:

مَتَى دَخَلَ فِي فَرِيضَةٍ ثُمَّ صَرَفَ نِيَّتَهُ إلَى فَرِيضَةٍ أُخْرَى أَوْ نَافِلَةٍ بَطَلَتْ الَّتِي كَانَ فِيهَا وَلَمْ يَحْصُلْ الَّتِي نَوَاهَا بِلَا خِلَافٍ لِمَا ذَكَرَهُ وَفِي انْقِلَابِهَا نَافِلَةً خِلَافٌ قَالَ أَصْحَابُنَا مَنْ أَتَى بِمَا يُنَافِي الْفَرِيضَةَ دُونَ النَّفْلِيَّةِ فِي أَوَّلِ فَرِيضَةٍ أَوْ اثنائها بطل فرضه

Maksudnya: Jika seseorang itu memulakan solat fardu, lalu dia menukar niatnya kepada solat fardu yang lain, atau solat sunat, maka batallah solat yang sedang dilakukannya, dan dia juga tidak memperoleh solat yang diniatkannya itu, tanpa sebarang khilaf berdasarkan apa yang disebut oleh para ulama. Adapun sama ada solat itu bertukar kepada solat sunat, padanya terdapat khilaf. Kata para ulama ashab: Sesiapa yang melakukan perkara yang menafikan perkara fardu, dan bukannya sunat, pada permulaan atau pertengahan ibadat fardu itu, maka batallah ibadah fardu yang dilakukannya itu.[3]

Hal yang sama disebut oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaily melalui contoh yang lebih jelas:

وَإِنْ دَخَلَ في فَريضَةٍ كَالظُّهْرِ، ثُمَّ صَرف نِيَّتَهُ إِلى فريضةٍ أُخْرَى كالعَصرِ، بَطَلَتْ صلاتُه

Maksudnya: Jika seseorang itu telah memulakan solat fardu contohnya Zohor, lalu dia menukar niatnya kepada solat fardu yang lain seperti Asar, maka batallah solatnya.[4]

Kesimpulannya, perbuatan menukar niat solat fardu kepada solat fardu yang lain ketika sedang solat akan menyebabkan solat yang sedang dilakukan seseorang itu terbatal, dan niat solat yang baharu itu juga tidak tercapai.

Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ oleh al-Khatib al-Syarbini (t.t) Beirut: Dar al-Fikr, tahqiq: Maktab al-Buhtuh wa al-Dirasat, 1/151

[2] Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Abu Zakariyya al-Nawawi (t.t) Dar al-Fikr, 4/211

[3] Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab, 3/286

[4] Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e oleh Muhammad al-Zuhaily (2014) Damshik: Dar al-Qalam, Cetakan Keempat, 1/238


Sumber:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5439-al-kafi-1900-tersilap-niat-solat-asar-bolehkah-tukar-kepada-solat-zohor


BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...