Khamis, 15 Disember 2011

Kahwinkan anak

Alhamdulillah, majlis perkahwinan anak lelaki kedua saya, Muhamad Zahid dan Faqihah Abd Rahman telah selamat dilangsungkan. Majlis pada 11 Disember diadakan di Dewan Sri Siantan, Putrajaya. Ramai saudara mara dan sahabat handai yang hadir. Seronok apabila dapat bertemu dengan mereka yang kebanyakannya telah lama tidak bertemu.

Mengadakan majlis kenduri kahwin perlu persediaan. Walau bagaimanapun, kali ini anak lelaki saya Zahid (pengantin) yang banyak membantu saya membuat persediaan. Hal ini disebabkan saya dan isteri tinggal dan bertugas di Brunei. Sebenarnya bagus juga jika kita meminta anak-anak agar dapat membantu orang tuanya membuat persediaan bila dia nak kawin. Tempah dewan, edar kad, di samping urusan dengan pihak sebelah pengantin perempuan semua dilakukan oleh anak saya.

Buat majlis kahwin di dewan berbeza dengan di rumah. Sesetengah orang tak suka buat majlis di dewan. Tak terasa suasana majlis kahwin kata mereka. Tapi bagi saya, semua itu bergantung kepada persepsi seseorang tentang majlis kahwin. Yang penting bagi saya adalah majlis tersebut berlangsung dengan lancar dan tetamu dapat dilayan dengan baik. Keberkatan adalah kunci utama bagi sesuatu majlis perkahwinan. Saya sering berdoa agar majlis perkahwinan anak dapat memberikan satu permulaan kepada kehidupan mereka berkeluarga agar dirahmati Allah. Di samping gembira menerima menantu dan bertambahnya ahli keluarga kami, ikatan silaturrahmi antara ahli keluarga dan saudara mara dapat dipertingkatkan. Tidak ada apa yang nak dibanggakan di dunia ini jika kualiti kehidupan ke arah reda Allah tak dapat dilakukan.

Insyaallah, pada majlis kenduri kahwin anak yang ketiga, Zulhilmi sepatutnya dilangsungkan bersama dengan Zahid. Disebabkan dia terpaksa mengikuti latihan juruterbang helikopter TLDM, maka majlis untuk dia terpaksa ditangguhkan)perhimpunan saudara mara dapat dilakukan. Terima kasih kepada semua yang meghulurkan tangan dalam menjayakan majlis kenduri kahwin Zahid dan Faqihah. Semoga mereka akan bahagia dan hidup bekeluarga di bawah naungan rahmat Allah..

Ahad, 4 Disember 2011

Orang UMNO



1. Seminggu berlalu penuh dengan warna warni politik Malaysia yang menarik.Yang paling terkini ialah perhimpunan agung UMNO. Walaupun tinggal di luar Malaysia, namun saya ikuti secara dekat perkembangan politik negara. Di negara tempat saya cari rezeki sekarang tak wujud riuh rendah bertelingkah mana parti politik yang nak disokong. Kehidupan berjalan dengan aman tenteram sebab sistem pemerintahan yang sangat berbeza.

2. Kini, bahan politik Malaysia mudah diakses dalam dunia tanpa sempadan. Kadang kala letih otak dibuatnya. Selepas baca, buat analisis sendiri. Analisis pada perspektif bukan ahli parti. Atau paling kurang berbual sambil minum kopi dengan rakan sejawat dari Malaysia. Kami sering membincangkan senario terkini politik malaysia terkini.

3. Semasa perhimpunan agung UMNO, semasa PM Najib sampaikan ucapan dasar, saya sempat curi-curi dengar melalui internet secara online.Pada hemat saya, PM Najib banyak mengulang-ulang perkara yang telah pernah didengar sebelum ini. Fasal transformasi, perlunya kesetiaan orang UMNO, nak jaga hak orang Melayu, merendahkan kredebiliti pihak lawan, dan sedia untuk pilihanraya. Semasa ucapan perwakilan bertepuk tangan tanda setuju dan seronok dengan mesej yang Presiden samapaikan. lebih kuat dan tinggi nada ucapan, lebih kuat perwakilan bertepuk dan bersorak. Memanglah itu cara yang biasa dilakukan semasa berucap oleh presiden UMNO sebelum Naji berkuasa. Mungkin puas hati Najib bila semua wakil tepuk dan juga menjerit-jerit mengiakan kata-katanya.

4. Namun bagi yang berada di luar dewan persidangan tentunya sudah ada pendirian masing-masing. Maksudnya parti mana yang dia nak pangkah masa mengundi dalam pilihan raya. Walau sekuat mana laungan ucapan, sehebat mana umpan yang yang ditabur, atau seriuh mana perbahasan di dewan sidang, rakyat sudah ada ketetapan di hatinya. Masing-masing ada hak untuk menilai. Mereka juga ada hak untuk buat keputusan.

5. Dalam membuat analisis politik semasa segmen Agenda Awani sempena sidang UMNO, CEO IDEAS, Wan Saiful menegaskan perlunya ada kepelbagaian pandangan dalam sesebuah parti politik. Beliau mengambil contoh yang wujud dalam parti politik di Britain. Malangnya jika situasi berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan parti wujud di Malaysia, selalunya hal itu akan menjurus kepada tamatnya riwayat politik ahli politik tersebut.

6. Bagi orang kampung saya, semua isu yang digagaskan oleh pemimpin parti mereka tak jadi soal. Mereka dah tegar dan biasa dengan pendirian lama yang dianuti. Mungkin pendirian mereka akan terjejas apabila anak-anak yang tinggal di bandar serta sudah terdedah dengan ilmu pengetahuan yang luas mampu mempengaruhi anutan politik ibu bapa mereka. Situasi mudak akses maklumat dan sikap analitis banyak mendedahkan anak-anak mereka di bandar dan dijangka boleh mengubah lanskap politik Malaysia. Slogan dan tagline yang sudah basi oleh parti UMNO yang memerintah boleh merisaukan presiden UMNO.

7. Oleh itu, perang politik dalam media baru mampu menjadi pemangkin dalam gelojak politik Malaysia. Walaupun ahli UMNO yang bersidang di PWTC bangun dengan bersemangat berikrar bersama TS Muhyidin Yassin, dengan menyebut "saya ORANG UMNO" akan bersatu dan berganding tenaga untuk jamin kejayaan dalam PRU 13, namun ikrar itu mungkin hanya tinggal ikrar di bibir manis jika hala tuju politik hanya sekadar untuk berkuasa dan mempertahankan kuasa yang masih berbaki. Apakah mereka faham bahawa kuasa yang mereka ada boleh dipertanggungjawabkan sama ada mereka masih wujud di dunia dan disoal semasa di akhirat kelak. Sejauh manakah ORANG UMNO jujur dalam ikrarnya semasa mereka memerintah negara bukan untuk kepentingan diri dan keluarga mereka sahaja. Atau mereka akan di soal semasa di dunia lagi akan kepincangan dan kejelekan yang telah dilakukan terhadap agama dan bangsa..Adakah UMNO boleh lakukan semua yang diimpikannya..Ada yang kata, jika memaksa untuk melontarkan janji atau berbaiah menggambarkan wujudnya situasi yang kritikal yang wujud dalam parti tersebut.

8. Ini adalah catatan politik dari kaca mata rakyat Malaysia dari luar negara..

Rabu, 16 November 2011

Budaya dan Strategi Membaca



Budaya dan Strategi Membaca dalam Pembentukan Karakter Guru di Brunei Darussalam (baca artikel penuh)

ABSTRAK
Membaca, dalam konteks pendidikan, adalah faktor penentu kepada keupayaan untuk berjaya. Guru sebagai pembawa obor ilmu dan contoh ikutan sewajarnya perlu berada dalam lingkungan pembaca yang berkesan. Namun untuk meletakkan budaya membaca sebagai pembinaan karakter, guru sedikit tergugat akibat faktor peribadi dan persekitaran profesional yang semakin mencabar. Oleh itu, kajian ini meneliti keupayaan guru untuk memiliki budaya dan strategi membaca yang sesuai dengan pembentukan karakter guru sebagai penyebar ilmu. Kajian dijalankan secara tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik. Sampel terdiri dari 186 guru Sekolah Rendah dan Menengah di Brunei Darussalam. Dapatan penyelidikan
menunjukkan bahawa tahap membaca guru pada tahap tinggi dan sederhana. Sampel yang tempoh mengajar di bawah 10 tahun memiliki budaya membaca yang tinggi berbanding sampel lain. Sampel perempuan pula menunjukkan budaya membaca tinggi berbanding sampel lelaki. Min bagi tujuan membaca untuk mendapatkan maklumat adalah tinggi. Dari segi strategi membaca, sampel menggunakan strategi membaca yang pelbagai dan mereka sedar akan kepentingan strategi semasa membaca.

Ahad, 13 November 2011

Cerita perkahwinan dahulu kala



A Kadir Jasin


PASAL bersunat dan tandas zaman dulu kala kita sudah cerita. Orang tua nostalgia, orang muda mendapatinya sangat jenaka.

Kali ini, kita cerita pula mengenai perkahwinan dulu kala. Bukan lama sangat - tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.

Saya ingat lagi perkahwinan kakak saya. Majlis persandingan berlangsung hampir-hampir subuh. Saya ingat sangat sebab apabila abang ipar saya diusung atas bahu untuk naik ke rumah, sebab jalan lecah (becak), saya sudah bersiap untuk ke sekolah.

Jam 5.00 pagi saya sudah terpaksa berbasikal dari kampung saya ke Pendang, kira-kira lima kilometer jauhnya, untuk menaiki bas United Transport Company (UTC) ke Alor Star, kira-kira 20 kilometer dari situ.

Jadi, tidak sempatlah saya menyaksikan persandingan mereka. Waktu itu, adalah perkara biasa persandingan di buat awal pagi.

Sambil menunggu majlis persandingan, majlis membaca al-Quran, berzikir dan berzanji diadakan sepanjang malam. Pada hari sebelumnya, kenduri diadakan dari pagi sampai malam. Pada sebelah petang diadakan pula majlis bersilat (pencak silat) dengan diiringi gendang keling.

Kalau yang kaya atau moden sikit, sebelah malam diadakan persembahan ghazal parti. Di tempat saya, yang terkenal ialah Ghazal Parti Bukit Raya (kampung Allahyarham Ustaz Fadhil Noor). Tapi yang “top” ialah Ghazal Parti Kepala Batas (kampung Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Boleh kata semua lagu dalam bahasa Arab yang diiringi tarian gelek atau tarian asyik oleh (dengan izin) pondan, darai dan ponen. Mereka pakai pakaian perempuan dan bila kena bedak, celak dan gincu, ramai jantan naik gian.

Pada hari kenduri, pagi-pagi sembelih kerbau dan lembu. Selesai siang daging, menyerok (sarapan) nasi putih dengan gulai kawah daging hancur, ikan tamban asin goreng, sambal belacan dan ulam. Lepas itu, barulah tukang masak mula memasak untuk tetamu. Tok wan saya, Haji Md Hassan, ialah ketua gedohok terkenal. Dia darah campuran Pathan.

Kerana tok wan saya ketua tukang masak, saya dapat layanan istimewa. Dapat makan awal, makan sedap-sedap – daging panggang, jantung panggang, lidah panggang cicah air asam. Sebagai upah, dia dibagi sedikit duit, rokok sekerit (cigarette) Rough Rider (rokok cap tembak), gula, susu pekat manis, kopi, teh dan kuih-muih.

Sebelum sampai majlis perkahwinan, banyak adat istiadat lain kena dibuat dan dilalui. Mula mula-mula sekali upacara menengok iaitu wakil pihak lelaki pergi menengok – lebih kurang mengendap – anak dara. Ada yang curi-curi tengok masa dia mandi di telaga, menjemur pakaian atau masa membawa hidangan dari dapur.

Kalau setuju sebab cantik, tak ada cacat cela besar, parut kudis buta tak nampak sangat,  punggung lebar dan payu dara besar, diadakan pula majlis merisik.

Hal punggung dan payu dara itu penting sebab dulu tak ada klinik bidan. Bersalin dengan bidan kampung. Kepercayaannya, punggung lebar mudah bersalin. Susu ibu pula sangat penting sebab waktu itu tak ada formula bayi dan kalau ada pun tak mampu nak beli.

Kalau anak dara belum berpunya dan keluarga tidak keberatan menerima lamaran, maka dilakukan pulas majlis meminang. Bila semua setuju, dibuat pula majlis hantar cincin bagi mengesahkan pertunangan dan diputuskan hal-hal macam hantaran, emas kahwin, upacara akad nikah dan kenduri.

Selalunya pertunangan antara enam bulan hingga setahun, bergantung kepada musim bersawah dan masa yang cukup untuk mencari duit hantaran, belanja kenduri dan memperbaiki rumah.

Jarak kenduri antara pengantin lelaki dan perempuan seminggu. Perjalanan sukar. Tak ada jalan raya yang sempurna. Jalan tanah merah. Yang kaya berarak naik kereta atau gajah. Yang kurang mampu dengan naik gerak (basikal) dan, kalau tidak jauh sangat, berjalan kaki saja. Dulu tak ada kompang. Pengantin disambut oleh muzik gendang keling dan tembakan senapang patah.

Lepas bersanding, tak boleh masuk bilik dulu. Pengantin lelaki kena balik rumah dia dan tunggu sampai pengantin perempuan datang ke rumahnya seminggu kemudian baru boleh “bersatu”.

Itu pun mak andam buat sibuk nak tumpang bilik dan geng nakal cari helah hendak mengendap (mengintai). Masa itu, rumah kampung dinding papan atau buluh anyam..

Sebelah paginya, kalau pengantin perempuan mandi basah rambut, mak bapa angkat tangan ke langit berdoa dan mengucap syukur. Sembilan bulan lagi, kalau bendang subur dan benih menjadi, dapatlah mereka timang cucu. Wallahualam.

Jumaat, 21 Oktober 2011

Haji mabrur


Sekarang bulan haji. Musim haji datang lagi. Bebondong-bondong manusia hadir ke tanah suci dengan tujuan murni untuk menyucikan diri. Bermunajat seikhlas mungkin di hadapan Kaabah hingga menitis airmata mengenangkan dosa yang telah dihimpun. Tawaf dengan harapan Allah melihat kesungguhan umat mempersembahkan tawaduknya. Begitu juga ibadat bersai, umrah dan ziarah yang mampu merendahkan ego manusia. Tumpuan utama iabadat haji adalah wukuf arafah. Semaua akan berhimpun di sana ibarat berhimpun di padang mahsyar nanti. Berdoa di sana spenuh hati mohon diampunkan segala dosa agar bersih menghadap Allah semasa hari berbangkit nanti. Masalah besar umat Islam ialah tahap iman terhadap balasan Allah dan kurang ingat MATI..

Sasterawan negara dan perkasa BM

Dalam tempoh seminggu dua terakhir ini, kedengaran suara positif dari kerajaan, terutamanya YAB Timbalan Perdana Menteri, untuk kembali memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Hal ini ditegaskan lagi oleh beliau ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan di Melaka baru-baru ini.

Pandangan positif tersebut adalah sejajar dengan usaha pembinaan jati diri bangsa, yang berpaksikan bahasa kebangsaan sebagai tiang serinya.

Sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, sudah menjadi tanggungjawab sejarahnya untuk mengekal dan memperkasakan sistem pendidikan dalam bahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baca lagi kenyataan Sasterawan Negara terhadap memperkasa BM. Diharapkan tidak hanya tinggal kenyataan sahaja...

Rabu, 19 Oktober 2011

Bahasa Melayu oh Bahasa Melayu



Amat pelik terdapat sebahagian kecil orang Melayu yang mencadangkan supaya persekolahan dua aliran bahasa iaitu satu bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa Melayu supaya memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar sekolah mana yang mereka suka. Cadangan ini tidak mendukung aspirasi nasional yang menjadikan faktor bahasa Melayu sebagai faktor pemersatu.

Bakal berlaku jurang dan strata sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi. Akan lebih terserlah golongan elitis seperti yang terjadi di awal 1970-an dahulu.Berdasarkan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang masih berlaku kini di kalangan pelajar bumiputera, kerisauan bahawa penggunaan bahasa Inggeris secara tunggal bagi mata pelajaran Sains dan Matematik berkemungkinan akan merencatkan pencapaian pelajar bumiputera, mempunyai asas yang wajar diambil kira dan tidak boleh diketepikan begitu saja.

Kita memerlukan tekad politik dan azam memartabatkan bahasa Melayu yang tinggi supaya akhirnya bahasa Melayu mampu menempatkan diri sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa.

Kalaulah isu globalisasi dijadikan faktor utama bahasa Inggeris perlu didaulatkan betapa nanti Tanah Besar Cina bakal menjadi kuasa besar, apakah di waktu itu nanti kita bakal beralih kepada bahasa Cina pula dan meninggalkan bahasa Inggeris.

Baca arikel oleh Prof Sidek Baba untuk mengetahui intisari perkembangan PPSMI dan MBMMBI yang masih memerlukan pemikiran dan pelaksanaan.

KESAN DOSA

  Kesan dosa sangat besar, meliputi kerosakan hati (gelisah, hilang cahaya, sukar ilmu masuk), jauh dari Allah, hilang keberkatan rezeki, t...