Selasa, 22 September 2009

anekdot 3 : HARI RAYA

Nak sambut hari raya memang seronok.

Masa dulu, malam raya pasang pelita buat sendiri. Selalunya buat dari buluh. Masa rumah belum ada elektrik, nampak meriah bila ada pelita.

Tak kira orang tua atau muda apatah lagi kanak-kanak. Sekarang macam-macam iklan korporat hari raya. Masing-masing sangat kreatif. Boleh ingat semula nostalgia hari raya masa zaman dulu. Kalau dulu waktu satu hari raya budak-budak dan orang dewasa akan pergi masjid sembahyang sunat. Tapi makmum tak penuh sampai melimpah ke luar masjid. Ada juga yang tak dapat solat sunat raya sebab tak cukup tempat. Kalau umat Islam dapat kekalkan iltizam dalam beribadat macam solat sunat hari raya, alangkah hebatnya Islam.

Lepas solat sunat raya tak macam sekarang sibuk kanak-kanak nak duit raya. Dulu susah nak dapat duit. Dapat pakai baju raya baru pun dah cukup suka. Raya pun satu dua hari saja. Masa remaja, lepas raya pergi pekan Gemencheh tengok wayang. Kayuh basikal dengan kawan-kawan sejauh sejauh 10 km. Panggung wayang tak ada aircod. Pakai kipas. Cerita masa itu filem P. Ramlee; Pendekar Bujang Lapok; Tiga Abdul; Mat Karung Guni; Bobby; Hare Rama Hare Krishna dan beberapa lagi.

Mercun. Dulu abah yang belikan mercun dan bunga api. Masa itu tak ada pula dengar yang putus jari atau masuk hospital. Bakar meriam buluh pula lagi. Guna karbaid. Berdentum dentum. Berlawan-lawan siapa lebih kuat bunyinya.

Duit raya. Tak berapa kisah sangat sebab tak jadi budaya macam sekarang. Duit raya tak pakai sampul. Beri macam itu saja.

Budak sekarang beraya lebih nak dapat duit raya. Dah jadi budaya pula. Tak makan kuih pun tak apa asal dapat duit raya. Ha, fikirkan


Isnin, 3 Ogos 2009

Anekdot 2: Perihal sakit

Hujung minggu yang lalu, saya membawa Abah ke Universiti Malaya Medical Center (UMMC) untuk pemeriksaan kesihatan. Sebelum ini dia sering demam dan sakit kepala. Dia juga beritahu sakit kepala dalam cuaca panas. Nampak kesihatannya semakin merosot. Umurnya sudah hampir 80 tahun. Hari sebelumnya Faezah, adik yang bekerja di sekolah menengah di Kuala Pilah membelikannya sebatang tongkat untuk selesa berjalan.

Setelah diperiksa oleh doktor yang bertugas dan setelah menunggu hampir empat jam barulah keputusan Cityscan bahagian kepala abah diperoleh. Alangkah leganya kami apabila doktor menyatakan tidak ada apa masalah dengan kepala Abah. Kami amat risau kerana sebelum ini Abah pernah terjatuh motosikal. Masa itu kami bawa Abah ke UMMC untuk jalani pembedahan akibat pendarahan dalam kepalanya. Sekali lagi kami berada dalam keadaan yang cemas mengenangkan keadaan Abah. Tapi akhirnya semua masalah itu dapat diselesaikan. Kami amat berhutang budi dengan Dr. Nazri, anak buah kami yang bertugas di UMMC. Dia bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Perubatan UM dan sedang buat Master dalam bidang radiologi. Dia banyak menolong dalam hal kesihatan Abah selama ini. Semoga Allah memberkati usahanya itu.

Berbalik kepada cerita pemeriksaan kesihatan Abah pada minggu lalu. Setelah keputusan diberitahu oleh doktor, nampak ceria pada wajah Abah. Kami cadangkan dia pakai cermin mata hitam semasa berada di kawasan cuaca terang. Walaupun nampaknya macam kelakar apabila Abah pakai cermin mata hitam tapi itulah usaha yang dapat dibuat untuk mengurangkan sakit kepalanya. Semasa dalam perjalanan balik, kami makan tengahari di KFC sepepas plaza tol Sg Besi. Disebabkan masa itu sudah pukul empat petang dan perut sudah sangat lapar, kami semua makan dengan berselera sekali. Begitu juga dengan Abah dan Mak. Ani dan Haris hantar Abah dan mak balik ke kampung. Semoga Abah bertambah sihat. Begitu juga dengan Mak agar dia juga sihat.

Begitulah pentingnya sihat tubuh badan dan kita dapat hidup dan beramal ibadat dengan selesa. Kita kena fikirkan tentang pentingnya sihat fizikal dan mental.


Sabtu, 11 Julai 2009

KEGIGIHAN, AMALAN DAN KEKABU

Innalillahiwainnailaihirajiun.

Terhambur kalimat itu apabila mendapat berita kematian emak mentua saya pada 1 Julai 2009 yang lalu. Ketika itu saya sedang berada di pejabat SHBIE, Universiti Brunei Darussalam untuk siapkan artikel yang akan dihantar ke Jurnal JARE UBD. Berita tersebut di terima dengan rasa sebak tapi kesedihan masih dapat dikawal. Beberapa hari yang lalu isteri saya ada beritahu melalui perbualan dalam Skype akan keadaan mentua yang makin uzur. Sudah lebih empat tahun beliau terlantar di katil akibat strok yang dialaminya. Sebelah kanan anggotanya lumpuh. Dia juga tidak boleh bertutur sejak dijumpai terjatuh di dalam rumah kediamannya di kampung. Ketika itu hanya dia seorang diri di rumah setelah beberapa bulan tinggal dengan kami di Bandar Baru Bangi. Sejak itu, dia hanya terbaring di atas katil sehinggalah saat-saat kematiannya.

Mengenang kembali kehidupannya, teringat beberapa peristiwa yang masih terpahat dalam ingatan. Pernah satu hari saya diminta menghantarnya pergi ke ladang getah miliknya beberapa kilometer dari rumah. Kami pergi dengan motosikal. Ketika itu saya bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Datuk Mohd Taha, Gemencheh. Dia nak bersihkan ladang getahnya seluas tiga ekar. Poko getah sudah besar tapi masih belum ditoreh. Dia menebas semak samun tanah getahnya menggunakan penyabit rumput. Saya juga bantu menebas semak. Tapi setelah hampir setengah jam menyabit rumput, saya mulai letih. Namun dia masih lagi gigih bekerja. Saya pula sudah mulai tersandar di pangkal pokok getah. Walaupun dia sudah berumur hampir 60 tahun, tetapi kudratnya memang hebat. Jika buat kerja, sememangnya dia akan pastikan sesuai dengan standard yang diingininya. Jika kita fikirkan, itulah upaya yang dia miliki untuk membesarkan anak-anak dan dengan kehidupan yang begitu mudah kita nampak pada pandangan mata kasar.

Satu lagi perkara yang menjadi kepantangan arwah ialah dia tidak suka barang atau hasil tanamannya dibinasakan. Contohnya pernah satu hari sebatang pokok kekabu yang tingginya dalam tiga atau empat kaki telah ditebang secara tidak sengaja. Bukan kepalang marahnya dia bila dapat tahu pokok itu ditebang walaupun dengan cara tidak sengaja. Pokok kekabu adalah antara tanaman yang dijaga dengan cermat kerana dia sangat suka kumpul isi kekabu untuk dibuat isi bantal. Untuk diguna anak cucu semasa balik kampung. Begitulah cara dia berfikir. Pada fikiran saya, apalah sangat ada pada kekabu. Tetapi pada dia kekabu ada hasil dan berguna kepada anak cucu. Itulah yang perlu difikir sebab cara berfikir tidak selalunya sama.

Ada banyak lagi yang saya kenangkan kehidupan arwah. Di samping gigih, dia seorang yang kuat beribadat. Sembahyang lima waktu ditunaikan dengan taat. Selalu puasa sunat. Sedekah pun begitu juga. Itu sebab kalau anak cucu tak sembahyang maka dia akan berleter panjang. Walaupun dia tak ada didikan agama secara formal, tak pergi sekolah agama tapi bab amal ibadat tak ada tolak ansur. Banding dengan budak-budak sekarang. Belajar agama bertahun-tahun tapi amal ibadat lintang pukang. Cuba kita fikirkan sejauh mana berjayanya sistem pendidikan agama kita berbanding dengan komitmen untuk beramal dan mengerjakan yang suruhan Allah walaupun tanpa pergi sekolah secara formal.

Alfatihah

bersambung....

Khamis, 9 Julai 2009

Sains, Matematik kembali diajar dalam BM pada 2012


PUTRAJAYA: Kabinet semalam meluluskan strategi baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan. Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.


Pada sidang medianya di sini, beliau yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata penguasaan bahasa Inggeris akan terus ditingkatkan dengan me-nambah baik pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan. Pada 2003, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi mendapat bantahan pelbagai pihak terutama pejuang bahasa yang mahu dasar itu dikaji semula.


Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan bermula secara bertahap bagi Tahun Satu dan Empat di sekolah rendah serta Tingkatan Satu dan Empat di sekolah menengah pada 2012, tetapi tidak membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014, katanya.


Sambil menolak andaian keputusan itu dibuat akibat tekanan mana-mana pihak, Muhyiddin menegaskan:


"Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru mengajar subjek Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Pemantauan kementerian pada 2008, katanya, mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.


Selain pemantauan kementerian, Laporan Trends in Mathematics and Sciences Study 2007 juga menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam subjek Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke-21 pada 2007. Bagi subjek Matematik pula, laporan sama menyatakan kedudukan murid Malaysia merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 kepada ke-20 pada 2007.


Kajian universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah di tahap nominal, iaitu tidak melebihi tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI yang bermula sejak 2003. "Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu Melayu di sekolah kebangsaan dan menengah dan bahasa Cina dan Tamil di SJK Cina dan Tamil," katanya.


Mengenai langkah untuk memartabatkan bahasa Malaysia, beliau berkata, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum bahasa itu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada asas kemahiran berbahasa menerusi pendekatan modular bersepadu meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.


"Pada peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa," katanya.


INFO: Kelemahan PPSMI


  • Peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi subjek Sains dan Matematik.

  • Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada 2008 mencapai tahap profisiensi.

  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus sekolah luar bandar.

  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 untuk subjek Matematik bagi murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

  • Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam subjek Sains dan Matematik semakin melebar.


  • Ulasan:

    Setelah sekian lama diperjuangkan bagi mengembalikan kedudukan BM seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, akhirnya matlamat tersebut tercapai. Berkat perjuangan ahli bahasa, ahli akademik, rakyat yang cintakan BM, kerajaan terpaksa akur bahawa penggunaan bahasa ibunda bagi tujuan memperoleh ilmu terutama bagi pelajar peringkat rendah adalah benar seperti yang diperjuangkan. Adalah malang apabila pendapat yang menyatakan menggunakan BM tidak akan meningkatkan penguasaan ilmu sains dan matematik pelajar serta pelajar tidak akan dapat menghadapi cabaran global yang lebih mencabar. Hal ini ditambah dengan andaian yang tidak disertakan dengan dapatan kajian yang empirikal. Walau apapun alasan yang diberikan untuk menolak peranan BM sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatu negara, perlu disedari bahawa kekuatan bangsa dan negara ditandai dengan sejauh mana rakyat mendaulat dan menjiwainya dalam kehidupan.

    Isnin, 15 Jun 2009

    anekdot 1: fikirkan tentang susah

    Sekitar tahun 1960. Sukar hendak menyatakan kembali susahnya kehidupan masa itu. Umur ketika itu baru empat tahun. Kesusahan yang dialami semasa kecil sering menjadi bualan ketika berbual bersama keluarga dan anak beranak. Sering saya ceritakan kesusahan semasa zaman kanak-kanak. Semasa tinggal di kampung emak dan abah di Johol, N. Sembilan. Masih teringat ketika itu kehidupan amat susah. Tinggal di rumah yang serba kurang pada masa itu. Beratapkan rumbia dan dinding papan yang serba ringkas. Tak ada bilik yang khusus untuk anak-anak tidur. Tingkap rumah pula sekadar untuk mendapatkan cahaya masuk agar terang. masa itu, tak payah di sebut elektrik. Sekadar lampu minyak tanah yang apabila pagi akan berjelaga (hitam) lubang hidung sebab asap pelita yang kadangkala melintasi muka. Tak ada hiburan yang dapat didengar atau ditonton. TV mungkin belum ada dalam istilah kehidupan dikampung. Radio pun susah nak dengar sebab tak ada dan tak mampu nak miliki.

    Abah kerja kampung. Menorah getah dan kerja sawah. Hasil tanam padi dapatlah dijadikan beras buat. Masa zaman Jepun, abah ada bekerja sebagai SC (Special Constable) yang bertugas menjaga kampung. Ada ditulis dalam surat beranak. Pekerjaan ayah, SC. Tapi bila masa dah aman, dan komunis pun dah mulai reda ancamannya, abah kerja kampung saja. Abah seorang yang gigih dan usahanya tak kunjung padam. Nak menyara hidup keluarga. Emak pula, macam kebanyakan orang kampung yang lain, suri rumah. Tapi banyak kerja-kerja kampung yang dibuatnya. Pendidikan mereka sekadar dapat tulis nama pun dah cukup baik. Disebabkan keluarga mereka juga susah, maka peluang nak belajar masa itu memang tak ada. Pendidikan agama juga tak seberapa. Sekadar tahu sembahyang dan puasa pun sudah bagus. Walau bagaimanapun, emak sering ikut mengaji ugama di surau bersama kawan-kawannya. Kalau dikaji susur galur keluarga sebelah emak, ramai juga dalam kalangan mereka yang berpendidikan agama dan dihormati di kampung.

    Semasa kecil, saya sering bermain-main dengan Maen (nama sebenarnya Ismail), kawan rapat masa kecil. Dia sebaya dengan saya. Arwah ayahnya pernah bekerja sebagai anggota polis. Ayahnya meninggal semasa dia masih kecil lagi. Masa itu, kerja polis sudah cukup hebat. Saya anggap hidup mereka sangat kaya. Dengan mainannya yang banyak menjadikan saya sering ke rumahnya untuk tumpang sama. Maklumlah, nak beli memang tak mampu. Saya masih ingat lagi. Kereta mainannya memang menjadi idaman saya untuk memilikinya. Rumah dia juga pada saya sangat cantik dan ada selesa jika dibandingkan dengan rumah saya.

    Itu sekadar catatan ingatan kehidupan semasa kecil. Semua serba kurang. Dibandingkan pula dengan orang yang lebih dari kita. Maka nampak semakin daiflah jadinya. Tapi semua itu kita perlu fikirkan dengan kesusahan dan kedaifan kehidupan orang yang lebih susah dari kita. Fikirkanlah kehidupan dulu dan sekarang...

    Jumaat, 17 April 2009

    Memikirkan perubahan

    Sering disarankan agar kita sentiasa melakukan perubahan dalam pemikiran ataupun pandangan dari yang bersifat negatif kepada yang lebih baik. Atau kita ambil pemikiran yang dianggap relevan dengan keperluan semasa dan diaktifkan berasaskan keperluan yang lebih kritikal. Dalam memikirkan sesuatu tindakan manusia sering lupa bahawa di hadapannya menunggu segala macam kemungkinan yang akan menimpanya sama ada dia suka ataupun sebaliknya. Dalam hal ini, manusia perlu memikirkan bahawa kuasa Allah swt adalah Maha Agung dan tidak dapat untuk disangkal. Pemikiran yang dianggap hebat tetapi apabila berhadapan dengan kuasa Allah maka manusia yang beriman akan tuduk dan mengakui kekerdilan mereka. Oleh itu, apabila berfikir untuk berubah, maka fikirkan yang perubahan itu tidak bertentangan dengan aturan yang ditetapkan oleh Allah agar perubahan itu tidak sia-sia.

    TAKDIR, TANDA TERIMA KASIH, GANJARAN, ALAM BAQA

    Allah berfirman dalam surah Ali-Imran - 3:145 وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبًا مُّؤَجَّلًاۗ وَمَ...