Bulan Ramadan al-Quran diturunkan.
Maksudnya : “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah : 185)
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa yang membaca setiap huruf daripada Al Quran baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak cakap (Alim Lam Mim) satu huruf tetapi Alif satu huruf Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (At Tarmizi-Sunan)
Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya: “Bacalah kamu Al Quran sesungguhnya Al Quran pada hari kiamat akan datang memberi syafaat kepada pembacanya.” (Muslim, sahih)
Daripada Usman bin Affan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al Quran dan yang mengajar Al Quran kepada orang lain.” (Al Bukhari – sahih)
Dan banyak lagi hadis-hadis Nabi yang menjelaskan tentang kelebihan membaca Al Quran lebih-lebih lagi jika dibaca pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Pada bulan yang mulia ini juga, Malaikat Jibril telah diutus kepada Nabi SAW bagi mengulangi bacaan al-Quran bersamanya. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa :
Maksudnya : “Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah terutama pada bulan Ramadan ketika malaikat Jibril A.S menemuinya, dan Jibril A.S mendatanginya setiap malam di bulan Ramadan, lalu saling bertadarus al-Quran. Sungguh Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin.” Riwayat al-Bukhari (3220)
Hadis ini menunjukkan bahawa baginda SAW akan bertadarus al-Quran bersama Jibril A.S sepanjang bulan Ramadhan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Jibril akan menemui baginda dan bertadarus bersamanya sekali dalam setahun, tetapi pada tahun wafatnya baginda , Jibril A.S telah menemuinya dan bertadarus bersamanya sebanyak dua kali. Riwayat al-Bukhari (4998)
Semasa bulan Ramadan amalan bertadarus al-Quran sering dilakukan. maksud tadarus ialah saling mempelajari al-Quran iaitu seorang membaca dan yang lain mendengar dan memerhati bacaannya. Setelah ia selesai membaca, di sambung pula oleh orang lain. Majlis tersebut juga sering dilakukan di masjid atau surau. Ada juga yang bertadarus bersama keluarga di rumah.
Walau bagaimanapun amalan bertadarus jarang diamalkan selepas Ramadan. Sebaik-baiknya, amalan membaca al-Quran perlu diteruskan selepas Ramadan. Penerusan amalan ini sebagai hasil tarbiah yang diiperoleh semasa Ramadan. Istiqamah dalam membaca al-Quran adalah dituntut.
Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya, sedangkan Allah SWT tetap kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap. Fasa selepas Ramadan adalah pembuktian sama ada matlamat tarbiah atau pendidikan sepanjang bulan itu, tercapai atau sebaliknya.
Rujukan:
1. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/4480-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-166-hukum-membahagikan-bacaan-ayat-al-quran-di-dalam-solat-terawih-supaya-dapat-mengkhatamkannya-di-akhir-ramadan
2. Ramadan bulan al-Quran. https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/18/ramadan-bulan-al-quran-2/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan