Jumaat, 31 Mac 2023

HIKMAH PUASA

Puasa merupakan madrasah akhlak yang besar dalam melatih keperibadian mukmin, melawan hawa nafsu daripada tergoda dengan tipu daya syaitan. Puasa mengajar erti amanah dan muqarabah kepada Allah SWT yang sentiasa sama ada dalam keadaan sir atau terang-terangan. Begitu juga menguatkan semangat dalam menambahkan lagi kesabaran.

Puasa membawa seorang mukmin mempunyai nizam dan disiplin yang tinggi. Hal ini berdasarkan waktu yang dihadkan untuk makan dan perlakuan ibadah.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabar, sama ada sabar melakukan ketaatan atau sabar menjauhi maksiat.”

Kami nukilkan juga di sini kenyataan daripada pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[5] dalam menjelaskan hikmah puasa, antaranya disebut:

Puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadah yang difardhukan oleh Allah. Puasa bermaksud, setiap orang Islam yang melakukannya kerana mematuhi perintah Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab keimanan kepadanya tanpa memandang sebarang kemungkinan yang berlaku sebagai natijah daripada ibadah tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi sesiapa yang berpuasa melihat apa-apa hikmah dan rahsia Ilahi yang tersembunyi di dalam ibadah yang lain. Adalah tidak diragui bahawa semua hukum Allah mempunyai hikmah, rahsia dan faedah untuk hamba-hambanya, namun mereka tidak disyaratkan mengetahui kesemuanya itu.

Ibadah puasa mempunyai beberapa hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah orang, tetapi banyak lagi yang masih tersembunyi daripada pengetahuan mereka. Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

Pertama: Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah SWT. Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya. Nafsunya yang ingin makan dan minum, namun wujud perasaan yang menyedari dirinya berpuasa, lantas menghalang keinginan tersebut. Dalam menghadapi dugaan sebegini, hatinya sedar terhadap pemerhatian Allah, lantas ianya mengingati Allah dan kekuasaan-Nya.

Kedua: Bulan Ramadhan merupakan bulan yang suci. Allah SWT menghendaki hamba-Nya supaya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan yang menghampirkan diri kepada-Nya. Pensyariatan puasa ini adalah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab hamba kepada-Nya.

Ketiga: Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya bertentangan dengan sifat seorang Islam. Justeru, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.

Keempat: Sifat berkasih sayang menjadi teras dalam membangunkan masyarakat Islam. Akan tetapi, orang kaya tidak dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai keperitan, kesempitan hidup dan kepahitan hidup yang diburu kelaparan. Oleh itu, bulan puasa merupakan waktu terbaik bagi golongan kaya untuk menyelami perasaan orang miskin.

Baca artikel penuh di sini.  

Sumber: https://maktabahalbakri.com/880-hikmah-di-sebalik-puasa/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...