Jumaat, 31 Mac 2023

HIKMAH PUASA

Puasa merupakan madrasah akhlak yang besar dalam melatih keperibadian mukmin, melawan hawa nafsu daripada tergoda dengan tipu daya syaitan. Puasa mengajar erti amanah dan muqarabah kepada Allah SWT yang sentiasa sama ada dalam keadaan sir atau terang-terangan. Begitu juga menguatkan semangat dalam menambahkan lagi kesabaran.

Puasa membawa seorang mukmin mempunyai nizam dan disiplin yang tinggi. Hal ini berdasarkan waktu yang dihadkan untuk makan dan perlakuan ibadah.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabar, sama ada sabar melakukan ketaatan atau sabar menjauhi maksiat.”

Kami nukilkan juga di sini kenyataan daripada pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[5] dalam menjelaskan hikmah puasa, antaranya disebut:

Puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadah yang difardhukan oleh Allah. Puasa bermaksud, setiap orang Islam yang melakukannya kerana mematuhi perintah Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab keimanan kepadanya tanpa memandang sebarang kemungkinan yang berlaku sebagai natijah daripada ibadah tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi sesiapa yang berpuasa melihat apa-apa hikmah dan rahsia Ilahi yang tersembunyi di dalam ibadah yang lain. Adalah tidak diragui bahawa semua hukum Allah mempunyai hikmah, rahsia dan faedah untuk hamba-hambanya, namun mereka tidak disyaratkan mengetahui kesemuanya itu.

Ibadah puasa mempunyai beberapa hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah orang, tetapi banyak lagi yang masih tersembunyi daripada pengetahuan mereka. Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

Pertama: Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah SWT. Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya. Nafsunya yang ingin makan dan minum, namun wujud perasaan yang menyedari dirinya berpuasa, lantas menghalang keinginan tersebut. Dalam menghadapi dugaan sebegini, hatinya sedar terhadap pemerhatian Allah, lantas ianya mengingati Allah dan kekuasaan-Nya.

Kedua: Bulan Ramadhan merupakan bulan yang suci. Allah SWT menghendaki hamba-Nya supaya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan yang menghampirkan diri kepada-Nya. Pensyariatan puasa ini adalah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab hamba kepada-Nya.

Ketiga: Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya bertentangan dengan sifat seorang Islam. Justeru, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.

Keempat: Sifat berkasih sayang menjadi teras dalam membangunkan masyarakat Islam. Akan tetapi, orang kaya tidak dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai keperitan, kesempitan hidup dan kepahitan hidup yang diburu kelaparan. Oleh itu, bulan puasa merupakan waktu terbaik bagi golongan kaya untuk menyelami perasaan orang miskin.

Baca artikel penuh di sini.  

Sumber: https://maktabahalbakri.com/880-hikmah-di-sebalik-puasa/

Rabu, 29 Mac 2023

RAMADAN: MENJAMU ORANG PUASA BERBUKA PUASA

Bulan Ramadan kembali lagi.  Antara amalan yang digalakkan dalam Ramadan ialah bersedekah.  Amalan menjamu orang berpuasa berbuka sangat digalakkan.  Bagi kebanyakan surau atau masjid, aktiviti menjamu berbuka puasa menjadi kebiasaan. Antara kelebihan menjamu berbuka puasa ialah; 

1) Daripada Anas telah berkata: telah ditanya Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang lebih afdhal? Sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud : Sedekah pada bulan Ramadhan (Riwayat imam Tarmizi, Al-Baihaqi, Ibn jauzi dan Al-Baghawi)

2) Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhni telah berkata: Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa adalah baginya pahala sebagaimana orang yang berpuasa tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang berpuasa sesuatu, dan sesiapa yang menyiapkan untuk orang yang pergi berperang atau mengalihnya pada ahli keluarganya adalah baginya seperti pahalanya tanpa berkurangan daripada pahalanya sesuatu. (Riwayat imam Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Pengajaran hadis

1. Memberitahu kita mengenai kelebihan bersedekah pada bulan Ramadhan.

2. Bagi mereka yang membuat jamuan berbuka maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa menjejaskan pahala orang yang berpuasa itu (tetamu).

3. Digalakkan agar kita membuat jamuan kepada orang yang berpuasa.

4. Hadis juga menekankan berkenaan kelebihan bagi mereka yang menyiapkan segala kelengkapan bagi mereka yang keluar berperang iaitu dia akan mendapat pahala sebagaimana mereka yang keluar berperang.

5. Dalam mengadakan jamuan, kita dilarang membazir malah kita hendaklah melakukannya mengikut kemampuan yang ada.

Rujukan :

1. Fadhailul Awqat oleh imam Baihaqi

Khamis, 2 Februari 2023

MENANAM ADALAH SEDEKAH

Kini, isu makanan menjadi topik yang hangat diperbincangkan.  Harga makanan mahal.  Bahan makanan  sukar diperoleh.  Contoh paling signifikan ialah telor.  Sayur-sayuran juga mahal.  kenaikan harga yang menyukarkan pengguna untuk membelinya.  Harga naik berkali ganda. 

Kerajaan berusaha atasi masalah ini.  Antaranya ialah meninggatkan produktiviti pertanian.  Syarikat GLC diminta menyewa tanah dan usahakan pertanian skala besar.  Adakah ini akan selesaikan masalah bahan makanan?

Antara inisiatif yang boleh dilakukan secara kendiri ialah galakkan bercucuk tanam.  Boleh dimulakan secara kecil-kecilan.  Tanam keliling rumah atau belakang rumah.  Masalah yang sering terjadi ialah kurangnya ilmu becucuk tanam.  Ada keinginan terapi kurang ilmi.  Selalunya usaha sebegini gagal.  Masyarakat Cina di bandar sering bercucuk tanam di kawasan luar rumah.  Walaupun tanahnya semiet, namun ada antara mereka yang dapat menjual hasil tanamannya.  Mereka juga konsisten dalam bercucuk tanam.  

Ada usaha wujudkan rangkaian penggemar bercucuk tanam keliling rumah.  Mereka guna media sosial seperti Facebook dan kumpulan Whatsapp.  Usaha ini dianggap bagus dan perlu diberikan sokongan.  Cara ini dapat membantu masalah pengeluaran tanaman dan kawal harga yang tingli.

Dalam Islam, bercucuk tanam adalah usaha yang mulia. 

Daripada Anas bin Malik RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang menanam sesuatu tanaman yang berbuah lalu dimakan oleh burung atau manusia atau binatang melainkan ia akan mendapat pahala sedekah baginya". (HR Bukhari No: 2152) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim digalakkan bercucuk tanam agar tanah yang dimiliki dapat diusahakan dan mendatangkan manfaat dan faedah kepada manusia mahupun binatang.

2. Orang yang menanam pokok atau tumbuhan, akan tetap mendapat pahala sama ada pokok yang ditanam itu berbuah atau tidak, dimakan oleh manusia mahupun binatang. Hatta burung yang hinggap atau sesuatu yang berteduh di bawahnya, ia tetap akan mendapat ganjaran pahala.

3. Menanam tanaman seperti sayuran mahupun pokok tumbuhan bukan hanya untuk faedah diri sendiri semata-mata malah juga untuk orang lain termasuk makhluk Allah yang lain.

4. Pekerjaan sebagai petani bukanlah suatu pekerjaan yang hina atau rendah tetapi amat mulia di sisi Allah kerana ganjaran pahala sedekah akan diperolehi selagi tanaman tersebut masih hidup atau dimanfaatkan oleh orang lain.

Menanam Sebagai Sedekah

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dicuri daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh binatang liar dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh burung dikira sebagai sedekah. Tidaklah seseorang bercucuk tanam kecuali dia akan mendapat (pahala) sedekah daripadanya. (HR Muslim, Kitab al-Musaaqaah, No: 1552) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Imam Nawawi menjelaskan: terdapat keutamaan menanam pohon dan tanaman, bahawa pahala pelakunya akan terus mengalir selama mana pohon dan tanaman itu masih ada, serta sesuatu (benih) yang keluar daripadanya sehingga hari kiamat.

2. Seorang Muslim akan diberi pahala atas sesuatu yang dicuri dari hartanya seperti tanaman yang ditanam, atau dirosakkan oleh haiwan, atau burung atau sejenisnya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 10/457)

3. Setiap yang diusahakan oleh seorang Muslim dan manfaatnya diperolehi oleh setiap makhluk termasuk binatang yang memakan buah, daun mahupun yang hinggap di dahan atau berteduh di bawah tanaman tersebut, akan memberikan ganjaran pahala kepada penanamnya.

4. Alangkah besarnya ganjaran kepada mereka terlibat dalam bidang pertanian yang menyediakan sumber utama keperluan manusia seperti beras, buahan dan sayuran yang sebahagiannya menjadi fardhu kifayah kepada seseorang.

5. Jangan kita bersedih hati jika hasil tanaman tersebut dimakan atau dirosakkan oleh makhluk lain ataupun dicuri oleh manusia kerana kita tetap akan mendapat ganjaran pahala.

Jumaat, 6 Januari 2023

SALMAN AL-FARISI

Siapa Salman Al-Farisi?

Salman al-Farisi adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang lahir sebelum datangnya Islam melalui Nabi Muhammad SAW, lalu mengabdikan diri kepada agama Allah SWT sehingga pada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan. 

Beliau melalui pelbagai pengalaman getir untuk mencari kebenaran, dan akhirnya membawa peranan yang cukup besar dalam peristiwa awal perkembangan Islam di bumi Yathrib (Madinah).

Nama dan salasilah Salman Al-Farisi

Nama sebenar beliau adalah Mabah bin Budzkhasyah bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani, dan lebih dikenali sebagai Salman Al-Farisi. Beliau juga diberi panggilan sebagai Abu Abdillah dan menerima gelaran Salman al-Khair. Ayahnya merupakan ketua kampung di Jayyan, Parsi yang menganuti pegangan Majusi. 

Kelahiran Salman Al-Farisi

Salman dikatakan lahir pada abad ke-7 di sebuah kampung bernama Jayyan yang terletak di Isfahan, Parsi. Beliau menjadi anak yang dikasihi bapanya dan pernah menjadi penjaga api di sebuah kuil di mana terdapatnya tempat pemujaan orang Parsi. 

Kisah Hidup Salman Al-Farisi 

Sebelum datangnya Islam, Salman menganuti agama Majusi seperti ayahnya sehinggalah pada suatu hari dia tertarik dengan cara sembahyang orang-orang di sebuah gereja dan bertanyakan mengenai asal usul agama tersebut. Apabila dia memberitahu ayahnya mengenai hal tersebut, beliau telah dikurung malah kedua kakinya diikat menggunakan rantai kerana bimbang beliau akan pergi dan menukar agamanya. 

Namun beliau telah berjaya melepaskan diri dan pergi ke Syria untuk mengabdikan diri kepada agama Kristian di sana. Setelah beliau berkhidmat bersama beberapa paderi gereja begitu lamanya dan berpindah dari satu-satu tempat, akhirnya seorang paderi gereja yang terakhir beliau temui sebelum kematian paderi tersebut menyatakan bahawa akan muncul seorang nabi di Tanah Arab yang mempunyai sebuah reputasi dan kejujuran yang tinggi, orang tersebut adalah seorang yang akan menerima apa sahaja hadiah yang diberikan kepadanya tetapi tidak akan menerima sebarang sedekah untuk dirinya. 

Beliau telah mengikuti sebuah rombongan orang Arab, dari suku Kalb untuk membawanya ke Tanah Arab dan membayar mereka dengan semua wang yang beliau miliki. Namun, beliau telah ditipu dan dijual kepada seorang Yahudi di Wadi al-Qura (tempat di antara Madinah dan Syria) dan menjadi seorang hamba. Beliau kemudiannya dijual kepada seseorang daripada suku Bani Qurayzah, dan beliau dibawa ke Yathrib. 

Pada ketika itu juga, Rasulullah SAW telah mula menyebarkan Islam di bumi Mekkah, dan melakukan hijrah ke Yathrib lalu mempersatukan suku kaum Aus dan Khazraj di sebuah tempat bernama Quba. 

Mendengar akan berita itu, Salman membawa kurma yang dikumpul oleh beliau lalu pergi menemui Rasulullah SAW dan menyampaikan pemberiaanya itu sebagai sedekah untuk Rasulullah SAW dan para pengikutnya. Namun, Salman melihat Rasulullah SAW tidak menjamah pemberiannya dan hanya memberikan kepada para sahabat Nabi sahaja. 

Lalu, di hari berikutnya ketika Rasulullah SAW dan rombongan hijrah hendak pergi meninggalkan Quba menuju Madinah, Salman sekali lagi memberikan kurma yang dikumpulnya dan menyatakan bahawa itu adalah hadiah buat Rasulullah SAW kerana baginda tidak memakan pemberian sedekah sebelum ini. 

Sifat kejujuran yang tinggi yang ada pada Rasulullah SAW pada ketika itu membawa Salman untuk mempercayai baginda dan memeluk agama Islam. Setelah memeluk Islam, Salman telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW dengan bayaran dan syarat yang dikenakan keatas beliau. Jika ditanya kepadanya, ‘Kamu anak kepada siapa?’ Salman akan menjawab :”Aku Salman, anak kepada Islam daripada keturunan Adam”. 

Setelah itu, Salman Al-Farisi telah menjadi sahabat yang begitu dekat dengan Rasulullah. Abu Hurairah meriwayatkan: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW ketika Surah al-Jumuah diturunkan. Baginda membacanya:

وَءَاخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا۟ بِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka”  [Al-Jumu’ah (62):3]

Seseorang diantara mereka bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah orang yang disebutkan melalui ayat tersebut. Tetapi Rasulullah SAW tidak menjawab meskipun ditanya tiga kali. Lalu, Rasulullah SAW meletakkan tangannya pada Salman lalu berkata, ‘Demi jiwaku berada di tangan-Nya, meskipun jika iman terletak di bintang Suraya, nescaya akan dicapai oleh lelaki berbangsa Parsi (Salman)’.

Kebijaksanaan Salman Al-Farisi

Kebijaksanaan dan idea bernas dalam strategi peperangan Salman Al-Farisi dilihat ketika mana terjadinya Perang Khandaq antara umat Islam di Madinah dengan Kaum Musyrikin Quraisy. Beliau telah mencadangkan kepada pasukan tentera Muslim untuk menggali parit mengelilingi Madinah sebagai cara pertahanan bagi menyukarkan pasukan lawan menyerang kota Madinah. 

Ianya merupakan sebuah strategi dan inovasi ketenteraan yang amat baru dan tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Selain itu, beliau juga menjadi orang pertama yang melaukan terjemahan al-Quran kedalam bahasa asing kerana keluasan ilmu yang dimilikinya. 

Kewafatan Salman

Salman Al-Farisi telah meninggal pada tahun ke-35 Hijrah di Iraq, semasa pemerintahan Khalifah Uthman Affan.

Kebijaksaan dalam menginovasikan sesebuah perkara harus menjadi contoh kepada kita untuk terus berfikiran terkehadapan dan berpandangan luas dalam apa sahaja bidang. Kriteria yang ada pada Salman perlu diikuti oleh segenap generasi baik dalam ilmu duniawi, rohani diri mahupun keperibadian dalam diri. 

Sumber asal baca di sini

https://akumuslim.asia/salman-al-farisi-biodata-kisah-hidup/


Rabu, 4 Januari 2023

TERSILAP NIAT SOLAT ASAR, BOLEHKAH TUKAR KEPADA SOLAT ZOHOR?

Soalan:

Suatu ketika saya pernah bangun untuk solat Zohor, tapi entah kenapa dalam hati saya niatkan untuk solat Asar. Setelah masuk ke rakaat kedua barulah saya sedar akan perkara tersebut. Jadi adakah sah solat jika saya meniatkan dalam hati untuk menukarnya kepada solat Zohor dan menyambung solat seperti biasa? 

Ringkasan Jawapan:

Perbuatan menukar niat solat fardu kepada solat fardu yang lain ketika sedang solat akan menyebabkan solat yang sedang dilakukan seseorang itu terbatal, dan niat solat yang baharu itu juga tidak tercapai.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pada asalnya, antara perkara yang membatalkan solat ialah perbuatan menukar niat solat itu sendiri. Kata Imam al-Khatib al-Syarbini:

(وَ) السَّادِسُ (تَغْيِيرُ النِّيَّةِ) إلَى غَيْرِ الْمَنْوِيِّ، فَلَوْ قَلَبَ صَلَاتَهُ الَّتِي هُوَ فِيهَا صَلَاةً أُخْرَى عَالِمًا عَامِدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ

Maksudnya: Perkara keenam yang membatalkan solat ialah menukar niat kepada perkara yang tidak diniatkan pada asalnya; maka jika seseorang itu menukar solat yang sedang dilakukannya kepada solat lain secara sengaja, maka solatnya terbatal.[1]

Namun dalam hal ini terdapat perincian. Kata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’:

قال الماوَرْدِيُّ: نقلُ الصلاةِ إلى صلاةٍ أقسامٌ: أحدُها: نقلُ فرضٍ إلى فرض: فلا يحصلُ واحدٌ منهما، الثاني: نقلُ نفلٍ راتبٍ إلى نفلٍ راتبٍ؛ كَوِتْرٍ إلى سنةِ الفجر فلا يحصلُ واحدٌ منهما، الثالث: نقلُ نفلٍ إلى فرضٍ فلا يحصل واحدٌ منهما

Maksudnya: Kata al-Mawardi: Perpindahan satu solat kepada satu solat yang lain ada beberapa jenis. Pertama: Perpindahan solat fardhu kepada solat fardhu yang lain, maka tidak diperolehi salah satu dari duanya sama sekali. Kedua: Perpindahan sunat sunat ratib kepada solat sunat ratib yang lain, seperti dari solat witir kepada solat sunat fajar, maka tidak diperolehi salah satu daripada keduanya sama sekali. Ketiga: Perpindahan solat sunat kepada solat fardu, maka tidak diperolehi salah satu daripada kedua-duanya sama sekali.[2]

Imam al-Nawawi menyebut juga pada tempat yang lain:

مَتَى دَخَلَ فِي فَرِيضَةٍ ثُمَّ صَرَفَ نِيَّتَهُ إلَى فَرِيضَةٍ أُخْرَى أَوْ نَافِلَةٍ بَطَلَتْ الَّتِي كَانَ فِيهَا وَلَمْ يَحْصُلْ الَّتِي نَوَاهَا بِلَا خِلَافٍ لِمَا ذَكَرَهُ وَفِي انْقِلَابِهَا نَافِلَةً خِلَافٌ قَالَ أَصْحَابُنَا مَنْ أَتَى بِمَا يُنَافِي الْفَرِيضَةَ دُونَ النَّفْلِيَّةِ فِي أَوَّلِ فَرِيضَةٍ أَوْ اثنائها بطل فرضه

Maksudnya: Jika seseorang itu memulakan solat fardu, lalu dia menukar niatnya kepada solat fardu yang lain, atau solat sunat, maka batallah solat yang sedang dilakukannya, dan dia juga tidak memperoleh solat yang diniatkannya itu, tanpa sebarang khilaf berdasarkan apa yang disebut oleh para ulama. Adapun sama ada solat itu bertukar kepada solat sunat, padanya terdapat khilaf. Kata para ulama ashab: Sesiapa yang melakukan perkara yang menafikan perkara fardu, dan bukannya sunat, pada permulaan atau pertengahan ibadat fardu itu, maka batallah ibadah fardu yang dilakukannya itu.[3]

Hal yang sama disebut oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaily melalui contoh yang lebih jelas:

وَإِنْ دَخَلَ في فَريضَةٍ كَالظُّهْرِ، ثُمَّ صَرف نِيَّتَهُ إِلى فريضةٍ أُخْرَى كالعَصرِ، بَطَلَتْ صلاتُه

Maksudnya: Jika seseorang itu telah memulakan solat fardu contohnya Zohor, lalu dia menukar niatnya kepada solat fardu yang lain seperti Asar, maka batallah solatnya.[4]

Kesimpulannya, perbuatan menukar niat solat fardu kepada solat fardu yang lain ketika sedang solat akan menyebabkan solat yang sedang dilakukan seseorang itu terbatal, dan niat solat yang baharu itu juga tidak tercapai.

Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ oleh al-Khatib al-Syarbini (t.t) Beirut: Dar al-Fikr, tahqiq: Maktab al-Buhtuh wa al-Dirasat, 1/151

[2] Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Abu Zakariyya al-Nawawi (t.t) Dar al-Fikr, 4/211

[3] Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab, 3/286

[4] Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e oleh Muhammad al-Zuhaily (2014) Damshik: Dar al-Qalam, Cetakan Keempat, 1/238


Sumber:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5439-al-kafi-1900-tersilap-niat-solat-asar-bolehkah-tukar-kepada-solat-zohor


Rabu, 28 Disember 2022

GOLONGAN MUTAJAB DOA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa orang tua untuk anaknya." (HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ada tiga golongan yang Allah bagi keistimewaan dimana doa mereka mustajab di sisi Allah:

a)  Doa dari orang yang dizalimi

b)  Doa orang yang  sedang bermusafir

c)  Doa dua ibu bapa kepada anak

2.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

3.  Elakkan hubungan yang buruk dengan orang lain hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

4.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk dengan menzalimi orang lain sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita.

5.  Bagi yang bermusafir, ambillah kesempatan waktu mustajab doa sepanjang masa bermusafir dengan memperbanyakkan doa untuk diri dan orang lain.  

6.  Bagi ibu bapa, ambillah kesempatan perbanyakkan doa yang baik untuk anak-anak.  Kata-kata yang buruk kepada anak juga boleh menjadi doa buat mereka dan ia perlu dielakkan.

#BinaNegaraRahmah

#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

28b Dis  2022

04hb Jamadil Akhir 1444H

Sabtu, 24 Disember 2022

ANWAR IBRAHIM PM 10

 Selepas PRU 15, DS Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Walaupun pelantikannya penuh dramatik, beliau tetap menduduki kerusi panas itu. Kedudukannya sebagai PM juga kelihatan teguh setelah dijalankan undi percaya di Parlimen. Sokongan lebih 2/3 ahli parlimen menjadikan pembangkang perlu berusaha keras jika ingin berkuasa. 

Itulah putaran hidup Anwar Ibrahim. Dengan permulaan kedudukannya yang hebat bersama PM Mahathir, hinggalah dia dinafikan dengan pelbagai peristiwa duka yang dialaminya. Setelah lebih 24,tahun berusaha dengan laungan reformasi yang tak pernah padam dia akhirnya dapat menggenggam kedudukan sebagai PM Malaysia kini. 

Kelilingnya diselaputi ranjau duri yang sentiasa berusaha melukakannya. Keyakinan dan kekuatan yang dimilikinya boleh melakarkan kejayaan Malaysia. 

KESAN DOSA

  Kesan dosa sangat besar, meliputi kerosakan hati (gelisah, hilang cahaya, sukar ilmu masuk), jauh dari Allah, hilang keberkatan rezeki, t...