Semua orang idamkan rezeki yang murah dan banyak bertimbun. Siapa yang tak mahukan wang dan kaya? Semua itu perlu untuk teruskan hidup. Nak makan nasi perlu wang. Nak naik kereta perlu duit. Nak belajar kena bayar. Nak ais krim kena beli. Nak rumah kena pinjam wang. Jadi semua itu tak terlepas dari guna harta.
Malangnya, manusia semakin rakus cari wang. Ada yang cari harta dengan sangkaan itu cara yang dibuat itu mudah. Ikut macam-macam skim. Konon nak cepat kaya. Saya membaca artikel yang ditulis oleh ZAHARUDIN ABDUL RAHMAN tentang perkara haram yang boleh jauhkan rezeki. Rencana seterusnya alah tulisan beliau.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan dan tidak akan ditolak qadar Allah SWT (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya.” (Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan) Justeru, janganlah menjadikan posisi kesukaran diri pada waktu ini sebagai alasan untuk membabitkan diri dalam perkara haram kerana ia sebenarnya bukan jalan keluar tetapi jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri serta keluarga.
Imam Ibn Kathir pernah mengulas apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka: “Tetapi mereka mendustakan (tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas daripada mereka apa-apa yang mereka usahakan.” (Al-A’raf: 96) PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ALASAN Yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan wang simpanan bagi mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim haram dan kemudian mengemukakan pelbagai alasan.
Ulama tabi’en berkata: “Barang siapa menuntut ilmu Allah seolah-olah telah menjamin rezekinya.” (Kanzul Ummal, 10/139) Ilmu itu akan menerangkan kita jalan untuk bekerja sebaik mungkin dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Rasulullah SAW mengingatkan: “Kalau kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT, nescaya akan diberi rezeki kepadamu sebagaimana diberi rezeki kepada burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.” Ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu, bersungguh-sungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah SWT.
Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah SWT, Dia akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.
Akhir sekali, Rasulullah SAW menasihatkan seorang sahabat yang kerap memohon bantuan harta daripada baginda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta adalah seperti buah yang subur, manis lagi disukai. Barang siapa mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu.
“Barang siapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan