Jumaat, 11 November 2022

HARI JUMAAT: HADIS PENGHULU SEGALA HARI

Hari Jumaat merupakan hari yang mulia di sisi umat Islam. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan yang ada padanya. Di antaranya, apa yang boleh kami nyatakan adalah:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الصَّلَاةُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ، مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ

Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar.” [Riwayat Muslim (233)] 

Imam al-Nawawi menyatakan setiap yang disebut di dalam hadith tersebut boleh menghapuskan dosa sekiranya terdapat dosa kecil untuk dihapuskan. Sekiranya tidak terdapat dosa kecil atau besar maka akan dicatat baginya kebaikan dan diangkat darjatnya. Sekiranya terdapat dosa besar dan tidak terdapat dosa kecil, mudah-mudahan perkara tersebut dapat meringankan dosa besar yang dilakukan. [Lihat: al-Minhaj, 3/113]

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menceritakan berkaitan hari Jumaat merupakan penghulu kepada segala hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith:

  • Daripada Abi Lubabah bin Abd al-Munzir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ سَيِّدُ الْأَيَّامِ، وَأَعْظَمُهَا عِنْدَ اللَّهِ، وَهُوَ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ، فِيهِ خَمْسُ خِلَالٍ، خَلَقَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ، وَأَهْبَطَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ إِلَى الْأَرْضِ، وَفِيهِ تَوَفَّى اللَّهُ آدَمَ، وَفِيهِ سَاعَةٌ لَا يَسْأَلُ اللَّهَ فِيهَا الْعَبْدُ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ، مَا لَمْ يَسْأَلْ حَرَامًا، وَفِيهِ تَقُومُ السَّاعَةُ، مَا مِنْ مَلَكٍ مُقَرَّبٍ، وَلَا سَمَاءٍ، وَلَا أَرْضٍ، وَلَا رِيَاحٍ، وَلَا جِبَالٍ، وَلَا بَحْرٍ، إِلَّا وَهُنَّ يُشْفِقْنَ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri. Ini kerana, pada hari tersebut terdapat lima perkara besar iaitu: Padanya diciptakan, diturunkan ke bumi dan diwafatkan Nabi Adam. Padanya juga terdapat satu masa apabila seseorang itu meminta sesuatu kepada Allah pasti akan diberikan kepadanya selagimana dia tidak meminta sesuatu yang haram. Padanya juga akan berlakunya Kiamat dan pada hari itu juga (hari Jumaat) tidak ada malaikat yang dekat dengan Allah, di langit, bumi, angin, gunung dan laut melainkan takut dengan keagungan hari Jumaat.” [Riwayat Ibn Majah (1084)][Riwayat Ahmad (15548)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan Abdullah bin Muhammad bin Uqail atau Ibn Abi Thalib al-Qurasyi. Ibn Hajar mengatakan beliau seorang buruk hafalannya tetapi riwayatnya boleh dijadikan sokongan. Adapun perawi yang lain adalah thiqah] 

Tambahan pula, hari Jumaat adalah penghulu segala hari ada diriwayatkan juga oleh Ibn Majah daripada riwayat Abi Lubabah. Selain itu, Ibn Jarir juga ada meriwayatkannya di dalam tafsirnya dan begitu juga Ibn Abi Syaibah daripada riwayat Said bin al-Musayyib secara mursal dengan sanad yang sahih. Di samping itu, al-Thabarani juga meriwayatkannya di dalam al-Awsath daripada riwayat Anas bin Malik dan al-Hakim pula meriwayatkannya daripada riwayat Abu Hurairah RA. Manakala, Imam al-Baihaqi meriwayatkannya di dalam al-Syu’ab daripada ucapan Abdullah bin Mas’ud dengan sanad yang sahih.

Justeru itu, kami cenderung kepada riwayat tersebut adalah dhaif sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Walaupun begitu, terdapat banyak riwayat lain yang meriwayatkan perkara yang sama dan ia boleh menjadi sokongan kepada riwayat di atas. Selain itu juga, riwayat tersebut tidak melibatkan perkara ibadah tetapi ia hanya menunjukkan kebesaran dan keagungan hari Jumaat itu berbanding hari-hari yang lain.

Kesimpulannya, hari Jumaat merupakan hari yang agung disebabkan ia mempunyai banyak kelebihan, keistimewaan dan kemuliaan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim sama ada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini terutamanya pada hari-hari yang agung seperti hari Jumaat ini agar kita tidak mensia-siakan kebesaran hari tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas dalam beribadah kepada-Nya serta memberi kita kekuatan untuk terus beristiqamah dalam melakukan amal soleh.

 Sumber:

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-365: HARI JUMAAT PENGHULU KEPADA SEGALA HARI;

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3332-irsyad-al-hadith-siri-ke-365-hari-jumaat-penghulu-kepada-segala-hari



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَك...