Sabtu, 18 Februari 2012

Penggunaan gaya bahasa perbandingan dalam penulisan karangan naratif



Nurliham Tuah
Yahya Othman

Abstrak

Kajian ini meneliti penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan naratif pelajar tingkatan enam. Kajian kualitatif ini memfokuskan aspek gaya bahasa yang semakin kurang diberikan perhatian semasa menulis karangan. Hal ini menyebabkan kualiti penulisan dari segi nilai estetika dan yang melibatkan stilistik kurang wujud dalam teks yang dihasilkan. Sampel kajian terdiri dari 40 pelajar tingkatan enam di sebuah Pusat Tingkatan Enam di Brunei Darussalam. Data berdasarkan hasil penulisan karangan pelajar dianalisis dengan mengkategorikan berdasarkan aspek gaya bahasa yang dikenal pasti. Dapatan menunjukkan terdapat variasi dalam penggunaan gaya bahasa dalam karangan naratif. Gaya bahasa yang sering digunakan oleh pelajar dikategorikan sebagai simile, hiperbola, metafora, personafikasi, eufemisme, litotes dan gaya yang tidak bergaya. Walau bagaimanapun, penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan sampel kajian masih lagi perlu diberikan perhatian bagi memastikan kualiti penulisan dari segi estetik dapat dipertingkatkan.

Kata kunci: gaya bahasa, karangan naratif


baca artikel penuh di sini

Rabu, 15 Februari 2012

MEMPERKASAKAN BAHASA: KOMITMEN DAN PROFESIONALISME GURU BAHASA MELAYU


Yahya Othman, PhD.

Kumpulan Akademik Pendidikan Bahasa dan Literasi
Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah
Universiti Brunei Darussalam

Abstrak

Komitmen dan profesionalisme guru sering berjalan seiringan. Guru yang berkomitmen tinggi selalunya dianggap sebagai guru yang profesional. Dalam konteks guru Bahasa Melayu (BM), persoalan berkaitan ciri guru berkomitmen dan profesional sering ditimbulkan dalam kelangsungan pendidikan bahasa. Hal ini juga disebabkan wujud hubungan antara kedua-dua ciri guru tersebut dengan keupayaan pelajar menguasai bahasa. Oleh itu, dalam kajian ini akan meneliti tahap komitmen dan profesional guru bahasa dalam mengajarkan BM. Kajian secara tinjauan ini melibatkan sampel kajian yang terdiri daripada guru-guru BM di sebuah daerah di Seremban, Negeri Sembilan. Alat kajian yang digunakan adalah soal selidik berdasarkan pernyataan berkaitan komitmen dan profesionalisme guru BM. Data dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif iaitu min, peratus dan sisihan piawai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap komitmen sampel kajian terhadap tugas dan pelaksanaan tugas adalah tinggi. Manakala aspek ciri profesionalsme guru pula menunjukkan penguasaan aspek pelaksanaan agak tinggi dan aspek latihan menunjukkan mereka masih memerlukan latihan yang berkaitan dengan pemajuan profesionalisme.

artikel penuh di sini

Selasa, 14 Februari 2012

Penelitian pengajaran membaca menggunakan kaedah fonik di sebuah prasekolah di Brunei darussalam

oleh,
Yahya Othman, Aisah binti Hj Md.Daud, Azmey bin Hj Othman,
Dk. Siti Ardiah binti Pg. Mohiddin, Maszuraimah Muizz binti Hj Sulaiman
Universiti Brunei Darussalam

Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk melihat cara guru mengaplikasikan kaedah fonik dalam peringkat prasekolah. Di samping itu, kajian ini juga melihat penerimaan murid terhadap pengajaran guru. Kajian yang menggunakan kaedah kualitatif ini melibatkan seramai tiga orang guru dan 69 orang murid sebagai responden kajian. Tiga jenis alat kajian digunakan bagi mendapatkan data, iaitu analisis dokumen, borang pemerhatian dan temu bual. Data yang diperolehi akan dianalisis dan dihuraikan secara deskriptif. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa guru mengaplikasikan kaedah fonik sepenuhnya seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan. Kaedah fonik ini juga didapati memberikan kesan positif kepada prestasi pembelajaran murid, iaitu murid berupaya mempercepatkan proses kemahiran membaca mereka. Selain itu, murid didapati lebih bermotivasi dan berminat untuk membaca pelbagai jenis bahan bacaan termasuk bahan bacaan yang disampaikan dalam bahasa Inggeris.

Kata kunci:membaca, kaedah fonik, prasekolah

artikel penuh  di sini

Ahad, 5 Februari 2012

Maulidurrasul dan perarakan

Maulidur Rasul Bukan Sekadar Berarak

Dr Yaakob Sapari,


Menjelang Rabiu’awwal, menjadi kemestian dimana umat Islam akan menyambut hari tersebut dengan pelbagai cara dan gaya. Lazimnya, di desa dan kampung, sambutan diadakan dengan majlis berzanji dan membaca rawi. Semua sanak saudara, rakan-taulan dijemput bersama-sama menghadiri majlis tersebut. Pastinya ia sesuatu yang cukup bermakna.

Di bandar pula, umumnya mengetahui bahawa sambutan Maulidir Rasul ini, pasti bertambah meriah dengan disertai perarakan. Ribuan manusia akan berarak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam suasana yang begitu menggembirakan. Dalam hal ini, baik muda mahupun tua, semuanya bersemangat untuk tidak melepaskan peluang turut serta dalam perarakan tersebut.

Persoalannya, mengapa majlis berzanji dan perarakan ini diadakan sempena maulid nabi? Mengikut sejarah, sememangnya budaya ini tidak pernah disambut pada zaman Rasulullah. Mana tidaknya, Rasulullah senantiasa ada bagi membincangkan persoalan agama sekaligus menyempurnakan agama ketika itu. Hanya pada zaman fatimiyyah, setelah berlalu tempoh yang panjang di kala umat Islam mula melonggarkan ajaran agama, maka timbul idea dari pemimpin-pemimpin Islam ketika itu untuk mengadakan hari-hari tertentu bagi mengajak umat Islam kembali memahami ajaran agama. Dalam kaitan ini, maka memperingati hari Israk dan Mikraj, sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya telah diadakan.

Oleh yang demikian, hari-hari penting dalam Islam kini telah disambut dengan pelbagai cara antaranya dengan mengadakan ceramah, kuliah, seminar, perarakan dan pelbagai lagi. Cuma, wajarkah sambutan Maulidur Rasul itu disambut dengan perarakan besar-besaran sehingga menelan belanja begitu besar bagi menghadapinya? Dua tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Hal ini menimbulkan kekecohan dalam masyarakat sehingga ramai yang mengkritik dan tidak kurang juga yang memuji. Lebih mendukacitakan, mengapa kita lebih menitik-beratkan hal yang hanya cabang dalam agama berbanding hal yang lebih berat seperti masalah akidah dan keruntuhan akhlak yang masih kitikal pada masa kini.

Pada hemat saya, perarakan bukanlah jalan terbaik dalam menyambut sambutan Maulidur Rasul. Kerana rata-rata masyarakat hanya memahami ‘kulit’ berbanding ‘isi’. Apa tujuan perarakan tersebut? Adakah dengan perarakan dengan berpakaian berwarna-warni yang disertai selawat beramai-ramai, mengibarkan pelbagai cogan kata pujian di sepanduk-sepanduk itu mampu memperingatkan kita kepada Baginda Rasul junjungan?

Dalam hal ini, cara sebenar memperingati Rasulullah adalah melalui penghayatan. Penghayatan di sini bermaksud, penghayatan mengenai syariat. Dalam kerangka yang lebih besar, syariat yang dimaksudkan adalah dari sudut akhlaq, sahsiah, budaya, perundangan, pendidikan dan lain-lain. Mengapa sehingga kini, penghayatan dalam semua elemen tadi tidak dipraktikkan? Walhal, ini adalah sunnah (ikutan) yang diajar oleh Baginda Nabi. Jika penghayatan syariat ini masih kabur dalam pengamalan masyarakat, maka tidak hairanlah seandainya rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai penyelewengan masih berlaku sekarang ini.

Justeru, perarakan tidak boleh dijadikan kayu ukur kecintaan kepada Rasulullah. Bagi menghindari taqlid buta yang diamal dalam masyarakat, maka, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memberi kefahaman melalui program-program ilmiah yang disusun melalui masjid dan surau. Tambahan pula, bulan Rabiu’awwal merupakan bulan menyambut kelahiran Baginda, justeru, amat wajar umat Islam memperbanyak selawat ke atas Baginda. Firman Allah Taala ”sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas nabi..,” (Al-Ahzab: 56)

Tambahan pula, majlis bacaan kitab sirah, seperti kitab Syamaail Muhammad karangan Imam Tarmizi, yang mengisahkan secara mendalam tentang hal keperibadian Rasulullah sewajarnya diadakan bagi memberi kefahaman sebenar kepada Umat Islam agar mereka lebih mencintai Rasulullah dan mengambil pengajaran dari perjuangan Baginda melalui pendekatan pendidikan berbanding perarakan semata-mata yang wajar dijauhi.



YB DR HJ YAAKOB SAPARI

EXCO Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar

Khamis, 2 Februari 2012

Cabaran Borneo_Sindumin


Kadangkala kita tidak terfikir bahawa ada perkara yang kita anggap tidak penting tetapi orang lain memikirkan sebaliknya. Contohnya soal sempadan negeri dalam Malaysia. Disebabkan telah termaktub dalam perlembagaan negeri melalui peraturan imegresen di Malaysia Timur, menyeberang sempadan antara Sarawak dan Sabah perlukan pasport pelawat dicop. Dalam hal ini, untuk memasuki Sabah dari Sarawak, kami perlu melalui Sindumin iaitu sempadan antara Sarawak dengan Sabah. Semasa sampai di Sendumin, kami perlu melalui pos imegresen yang letaknya sempadan kedua-dua negeri tersebut.

Bagi kami yang pertama kali melalui pos ini tidak begitu perasan dan tidak tahu peraturan imegresen tersebut. Disangkakan pasport hanya perlu dicop pada satu kaunter sahaja. Jadi pasport kami dicop pada kaunter sebelah Sarawak sahaja. Padahal kaunter untuk imegresen bahagian Sabah hanya di sebelah hadapannya sahaja. Oleh kerana tidak ada arahan atau papan tanda yang jelas untuk berbuat demikian, maka kami lewati kaunter bahagian Sabah tanpa dicop pasport. Kebetulan tiada kereta yang berada di hadapan kami ketika itu yang dapat kami jadikan ikutan yang mudah. Maka masuklah kami ke Sabah dari Sarawak tanpa mengikut aturan imegresen yang betul.

Walau bagaimanapun, semasa kami balik dari Sabah dan masuk semula ke Sarawak, pegawai imegresen kaunter Sabah memaklumkan secara lisan agar kami cop pasport di kaunter Sarawak. Hal ini mungkin pegawai itu dapat mengesan bahawa pasport kami tidak dicop semasa memasuki Sabah tempuhari. Dalam hati pegawai itu mungkin menyangka yang kami tidak tahu aturan atau sengaja langgar aturan!

Oleh itu, bagi pekara atau peraturan penting seperti menyeberang sempadan negara serta melibatkan isu keselamatan, perlu disediakan paparan maklumat yang mudah untuk diikuti. Jika tidak, kawalan yang dilakukan kelihatan longgar dan tidak berkesan. Wujudnya pos imegresen juga kelihatannya sekadar perlu sahaja.



Sebenarnya banyak perkara yang dilakukan secara tidak berkesan dalam urusan pentadbiran. Kadangkala wujudnya tidak memberi kesan kepada pengguna atau orang awam disebabkan faktor paparan maklumat tidak jelas dan tidak lengkap. Maka sudah tentu akan memberi impak negatif kepada agensi yang diberikan tanggungjawab pelaksana dan membazirkan banyak tenaga. Di samping itu boleh menyusahkan orang yang menggunakan perkhidmatan tersebut. Pembaziran tenaga tersebut seperti orang kampung saya kata, "kojo kau ni, buang boreh sajo" (kerja kamu ini hanya membuang beras saja).

Khamis, 19 Januari 2012

prabayar


Maksud prabayar dalam Kamus Dewan ialah telah dibayar terlebih dahulu . Sering digunakan dalam perkhidmatan telefon mudah alih. Bagi yang tidak suka membayar bil, maka prabayar merupakan pilihan yang baik. Di samping khidmat telefon, prabayar juga digunakan dalam perkhidmatan lain seperti melalui kad touch n go . Kaedah yang digunakan juga berkaitan prabayar. Jika dalam kad tersebut tiada jumlah yang mencukupi untuk membayar tol lebuhraya misalnya, maka pemandu akan menghadapi masalah. Oleh itu, pengguna perlu memastikan jumlah wang yang cukup di dalam kad tersebut untuk membayar tol atau parkir.


Di sesetengah universiti, sistem pembelian makanan di kafe dan perjalanan bas dalam kampus juga telah menggunakan sistem ini. Jadi pelajar akan merasa mudah untuk berurusan semasa membeli makanan dan juga merancang perjalanan.


Di beberapa negara, perkhidmatan elektrik juga menggunakan sistem prabayar. Maksudnya, pengguna perlu membayar sejumlah wang terlebih dahulu sebelum menggunakan tenaga elektrik di premis masing-masing.

Di samping itu, penggunaan sistem perkhidmatan prabayar juga melatih pengguna merancang perbelanjaan dengan lebih baik. Contohnya jika pengguna tahu baki kad prabayar telefon mudah alih, maka ia boleh mengubah suai cara penggunaan perkhidmatan tersebut. Meringkaskan perbualan telefon, bersedia untuk menambah jumlah baki wang dalam sistem prabayar tersebut. Begitu juga dengan perkhidmatan elektrik. Pengguna perlu memastikan jumlah baki yang mencukupi tertera di dalam meter elektrik.



Walau bagaimanapun, apabila pengguna kurang mengambil tahu baki yang terkandung di dalam perkhidmatan prabayar yang dilanggan, banyak masalah boleh timbul. Contohnya, bila terlupa untuk melihat baki wang pada meter elektrik, maka kesusahan akan timbul bila bakinya tinggal pada tahap paling minimum. Jika ketika meneliti meter elektrik yang hampir habis bakinya pada waktu malam, sudah tentu akan timbul kesusahan yang besar pada pengguna. Kalau di Brunei, pembelian prabayar elektrik hanya boleh dibuat pada waktu pejabat sahaja. Oleh itu, pengguna perlu merancang dan sering meneliti baki prabayar pada meter elektrik jika tidak mahu bekalan elektrik terputus pada waktu malam.

Hal ini terjadi pada saya baru-baru ini. Disebabkan kecuaian tidak meneliti meter elektrik, bekalan terputus pada sebelah petang dan mungkin pilihan atasi masalah malam itu ialah menelefon hotel untuk bermalam di sana..Bagaimana jika keluarga yang besar bilangan ahlinya?

Moral cerita ini ialah perlunya sikap beringat dan prihatin terhadap perkhidmatan prabayar yang dilanggani sama ada telefon, parkir, lebuhraya, makanan, elektrik dan sebagainya kerana kecuaian dan kelalaian pengguna akan menimbulkan pelbagai masalah.

Rabu, 18 Januari 2012

Cabaran Borneo



Cabaran Borneo ini telah lama saya rancang. Sejak pertama kali menjejakkan kaki di Brunei saya sudah memasang cita-cita tersebut. Maksud cabaran ini ialah menjelajah Borneo dari Brunei, Sarawak dan Sabah. Walaupun jelajah ini tidaklah seluas mana kawasan yang diliputinya, namun idea ini sangat mengujakan saya.

Setelah selesai majlis perkahwinan anak lelaki saya pada 11 Disember 2011 yang lalu, seminggu selepas itu saya bersama-sama isteri dan anak lelaki keempat ('Arif) terus balik ke Brunei. Arif dibawa bersama bagi tugas pemandu kereta yang boleh diharapkan. Saya terpaksa memendekkan cuti di Malaysia sebab pada hari saya balik semula ke Brunei (18 Diember) merupakan hari terakhir cuti bagi kontrak pertama saya dengan Universiti Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, kontrak saya dilanjutkan setahun lagi sehingga Disember 2012. Oleh itu, saya merasakan inilah waktu yang paling sesuai untuk memulakan jelajah Borneo sebelum balik ke semenanjung Malaysia pada hujung tahun ini.



Kami memulakan perjalanan pada 20 Disember 2011.Kami memohon doa agar perjalan ini dirahmati Allah dan selamat dari mara bahaya. Setelah semuanya telah sedia, kami tiga beranak memulakan perjalanan seawal lepas subuh (lebih kurang 530 pagi)dengan harapan untuk mengejar kedudukan terawal di pos Imigresen Kuala Lurah, Brunei. Namun usaha untuk tersebut gagal apabila deretan kenderaan sudah hampir tiga suku kilometer panjangnya berbaris dalam kegelapan selepas subuh. Apabila kaunter pos dibuka pada jam 6 pagi, setelah hampir empat puluh minit (640 pagi) baharulah selesai di pos imegresen yang pertama. Menunggu lama ketika musim cuti sekolah di pos imigresen Brunei sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk di sini. Mungkin kereta yang berada paling hadapan sudah menunggu sejak sebelum subuh lagi agaknya! Oleh itu, kesabaran adalah senjata utama bagi mengelakkan dari naiknya bacaan tekanan darah dalam kebanyakan hal yang melibatkan kerja menunggu di sini.

Selang beberapa meter ke hadapan ialah pos imegresen Malaysia. Tidak ada kenderaan yang beratur panjang di sini dan urusan pasport ambil masa yang amat cepat. Alhamdulillah setelah memandu dalam setengah jam kami sampai ke bandar Limbang. Kami berhenti sebentar di stesen minyak di situ untuk membeli sedikit makanan untuk sarapan semasa dalam perjalanan.



Selepas memasuki Sarawak di Limbang, kami perlu keluar semula untuk memasuki wilayah Brunei di Temburung. Jadi pasport perlu dicop di imigresen Malaysia dan Brunei. Yang menariknya ialah untuk memasuki semula Brunei, kenderaan perlu menaiki feri yang ditarik dengan kabel bagi meneyeberang sungai yang luasnya beberapa meter saja. Masa yang diambil untuk ke seberang tak sampai lima minit. Menurut cerita, sudah lama rancangan untuk bina jambatan ubtuk hubngkan kedua-dua negara. Namun hingga sekarang masih belum jadi kenyataan. Oleh kerana kenderaan yang menunggu untuk menaiki feri tidaklah begitu banyak, maka masa menunggu untuk melepasi sungai kecil itu ambil masa sekitar setengah jam.

Inilah kali pertama saya ke Temburung, sebuah daerah Burei yang terpisah oleh wujudnya Limbang. Memasuki daerah Temburung menjadikan fikiran saya berubah dari segi lanskapnya. Ketika dalam kawasan Limbang kelihatanya kurang terurus persekitarannya. Namun apabila memasuki Temburung Brunei, suasana agak berbeza dari segi keceriaan pemandangan dan kebersihan persekiran.



Setelah memasuki daerah Temburung Brunei, kami perlu keluar semula untuk memasuki bumi Sarawak. Pos Imegresen Puni perlu dilewati untuk mesuk semula ke Malaysia. Begitulah uniknya perjalanan kami keluar masuk antara Brunei dan Malaysia dengan menempuhi tiga pos imegresen (Pos Brunei-Pos Malaysia, Pos Malaysia-Pos Brunei, dan Pos Brunei-Pos Malaysia semula). Wah, banyak peluang pekerjaan pegawai imigresen boleh wujud dengan adanya pos ini.

Seterusnya, kami akan melewati Lawas, Sarawak. Perjalanan ke Kota Kinabalu masih jauh..

bersambung..

KESAN DOSA

  Kesan dosa sangat besar, meliputi kerosakan hati (gelisah, hilang cahaya, sukar ilmu masuk), jauh dari Allah, hilang keberkatan rezeki, t...