Selasa, 16 November 2010
KISAH CIKGU ALI - Mula jadi cikgu
Cikgu Ali hayun langkah dengan penuh semangat hari itu. Hari pertama dia melapor diri kepada pengetua sekolah pertama dia di tempatkan. Macam-macam soalan dalam benaknya yang dia sendiri tak tahu jawabnya. Dia sendiripun tak kisah dengan jawapannya. Jawapan itu ada di sekolah yang dia di tempatkan. Sebagai guru permulaan, sekolah itu bukan dia yang pilih. Pihak jabatan Pendidikan yang tentukan. Dia pun taklah hendak bantah pilihan itu. Yang penting dia akan jadi cikgu. Berjaya juga akhirnya dia nak jadi cikgu.
Dia masih teringat lagi semasa menerima tawaran belajar di maktab perguruan di Pulau Pinang. Kepalang sukanya dia dengan tawaran itu. Apa tidaknya. Sesuatu yang dia memang tak sangka. Pada Cikgu Ali, apa-apa tawaran yang diberi dulu dia akan terima saja. Semasa di maktab, dia belajar kursus Ilmu Hisab. Sekarang dipanggil pelajaran matematik. Pensyarah yang mengajar dia dulu termasuklah Tan Beng Thiam, Cheah Tat Huat, Miskin Fakir dan lain-lain yang dia sendiri dah lupa. Miskin Fakir ajar subjek sains. Dia tak berapa nak kisah apa pelajar nak buat masa dia mengajar. Tapi pernah sekali kerana dah tak tahan kerenah pelajar. Dia cari pelajar yang ponteng sampai ke asrama. Yang tak boleh Cigu Ali lupa ialah kayu hoki tak lekang ditangannya. Tongkatnya kayu hoki..
Banyak kenangan manis dan pahit masa belajar di maktab. Masa itu kemudahan komunikasi tak moden macam sekarang. Hari pertama nak mendaftar ke maktab, dia pergi sendirian. Naik kereta api dari Batang Melaka. Itulah kali pertama dia naik kereta api. Rasa kecut juga dia alami pengalaman pertama naik kereta api. Emak dia bekalkan nasi untuk dimakan dalam perjalanan . Kereta api akan berhenti setesen Kuala Lumpur. Setesen kereta api Kuala Lumpur itu juga adalah kali pertama di jejaki. Tak pernah ditempuhnya tempat itu. Memang kuat dugaannya. Tapi ditabahkannya hati hadapi semua itu. Aku anak jantan katanya. Selepas Kuala Lumpur dia kena ambil kereta api ke Pulau pinang. Satu lagi tempat yang dia tak pernah tempuh. Tapi dalam serabut akal nak ke Penang, dapat juga dia cari kawan yang sama tujuan. Kalip nama sahabat barunya. Budak Melaka. Pun sama kes dengan dia. Buta tentang Pulau Pinang. Dia pun nak pergi belajar di maktab yang sama. Lega hati cikgu Ali bila dah dapat kawan yang sama-sama tak tau apa rupanya Pulau Pinang.
Setelah hampir enam jam naik kereta api (masa itu, masih ada tempat duduk daripada kayu) maka sampailah ke stesen Butterworth, Pulau Pinang. Muka berminyak dan lubang hidung jadi hitam. Agaknya kena asap kereta api. Lepas ini, dia perlu naik feri nak nak ke seberang. Satu lagi pengalaman yang pertama kali ditempuhinya. Tengok gambar feri pun tak pernah, inikan pengalaman nak naik kali pertama. Akhirnya sampai juga ke maktab yang dituju. Masa itu tak ada sangat kemudahan telefon. Cikgu Ali tulis surat saja nak beritau keluarga di kampung yang dia dah selamat sampai di Pulau Pinang.
Bagi cikgu Ali, pengalaman kali pertama yang pernah ditempuhnya itu sangat menarik. Sukar nak dia lupakan. Kalau dia cerita, pada anak-anak dia pada masa depan mungkin jadi bahan ketawa agaknya. Sekarang semua dah berubah. Dia nak melapor diri jadi cikgu. Situasi baru baginya bila nak lapor diri di sekolah pertama dia nak bertugas. Tapi dia anggap semua itu adalah cabaran. Apa-apa yang akan ditempuhinya akan diterimanya dengan lapang dada. Sebab tujuan dia nak melapor diri ialah menyerahkan dirinya sebagai cikgu dengan tugas yang diamanahkan kepadanya. Mendidik..
bersambung...
Isnin, 8 November 2010
Persaingan
Persaingan. Kata dasarnya "saing".Maksud persaingan dalam Kamus Dewan ialah perihal bersaing, perlawanan untuk atas mengatasi, pertandingan. Orang yang terlibat dalam persaingan dipanggil pesaing. Persaingan boleh wujud dalam usaha belajar, pekerjaan, perniagaan, dalam upaya untuk mendapatkan sesuatu matlamat.
Masa saya di sekolah rendah dulu (tahun 60an), persaingan tak dihiraukan sangat. Yang penting ialah pergi sekolah dan belajar. Itu saja. Sekolah di kampung, lagilah tak nampak ada persaingan. Masa itu yang seronoknya pergi sekolah di samping belajar, kita dapat bermain-main dengan kawan. Peperiksaan tak jadikan kita tertekan. Yang penting dapat nombor dalam kelas yang baik. Emak dan abah akan senyum bila dengar nombor yang kecil. Dulu, yang penting kedudukan dalam kelas.
Bila masuk sekolah menengah, persaingan dalam belajar mulai timbul. Cuba nak dapat kedudukan dalam kelas yang lebih baik. Cuba nak tanding siapa yang lebih pandai. Lepas periksa,Emak dan Abah akan tanya lagi, dapat nombor berapa. Dia tak tanya berdasarkan mata pelajaran. Bila nak ambil SPM, persaingan banyak berlaku dalam diri saja. Bersaing dengan meletakkan harapan sendiri agar lulus cemerlang. Bila sudah lulus SPM, cukuplah sekadar sambung belajar di maktab perguruan. Baru timbul cita-cita nak jadi cikgu sekolah. Di maktab, persaingan tak berapa ketara. Sebab lulus saja kursus, jadi cikgu sekolah sudah pasti. Sama ada cemerlang, atau lulus biasa saja pun dapat jadi cikgu. Jadi tak berapa nak bersaing.
Masa jadi cikgu di kampung persaingan dalam kerja cikgu pun tak begitu jelas. Mungkin tak tau apa yang nak disaingkan. Nak naik pangkat? Sistem naik pangkat pun masih belum ada dalam fikiran. Cikgu baru katakan, banyak perkara peribadi perlu selesaikan dulu. Nak beli motorsikal (kereta tak mampu), nak bantu keluarga, nak kumpul duit sebab ada cita-cita nak kahwin dan sebagainya.
Sampailah sekarang setelah lebih 30 tahun bekerja, istilah persaingan dalam kerja kadang-kadang tidak begitu ketara. Hinggalah apabila wujud peluang naik pangkat dan pelbagai insentif dalam perkhidmatan. Barulah rasa nak bersaing dengan rakan sejawat. Itupun bukanlah tujuan utama pergi kerja. Bukanlah kerana nak kejar naik pangkat. Biasanya kita akan kata, kalau ada rezeki Tuhan beri, dapatlah. Jika kerja dibuat dengan ikhlas dan usaha pula secara berterusan, insyaallah akan berjaya. Bukan hanya duduk mulut melopong saja. Tawakal semata-mata. Sampai bila pun takkan dapat.
Sehubungan dengan tajuk persaingan ini, pagi tadi saya baca berita tentang politik. Kadangkala seronok juga bila baca berita politik. Buat kira jadi pemikir, buat analisis, meramal, dan sebagainya. Ceritanya ialah ada pemimpin politik nak rebut jawatan tinggi dalam parti. Tapi dia tarik diri selepas proses undian berlangsung. Tak setuju dengan sistem mengundi baru diperkenalkan. Yang lebih ekstrem lagi letak semua jawatan dalam perti. Peristiwa lepas ini kita perlu analisis dan ramalan politik. Itupun jika nak analisis. Kalu tidak tunggu saja berita pemimpin itu selanjutnya.
Begitulah hebatnya bersaing dalam politik.Ada yang diminta suruh berhenti memimpin, sebab dah rakyat dah jemu tengok muka dia. Ada yang dituduh rasuah sebab nak jadi pemimpin. Yang lebih teruk lagi sampai membunuh atau guna ilmu hitam sebab nak jadi ketua. Jadi masalah orang politik ini ialah mereka nakkan kuasa memimpin. Maka mereka kena bersaing. Mereka ada pesaing. Ada persaingan yang sihat, dan ada sebaliknya. Pada saya persaingan dalam politik lebih mencabar jika dibandingkan dengan sektor yang lain. Hal ini disebabkan mungkin mereka berandaian akan wujud pulangan atau hasil yang diperoleh hasil kejayan dalam bersaing tadi. Atau mereka memang benar-benar abdi politik. Nak berkhidmat kepada rakyat dan negara secara jujur. Mungkin. Mungkin jika berjaya dalam persaingan itu, banyak perkara yang kita anggap mustahil boleh berlaku. Anda sendiri boleh fikirkan.
Walau bagaimanapun, dalam Islam amalan bersaing amat baik dan sering dituntut. Untuk jadi umat yang hebat, persaingan perlu. Terutamannya dalam beribadat. Ingat, ibadat bukan hanya amalan yang dilakukan di atas tikar sembahyang saja. Di tempat kerja, kita juga beribadat. Itupun jika ikhlas melakukannya. Tapi kadangkala ada hambatan dalam proses bersaing. Ada yang suka main kotor, pijak kepala kawan sebab nakkan capai sesuatu. Luar nampak baik, tapi muslihat buruknya hanya Allah yang tahu. Pun begitu, percayalah akan janji Allah yang akan memberi petunjuk dan ganjaran kepada yang ikhlas dalam beribadat. Allah tetap akan balas niat buruk orang yang jahat dalam bersaing. Begitu juga yang berniat baik . Dengan berniat baik itupun dah boleh dapat pahala. Kalau tak dapat balasan di dunia, di akhirat tetap ada. Hal itu sudah ditentukan oleh Allah.
Oleh itu bersainglah semasa hidup. Bersainglah di dunia untuk mengecap iman, melakukan amal dengan ikhlas. Masa di alam kubur dan akhirat nanti, persaingan hanya ke syurga atau ke neraka. Itupun telah ditentukan oleh sejauh mana kita telah bersaing untuk mengabdi diri kepada Allah s.w.t. semasa kita diberi peluang bernyawa.
Sabtu, 6 November 2010
KEMAHIRAN BERFIKIR
Mulai 30 Sept, untuk selama lima minggu (setiap Sabtu) saya akan mengendalikan kursus kemahiran berfikir untuk guru-guru Bahasa Melayu sekolah menengah Brunei di UBD. Bukan mereka tak berfikir atau tak tahu berfikir, tapi nak aplikasikan kemahiran tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran BM. Objektif lain adalah untuk menghasilkan modul pengajaran sebagai panduan kepada guru-guru.
Di bawah adalah video siri ceramah dengan animasi oleh Sir Ken Robinson berkaitan keperluan kemahiran berfikir. Fikirkan apakah yang difikirkan oleh SKR.
CUTI DI BRUNEI
Sudah lama tak menulis. Sibuk dengan tugas dan kalau di hujung minggu sibuk melayani tetamu yang berkunjung ke Brunei. Dua minggu lalu emak, adik-adik (Faizah, Paksu Fauzi dan Shidah, adik ipar)serta anak-anak saudara (Zubir, Munir, Amni, Arham, Asma' dan Ammar-kembar) bercuti ke sini. Seronok bila mereka datang. Kalau tidak hanya kami berdua saja di rumah. Saya dan isteri sibuk bersedia untuk menyambut kedatangan mereka. Beli kek lapis Sarawak, masak daging rusa, ketam masak lemak kuning, udang dan lain-lain.
Sudah lama Paksu Fauzi bercita-cita nak ke sini. Sejak saya ke sini awal 2009, dia dah berhajat nak datang. Masa itu arwah ayah masih ada. Tapi masa itu dia sudah mulai tidak sihat. Adik tangguhkan niat ke mari. Hajat dia nak bawa sama abah ke sini tak kesampaian. Abah meninggal sebab sakit kanser tahun lalu.
Sampai di Brunei kami bawa mereka mengunjungi tempat-tempat menarik di sini. Tapi sayangnya mereka tak sempat melawat Kg Air. Dapat juga mereka merasai makanan tradisi Brunei,ambuyat. Amni (4), anak Fauzi sibuk menyebut nak makan ambuyat. Dia pernah tengok rencana tentang ambuyar. Bila dah menjamah, ambuyat masih banyak berbaki.
Kami juga bermalam di Miri. Seronok mereka ke sini. Yang dihajatkan oleh anak-anak saudara adalah mandi di kolam renang. Puas hati mereka dapat berendam...
Bila mereka balik ke Malaysia, tinggallah kami berdua. Hidup perlu diteruskan. Minggu depan, kami akan sambut pula tetamu lain dari Malaysia. Ayah dan emak kawan angah Zahid. Mereka datang Ke Miri jenguk anak mereka, Cikgu Khairi. Bermalam di Brunei, jalan-jalan dan makan-makan..
Siapa lagi nak datang lepas ini? Hanis dan Acik datang pada 16 Sept, Hari Raya Aidil Adha di Malaysia 17 Sept. Selamat datang...
Jumaat, 5 November 2010
Langgan:
Catatan (Atom)
BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...
-
Murid-murid sedang menjawab soalan peperiksaan. Dalam benak mereka ialah menjawab untuk lulus peperiksaan. Ada yang matlamatnya ialah ...
-
Dr Yahya Othman Pengenalan Mendengar adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif teru...
-
Sumber: Yahya Othman (2014). Peranan Guru Bahasa Melayu dalam Merangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dewan Bahasa . 14(5)...