Selasa, 13 November 2012

BUDAYA MENGGUNAKAN INTERNET DALAM PEMBELAJARAN


Yahya bin Othman, PhD

*Artikel pernah tersiar di dalam majalah Dewan Budaya (2004) , Bil 26(7), ms 27-42 

Adakah penggunaan internet telah membudaya dalam masyarakat? Membudayakan penggunaan internet dalam pembelajaran  bermaksud menjadikan internet satu norma yang boleh diterima pakai dan membantu pelajar dalam pembelajarannya. Apakah pula kaitannya internet dengan proses pembelajaran? Dalam konteks penataran ilmu, internet diperlukan  untuk menjana lebih banyak bahan yang boleh membantu pembelajaran.  Ini disebabkan pembelajaran memerlukan alat bantu bagi memudahkan proses penerimaan maklumat dan ilmu. 

Jika suatu ketika dulu penggunaan buku teks dianggap penting dalam proses pembelajaran, kini pelajar dapat belajar dengan lebih seronok setelah wujudnya internet yang dapat membantu mereka belajar dengan lebih bermaklumat dan sentiasa bersedia menambah maklumat tersebut apabila diperlukan.  Internet menyediakan peluang kepada pelajar meningkatkan keupayaan memiliki lebih banyak maklumat dan pengetahuan bagi tujuan pembelajaran bahasa.

            Untuk tujuan melihat sikap pelajar terhadap internet terutama dalam meningkatkan kemahiran menulis karangan, satu kajian menggunakan kaedah tinjauan telah dilakukan dalam kalangan 50pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah berasrama penuh sebagai  sampel kajian.  Mereka telah didedahkan dengan kemahiran menggunakan komputer dan internet melalui program sekolah bestari yang dilaksanakan di sekolah tersebut.  Alat kajian yang digunakan ialah soal selidik.

            Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar mengakui bahawa pendedahan terhadap penggunaan internet sangat penting bagi membantu mereka menguasai kemahiran menulis karangan.  Untuk tujuan tersebut, kebanyakan mereka (60%) telah didedahkan dengan penggunaan internet dengan belajar sendiri manakala hanya 6% sahaja yang mengikuti kursus berkaitan internet.  Di samping itu pelajar juga didedahkan dengan internet melalui guru (8%) dan ibu bapa (9%).  Ini menggambarkan bahawa pelajar mempunyai daya usaha sendiri untuk memperoleh kemahiran menggunakan internet dan ini akan mempengaruhi sikap mereka terhadap penggunaan internet di dalam pembelajaran.

Faktor motivasi semasa menggunakan internet juga mempengaruhi pelajar terutama dalam kemahiran menulis karangan.  Dapatan menunjukkan min keseluruhan aspek motivasi menggunakan internet menunjukkan tahap baik (min 4.18)Berdasarkan dapatan kajian, pelajar menunjukkan minat (min 4.40) menggunakan internet walaupun tajuk penulisan karangan boleh menyukarkan penulisan serta membosankan pelajar.  Di samping itu, pelajar juga suka (min 4.30)  menggunakan internet walaupun mereka tidak meninati bidang  penulisan.  Kedua-dua  dapatan ini menggambarkan wujudnya pengaruh penggunaan internet dalam pembelajaran Bahasa Melayu kerana faktor motivasi dalaman bagi penggunaan internet dapat membantu mereka menguasai penulisan karangan.  Penekanan aspek motivasi dalaman menggunakan internet mempunyai kaitan dengan peranan internet sebagai penyalur maklumat dan pelbagai bahan yang boleh membantu pelajar menulis karangan. 

Internet boleh membentuk model baru dalam pembelajaran di dalam bilik darjah dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka ilmu dengan lebih meluas mengikut kesesuaian waktu dan kelapangan pelajar.  Dapatan kajian tidak menunjukkan yang pelajar menaruh harapan yang tinggi terhadap penetapan matlamat pencapaian penulisan (min 3.96).  Ini menggambarkan pelajar tidak menetapkan unjuran dalam penguasaan penulisan kerana kemungkinan maklumat yang diperoleh perlu dianalisis dan ini sedikit sebanyak akan memakan masa dan kadangkala boleh menyulitkan pelajar.  Oleh itu, aspek motivasi pelajar perlu diwujudkan dan dipupuk agar dapat menjadikan internet sebagai alat yang boleh membantu pelajar menguasai kemahiran menulis karangan dan kemahiran bahasa yang lain dengan lebih baik.

            Dari segi keyakinan menggunakan internet, pelajar secara keseluruhannya memiliki darjah keyakinan yang tinggi semasa menggunakan internet (min 4.3).  Dapatan kajian ini juga menunjukkan pelajar-pelajar sangat menyukai tugasan yang menggunakan internet (min 4.72).  Keyakinan ini juga dinyatakan melalui  hasil yang akan diperoleh setelah menggunakan internet dalam pembelajaran (min 4.38).  Bagi sampel kajian yang telah mempunyai pengalaman menggunakan internet, hasil pembelajaran akan menjadi lebih baik melalui aktiviti yang lebih meyakinkan pelajar.  Selain itu, pelajar juga mempunyai keyakinan bahawa bahan yang diperoleh melalui internet lebih baik dan membantu penulisan jika dibandingkan dengan bahan-bahan yang lain.  Hal ini demikian kerana pelajar dapat menggunakan dengan lebih berkesan bahan-bahan tersebut melalui laman web yang berkaitan jika dibandingkan dengan bahan-bahan yang diperoleh secara konvensional sama ada melalui elektronik ataupun media cetak. 

Dalam pembelajaran bahasa, perkara yang agak kritikal dan perlukan pertimbangan ialah sejauh mana bahan-bahan yang diakses melalui internet benar-benar mampu membantu pelajar belajar.  Adakah pelajar berupaya menerima, menganalisis dan menyaring  bahan-bahan tersebut dan disesuaikan dengan tugasan pembelajaran? Persoalan tersebut penting diteliti kerana kegagalan pelajar memanfaatkan maklumat yang diperoleh boleh menganggu proses pembelajarannya.  Keadaan ini akan bertambah sukar jika mereka mengalami masalah  kesukaran membaca dan memahami  teks yang ditulis dalam bahasa Inggeris.  Keadaan ini akan menyukarkan kelancaran proses belajar bahasa.  Dalam hal ini guru perlulah berperanan sebagai pembimbing dan pemudah cara yang efektif bagi memastikan hasil pembelajaran dapat dicapai.  Kemampuan tersebut boleh meyakinkan pelajar semasa mengaplikasikan maklumat yang diperoleh dalam membuat tugasan. 

Budaya menggunakan internet banyak dikaitkan dengan kesediaan pelajar memanfaatkan aplikasi internet dalam pembelajaran termasuk penulisan.  Berdasarkan dapatan kajian,  min kesediaan menggunakan internet ialah 4.3.  Keputusan kajian ini menunjukkan tahap kesediaan yang baik bagi pelajar-pelajar yang digolongkan sebagai pelajar cerdas.  Di samping pendedahan dan motivasi semasa menggunakan internet, faktor kesediaan juga memainkan peranan penting.  Pelajar menyatakan mereka bersedia menggunakan internet (min 4.24) untuk tujuan penulisan.  Walau bagaimanapun mereka menunjukkan pada tahap sederhana keupayaan untuk mengawal situasi semasa mengendalikan internet.  Mereka juga pada tahap sederhana dalam aspek menyatakan matmalat yang jelas sederhana semasa menggunakan internet (min 3.2). 

Berdasarkan dapatan kajian juga menunjukkan pelajar perempuan lebih banyak menggunakan internet daripada lelaki berdasarkan  kesemua aspek iaitu aspek motivasi, keyakinan, dan kesediaan. Ini menggambarkan bahawa pelajar perempuan mempunyai sikap positif terhadap internet (min 4.3) manakala pelajar lelaki pula di sekitar min 4.1.  Keadaan ini juga menunjukkan wujud perbezaan yang signifikan  terhadap motivasi, keyakinan, kesediaan dan pandangan terhadap internet. Walau bagaimanapun perbezaan min yang kecil ini tidak akan menjejaskan penggunaan internet dalam penulisan karangan.  Dengan membuat perbandingan pendapatan keluarga pelajar dengan sikap terhadap internet, dapatan kajian  menunjukkan tidak terdapat pengaruh pendapatan terhadap sikap terhadap internet.  Ini disebabkan penggunaan internet yang semakin meluas, pengaruh pendapatan  keluarga tidak memainkan peranan kerana pelajar dapat mengakses internet di sekolah melalui makmal komputer dan di siber kafe yang terdapat di merata-rata tempat dengan bayaran yang sesuai.

Berdasarkan dapatan kajian juga, pelajar mempunyai motivasi yang tinggi terhadap penggunaan internet dalam penulisan.  Motivasi yang positif ini dilihat dari aspek sikap dan kepercayaan seseorang. Sikap menjadi penentu sama ada seseorang itu bermotivasi untuk menggunakan komputer ataupun tidak.  Pelajar yang memiliki sikap positif akan cuba menerima dan menyesuaikan dengan kehendak pembelajaran.  Ini juga disebabkan keistimewaan dari segi integrasi multi media di dalam internet mudah dan pantas untuk diakses sebagai memberikan motivasi kepada pelajar.  Sikap negatif akan memberikan kesan kepada pemupukan budaya menggunakan internet di dalam pembelajaran terutamanya yang melibatkan penguasaan penulisan.

Berdasarkan dapatan kajian yang telah dijalankan, menunjukkan pelajar mempunyai keperluan untuk menggunakan internet dalam pembelajaran sama ada untuk penguasaan penulisan karangan atau menguasai kemahiran bahasa yang lain.  Sikap pelajar secara umumnya menunjukkan mereka memerlukan bahan yang boleh membantunya meningkatkan kemahiran menulis yang dianggap perlu dikuasai dengan pengolahan isi kandungan di samping aspek kandungan.  Bagi kebanyakan pelajar, isi-isi karangan yang ditulis dapat diperoleh dengan mengakses laman web yang berkaitan.  Oleh itu, budaya menggunakan internet juga dipengaruhi sejauh mana laman web dapat memberikan maklumat tambahan kepada pelajar.  Seterusnya, akan dibincangkan isu-isu yang berkaitan penggunaan internet dalam pembelajaran.

Internet sebagai alat.  Guru merupakan koordinator dalam usaha memberikan  pengalaman pembelajaran menggunakan internet kepada pelajar.  Penggunaan internet sebagai alat dan pemboleh dalam pembelajaran merupakan pengalaman bersemuka semasa belajar.  Oleh itu, dalam konteks penyediaan bahan pembelajaran dalam internet, guru perlulah menyediakan bahan sokongan, pilihan jawapan dan kesempatan untuk pelajar berhubung sesama mereka melalui sesi perbincangan. 

Kebolehan mengakses maklumat.  Terdapat andaian bahawa pelajar-pelajar mempunyai kebolehan yang sesuai untuk menggunakan internet dalam pembelajaran terutama yang berdasarkan kemahiran menulis dan membaca.  Andaian ini dibuat berdasarkan pemerhatian tingkah laku pelajar semasa belajar dengan menggunakan internet.  Mengikut kajian, pelajar perempuan lebih gemar menggunakan internet daripada pelajar lelaki.  Terdapat dua jenis penggunaan internet iaitu dengan melayari laman web sekadar untuk keperluan sosial dan kedua, mengakses data yang telah ditentukan terlebih dahulu matlamatnya dengan lebih spesifik.

Implikasi sumber untuk organisasi pendidikan.  Bagi tujuan penyediaan  bahan internet,  sesebuah institusi seperti sekolah yang meliputi panitia mata pelajaran atau guru-guru  memerlukan persediaan yang rapi untuk menghasilkan laman web yang benar-benar bermanfaat terutama untuk pembelajaran.  Oleh itu, persediaan bagi menyediakan bahan dikaitkan dengan kepakaran dalam bidang yang berkaitan seperti pakar pedagogi, jurugambar, editor teks, penyelenggara multimedia dan sebagainya.  Di samping itu, perlu juga difikirkan aspek kos, sokongan tutorial dan sokongan telekomunikasi yang dianggap wajar bagi memberikan kesan pembelajaran kepada pelajar. 

Menyelenggara kursus.  Terdapat  juga keperluan untuk menyelenggarakan kurus di dalam internet.  Perkara penting perlu diberikan perhatian iaitu kumpulan menyelenggara laman web. Oleh itu, perkhidmatan webmaster diperlukan untuk memastikan maklumat yang terdapat di dalam laman web itu sentiasa dikemas kini. 

Kesimpulannya, pemupukan budaya belajar dengan menggunakan internet dapat membantu menggerakkan motivasi untuk mendapatkan lebih banyak bahan sokongan dalam penulisan.  Walau bagaimanapun, wujud kekangan dari segi penggunaan bahasa di dalam internet yang memerlukan pelajar sekurang-kurang mengusai bahasa Inggeris bagi memahami teks yang ditulis bukan di dalam bahasa Melayu.  Di samping itu, guru juga perlulah berfungsi sebagai pemudah cara yang dapat menjadi tempat rujukan sama ada bagi membantu melayari dan mencari laman web berkaitan atau mengadaptasikan bahan yang diperoleh ke dalam bentuk bahan pembelajaran yang sesuai.  Maka untuk mewujudkan budaya menggunakan internet dalam pengajaran bahasa Melayu, memerlukan penggemblengan banyak pihak agar mutu pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan berkesan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...