Berita penuaran Covid-19 di Felda Bukit Rokan baru-baru ini mengundang saya untuk menulis tentang kehidupan saya semasa kecil. Tempat yang banyak kenangan dan mengajar erti kehidupan. Susah senang diredah tanpa kecuali. Jika ditimbang, susah dahulu lebih banyak dari senang.
Jika bercerita tentang susah, ada pelbagai senario yang boleh dijadikan sempadan. Cerita susah lampau juga boleh dikategorikan. Ada susah, sederhana susah dan susah terlampau. Hidup yang susah terlampau boleh dibuat bandingan. Susah ikut tahun dialami. Mungkin susah tahun 50an, berbeza dengan susah hidup 90an atau bandingan hari ini.
Itulah susahnya jika nak ceritakan tentang hidup susah. Kadangkala, kita kata susah, tapi ada orang lain yang kata dia hidup lagi susah. Maka erti susah dangkala boleh diukur. Namun bayak juga kesusahan yang sukar nak diberi nilai.
Masa itu keluarga saya baru dua tahun pindah dari kampung ke Felda( dulu LKTP) Bukit Rokan. Duduk di kampung susah. Maka kami pindah ke Felda untuk kurangkan kesusahan hidup. Ketika mula berpindah, keluarga kami diberi sebuah rumah papan, tanpa api dan air. Istilah api letrik dan air paip tak ada dalam kamus hidup masa itu. Taka ada sebatang pokok pun di kelililing rumah. Tanah gersang batu 'grewel'.
Untuk terang waktu malam, guna pelita minyak tanah. Air untuk makan dan mandi kena gali perigi di belakang rumah. Semua kesusahan itu masih mampu ditelan. Ada bantuan setiap keluarga dalam 60 ringgit satu keluarga. Bantuan diberi sehingga pokok getah boleh ditoreh.
Kesusahan menunggu sehingga getah boleh keluarkan hasil adalah kesusahan fasa lain. Semasa itu saya sudah mula bersekolah. Saya mula bersekolah darjah satu tahun 1965. Darjah satu, alat tulis utama ialah papan hijau saiz kecil yang boleh dibawa balik ke rumah. Di atas papan itulah semua kerja dibuat. Buku tulis ada tapi belum begitu penting.
Duit belanja tak tentu nilai. Kadang-kadang ada, kadangkala bawa bekal. Sepuluh sen dah dikira banyak masa itu. Murid pula diberi makan bubur percuma. Bubur dimasak oleh pihak kantin sekolah dan murid hanya perlu bawa koleh, sudu dan gula pasir. Bubur gandum adalah bantuan makanan dari UNESCO, jika tak silap. Bantuan untuk meningkatkan kualiti makanan murid sekolah. Ada masanya murid diminta bawa kayu api untuk tujuan memasak bubur gandum tersebut.
Cikgu Wahab adalah guru saya semasa darjah satu. Isternya cikgu Ismariah ajar saya darjah dua. Mereka guru yang baik.dan gigih mengajar. Begitu juga dengang guru yang lain. Cikgu Ramli Othman, Cikgu Baharin, Cikgu Ahmad, Ustaz Manap dan Ustaz Majid antara nama yang masih saya ingat. Semoga Alah merahmati mereka.
Masa itu peperiksaan darjah lima diadakan di SK Gemencheh (kini SK Datuk Abdullah). Murid naik Land Rover Felda untuk ambil periksa. Tak ada fikiran nak dapat 5 A masa itu. Hanya dapat seronok naik Land Rover Felda ke Gemencheh. Jalan traya masih batu grewel. Berdebu.
Bersambung ; Sekolah menengah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan