Khamis, 6 Oktober 2011

Tahap stres pelajar Malaysia tinggi


Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, daripada 6,540 orang murid yang telah disaring, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus kemurungan yang teruk dan 4.8 peratus stres yang teruk.

Daripada jumlah semua pelajar yang disaring itu juga, kata beliau, seramai 2,345 iaitu 36 peratus murid telah mengikuti intervensi latihan kemahiran daya tindak kesihatan mental.

Sejumlah 279 guru pula dilatih untuk mengenal pasti dan mengendalikan masalah emosi, tingkah laku dan permasalahan mental di kalangan murid.

“Bilangan tersebut cukup tinggi, oleh yang demikian kementerian sedang berusaha untuk meningkatkan latihan dan kemahiran Gaya Daya Tindak ke atas pelajar di seluruh negara.

“Banyak sebab yang menjadi penyumbang kepada masalah pelajar dalam hal ini terutama sekolah, peperiksaan, keluarga dan sebagainya tetapi apa yang penting ialah melakukan persediaan awal mengenai kemahiran menangani stres,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ulasan: Sekarang adalah masa yang sesuai untuk melihat kembali senario sebenar pelaksanaan pendidikan di Malaysia. Adakah dapatan kajian ini boleh menggambarkan kesan dasar pendidikan negara yang banyak menumpukan kepada aspek hasil yang terteumpu kepada kejayaan akademik semata-mata? Adakah pelajar ke sekolah terbeban dengan kurikulum yang terlalu padat sehingga mereka sukar "bernafas"? Sejauhmanakah pelaksana dasar mengambil kira output pembelajaran yang dikaitkan dengan aspek kesegaran berfikir dalam iklim pembelajaran yang tersedia di sekolah?

Kesemua faktor yang difikirkan menjadi penyebab stres perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib agar kesan daripada isu ini dapat ditangani dengan baik

Rabu, 5 Oktober 2011

‘Lailaha Illallah’



SABDA Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Manusia ahli ‘Lailaha Illallah’ tidak akan merasa sunyi dan dukacita ketika dalam kubur dan bangkit darinya, seolah-olah mereka bangun dengan menguis tanah di atas kepalanya dengan berkata; segala puji bagi Allah yang telah menyingkir perasaan sedih dan dukacita daripada hatiku, sesungguhnya Engkaulah Tuhan tempatku memohon ampun dan bersyukur.”

Kesepian dan dukacita merupakan bala azab yang menyeksa jiwa manusia, lebih lebih lagi di alam barzah (kubur) yang keadaannya seorang diri. Bayangkan jika seseorang terdampar di gurun padang pasir, yang lengang tanpa kicau burung dan tanpa manusia. Pastilah ia amat sepi yang mencengkam jiwa.

Tidak berlaku kesepian dan kesunyian di alam kubur apabila semasa hayatnya sentiasa membaca dengan ikhlas dan sebanyak mungkin zikir ‘Lailaha illallah’. Apabila dilazimkan berzikir Lailaha illallah ketika ingat dan sedar, insya-Allah lidah akan sering bergetar menyebutnya ketika hati dalam situasi biasa.

Yang menjadi masalah ialah kelaziman bagi orang awam bertahlil hanya ketika berada di majlis rasmi di masjid atau majlis kenduri, waktu selebihnya lidah tersimpan sepi tanpa zikir.Tidak tahu ke mana hendak dituju selepas dibangkitkan dari kubur di akhirat kelak, seluruh manusia dihimpun di Mahsyar tanpa arah tuju. Mereka mencari Nabi Muhammad s.a.w. untuk mendapat pertolongan, tetapi tidak tahu di mana.

Meskipun ramainya insan tidak terhingga berhimpun di Mahsyar, namun mereka bagaikan tidak berteman kerana masing-masing dengan urusan yang hendak diselesaikan. Sebagaimana dinyatakan firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, daripada ibu dan bapanya, daripada isteri dan anak anaknya, setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan.” (Surah ‘Abasa ayat 34 hingga 37)

Hanya dengan membanyakkan zikir ‘Lailaha illallah’ semasa hidup di dunia sebutan dengan hati penuh ikhlas, Allah SWT janjikan fadilat yang akan mereka perolihi. Ialah tidak kesunyian dan dukacita pada hari Mahsyar yang amat kalut tetapi nafsi nafsi itu.Maksud ikhlas ialah dengan penuh keyakinan bahawa tiada tuhan Yang Maha berkuasa melainkan Allah, tidak berkehendak kecuali kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, Maha Bijaksana dan segala Maha lagi.

Layaklah mereka mendapat ganjaran syurga kerana mengucap ‘Lailaha illallah’ benar-benar bertauhid kepada-Nya. Dengan keyakinan yang berasaskan tauhid kepada Allah SWT, akan mencapai kemuncak nikmat.
Ketika menikmati kehidupan di alam barzah dibangkitan dari kubur, terus ke Mahsyar dan akhirnya memasuki syurga yang tidak dapat dibayangkan oleh akal fikiran.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ya Abu Hurairah, segala kebajikan yang kamu buat sama ada dalam bentuk amalan atau ucapan akan ditimbang di akhirat, kecuali ucapan ‘Lailaha illallah’ tidak akan ditimbang dengan dengan mizan biasa. Kalau pada ceper timbang yang sebelah ditaruh langit tujuh petala serta isinya, ceper yang sebelah lagi diletakkan ucapan ‘Lailaha illallah’ nescaya ia akan lebih berat lagi.”

Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurairah yang bermaksud: “Wahai Abu Hurairan, hendaklah kamu ajar orang yang hampir mati dengan ucapan ‘Lailaha illallah’ sesungguhnya kalimah ‘Lailaha illallah’ akan meruntuhkan segala dosanya.”

Sahabat bertanya; bahawa dibacakan kepada orang hampir mati, tetapi bagaimana pula terhadap orang yang hidup segar? Jawab Nabi s.a.w.: “Jika dibacakan kepada orang yang masih hidup ia lebih meruntuhkan lagi dosa-dosanya.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: “Wahai sekalian manusia di dunia ini, mempunyai bakat dan ada tokoh untuk memasuki syurga, kecuali orang tidak berhajat untuk memasukinya.”

Sahabat bertanya; ada jugakah manusia yang tidak berhajat masuk syurga? Jawab Nabi s.a.w.: “Memang ada iaitu mereka yang tidak menyebut ‘Lailaha illallah’ (maksudnya tidak beriman kepada Allah SWT).
Sabdanya lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut ‘Lailah illallah’ dengan penuh ikhlas, mereka akan masuk syurga.” Sebut saja kalimah ‘Lailaha illallah’ dengan tidak ikhlas maka tiada jaminan untuk memasuki syurga.

Untuk mengetahui ikhlas atau sebaliknya perhatilah amalan dan gerak geri selepas berzikir itu, jika tidak serupa dengan kehendak dan tuntutan kalimah ‘Lailaha illallah’ itu buktinya tidak ikhlas.

Halal dan haram sama saja, tidak gerun terhadap maksiat yang mendatangkan dosa. Itu tandanya tidak ikhlas Ada pandangan bahawa mukmin atau kafir itu masing masing. Ini tidak betul bahkan ia pendapat syaitan untuk menyenangkan orang yang tidak percaya Tuhan. Memanglah iman dan kufur itu terletak di dalam hati.

Bagaimanapun, perkara yang di dalam itu akan terbit dan menjadi tanda, perangai adalah kuntum bunga sebagai tanda yang terbit daripada pohon hati.
Seseorang boleh melindungi apa yang ada di hati tetapi untuk sementara waktu, kerana perbuatan dan perangai manusia akan tercetus setelah didorong oleh gelojak hati.

Oleh itu hendaklah dengan ikhlas berkata ‘Lailaha illallah’ sebanyak mungkin, sebelum seseorang itu disekat oleh takdir Allah SWT khususnya ajal.

Dipetik dari artikel oleh TG Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=16761

Ahad, 2 Oktober 2011

Morris Minor dan Bas Eng Giap

Zaman sekarang semua nak cepat. Nak pergi dari satu tempat ke tempat lain, kalau zaman dulu-dulu makan masa yang lama. Tambahan pula kalau tempat yang dituju agak jauh. Naik bas masa tahun 60an dah kira bagus. Apa lagi kalau naik kereta. Tentu lebih seronok bukan kepalang. Masa bersekolah rendah dulu pergi sekolah hanya berjalan kaki. Kalau hari hujan payungnya ialah daun pisang yang dicantas di belakang rumah. Tak ada masalah dan sernok pula kalau dapat main air hujan.

Cerita fasal naik kereta, masa di kampung dulu datuk saudara ketika itu ada miliki kereta Morris Minor warna hitam. Yang antiknya, lampu isyarat kereta yang terletak antara pintu belakang dan hadapan kereta akan terkeluar apabila isyarat dinyalakan. Kalau ada kereta jenis itu dikira sudah kaya. Apa lagi anaknya pula ada motorsikal jenis Norton. Kalau bunyinya seakan-akan Harley Davidson kini. Bukan main gah lagi lagaknya kalau lalu di jalan kampung. Ada sekali di malam hari raya saya diajak bersiar-siar keliling kampung oleh datuk saudara. Bukan kepalang sukanya hati dapat peluang nak naik kereta.

Semasa di tahan rancangan pula, ada juga peluang naik kereta pada tahun 60an dulu. Kebetulan ada Cina kontraktor tebang hutan untuk buka kebun getah tinggal di sebelah rumah. Pernah dia tawarkan naik kereta Morris Minor warna hitam juga. Syaratnya ialah perlu membasuh kereta dulu barulah hajat nak naik kereta ditunaikan. Apa lagi saya dan kawan-kawan pun terimalah tawaran tersebut. Maka dapatlah naik kereta Cina jiran saya itu. Seronok betul dapat naik kereta keliling tanah rancangan.

Satu lagi kenderaan yang dianggap penting ialah bas. Masa dikampung, jika nak ke pekan Tampin kena naik bas Eng Giap yang datang arah Kuala Pilah. Seronok naik bas masa kanak-kanak dulu. Pernah satu peristiwa pergi ke Tampin dengan kakak. Disebabkan jarang dapat naik bas, kakak tertekan loceng bas terlalu awal dari yang sepatutnya. Maka kenalah kami berjalan agak jauh dari yang sepatutnya. Selain itu, kalau sekolah adakan program lawatan ke Kuala Lumpur, maka sekali lagi dapat peluang naik bas.

Lain keadaannya sekarang. Semua pantas dan mudah diakses. Pelbagai kenderaan dapat digunakan untuk ke mana saja destinasi. Kalau jauh boleh naik kapal terbang. Kalau ada sungai atau laut naik feri atau bot. Kalau di atas jalan raya, berjenis kenderaan dapat dinaiki. Namun semua itu perlukan wang untuk digunakan. Oleh itu tidak semua dapat menikmati kemudahan itu.

Itulah nilai kehidupan yang banyak ditandai oleh kebendaan untuk memiliki sesuatu yang dihajatkan. Masih ada yang perlu berjalan kaki berbatu-batu untuk sampai ke destinasi. Kayuh sampan untuk ke sekolah. Naik basikal untuk ke pekan beli barang dapur. Terutama yang tinggal di pedalaman yang semuanya masih serba kurang.

Sabtu, 10 September 2011

Tangkoh Simat



Hari raya yang lalu saya dan keluarga (isteri, anak-anak, menantu dan cucu) balik ke kampong tempat saya dilahirkan hampir 54 tahun yang lalu. Nama kampong ini Kg Tangkoh, lebih kurang setengah jam memandu ke bandar Tampin, Negeri Sembilan. Pekan terhampir ialah Air Mawang. Masa dulu, banyak longgokan tahi lembu di tengah jalan. Itu pemandangan biasa. Lembu sangat merdeka masa itu. Bebas dari kongkongan tuannya. Sampai sekarangpun masih ada lagi lembu tidur di tengah jalan raya terutamanya waktu malam. Tapi perangai lembu tidur tengah jalan dah makin berkurang agaknya. Jika masa zaman kanak-kanak dulu, kami sering berjalan kaki saja ke pekan tersebut.

Ketika dalam darjah satu, saya sempat bersekolah di SK Nuri. Sekolah ini bangunan kayu saja. Permulaan hari sekolah, kami murid darjah satu dibawa melawat sekeliling kawasan sekolah. Hari orientasi agaknya. Dulu bawa duit belanja 10 sen pun dah cukup. Bersekolah di sini tidak lama. Lebih kurang sebulan sahaja sebab selepas itu keluarga kami berpindah ke tanah rancangan pada tahun 1961. Selalunya Abah akan hantar ke sekolah naik basikal. Bila balik dari sekolah selalu singgah di kedai barang Kana (India). Di sebelahnya ada kedai makan. Selalu beli pisang goreng dan ai skrim Malaysia!

Sekarang, keadaan kampung banyak yang telah berubah. Baik dari segi lanskap hinggalah kepada cara hidup orang kampung tak sama dengan dulu. Kebanyakan orang-tua sudah meninggal dunia. Yang mendiami tanah kampung kebanyakannya anak-anak mereka. Tapi sisa-sisa peninggalan pegangan adat perpatih masih lagi kuat diamalkan. Terutamanya jika berkaitan dengan pemilikan harta pusaka. Mereka mengutamakan hak pemilikan harta pusaka kepada anak perempuan berbanding anak lelaki. Saya melihat sendiri insiden tersebut yang kadangkala nampak tersasar dari hukum Islam. Pertimbangannya adalah adat yang perlu dipegang kukuh.

Aemasa berziarah saya bertemu dengan Muhamad Saiful, anak kepada dua pupu saya yang bekerja sebagai wartawan politik Utusan Malaysia. Saya tanya dia tentang trend berita dalam Utusan yang banyak menghentam pembangkang. Katanya itu adalah berita yang betul. Saya tak bercadang nak mengulas isu-isu politik panas di ruangan ini. Di samping itu saya juga sempat bertemu sepupu belah emak saudara (mak lang) yang dah meninggal dunia. Kebanyakan sepupu saya bekerja di Kuala Lumpur. Mereka sepakat untuk merayakan aidilfitri di rumah pusaka peninggalan keluarga. Mereka bersatu hati memegang amanah yang ditinggalkan oleh emak mereka. Ini adalah contoh pewaris yang mahu menjada kewujudan Kg. Tangkuh Simat, walaupun banyak rumah yang tinggal usang dan kepulangan sayapun hanya seketika di hari raya..

Jumaat, 9 September 2011

Usia perkahwinan



Apakah maksud perkahwinan? Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam[1]. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina (wikipedia)

Malangnya semakin ramai yang berkahwin tanpa menginsafi tuntutan yang wujud dalam ikatan tersebut. Ikatan pasangan tersebut akhirnya lerai dipertengahan jalan. Pelbagai alasan diberikan. Ada yang bangga apabila berita kehancuran keluarga yang dibina disiarkan dalam media. Oleh itu, bagi pasangan yang berhajat untuk mengikat ijab dan qabul perkahwinan,mereka perlu faham falsafah yang wujud dalam ikatan tersebut.

Baca berita dua warga emas di bawah memberi petunjuk bahawa mereka berkongsi kegembiraan dan kesedihan bersama. Ini pasangan bukan Islam yang tak mengerti hukum hakam. Dengan lanjutnya umur mereka, semakin kuat ikatan yang dibina..

2011/09/09
HANOI: Dua warga emas di Vietnam berhasrat memecahkan rekod perkahwinan paling lama di dunia.

Huynh Van Lac, 110, dan isterinya Nguyen Thi Lanh, 106, memecahkan rekod nasional untuk perkahwinan mereka selama 82 tahun minggu lalu, kata Pengarah Vietnam Records Book Centre, Le Tran Truong An. “Kami akan menghantar rekod perkahwinan paling lama kepada Guinness World Records selepas selesai kertas kerja,” katanya. Lac berkata, rahsia perkahwinan panjang mereka ialah tahu bagaimana menyesuaikan diri untuk hidup antara satu sama lain dan mengelak bertengkar.
“Orang ramai perlu tahu bagaimana berkongsi kegembiraan dan kesedihan antara satu sama lain,” katanya.

Lanh berkata, adalah penting untuk ‘sering melakukan senaman dan cuba berfikir positif.’

Menurut Guinness World Records, Herbert Fisher dan Zelmyra Fisher dari Amerika Syarikat berkahwin selama 86 tahun. Herbert meninggal dunia awal tahun ini. – Agensi

Isnin, 20 Jun 2011

arrahman

Surah Ar-Rahman (Arab: الرّحْمنن) adalah surah ke-55 dalam al-Qur'an. Surah ini tergolong surat makkiyah, terdiri atas 78 ayat. Dinamakan Ar-Rahmaan yang berarti Yang Maha Pemurah berasal dari kata Ar-Rahman yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Ar-Rahman adalah salah satu dari nama-nama Allah. Sebagian besar dari surah ini menerangkan kepemurahan Allah SWT. kepada hamba-hamba-Nya, yaitu dengan memberikan nikmat-nikmat yang tidak terhingga baik di dunia maupun di akhirat nanti.

Ciri khas surah ini adalah kalimat berulang 31 kali Fa-biayyi alaa'i Rabbi kuma tukadzdzi ban (Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?) yang terletak di akhir setiap ayat yang menjelaskan nikmat Allah yang diberikan kepada manusia.

Ahad, 19 Jun 2011

perihal felda lagi



Bagi rakyat Malaysia, nama Felda sering kedengaran dan dibincangkan secara terbuka hinggalah ke ruang perdebatan di parlimen. Sebab itu jugalah agaknya PM Najib meletakkan Felda di bawah kawalah istimewa JPM. Mungkin Felda sangat penting sama ada dari segi pulangan ekonomi dan juga talian hayat politik pemerintah. Begitulah besarkan kuasa yang wujud dalam Felda.

Dalam media arus perdana pula, berita tentang Felda memang tidak asing lagi dan selalunya dalam nada yang positif. Nampaknya seperti Felda badan yang paling berjaya dalam menguruskan harta peneroka yang mendiaminya serta bisnes yang dijalankan sama ada dalam atau luar negara. Walau bagaimanapun, berita-berita sensasi berkaitan Felda banyak tersiar dala media alternatif yang lain. Sebagai generasi kedua Felda, saya terpanggil untuk membuka pandangan yang perlu diberikan perhatian agar kelangsungan Felda dapat diteruskan dengan jayanya.

Baru-baru ini banyak persoalan berita yang tidak enak didengar. Dari kes perbicaraan di mahkamah, disahkan bahawa Felda didapati bersalah dalam urusan pentadbirannya dengan peneroka Felda. Kebanyakannya berkaitan salah laku mengurus kepenting peneroka. Sudah beberapa kali Felda didapati bersalah dan perlu membayar ganti rugi yang bernilai jutaan ringgit kepada peneroka. Moral cerita ini ialah, pihak Felda telah menggunakan ruang dan peluang yang ada dalam mengeksploitasi kelemahan sama ada dari segi ilmu pengetahuan atau kecerdikan para penerokanya. Namun dalam dunia yang ramai manusia berfikiran kritis, segala salah laku dapat dihidu dan diadili. Mungkin ada banyak lagi salah laku Felda yang tidak dikorek untuk diketengahkan di muka pengadilan. Namun dalam dunia yang masyarakat semakin kritis menilai sesuatu yang salah, pihak Felda perlu berhadapan dengan ancaman dunia baru Felda yang penerokanya semakin celik menghidu kebejatan tuannya.

Bukannya tidak berterima kasih dengan sumbangan Felda, tetapi kemusnahan dan tipu daya yang dilakukan perlu diadili dengan saksama agar peneroka tidak lagi seperti lembu yang ditindik hidungnya.

Baca berita-berita berkaitan Felda ini. Baca juga berita ini. Berita ini juga cerita hal yang sama. Yang ini berita peneroka menang lagi di mahkamah 1.2 juta.

Fikirkan seterusnya apa akan terjadi kepada bumi Felda..

KESAN DOSA

  Kesan dosa sangat besar, meliputi kerosakan hati (gelisah, hilang cahaya, sukar ilmu masuk), jauh dari Allah, hilang keberkatan rezeki, t...