Isnin, 8 November 2010

Persaingan


Persaingan. Kata dasarnya "saing".Maksud persaingan dalam Kamus Dewan ialah perihal bersaing, perlawanan untuk atas mengatasi, pertandingan. Orang yang terlibat dalam persaingan dipanggil pesaing. Persaingan boleh wujud dalam usaha belajar, pekerjaan, perniagaan, dalam upaya untuk mendapatkan sesuatu matlamat.

Masa saya di sekolah rendah dulu (tahun 60an), persaingan tak dihiraukan sangat. Yang penting ialah pergi sekolah dan belajar. Itu saja. Sekolah di kampung, lagilah tak nampak ada persaingan. Masa itu yang seronoknya pergi sekolah di samping belajar, kita dapat bermain-main dengan kawan. Peperiksaan tak jadikan kita tertekan. Yang penting dapat nombor dalam kelas yang baik. Emak dan abah akan senyum bila dengar nombor yang kecil. Dulu, yang penting kedudukan dalam kelas.

Bila masuk sekolah menengah, persaingan dalam belajar mulai timbul. Cuba nak dapat kedudukan dalam kelas yang lebih baik. Cuba nak tanding siapa yang lebih pandai. Lepas periksa,Emak dan Abah akan tanya lagi, dapat nombor berapa. Dia tak tanya berdasarkan mata pelajaran. Bila nak ambil SPM, persaingan banyak berlaku dalam diri saja. Bersaing dengan meletakkan harapan sendiri agar lulus cemerlang. Bila sudah lulus SPM, cukuplah sekadar sambung belajar di maktab perguruan. Baru timbul cita-cita nak jadi cikgu sekolah. Di maktab, persaingan tak berapa ketara. Sebab lulus saja kursus, jadi cikgu sekolah sudah pasti. Sama ada cemerlang, atau lulus biasa saja pun dapat jadi cikgu. Jadi tak berapa nak bersaing.

Masa jadi cikgu di kampung persaingan dalam kerja cikgu pun tak begitu jelas. Mungkin tak tau apa yang nak disaingkan. Nak naik pangkat? Sistem naik pangkat pun masih belum ada dalam fikiran. Cikgu baru katakan, banyak perkara peribadi perlu selesaikan dulu. Nak beli motorsikal (kereta tak mampu), nak bantu keluarga, nak kumpul duit sebab ada cita-cita nak kahwin dan sebagainya.

Sampailah sekarang setelah lebih 30 tahun bekerja, istilah persaingan dalam kerja kadang-kadang tidak begitu ketara. Hinggalah apabila wujud peluang naik pangkat dan pelbagai insentif dalam perkhidmatan. Barulah rasa nak bersaing dengan rakan sejawat. Itupun bukanlah tujuan utama pergi kerja. Bukanlah kerana nak kejar naik pangkat. Biasanya kita akan kata, kalau ada rezeki Tuhan beri, dapatlah. Jika kerja dibuat dengan ikhlas dan usaha pula secara berterusan, insyaallah akan berjaya. Bukan hanya duduk mulut melopong saja. Tawakal semata-mata. Sampai bila pun takkan dapat.

Sehubungan dengan tajuk persaingan ini, pagi tadi saya baca berita tentang politik. Kadangkala seronok juga bila baca berita politik. Buat kira jadi pemikir, buat analisis, meramal, dan sebagainya. Ceritanya ialah ada pemimpin politik nak rebut jawatan tinggi dalam parti. Tapi dia tarik diri selepas proses undian berlangsung. Tak setuju dengan sistem mengundi baru diperkenalkan. Yang lebih ekstrem lagi letak semua jawatan dalam perti. Peristiwa lepas ini kita perlu analisis dan ramalan politik. Itupun jika nak analisis. Kalu tidak tunggu saja berita pemimpin itu selanjutnya.

Begitulah hebatnya bersaing dalam politik.Ada yang diminta suruh berhenti memimpin, sebab dah rakyat dah jemu tengok muka dia. Ada yang dituduh rasuah sebab nak jadi pemimpin. Yang lebih teruk lagi sampai membunuh atau guna ilmu hitam sebab nak jadi ketua. Jadi masalah orang politik ini ialah mereka nakkan kuasa memimpin. Maka mereka kena bersaing. Mereka ada pesaing. Ada persaingan yang sihat, dan ada sebaliknya. Pada saya persaingan dalam politik lebih mencabar jika dibandingkan dengan sektor yang lain. Hal ini disebabkan mungkin mereka berandaian akan wujud pulangan atau hasil yang diperoleh hasil kejayan dalam bersaing tadi. Atau mereka memang benar-benar abdi politik. Nak berkhidmat kepada rakyat dan negara secara jujur. Mungkin. Mungkin jika berjaya dalam persaingan itu, banyak perkara yang kita anggap mustahil boleh berlaku. Anda sendiri boleh fikirkan.

Walau bagaimanapun, dalam Islam amalan bersaing amat baik dan sering dituntut. Untuk jadi umat yang hebat, persaingan perlu. Terutamannya dalam beribadat. Ingat, ibadat bukan hanya amalan yang dilakukan di atas tikar sembahyang saja. Di tempat kerja, kita juga beribadat. Itupun jika ikhlas melakukannya. Tapi kadangkala ada hambatan dalam proses bersaing. Ada yang suka main kotor, pijak kepala kawan sebab nakkan capai sesuatu. Luar nampak baik, tapi muslihat buruknya hanya Allah yang tahu. Pun begitu, percayalah akan janji Allah yang akan memberi petunjuk dan ganjaran kepada yang ikhlas dalam beribadat. Allah tetap akan balas niat buruk orang yang jahat dalam bersaing. Begitu juga yang berniat baik . Dengan berniat baik itupun dah boleh dapat pahala. Kalau tak dapat balasan di dunia, di akhirat tetap ada. Hal itu sudah ditentukan oleh Allah.

Oleh itu bersainglah semasa hidup. Bersainglah di dunia untuk mengecap iman, melakukan amal dengan ikhlas. Masa di alam kubur dan akhirat nanti, persaingan hanya ke syurga atau ke neraka. Itupun telah ditentukan oleh sejauh mana kita telah bersaing untuk mengabdi diri kepada Allah s.w.t. semasa kita diberi peluang bernyawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...