Isnin, 18 Julai 2022

EKSATOLOGI COVID-19

 APABILA bercakap mengenai COVID-19, ramai yang mengaitkan dengan zaman dan kiamat. Segala macam ayat al-Quran dan Hadis dikaitkan bagi membenarkan teori-teori yang dibina.

Tanpa menafikan sebahagian daripada teori-teori tersebut. Perlulah difahami bahawa ilmu akhir zaman ataqupun dikenali sebagai eskatologi ini mempunyai disiplin tersendiri yang perlu dipatuhi. Akhir zaman juga ada fiqhnya. Jika tidak, teori-teori yang dibina boleh lari daripada landasan ilmu Islam yang sebenar.

Fiqhnya tersangat luas. Namun saya terpanggil untuk berkongsi satu perkara. Daripada buku Ahadith Ashrat As Saah Wa Fiqhuha (Hadis-hadis Tanda Kiamat dan Kefahamannya) karya Dr Muhammad bin Ghaith menggariskan 21 kaedah syarak dalam memahami nas tanda kiamat dan memadankannya dengan realiti semasa. Saya kongsikan kaedah ke-17 yang banyak dilanggar oleh orang ramai pada hari ini.

Kaedah tersebut berbunyi:

“Mengambil kira kronologi tanda-tanda kiamat sebagaimana yang digariskan oleh nas.”

Kaedah ini turut dipetik daripada kitab Maalim wa Manarat fi Tanzili Ahadith al-Fitan wa al-Malahim wa Asyrat As-Saah Ala Al-Waqai’ wa Al-Hawadith oleh Syeikh Abdullah Soleh al-Ujairi.

Menurut penulis, Nabi S.A.W sangat menekankan soal kronologi ini. Banyak Hadis-hadis yang menyebutkan perkara yang akan berlaku sebelum dan selepas. Bahkan Baginda turut menegaskan sesuatu tanda tidak akan berlaku sebelum datangnya tanda yang lain.

Dalilnya;

“Ketika para Sahabat sedang berbual, Nabi menegur apakah yang sedang mereka bualkan itu. Sahabat menjawab mengenai hari kiamat. Lalu Nabi bersabda kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu lihat 10 tanda lalu disebut satu persatu (yang dikategorikan ulamak sebagai tanda besar kiamat).”

[Hadis Riwayat Muslim]

Maka sabda Nabi bahawa kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah perkara tersebut menjadi penekanan bahawa perlunya mengambil kira tertib.

Juga kisah;

“Ketika Kufah dilanda angin merah, seorang lelaki berkata kepada Abdullah bin Mas’ud bahawa kiamat telah tiba. Maka Abdullah menjawab bahawa kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah beberapa tanda berlaku lalu dihitungnya satu persatu.”

[Hadis Riwayat Muslim]

“Abu Tufail juga meriwayatkan bahawa terdapat seseorang berkata Dajal telah muncul ketika beliau di Kufah. Lalu dibawa berjumpa Huzaifah bin Usaid. Ringkasnya, Huzaifah menjawab bahawa jika Dajal keluar pada zaman kamu, nescaya kanak-kanak akan melastiknya. Namun Dajal keluar pada zaman manusia penuh kebencian, lemah agama dan hubungan kekeluargaan rosak.”

[Hadis Riwayat Hakim]

Kemudian penulis mendatangkan beberapa contoh hadis-hadis kronologi tanda akhir zaman. Antaranya mengenai tertib lokasi peperangan dan tertib pembukaan (futuh).

Dalam isu COVID-19, ramai memetik beberapa Hadis mengenai penyakit, namun tanpa mengambil kira Hadis-hadis lain, terus mereka lompat kepada kesimpulan bahawa dunia akan kiamat. Sedangkan masih banyak lagi tanda-tanda lain yang perlu berlaku sebelumnya dan ia memakan masa lebih 50 tahun untuk semuanya berlaku.

Itu tidak lagi masuk bab golongan yang meriwayatkan Hadis-hadis palsu dan membina teori yang bercanggah dengan al-Quran dan Hadis. Semua ini adalah perkara yang tidak boleh dibiarkan.

Mungkin golongan yang berkongsikan ini punya niat yang baik untuk memberi peringatan. Namun perlulah untuk mereka meraikan disiplin ilmu dengan betul. Jika tidak, dibimbangi masyarakat akan terikut dengan membuat penafsiran sesedap hati mengenai nas agama berdasarkan logik akal masing-masing.

Kesimpulannya, penulis memperingatkan bahawa mengambil kira kronologi yang digariskan oleh nas adalah perkara yang dituntut. Sekiranya ada tanda-tanda yang tidak digariskan kronologinya, maka janganlah meyakini secara qat’iy pula kronologi yang dibina sendiri. Ini semua boleh dikira sebagai takalluf fi tafsir (menokok tambah dalam penafsiran) dan berkata-kata tanpa ilmu.

Semoga perkongsian ini membantu kalian memahami ilmu akhir zaman secara lebih berdisiplin.

Sumber:  https://harakahdaily.net/index.php/2020/03/29/eskatologi-covid-19/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...