Petikan Khutbah Jumaat 12.02.2021 l 30 Jumadal Akhirah 1442H JAIS
Jangan Menfitnah
Fitnah adalah tuduhan atau tohmahan yang sengaja diada-adakan sama ada ia berbentuk tulisan, gambar, video dan sebagainya.
Fitnah adalah perbuatan keji yang boleh memburukkan atau memalukan seseorang, kumpulan atau institusi, sedangkan ia tidak benar sama sekali.
Dengan perkembangan teknologi maklumat hari ini, penyebaran fitnah dalam media sosial yang telah disalahgunakan berlaku dengan cepat dan meluas melalui medium whatsapp, facebook, instagram (IG) dan sebagainya.
Lebih malang ia disebar atas nama kebebasan bersuara tanpa diselidiki dan tanpa memikirkan kesan buruknya.
Sikap seumpama ini amat dilarang oleh Islam. Ini kerana Islam menganjurkan umatnya agar setiap berita yang diterima mestilah diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada orang lain.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang yang beriman, Jika datang kepada kamu seseorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. Berdasarkan ayat tersebut, wajib bagi setiap Muslim untuk menyelidiki segala berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah
Fitnah adalah amat bahaya dan mesti dihindari. Ucapan dan tulisan fitnah boleh melahirkan sangkaan dan persepsi salah, membawa kebencian, persengketaan sesama sendiri dan seterusnya mencetuskan permusuhan.
Fitnah akan membunuh karaktor dan menyebabkan kehinaan kepada seseorang.
Pembuat fitnah bukannya bimbang akan kegagalan seseorang, sebaliknya sangat takut akan kejayaan orang lain. Justeru permusuhan dan pembunuhan karaktor ini pula bakal menjadi sebab musnahnya kerukunan bermasyarakat dan bernegara.
Ingatlah wahai penfitnah dan penyebar akan ancaman dan peringatan yang disampaikan oleh Nabi SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jaraknya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat”. (Muttafaqun Alaih).
Fitnah boleh berlaku sama ada disedari atau tidak apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu.
Penyebar fitnah biasanya berselindung di sebalik istilah tertentu seperti “dengar khabar”, “dengar cerita” atau “mohon pencerahan”.
Namun, apabila sesuatu fitnah disampaikan daripada seorang ke seorang yang lain, menjadi buah mulut tanpa henti dan diulang- ulang, maklumat yang belum sahih itu seolah-olah sudah menjadi fakta yang benar.
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36:“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Perseteruan dalam kalangan pemimpin yang menggunakan senjata fitnah akan menjerumuskan negeri dan negara ke lembah kemusnahan.
Fitnah adu domba telah menghancurkan harapan rakyat yang bernaung kepada pemimpin sebagai contoh ikutan, mengharmonikan antara satu sama lain, mentadbir negara dengan baik dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Khalifah Islam yang kedua, Sayyidina Umar Al-Khatab R.A pernah berkata, “Seandainya seekor keldai terperosok jatuh di Kota Baghdad, nescaya Umar akan dipertanggungjawabkan dan akan ditanya di akhirat nanti, “Mengapa tidak kamu meratakan jalan untuknya?’.” Keadilan Umar al-Khattab bukan setakat kepada manusia, malah kepada semua makhluk Allah SAW.
Rasulullah SAW memberikan peringatan keutamaan pemimpin untuk berlaku adil sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Auf bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda “Jika kamu semua mahu, aku akan memberitahu kamu apakah kepimpinan? Awalnya adalah celaan. Yang keduanya adalah penyesalan. Yang ketiganya adalah azab pada hari Kiamat kecuali orang yang berlaku adil.” (Riwayat Al-Tabarani)
Antara nas-nas syarak yang melarang dan mengeji perbuatan menyebar fitnah adalah:
Pertama: Penabur fitnah adalah orang yang paling keji.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 10 dan 11: “Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”
Abdul Rahman Bin Ghanmin Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan mengadu domba (menabur fitnah), mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”. (Riwayat Ahmad).
Kedua: Penabur fitnah bakal mendapat azab.
Hadis daripada Ibn Abbas Radhiallahu Anhu beliau berkata bahwa Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang dua orang yang sedang diazab di dalam kubur dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka berdua diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan oleh dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak berlindung ketika membuang air kecil dan seorang lagi memecah belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah”. (Riwayat al-Bukhari).
Dan dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan daripada rumahnya sehingga ke seluruh ufuk penjuru dunia”. (Riwayat al-Bukhari).
Ketiga: Penabur fitnah tidak akan masuk Syurga.
Sebagaimana diriwayatkan daripada Huzaifah Radhiallahu Anhu bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: “Penabur fitnah tidak akan masuk syurga”. (Riwayat al-Bukhari).
Keempat: Azab pedih menanti orang yang bergelumang dengan fitnah
Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 19: “ Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhantuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
Mengakhiri khutbah yang disampaikan pada hari yang mulia ini khatib ingin berpesan kepada hadirin Jumaat yang berbahagia agar:
1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap perkataan dan perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.
2. Umat Islam dilarang menyebarkan fitnah kerana boleh menimbulkan perpecahan dan perbalahan.
3. Umat Islam hendaklah berwaspada dengan sentiasa menyelidik setiap sebaran berita yang diterima untuk mengelakkan tersebarnya gejala fitnah yang sangat bahaya dan,
4. Ingatlah bahawa penfitnah adalah orang yang bankrup dihadapan Allah SWT kerana tuntutan orang yang difitnah.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf: 16-18).
Sumber:https://mt961013.livejournal.com/1462758.html?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan