Selasa, 7 Ogos 2012

PENGARUH PROFESIONALISME GURU BAHASA MELAYU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN



Oleh: Yahya Othman, PhD.

Abstrak

Guru Bahasa Melayu yang profesional perlu mampu mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.  Tugas guru bukan hanya menyampaikan kandungan pelajaran dengan baik malahan perlu memiliki ciri profesional yang lain bagi memastikan  mutu penguasaan Bahasa Melayu dapat dipertingkatkan.  Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk  meneliti pengaruh profesionalisme guru Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran.  Kajian secara tinjauan ini dilakukan terhadap 90 guru Bahasa Melayu dengan tumpuan kepada aspek profesionalisme guru yang melibatkan ciri umum profesionalisme berasaskan komitmen, pelaksanaan pengajaran dan latihan. Soal selidik digunakan untuk mengumpulkan data.  Dapatan menunjukkan bahawa kebanyakan responden kajian memiliki ciri profesionalisme guru mengikut kerangka yang ditetapkan.  Mereka juga masih memerlukan latihan lanjutan untuk memperkukuhkan kemahiran pedagogi terutama yang melibatkan ICT dan kaedah pengajaran yang sesuai dan berkesan.

PENGENALAN

Apakah yang tergambar dalam pemikiran kita dengan istilah profesionalisme guru? Adakah disebabkan komitmen yang mendalam terhadap profesion, kehebatannya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, atau ilmu dan kemahiran yang dimilikinya? Persoalan tersebut sering diberikan perhatian apabila membincangkan profesionalisme guru.

Merriam Webster's Collegiate Dictionary 10th edition mendefinisikan profesionalisme sebagai  the conduct, aims or qualities that characterize or mark a profession or a professional person.  Manakala Dewan Eja Pro (2004) menggariskan kriteria profesionalisme meliputi sifat-sifat berkemampuan dan berkemahiran semasa melaksanakan sesuatu tugasan sebagaimana yang sewajarnya dapat dilakukan oleh seseorang individu profesional. Oleh itu, guru yang profesional boleh dirumuskan sebagai guru yang berilmu, berkemahiran dan berketerampilan dalam pengajaran dan pengajaran, memiliki sahsiah yang boleh diteladani, dan menjadi ikutan kepada golongan yang dipimpin.
Guru yang dikelompokkan sebagai profesional tidak hanya menguasai dan mahir dalam subjek yang diajar sahaja (Darling –Hammond, 2000). Untuk berkedudukan sebagai guru yang efektif, mereka perlu memahami motivasi, strategi pembelajaran dan metakognisi. Disebabkan pengajaran memerlukan kepelbagaian, maka keperluan untuk mengajar dengan baik perlu dipelajari. Maka untuk tujuan tersebut, pengalaman selama beberapa tahun diperlukan selepas menjalani latihan (Scherer 2001).

Status profesional bagi perguruan terletak atas asas moral, yang menekankan pentingnya tugas mendidik dengan berlandaskan kriteria yang telah dipersetujui bersama. Untuk tujuan tersebut, profesion perguruan amat menitikberatkan aplikasi pedagogi dalam kalangan guru. Proses pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan kepada kandungan kurikulum. Kurikulum adalah rancangan pengajian yang mengandungi matlamat, objektif, isi kandungan, proses, sumber, dan cara penilaian semua pengalaman pembelajaran yang telah dirancang untuk murid di dalam dan di luar sekolah. Di samping itu, kurikulum juga menekankan persekitaran komuniti melalui pengajaran bilik darjah dan rancangan pembelajaran lain seperti lawatan, perpustakaan, pengalaman kerja, bimbingan dan aktiviti luar darjah (Sharifah Alwiah Alsagoff, 1983). Guru yang profesional wajar mengadunkan kandungan kurikulum yang perlu dilaksanakan dengan keperluan pelajar selepas mereka tamat persekolahan. 

Latihan dan kursus yang diterima oleh guru selepas mereka mengikuti latihan asas perguruan boleh digunakan untuk menilai sejauh manakah pedagogi guru berubah mengikut keperluan dan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan. Kursus atau bengkel yang diikuti oleh guru sepanjang tempoh mereka berkhidmat juga  bertujuan untuk  memantapkan pengetahuan dan kemahiran guru dengan maklumat terbaru berkaitan ilmu, teknik dan penggunaan aplikasi terkini berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran. Memalui kaedah tersebut, profesionalisme guru dapat dipertingkatkan.

Di samping itu, peranan bahan bantu mengajar juga penting dalam meningkatkan profesionalisme guru.  Peralatan dan perkakasan yang digunakan semasa mengajar bertujuan untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kini, komputer telah digunakan secara meluas di sekolah dan sentiasa diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini juga mewujudkan kemudahan yang perlu disediakan di sekolah seperti makmal komputer, makmal bahasa, dan bilik tayangan. Walaupun penggunaan bahan bantu mengajar yang berasaskan komputer menjadi pilihan utama di sekolah, namun penggunaan bahan bantu mengajar yang konvensional seperti gambar rajah dan carta masih boleh digunakan dengan berkesan. Mempelbagaikan penggunaan bahan bantu mengajar perlu dilakukan oleh seseorang guru bagi mengekal tahap minat pelajar yang tinggi (Yahya Othman, 2006).

Robiah Sidin (2002) dalam kajiannya membincangkan keupayaan guru-guru untuk menjadi ahli yang professional dan halangan utama yang dihadapi dalam kerjanya. Fokus utama perbincangan ialah keperluan dan orientasi program untuk latihan pra dan dalam perkhidmatan, konsep autoriti dan autonomi guru-guru dalam menjalankan tugas harian dan budaya professional yang terdapat di sekolah-sekolah.


Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji sejauh manakah ciri profesionalisme guru BM berdasarkan komitmen, pelaksanaan pengajaran dan latihan.


KAEDAH KAJIAN


Reka bentuk kajian ini adalah berbentuk deskriptif. Dalam kajian ini responden kajian terdiri daripada 90 guru Bahasa Melayu sekolah menengah dan rendah di daerah Seremban Selatan yang dipilih secara rawak. Soal selidik digunakan untuk tujuan pengumpulan data. Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan SPSS. Statistik yang digunakan ialah frekuensi, peratus, dan min.



DAPATAN KAJIAN

Maklumat latar belakang responden

29 daripada responden (32.2%) adalah lelaki, 61 responden (61%) adalah perempuan. Dari segi kelayakan akademik, sarjana sebanyak 6.7%, 40% ijazah pertama, diploma sebanyak 20% responden, Sijil Tinggi Pelajaran pula 14.4%, Sijil Pelajaran Melayu 18.9%. Dari segi pengkhususan pula, responden yang pengkhususan Bahasa Melayu  74.4%, manakala  Sains(4.4%), dan opsyen Bahasa Melayu-Sejarah, Geografi, Matematik-Sains, Perdagangan dan Pendidikan Sivik iaitu masing-masing 1%.

Dari sudut perjawatan pula, responden yang mempunyai pengalaman paling lama mengajar ialah seramai seorang sahaja iaitu selama 32 tahun, manakala paling banyak ialah yang berkhidmat dari 10 hingga 17 tahun iaitu sebanyak 10 orang. 


Komitmen guru
Guru memiliki komitmen yang berbeza-beza terhadap profesion perguruan.  Berdasarkan kajian, perbezaan ini disebabkan oleh matlamat dalam menjalankan tugas, pengalaman mengajar dan pendedahan terhadap tugas yang diberikan. Berdasarkan dapatan kajian, terdapat beberapa perkara yang berkaitan ciri profesionalisme guru BM dibincangkan seperti dalam jadual 1.

Jadual 1: Komitmen guru terhadap tugas

Pernyataan
min
Sanggup mengajar kelas tambahan secara sukarela
3.7
Melakukan kelas tambahan tanpa harap anugerah
4.1
Elakkan unsur politik dalam menjalankan tugas
4.3
Mewujudkan persefahaman & kerjasama dengan rakan sejawat.
4.7
Mengelakkan diri dari mencemarkan nama perguruan
4.6
Berkemampuan memotivasikan diri
3.9
Sentiasa mengawasi diri aagar tidak mencemarkan profesion
4.6
Sentiasa dedikasi dalam tugas
4.4
Budaya sekolah pengaruhi sikap saya terhadap kerjaya sebagai guru BM.
4.2
Saya amat berminat bertugas sebagai guru Bahasa Melayu
4.3
saya memiliki ciri-ciri  terpuji ketika bertugas.
4.5

               
Berdasarkan jadual di atas, dapatan kajian menunjukkan responden bersetuju mewujudkan kerjasama dengan rakan sejawat (min 4.7) dalam meningkatkan tahap profesionalisme. Namun hasil kajian menunjukkan kesanggupan mengajar kelas tambahan tanpa sebarang imbuhan pada tahap sederhana (min 3.7). Dapatan ini menunjukkan bahawa imbuhan adalah sesuatu yang penting kepada responden. Responden juga menyatakan sangat setuju jika mengajar kelas tambahan tanpa sebarang anugerah. Ini menunjukkan kesediaan responden untuk meningkatkan mutu profesionalisme mereka dalam bidang perguruan tanpa memikirkan sangat aspek ganjaran.

Dapatan kajian juga menunjukkan responden memegang kuat prinsip yang berkaitan dengan etika perguruan. Responden juga tidak mahu mencemarkan nama baik profesion perguruan (min 4.7). 60%  responden menyatakan sangat setuju nama baik profesion dijaga dan ini menunjukkan mereka memiliki hasrat yang tinggi agar profesion ini dapat dipelihara dari segi kredibilitinya. Namun demikian, responden merasakan perlu ada satu pihak yang boleh memotivasikan diri untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme. Hal ini kerana hasil kajian menunjukkan tahap yang sederhana (min 3.9) dari segi kebolehan responden memotivasikan diri sendiri.

Berdasarkan dapatan kajian, menunjukkan penilaian terhadap profesion keguruan   secara keseluruhannya berada pada aras yang tinggi. Responden amat berminat (min 4.3) dalam menjalankan tugas sebagai seorang guru BM. Sementara itu, 51% responden bersetuju dan 41.1% sangat bersetuju bahawa mereka berminat untuk menjadi guru BM yang baik.  Di samping itu, terdapat 5.6% tidak pasti yang mereka berminat meneruskan kerjaya ini. Manakala masing-masing 1.1% menyatakan tidak berminat menjalankan tugas sebagai guru Bahasa Melayu.

Responden juga bersetuju (min 4.6) untuk meningkatkan imej terpuji guru sesuai dengan kehendak masyarakat.  63.3% daripada responden sangat bersetuju profesion ini perlu menampilkan imej terpuji. Dari sudut pengalaman, responden bersetuju (min 4.5) bahawa pengalaman menjadikan mereka lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan tugas. Manakala 3 responden yang mewakili 3.3% responden yang tidak pasti pengalaman yang mereka peroleh dapat membantu mereka dalam meningkatkan profesionalisme.

Secara keseluruhannya, responden menunjukkan profesionalisme yang tinggi dalam ciri-ciri umum profesionalisme guru.


Profesionalisme Guru BM berdasarkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

Jadual di bawah menunjukkan dapatan dari kajian berasaskan aspek kurikulum perguruan.

Jadual 2 : Ciri profesionalisme guru berasaskan aspek pengajaran

Pernyataan
min
Kurikulum pendidikan guru yang dipelajari di Maktab/IPG/universiti membantu pengajaran.
4.0
Saya yakin perancangan pendidikan guru mengambil kira kualiti guru.
4.3
Saya memiliki ilmu pedagogi yang cukup untuk mengajarkan Bahasa Melayu.
3.8
Saya akan menyemak dan mengkaji sukatan pelajaran BM pada setiap awal sesi persekolahan.
4.0
Saya sentiasa mementingkan kualiti pelajar dalam menguasai BM diberikan perhatian.
4.2
Saya pernah melakukan cerapan semasa guru lain mengajar untuk tujuan penambahbaikan pengajaran.
3.5
Saya cuba memastikan P&P mencapai objektif yang ditetapkan.
4.3
Sekiranya menghadapi masalah dalam P&P, saya segera merujuk kepada ketua bidang/ panitia/ rakan sejawat
4.2
Saya mahir dalam ICT dan sedia berkongsi pengetahuan dengan guru lain.
3.7
Saya mengusai ilmu bahasa dan menggunakan pelbagai sumber/pendekatan/kaedah semasa P&P
3.9
Saya yakin murid menguasai ilmu bahasa yang saya ajar dengan baik
4.0
Saya bertanggungjawab untuk memastikan pelajar lemah BM dapat dipulihkan.
4.2
saya melakukan pembaharuan dalam kaedah P&P dengan mengambil kira keperluan individu pelajar
4.4
Saya dapat mewujudkan keyakinan  kendiri di dalam diri pelajar
4.1
Saya mampu mempamerkan mutu pengajaran yang tinggi kepada para pelajar
4.2
Saya memeriksa   buku latihan murid dengan teliti
4.4
Pengalaman menjadikan saya lebih kreatif dan inovatif
4.5

Hasil kajian menunjukkan responden bersetuju bahawa penguasaan kurikulum memainkan peranan penting semasa mengajar di sekolah (min 4.0). Responden bersetuju bahawa kurikulum yang dipelajari di Maktab/Institusi Pendidikan Guru dan di universiti dapat membantu meningkatkan profesionalisme mereka. Jika dilihat dari segi kesediaan responden mendalami ilmu keguruan, dapatan kajian mendapati responden sangat setuju (min 4.3) ilmu keguruan itu harus ditingkatkan sepanjang masa supaya tahap profesionalisme sedia ada dapat dipertingkatkan lagi. Begitu juga responden sangat bersetuju perancangan dan perlaksanaan dalam kurikulum pendidikan guru perlu diambil kira sebagai matlamat utama menyediakan guru yang berkesan.

Peratusan yang sama juga dilihat dari aspek kepentingan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Jabatan Pelajaran(JPN) dalam memantapkan aspek teori dan amalan  dalam amalan pedagogi. Responden berasa IPG dan JPN perlu memainkan peranan yang aktif (min 4.0) dalam meningkatkan profesionalisme guru-guru Bahasa Melayu. Pendapat responden jelas menunjukkan bahawa mereka masih kekurangan pengetahuan dalam amalan ilmu pedagogi (min 3,8).  Penguasaan ilmu pedagogi menunjukkan penguasaan pedagogi responden adalah pada tahap yang sederhana (min 3.8). Hanya 9 (10.0%) responden yang menyatakan sangat bersetuju ilmu pedagogi mereka  mencukupi dan 58 (64.4%) responden menyatakan bersetuju ilmu pedagogi mereka sudah mencukupi.
               
Responden juga bersetuju bahawa Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) yang dibekalkan oleh Pusat Pendidikan Guru perlu  dikaji setiap awal sesi persekolahan dibuka. Hanya 1 responden (1.1%) yang tidak pasti adakah HSP perlu dikaji sebelum memulakan sesi persekolahan.  Aspek penguasaan kurikulum juga menunjukkan responden memiliki tahap yang sederhana. Secara umumnya, dapatan menggambarkan  penguasaan aspek kurikulum memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan profesion guru Bahasa Melayu di samping bersetuju akan perlunya kurikulum dan pelaksanaannya diperbaiki dari semasa ke semasa.

Manakala 34 responden (37%) tidak pasti tentang kemahiran mereka menggunakan ICT (berkaitan komputer). Dapatan kajian ini juga menunjukkan ICT kesan terhadap pelaksanaan pengajaran BM yang berkesan di dalam bilik darjah. 

Dapatan kajian menunjukkan responden bersetuju bahawa antara tugas guru BM ialah menyemak buku latihan murid dengan teliti. Seramai 87 responden menyatakan bersetuju bersetuju pemeriksaan yang teliti perlu dibuat ke atas kerja murid. Dari segi keberkesanan pelajaran pula, responden  bersetuju guru-guru BM mampu menunjukkan pengajaran yang berkesan kepada para pelajar mereka. Seterusnya menjadikan guru-guru BM sebagai contoh yang boleh diteladani.                

97.7% responden (min 4.5) menyatakan guru perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan dan berwibawa. Responden faham bahawa perubahan dalam kaedah P&P perlu dilakukan dengan mengambil kira keperluan individu atau pelajar. Responden juga mahu pemboleh ubah kendiri yang kukuh di dalam diri setiap murid diwujudkan. Secara keseluruhannya responden sentiasa menerima perubahan dalam meneroka bidang teknologi berkaitan P&P untuk mengajar BM. Daripada dapatan kajian menunjukkan 48 responden bersetuju, 7 responden tidak pasti dan selebihnya pula menyatakan sangat setuju untuk menerima perubahan dalam meningkatkan profesionalisme keguruan.

Budaya sekolah juga dilihat mempengaruhi profesionalisme guru-guru Bahasa Melayu dalam amalan pedagogi. 81% responden bersetuju bahawa budaya sekolah dapat mempengaruhi profesionalisme guru BM.  Di samping itu, 55.6% responden bersetuju budaya sekolah adalah penting dalam kerjaya mereka dan 34.4% responden sangat setuju budaya atau iklim sekolah mempengaruhi profesionalisme mereka dalam amalan pedagogi.

Profesionalisme guru BM berkaitan latihan dan kursus.
Persoalan yang sering ditimbulkan ialah sejauh manakah latihan dan kursus dapat membantu meningkatkan mutu profesionalisme guru BM. Dapatan kajian menunjukkan keperluan latihan bagi meningkatkan profesionalisme.

                      Jadual 3 : Perspektif latihan guru BM

Pernyataan
Min
Saya mengadakan latihan dalaman di sekolah sebaik sahaja balik berkursus.
3.8
Saya sentiasa berusaha menambah ilmu berkaitan pendidikan.
4.3
Kursus dalam perkhidmatan perlu dilaksanakan  untuk meningkatkan profesional guru BM.
4.3
Saya akan menawarkan diri menggantikan tempat guru yang tidak dapat hadir berkursus secara sukarela.
3.3
Saya amat gembira sekiranya pihak sekolah mengarahkan saya berkursus bagi tujuan meningkatkan kemahiran pedagogi.
4.0
Saya akan hadir sekiranya diminta menghadiri  seminar atau bengkel untuk tujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengajaran.
4.2
Kursus yang ditawarkan oleh IPG/JPN dapat meningkatkan tahap profesionalisme perguruan saya.
4.1
Saya mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh semasa berkursus dalam pengajaran.
4.2
Kursus-kursus peningkatan profesionalisme sama ada anjuran IPG,PPD,JPN atau KPM perlu diperluaskan khasnya pada guru-guru BM.
4.3
               
Berdasarkan dapatan kajian, Seramai 26 responden kajian (min 3.8) tidak pasti bahawa mereka perlu mengadakan kursus latihan dalaman sebaik sahaja pulang berkursus. Ini menunjukkan ada dalam kalangan responden yang berasakan kursus asas pendidikan yang dialami kurang memberikan kesan. Responden (min 3.3) pula tidak menunjukkan reaksi positif apabila diarahkan untuk menggantikan guru lain yang tidak dapat hadir untuk  berkursus. 

Responden amat bersetuju (min 4.3) bahawa latihan dan kursus yang disertai amat membantu dalam meningkatkan profesionalisme. Responden juga bersetuju (min 4.2) untuk hadir sekiranya ada seminar dan bengkel jika mereka diberikan peluang. Manakala 65.6% responden setuju untuk menghadiri seminar yang berkaitan profesionalisme guru sekiranya program itu diadakan di kawasan berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Dapatan ini menunjukkan responden berusaha  untuk meningkatkan mutu profesionalisme yang tinggi dalam amalan ilmu pedagogi.

Responden juga bersetuju (min 4.2) untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh semasa kursus semasa proses pengajaran dan pembelajaran sebaik sahaja pulang ke sekolah. Peratusan yang tinggi iaitu 65.6% bersetuju untuk menggunakan ilmu yang diperoleh semasa berkursus dalam bilik darjah atau kelas. Manakala 21 responden (23.3%)  berasa sangat setuju untuk menggunakan ilmu yang diperoleh semasa berkursus ke dalam pengajaran mereka.

Responden juga bersetuju (min 4.0) sekiranya pihak sekolah mengarahkan mereka menghadiri kursus yang dapat meningkatkan tahap profesionalisme. Kedua-duanya menunjukkan peratusan yang besar iaitu 87.7%.

RUMUSAN

Dalam era globalisasi kini profesion perguruan di Melayu adalah merupakan profesion yang mencabar terutama apabila berhadapan isu dan perkembangan sama ada dari segi dasar mahupun pelaksanaannya.  Profesionalisme guru sering dikaitkan dengan keupayaan guru untuk menjadikan profesionnya lebih dihormati dan berkesan dalam mendidik pelajar.

Kajian terkini menunjukkan wujudnya hubungan yang kuat antara pengajaran guru dengan kejayaan pelajar sekolah (Darling Ham­mond, 1998; Diaz-Maggioli, 2004; Sparks, 2002). Perkembangan profesional menjadi bertambah penting sebagai satu cara untuk memastikan guru berjaya dalam memastikan matlamat pengajarannya dengan keperluan pelajar belajar.  Dalam konteks pengajaran bahasa, perkembangan profesional perlu bagi membolehkan mereka membantu pelajar memperkembangkan penguasaan bahasa dengan lebih lancar serta dapat menggunakan dalam mempelajari budaya yang lain.

Sebagai rumusan pertama kajian ini dapat dikatakan bahawa isu profesionalisme guru perlu diberikan perhatian  secara komprehensif. Guru menunjukkan ciri profesionalisme seperti menghayati matlamat yang terkandung di dalam rangka tugasnya sebagai guru.  Kebanyakan responden menunjukkan ciri profesionalisme yang tinggi terutama aspek yang berkaitan komitmen yang perlu ditunjukkan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran.  Di samping itu, responden juga menunjukkan semangat dan dedikasi terhadap profesionnya. Ini sesuai dengan ciri profesionalisme seperti yang dinyatakan oleh Sufean Hussin (1996) dan Mohd. Salleh Lebar (2000), bahawa profesion dinyatakan dalam bentuk satu set ciri yang meliputi pengetahuan, kepakaran, sikap, dan nilai dalam sesuatu profesion. Nilai ini perlu wujud untuk mencapai keberkesanan, produktiviti, kecekapan, dan bertanggungjawab. Responden juga berusaha untuk mengawasi diri agar tidak mencemarkan nama baik profesion. 

Rumusan berdasarkan aspek kurikulum pula,  responden mengakui pentingnya  guru memahami kandungan kurikulum BM dengan lebih mendalam. Ini dapat memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dan berkesan. Mereka mampu mewujudkan suasana kondusif dalam pengajaran serta mengambil kira  dedikasi terhadap tanggung jawab yang diberi.  Dedikasi ketika menjalankan tugas pula merupakan ciri penting guru BM yang profesional.  Dedikasi dalam Kamus Dewan bermaksud pengabdian diri, masa, dan lain-lain sepenuhnya kepada sesuatu tujuan tertentu (contohnya kerjaya). Tidak dapat disangkal lagi bahawa kecemerlangan seseorang semasa bertugas ditandai dengan kesungguhan untuk melakukan sesuatu kerja yang ditugaskan kepadanya.  

Dalam konteks pengajaran BM, guru BM perlu bersungguh-sungguh semasa mendidik dan menunjukkan personaliti guru yang boleh diteladani.  Ini termasuklah dengan mementingkan aspek ketepatan masa, pengajaran berkualiti, kemahiran interpersonal dalam berkomunikasi yang baik, boleh diharapkan dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan, bersikap proaktif dan sensitif terutama yang berkaitan dengan isu kebahasaan, menjadi rujukan dalam masalah dan kekeliruan penggunaan bahasa, dan ciri terpuji yang lain.  Semua aspek tersebut dianggap unsur yang akan menunjukkan wujudnya sifat kesungguhan dalam membentuk guru BM yang profesional.  Walau bagaimana mereka juga berpandangan bahawa ilmu pedagogi ang dimiliki masih perlu diperkuatkan agar kualiti pengajaran dapat dimanfaatkan oleh pelajar. Guru juga boleh diberikan peluang untuk memerhatikan pengajaran guru lain yang dilihat boleh memberikan input dari segi pedagogi BM yang baik. 

Dalam aspek latihan dan kursus yang diperlukan oleh guru BM, secara keseluruhannya responden berpendapat guru perlu mengikuti kursus bagi tujuan peningkatan profesionalisme.  Latihan dalam perkhidmatan perlu dilaksanakan secara tekal bagi memastikan guru-guru memperoleh ilmu dan kemahiran baru yang sesuai untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.  Walau bagaimanapun, responden didapati bermasalah dalam mengendalikan kursus latihan dalaman selepas menghadiri kursus, menggantikan guru yang tidak dapat hadir berkursus, kekurangan dari segi penguasaan ilmu ICT dan penggunaan bahan.  Dalam hal ini, perancangan yang rapi perlu dibuat bagi mengatasi masalah melaksanakan latihan dalaman  kerana jika tidak dilakukan akan merugikan guru-guru yang tidak menghadiri kursus tersebut. 

Kursus yang berkaitan penyediaan dan penggunaan bahan pengajaran juga perlu diberikan penegasan kerana aplikasi bahan pengajaran terutama yang menggunakan komputer dititikberatkan ketika ini.  Kebanyakan responden kurang menggunakan ICT dalam pengajarannya.  Responden juga tidak menyediakan bahan pembelajaran dan mereka jarang menggunakan bahan dalam pengajaran BM.  Keadaan ini boleh mempengaruhi pembelajaran pelajar dan boleh mengurangkan motivasi mereka. 

Bibliografi

Darling-Hammond, L. (2000). How teacher education matters. Journal of Teacher Education, 51(3): 166-73.


Faridah Serajul Haq, Nooreiny Maarof & Raja Mohd. Fauzi Raja Musa. (2000). Masalah Penulisan Naratif di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah. Jurnal Pendidikan 27(1), 3-26.

Merideth, E. M. (2007). Leadership strategies for teachers. Thousand Oaks, Calif.: Corwin Press,.

Merriam-webster online dictionary. (2006). http://www.m-w.com/dictionary/professional diakses pada 30 november 2007

Robiah Sidin (2003). Teori pentadbiran pendidikan : Suatu pengenalan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Scherer, M. (2001). Improving the quality of the teaching force: A conversation with David C. Berliner. Educational Leadership 58: 6-10.


Sharifah Alwiah Alsagoff (1983). Ilmu pendidikan pedagogi. Kuala Lumpur:. Heinemann Asia.

Yahya Othman (2006. ).  Trend dalam pengajaran Bahasa Melayu.  Kuala Lumpur:  PTS  Profesional.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Al-Isra' - 17:23 ÙˆَÙ‚َضَÙ‰ٰ رَبُّÙƒَ Ø£َÙ„َّا تَعۡبُدُÙˆٓاْ Ø¥ِÙ„َّØ¢ Ø¥ِÙŠَّاهُ ÙˆَبِٱلۡÙˆَٰÙ„ِدَÙŠۡÙ†ِ Ø¥ِØ­ۡسَٰÙ†ًاۚ Ø¥ِÙ…َّا ÙŠَبۡÙ„ُغَÙ†َّ عِندَÙƒ...