Kepada semua guru, diucapkan selamat menyambut hari guru. Kepada guru-guru saya yang pernah mengajar dan mendidik saya, ingin juga saya sampaikan ucapan SELAMAT HARI GURU. Semasa di sekolah rendah Bukit Rokan, Negeri Sembilan dulu (1964-1969) guru saya yang masih dalam ingatan termasuklah Allahyarham Cikgu Wahab Itam dan isterinya Cikgu Ismariah serta Allahyarham Cikgu Ramli Othman.
Arwah Cikgu Wahab memiliki gaya guru yang tegas dan garang. Dia mengajar saya semasa darjah satu dan dua. Saya masih ingat lagi dia mengajar membaca dengan gunakan kaedah suku kata. ba bi bu; ca ci, cu; ta ti tu dan seterusnya. Masa itu dia banyak guna kad manila untuk tulis kad imbasan suku kata tersebut. Alat bantu mengajar yang sangat sesuai dan berkesan. Tulisan tangannya cantik dan kemas. Kemahiran ini yang guru sekarang tidak kuasai dengan baik. Bila dia tulis di papan hitam, sangat senang murid membaca.
Dia juga guna ganjaran sebagai galakan kepada murid semasa mengajar. Saya masih ingat lagi ketika dia mengajar kira-kira (kini matematik). Apabila saya jawab betul soalan, dia hadiahkan saya kuih yang berbentuk bulat yang diguna sebagai alat bantu mengajar.
Dia juga selalu guna rotan semasa mengajar. Kalau tak dapat baca atau mengira, memang dia akan rotan tapak tangan. Tak hafal sifir pun akan dirotan. Congak juga ditekakan semasa mengajar kira-kira. Tapi sangat berkesan. Tak ada pula penjaga yang marah anak mereka dirotan. Kebanyakan kesalahan yang murid lakukan, selalunya rotan akan hinggap. Satu peristiwa yang tak dapat saya lupakan hingga kini. Masa itu saya dalam darjah 4. Kawan saya Nordin Shamsudin (gelarannya Botak) telah dituduh mencuri wang kawannya. Cikgu Wahab minta dia mengaku, tapi Nordin masih tak mengaku juga. Nordin diminta berdiri atas kerusi. Baju dibuka. Akhirnya Cikgu Wahab ambil pisau dan diacukan ke perut Nordin. Apa lagi Nordin terus menangis dengan kuat dan terus mengaku. Bayangkan kalau cara itu digunakan oleh guru sekarang!
Berbeza dengan Cikgu Ismariah. Dia guru yang lembut tetapi tegas. Dia mengajar saya semasa darjah dua. Dia ajarkan membaca, menulis dan mengira. Saya masih ingat lagi ketika dia mengandung, dia suka menjahit (atau mengait) semasa dalam kelas. Ini dilakukan semasa murid-murid buat latihan dalam kelas. Murid-murid buat kerja yang disuruh.
Arwah Cikgu Ramli Othman, mengajar Bahasa Inggeris. Dia pandu kereta Renault. Masa itu dia nampak cukup hebat. Dia orang Melaka. Seorang guru yang garang tapi sangat bagus mengajar kami. Saya juga pernah belajar tambahan di rumahnya pada sebelah malam. Dia juga adalah penjamin pertama saya dalam borang perjanjian semasa saya ditawarkan ke maktab perguruan pada tahun 1976. Begitulah jasa mereka.
Semasa disekolah rendah juga, murid-murid dibekalkan dengan rancangan makanan. Makanan yang disediakan ialah bubur gandum dicampur dengan susu tepung. Kalau tak silap saya, tertulis dibuntil gandum itu ialah UNESCO. Semua itu dikendalikan oleh cikgu. Mereka yang masakkan bubur gandum itu dan murid-murid hanya perlu bawa mangkuk dan sudu saja serta gula pasir.
Bagi guru-guru yang telah meninggal dunia, saya doakan agar roh mereka di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Bagi yang masih hidup, saya doakan agar mereka dalam lindungan dan rahmat Allah.
Bagi guru kini, banyak perubahan yang telah berlaku. Sama ada perubahan dari segi murid, guru dan sistem pendidikan itu sendiri. Perubahan ini juga telah mempengaruhi kehidupan manusia yang dilahirkan melalui sistem yang mereka tempuhi. Tentulah terdapat beberapa perspektif yang berbeza dan difikirkan sesuai untuk dilaksanakan bagi memastikan hasilnya menepati matlamat yang dijangkakan.
Kepada guru-guru yang inginkan perubahan dalam dunia pendidikan, eloklah baca artikel disertakan di bawah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan