Dr Wan Kadir, pemilik The Reef |
Saya bersama 11 ahli keluarga berpeluang bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu. Kami di sana selama tiga hari dua malam (27-29/7/2022). Tak pernah saya ke sini. Selama ini kewujudan Pulau Perhentian hanya melalui tontonan dan bacaan. Keindahan pulau ini memang sering diwar-warkan.
Sesampai di jeti Kuala Besut, kumpulan kami diuruskan oleh sebuah agensi pelancongan. Mereka uruskan berkaitan bot yang akan kami naiki. Situasi di jeti tenang saja. Pelancong tidak berapa banyak. Ada datang dalam kumpulan. Ada yang datang sendirian. Perjalanan ambil masa hampir 40 minit.
Bot laju dengan kuasa dua enjin mudah meredah laut yang agak tenang. Sesekali lantunan akibat ombak yang agak kuat. Namun kami kagum dengan pemandu bot yang berpengalaman. Apabila hampir dengan pulau, kelihatan penempatan penduduk di di Pulau Perhentian Kecil. Ada sekolah, klinik, masjid dan jeti yang nampak terurus. Perjalanan kami ialah ke Pulau Perhentian Besar.
Sesampai dijeti, kelihatan deretan bangunan resort. Keadaan jeti kayu agak lama. Ada papan pemijak yang boleh diganti untuk keselamatan pengunjung. Bagi warga emas, mereka perlu berhati-hati melalui jeti ini.
Kami menginap di Resort The Reef. Resort ini diuruskan oleh Dr Wan Kadir. Dia mantan pensyarah kaunseling UKM. Isterinya, Rashidah. Dia berasal dari Australia tapi tidak kekok dengan budaya Melayu. Boleh berbahasa Melayu dengan dialek Kelantan.
Pemandangan di sini sangat indah. Dengan air laut jernih bersih dan tidak sibuk dengan manusia. Sebelah petang selepas makan tengahari kami mandi laut. Laut tenang. Jernihnya air berkaca hingga nampak dasar. Sesuai untuk merehatkan diri.
Hari kedua, kami mulakan dengan aktiviti snorkling. Selepas sarapan kami bersedia menaiki bot. Beberapa tempat dibawa untuk teroka isi perut laut. Subhanallah. Ciptaan Allah yang terbentang untuk diteroka. Walaupun aktiviti agak mencabar untuk warga emas, namun semangat untuk mencuba tetap ada.
Sebelah petang, aktiviti memancing. Sudah lupa bila kali terakhir pegang joran kail. Kami naik bot nelayan. Dibawa ke tengah laut dalam. Bila enjin bot dimatikan, bot mula berayun. Mulalah ada yang terasa mual. Dua tiga orang mula muntah. Yang memancing mencuba bakat. Ada juga ikan yang lekat di mata pancing walaupun agak kekok.
Setelah penat memancing, sebelah malam kami menikmati makan malam ala barbeku. Kami di sini ambil pakej beserta makan. Masakan sarapan, tengah hati dan malam memang sedap. Berselera apatah lagi selepas penat dengan aktiviti fizikal.
Setelah tiga hari dua malam di resort The Reef ini, saya harap dapat berehat di sini lagi, insyaallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan