Rabu, 26 Mei 2010
KREATIF
Pendahuluan
Menurut Kamus Dwibahasa Dewan, kreatif maksudnya creative adj kreatif (of person) berdaya cipta, kreatif: ~ power, daya kreatif; ~ writing, penulisan kreatif; ~ artiste, seniman yg kreatif. Adakah semua orang kreatif dan bagaimana cara untuk mengukur tahap kretiviti? Persoalan ini sering ditanya. Dalam bidang pendidikan pula, bolehkah kreativiti diajarkan. Soalan ini tidak ada jawapan ringkas sama ada ya atau tidak. Kreativiti mungkin tidak boleh diajarkan secara terus, tetapi dapat diperoleh dengan lebih baik jika sering diselaraskan dengan keadaan hidup yang menggalakkan peluang yang lebih besar untuk pelahiran kreatif yang sebenarnya.
Pengalaman dan kreatif
Pengalaman sebenarnya banyak mengajar kita untuk berkreatif. Contohnya, pengalaman semasa kecil dulu hidup dalam serba kurang. Semasa zaman kanak-kanak tahun 60an dan 70an, mana nak dapatkan sumber nak kreatif. Permainan video, komputer, dan media dengan teknologi canggih? Semua itu tidak ada dalam senarai yang boleh dicapai. Masa itu, istilah teknologipun tidak diambil kisah.
Masa dalam lingkungan kanak-kanak, permainan banyak dicipta sendiri. Untuk bermain kereta, boleh gunakan empulur (empulur I isi atau bahagian yg lembut dlm batang tumbuh-tumbuhan jenis palma, spt kelapa, pinang, dll; mempulur II) pisang . Empulur itu boleh direka bentuk menjadi sebuah kereta atau apa saja kenderaan idaman. Lori, bas. kereta api, semuanya boleh dibina. Ada pelbagai jenis mainan yang tidak memerlukan belanja dapat menjana pemikiran kreatif kanak-kanak. Yang utama ialah wujudnya kemahuan dan tidak ada unsur kongkongan dalam berkarya.
Jadi kanak-kanak masa itu tidak kreatif? Kurang pendedahan teknologi? Pernyataan itu tidak tepat sebenarnya. Jika kita tinjau kembali makna kreatif, bersangkut dengan daya cipta. Ada daya untuk mewujudkan sesuatu yang baru dan menarik perhatian.
Kongkongan dan kreatif
Adapun upaya untuk mencipta dapat dilakukan dalam suasana yang tidak ada kongkongan (bukan kangkungan). Mengapa kongkongan yang keterlaluan boleh membantut daya kreatif? Manusia yang terlalu dikongkong akan menjadi manusia macam kangkung! Biarkan anak-anak berfikiran kreatif dengan memberi mereka peluang mencipta atau mereka sesuatu yang di luar lingkungan pemikiran kita. Walau bagaimanapun, kongkongan atau batasan masih perlu diwujudkan terutama apabila melibatkan aspek akhlak dan lebih penting lagi yang bersangkut dengan iman. Jika wujud senario yang boleh mengganggu sistem kepercayaan, maka ibu bapa perlu lakukan pembetulan. Malangnya ibu bapa masih lagi kurang kemahiran untuk menerapkan kemahiran berkreatif kepada anak mereka. Perbincangan seterusnya adalah cara untuk membina amalan kreatif.
Irfan Khairi dan Kreatif
Bagi Irfan Khairi, terdapat beberapa cara untuk menjadi kreatif;
1. Bergembira & berseronok- idea hebat sering datang bila kita sedang seronok atau bergembira. Contoh, kalau saya tengok ketika workshop jutawan Internet, sesi brainstorming idea, kumpulan yang banyak idea hebat, pastinya datang dari kumpulan yang banyak gelak/bising/ketawa… they are having fun! Idea mudah datang bila kita have fun!
2. Fikir macam budak- Budak-budak banyak idea. Lihat sahaja anak-anak kita (atau anak-anak orang kalau belum ada anak ). Sebabnya, budak-budak tak meletakkan had atau limit pada sesuatu penyelesaian. Kita yang dah dewasa selalu meletakkan “limit” pada sebarang penyelesaian. Sebab itu, kita menjadi tidak kreatif. jadi, fikir seperti budak 6 tahun! (mungkin budak juga sering gembira… sebab itu dapat banyak idea?)
3. Ketahui bahawa ada BANYAK penyelesaian kepada apa sahaja masalah. Bukan hanya SATU! Bila kita fikir hanya ada sATU penyelesaian, kita akan berusaha cari SATU CARA tersebut. Bila fikir SATU, tiada idea yang datang kerana kita akan fikir untuk mendapatkan SATU YANG PERFECT/SEMPURNA. Bila berfikir, fikir BANYAK penyelesaian. Bila memikirkan terdapat BANYAK penyelesaian, kita akan rasa bebas berfikir macam-macam dan tidak hadkan idea kita.
Terdapat pelbagai pandangan yang diberikan untuk menguruskan kemahiran kreatif. Walau bagaimanapun, penguasaan kemahiran ini banyak ditandai oleh faktor pengalaman, persekitaran, pendedahan, keinginan yang tinggi untuk berkreatif, serta dorongan untuk berkreatif.
Kesimpulan
Kreatif sangat dituntut dalam kehidupan yang semakin mencabar. Kejayaan hidup kini kadangkala dilihat dari sudut keratifnya seseorang.
Bibliografi berkaitan kreativiti:
http://hua.umf.maine.edu/creativity/creativity.html
Rabu, 19 Mei 2010
INGAT KIAMAT
Bila bercakap tentang hidup, lawannya mati. Walau bagaimanapun kadang-kadang manusia lupa juga ingatkan mati. Sebab apa? Terlalu ingatkan dunia. Banyak manusia yang fikir mati jauh lagi untuk ditempuhi.
Ulamak banyak menyatakan, orang yang banyak ingatkan mati dianggap golongan yang bijak. Kenapa bijak? Manusia akan meninggalkan perkara-perkara yang ditegah dan membuat perkara yang disuruh Allah. Manusia yang bijak dapat memikirkan akan ada satu hari yang akan menghisab amalan yang mereka lakukan di dunia. Manusia yang bijak juga akan berusaha untuk mendekatkan dirinya dengan Allah serta selalu memikirkan kehidupannya yang lebih kekal.
Seperti kata Syed Qutb; Selesailah sudah kehidupan dunia yang selalu membuat penghuni-penghuninya berperang dan bertarung satu sama lain kerana merebut kenikmatannya. Dunia yang selalu membuat mereka mengutamakan kenikmatannya dan mengabaikan usaha mereka mendapat habuan di akhirat.
Artikel di bawah menceritakan ehwal hari kiamat oleh Dr. Zulkifli Muhamad AlBakri. Sangat baik untuk dijadikan renungan
ALLAH RAHSIAKAN BILA HARI KIAMAT
Mukadimah
Al-Maraghi berkata: Selepas Allah SWT menjelaskan kekuasaan-Nya dengan kebangkitan semula orang yang telah mati sebagaimana Dia berkuasa mencipta alam semesta. Kemudian Dia menerangkan berkenaan kebenaran yang diwahyukan kepada nabi-Nya bahawa hari kebangkitan manusia adalah milik Allah Tuhan Alam Semesta.
Ketika malapetakanya yang hebat melebihi segala bencana itu datang, ketika segala perbuatan diperlihatkan kepada para pengamalnya ketika itulah manusia mengingati apa yang telah dilakukannya.
Allah SWT memperlihatkan neraka di hadapan manusia sehingga semua mata dapat melihatnya. Pada hari itulah ditimpakan pembalasan kepada manusia yang melampaui batasan syariat Allah.
Ini kerana mereka mengutamakan kelazatan dunia dari akhirat untuk mereka itulah neraka sebagai tempat azab. Sementara manusia yang takut kepada kebesaran dan keagungan Tuhan-Nya serta mengawal hawa nafsunya, maka sudah pasti syurga tempatnya sebagai pembalasan apa yang telah mereka kerjakan dahulu.
Firman Allah SWT: Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar. Ibn Abbas berkata: Iaitu hari kiamat. Ibn Kathir berkata: Disebut dengan perkataan Tammah kerana ia meliputi segala yang menakutkan lagi menyeramkan.
Firman Allah SWT: Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya. Al-Maraghi berkata: Pada hari itu manusia melihat perbuatannya termaktub dalam buku catatan amalannya yang hampir dilupakan tetapi dia segera mengingati kembali apa yang dilakukan dahulu.
Firman Allah SWT: Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya.Syed Qutb berkata: Neraka kelihatan jelas kepada setiap mata yang membawa makna dan bunyi yang kasar dan keras dan menonjol pemandangan neraka di hadapan setiap mata.
Ketika itu manusia akan menerima balasan dan akibat yang berbeza-beza. Dan ketika itu lahirlah tujuan dan matlamat pentadbiran dan perencanaan Allah yang mewujudkan kehidupan dunia.
Firman Allah SWT: Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya), adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata. Maka sesungguhnya neraka jahanamlah tempat kediamannya.
Al-Maraghi berkata: Orang yang sombong, melampaui batas dan mengutamakan kelazatan dunia serta nafsu syahwatnya daripada akhirat, maka nerakalah tempat tinggalnya.
Firman Allah SWT: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.
Syed Qutb berkata: Pencegahan diri dari keinginan hawa nafsu merupakan tiang seri ketaatan. Keinginan hawa nafsu merupakan pendorong yang kuat kepada tindak-tanduk yang melampau dan kepada perbuatan maksiat.
Ia menjadi punca segala bala bencana dan kejahatan. Jarang manusia binasa kecuali dengan sebab mengikut hawa nafsu.
Kejahilan mudah diubati tetapi penyakit mengikut hawa nafsu selepas berilmu merupakan penyakit jiwa yang memerlukan mujahadah yang bersungguh-sungguh dan memerlukan masa yang lama untuk mengubatinya.
Perasaan takut kepada Allah SWT merupakan dinding yang teguh untuk mencegah segala keinginan nafsu yang kuat tetapi semua dinding yang lain jarang dapat mencegah gelojak hawa nafsu kerana itulah kedua-duanya dikumpulkan dalam satu ayat.
Yang bercakap di sini ialah Allah pencipta manusia. Kerana itu Dialah yang mengetahui tentang penyakit jiwa dan ubatnya. Begitu juga Maha Mengetahui dengan segala lorong dan likunya.
Dialah Maha Mengetahui di mana tersembunyinya keinginan nafsu dan apakah pula ubatnya dan bagaimana mengusir dan memburu hawa nafsu itu dari tempat-tempat persembunyiannya.
Firman Allah SWT: Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Begitu juga persoalan berlegar kepada orang yang telah mati, bila akan dibangkitkan? Ibn Kathir berkata: Pengetahuan tentangnya tidak diberikan kepadamu.
Firman Allah SWT: Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?
Diriwayatkan oleh Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW sering menyebut hari kiamat dan hal itu selalu ditanya sehinggalah ayat ini diturunkan.
Al-Maraghi berkata: Kamu jangan bersedih hati dalam menangani masalah ini serta jangan memaksa diri kamu untuk mengetahui rahsia-rahsianya dan ingin mengetahui sesuatu yang disembunyikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.
Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.
Ibn Kathir berkata: Barang siapa yang takut kepada Allah SWT dan takut kepada ancaman-Nya, maka dia akan mengikutimu. Oleh yang demikian, dia sangat beruntung dan memperoleh kegembiraan. Kegagalan dan kerugian hanya untuk orang yang mendustakan dan melakukan penentangan.
Firman Allah SWT: (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.
Al-Maraghi berkata: Dalam bahasa Arab terdapat ungkapan yang sama seperti kenyataan di atas: Aku akan mengunjungi kamu pada waktu petang atau pagi. Atau sebaliknya, ungkapan ini bermaksud mereka akan memendekkan masa kunjungannya dan sangkaan mereka hanya akan tinggal sepanjang waktu petang atau pagi.
Penutup
Dunia yang selalu membuat mereka sanggup melakukan untuknya segala jenayah, maksiat dan kezaliman, dan dunia yang selalu membuat mereka dihanyut nafsu dan hidup kerana nafsu.
Terlipatlah sudah kehidupan dunia ini dalam hati pencintanya hingga dirasakan mereka seolah-olah kehidupan itu hanya berlangsung selama satu petang atau satu pagi sahaja. Inilah kehidupan dunia yang singkat.
Adakah kerana kehidupan pagi dan petang, mereka sanggup mengorbankan kehidupan akhirat yang kekal?
Adakah kerana kepuasan hawa nafsu yang fana, mereka sanggup meninggalkan kediaman syurga yang kekal di akhirat? Tidakkah ini suatu kebodohan yang paling besar?
Sabtu, 15 Mei 2010
CIKGU, SELAMAT HARI GURU
Rabu, 12 Mei 2010
REZEKI
Semua orang idamkan rezeki yang murah dan banyak bertimbun. Siapa yang tak mahukan wang dan kaya? Semua itu perlu untuk teruskan hidup. Nak makan nasi perlu wang. Nak naik kereta perlu duit. Nak belajar kena bayar. Nak ais krim kena beli. Nak rumah kena pinjam wang. Jadi semua itu tak terlepas dari guna harta.
Malangnya, manusia semakin rakus cari wang. Ada yang cari harta dengan sangkaan itu cara yang dibuat itu mudah. Ikut macam-macam skim. Konon nak cepat kaya. Saya membaca artikel yang ditulis oleh ZAHARUDIN ABDUL RAHMAN tentang perkara haram yang boleh jauhkan rezeki. Rencana seterusnya alah tulisan beliau.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan dan tidak akan ditolak qadar Allah SWT (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya.” (Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan) Justeru, janganlah menjadikan posisi kesukaran diri pada waktu ini sebagai alasan untuk membabitkan diri dalam perkara haram kerana ia sebenarnya bukan jalan keluar tetapi jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri serta keluarga.
Imam Ibn Kathir pernah mengulas apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka: “Tetapi mereka mendustakan (tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas daripada mereka apa-apa yang mereka usahakan.” (Al-A’raf: 96) PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ALASAN Yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan wang simpanan bagi mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim haram dan kemudian mengemukakan pelbagai alasan.
Ulama tabi’en berkata: “Barang siapa menuntut ilmu Allah seolah-olah telah menjamin rezekinya.” (Kanzul Ummal, 10/139) Ilmu itu akan menerangkan kita jalan untuk bekerja sebaik mungkin dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Rasulullah SAW mengingatkan: “Kalau kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT, nescaya akan diberi rezeki kepadamu sebagaimana diberi rezeki kepada burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.” Ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu, bersungguh-sungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah SWT.
Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah SWT, Dia akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.
Akhir sekali, Rasulullah SAW menasihatkan seorang sahabat yang kerap memohon bantuan harta daripada baginda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta adalah seperti buah yang subur, manis lagi disukai. Barang siapa mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu.
“Barang siapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Isnin, 10 Mei 2010
LELAKI BOROS
Lelaki muda boros
KUALA LUMPUR 9 Mei – Wanita sering dikaitkan dengan hobi ‘membuang duit’ iaitu membeli-belah, namun hakikatnya lelaki muda merupakan golongan yang paling ramai dibelenggu hutang kerana kegagalan menguruskan kewangan.
Golongan itu mula mengumpul hutang sejak awal bekerja dan apabila berumah tangga, hutang semakin menimbun sehingga gagal dibayar menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk keluar daripada masalah itu.
Menurut statistik yang dikeluarkan AKPK, dari 2007 hingga Februari 2010, seramai 25,107 atau 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di agensi itu adalah lelaki.
Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 44.6 peratus atau 16,286 orang mendapatkan khidmat itu bagi melangsaikan hutang masing-masing diikuti 14,622 orang golongan berusia lebih 40 tahun (40 peratus) dan 5,639 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun (15.4 peratus).
ULASAN
Boros bermakna tak pandai berjimat. Juga menunjukkan tabiat suka menghabiskan wang berbanding menyimpan. Boros juga kadang kala didorong oleh sifat menunjuk-nunjuk akan kekayaan yang dimiliki. Adakah boros dilakukan oleh mereka yang berwang saja? Sebab ada juga kita lihat boros dilakukan juga oleh yang kurang dari segi pendapatannya. Kalau difikirkan sifat tercela ini sukar dihentikan sehinggalah mereka tidak memiliki wang untuk diboroskan.
Ikut peribahasa Melayu; Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Wang atau rezeki yang Allah beri sebenarnya adalah untuk kita tadbir dan urus dengan berhemah. Orang yang paling lama hisabnya di akhirat kelak adalah orang yang banyak harta, begitulah maksud hadis.
Sabtu, 8 Mei 2010
HARI IBU
Ahad, 2 Mei 2010
MOTONG GOTAH- renungan 2
Kerja menoreh getah (orang kampung saya sebut motong gotah) sebati dengan hidup Abah. Itulah kerja yang boleh dibuatnya. Sekolah rendahpun tak tamat. Masa itu kalau dapat tamat sekolah rendah sudah dikira hebat. Mungkin faktor utama tak tamat sekolah ialah tak ada duit. Miskin. Miskin hingga tak terfikir penting pergi sekolah. Yang penting masa itu ialah ada tempat berteduh dan makan ala kadar.
Sabtu, 1 Mei 2010
ABAH - renungan 1
Abah tabah menghadapi hidupnya yang penuh gelora dan segala macam dugaan. Macam-macam hambatan yang ditempuhnya dengan tabah. Waktu mudanya dia pernah kerja sebagai konstabel khas (Special constable) yang bertugas masa zaman Jepun. Sebelum itu dia bekerja kampung. Menoreh getah dan buat kerja sawah. Kampungnya, Kg Betong yang jauh dipenghujung jalan yang masa dulu tak ada jalan raya. Masa dulu hanya kayuh basikal atau lebih banyak berjalan kaki ke pekan. Hidup susah. Bila kawin dengan mak, mereka tinggal di kampung Tangkuh, dekat Johol. Umur mak masa tu belasan tahun. Masa dah sesuai untuk kawin.
BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Al-Isra' - 17:23 ÙˆَÙ‚َضَÙ‰ٰ رَبُّÙƒَ Ø£َÙ„َّا تَعۡبُدُÙˆٓاْ Ø¥ِÙ„َّØ¢ Ø¥ِÙŠَّاهُ ÙˆَبِٱلۡÙˆَٰÙ„ِدَÙŠۡÙ†ِ Ø¥ِØۡسَٰÙ†ًاۚ Ø¥ِÙ…َّا ÙŠَبۡÙ„ُغَÙ†َّ عِندَÙƒ...
-
Murid-murid sedang menjawab soalan peperiksaan. Dalam benak mereka ialah menjawab untuk lulus peperiksaan. Ada yang matlamatnya ialah ...
-
Dr Yahya Othman Pengenalan Mendengar adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif teru...
-
Sumber: Yahya Othman (2014). Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dewan Bahasa . 14(5)...