Rabu, 2 Oktober 2013

Keberkesanan Strategi Metakognisi dalam Pengajaran Bacaan dan Kefahaman Menggunakan Teks Ekspositori


Yahya Othman, Dayang Raini Pakar

Abstract


Kajian ini mengkaji kesan penggunaan strategi metakognisi dalam pengajaran bacaan dan pemahaman Bahasa Melayu menggunakan teks ekspositori. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk menilai prestasi pencapaian pelajar dalam pengajaran pemahaman menggunakan strategi metakognisi serta menilai kesan penggunaan strategi tersebut dalam pengajaran membaca dan memahami teks. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti strategi-strategi metakognisi yang digunakan oleh pelajar dalam ketiga-tiga proses membaca (sebelum membaca, semasa membaca dan selepas membaca). Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen. Sampel kajian melibatkan 60 orang pelajar Tahun 4 di sebuah sekolah rendah kerajaan di Daerah Brunei Muara. Sampel dibahagikan kepada dua buah kumpulan, iaitu kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Setiap kumpulan melibatkan seramai 30 orang pelajar bertahap sederhana. Hasil kajian ini dianalisis menggunakan ujian-t sampel tak bersandar untuk menilai sama ada terdapat perbezaan yang signifikan bagi min prestasi pemahaman bacaan antara kumpulan kawalan dan eksperimen dalam ujian pra dan pasca. Manakala analisis One Way Ancova digunakan untuk menentukan kesan penggunaan strategi metakognisi terhadap pengajaran bacaan pemahaman. Berdasarkan analisis ujian-t, terdapat perbezaan min prestasi pemahaman bacaan yang signifikan antara skor kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan, t (60) = 12.96, p < 0.0. Analisis data One Way Ancova, p= 0.00 < 0.05 (F-ratio = 493.22/2.25 = 219.41 p < 0.05) juga membuktikan kesan penggunaan strategi metakognisi yang signifikan terhadap pengajaran pemahaman menggunakan strategi metakognisi. Kajian ini juga menunjukkan bahawa strategi metakognisi yang digunakan oleh pelajar ketika menjalani proses membaca adalah pelbagai. Secara keseluruhannya, strategi metakognisi yang digunakan oleh pelajar dalam kajian ini terbukti dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap teks bacaan.

Keywords


strategi metakognisi; pengajaran; bacaan dan kefahaman; teks ekspositori; eksperimen kuasi

baca artikel di GEMA journal online

Cinta ilmu


(TONTON VIDEO INI DAN BACA HADIS BERIKUTNYA)
Antara Hadis berkaitan menuntut ilmu dan mengajarkan ilmu;

1. تَعَلَّمُوْاالْعِلْمَ ، فّإِنَّ تَعَلُّمُهُ قُرْبَةٌ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَتَعْلِيْمَهُ لِمَن ْ لاَ يَعْلَمُهُ صَدَقَةٌ ، وَإِنَّ الْعِلْمَ لَيَنْزِلُ بِصَاحِبِهِ فِى مَوْضِعِ الشَّرَفِ وَالرِّفْعَةِ ، وَالْعِلْمُ زَيْنٌ لِأَهْلِهِ فِى الدُّنْيَا وَالأَخِرَةِ . (الربيع)
“Tuntutlah ilmu,sesungguhnya menuntut ilmu adalah mendekatkan diri kepada Allah Azza wajalla, dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat.” (HR. Ar-Rabii’)
2. يَا أَبَاذَرٍّ ، لَأَنْ تَغْدَوْا فَتُعَلِّمَ اَيَةً مِنْ كِتَابِ اللَّهِ خَيْرٌ لَّكَ مِنْ اَنْ تُصَلِّيَ مِائَةَ رَكْعَةٍ ، وَلَأَنْ تَغْدُوْا فَتُعَلِّمَ بَابًا مِنَ الْعِلْمِ عُمِلَ بِهِ اَوْ لَمْ يُعْمَلْ ، خَيْرٌ مِنْ اَنْ تُصَلِّيَ أَلْفَ رَكْعَةٍ . (ابن ماجة)
“Wahai Aba Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah adalah  baik bagimu dari pada shalat (sunnah) seratus rakaat, dan pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan baik dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari pada solat seribu rakaat.” (HR. Ibn Majah)

Sudahkan kita berkorban?



Ahmad Baei Jaafar,01 Okt 2013
Korban dalam bahasa Melayu boleh difahami dalam banyak maksud. Orang yang teraniaya oleh sesuatu keadaan dikatakan korban. Mangsa yang terlibat dalam kemalangan juga dikatakan korban. Memberi sesuatu demi agama juga dikatakan korban. Tetapi kalau perkataan korban dirujuk kepada bahasa Arab bermaksud dekat – dekat dengan Allah.

Sungguhpun begitu kalau korban itu dirujuk kepada ibadah menyembelih binatang ternakan pada hari-hari 10-13 Zulhijah diistilahkan sebagai “udhiyah”. Namun dalam bahasa Melayu masih menggunakan istilah korban. Ibadah ini akan bermula selepas solat hari raya Aiduladha sehingga hari ke 13 Zulhijah sebelum terbenam matahari.

Ibadah ini disebut korban kerana untuk melakukan penyembelihan binatang ternakan perlukan pergorbanan. Maknanya sebelum boleh menyembelih seseorang itu perlu korbankan wang untuk membeli binatang tersebut. Atau perlu korbankan perasaan sayang kepada binatang yang dipeliharanya sekian lama. Yalah, kalau dijual dapat hasil keuntungannya.

Walau apapun makna korban, ada pihak terseksa atau terkorban kecuali mereka beriman kepada Allah dan Rasul. Bayangkan kalau orang yang teraniaya kerana sesuatu keadaan lalu dia berserah kepada Allah kerana akur dengan takdir Allah pasti jiwanya tenang. Begitu juga dengan yang terkorban dalam sesuatu kemalangan, jika redha dengan takdir ini tentu besar pahala. Apatah lagi kalau dia korbankan kambing kesayangannya tentu besar nilaian Allah.

Korban Zaman Rasulullah


Jika kita lihat kepada amalan ibadah korban pada zaman Rasulullah, hanya melibatkan kibas dan unta. Hal ini kerana pada zaman itu kibas dan unta sahaja yang dipelihara untuk tujuan perdagangan selain untuk makanan mereka sendiri. Selain itu setiap individu dipercayai memelihara kibas dalam kadar yang kecil untuk kegunaan sendiri.

Walau bagaimanapun unta ini tidak dipelihara kecuali untuk tujuan komersial sama ada dijual atau untuk sewaan kenderaan. Oleh sebab unta tidak mampu dimiliki oleh semua orang, maka unta dianggap bahan mewah. Berdasarkan kedudukan itu orang Islam dicabar supaya berkorban dengan menyembelih unta atau kibas dalam sabdanya yang bermaksud:

“Barang siapa mempunyai kesanggupan dan kemampuan (untuk berkorban) tapi tidak mahu berkorban maka janganlah dia mendekati Musholla kami.”


Tentu dengan cabaran ini semua sahabat boleh berkorban dengan menyembelih kibas. Hal ini kerana mereka masing-masing memelihara kibas. Tetapi kalau semua menyembelih seekor kibas, kepada siapa pula daging itu boleh diagihkan. Ya, kalau mereka memikirkan hak dan kepentingan sendiri tentu mereka akan sembelih dan makan sendiri. Tetapi dalam ajaran Islam setiap korban, pemilik hanya boleh makan sendiri sebanyak 1/3 sahaja.

Berdasarkan hukum itu, mereka akur dan mengagihkan daging korban itu sesama mereka dengan tukar menukar daging korban. Jadi, mereka dapat merasai daging korban orang lain. Di sini tidak timbul isu pembaziran kerana lazimnya seekor kibas boleh dimakan oleh satu keluarga orang Arab.

Tetapi bagaimana dengan korban unta? Tidak semua sahabat mampu memilik unta. Maka di sini orang yang layak berkorban untuk ialah orang yang memelihara unta terebut. Tetapi kalau orang lain mampu membeli unta tentu mereka boleh lakukan. Tapi bolehkah mereka lakukan perintah korban kalau mereka tidak ada wang?

Falsafah korban lebih besar


Sebenarnya amalan korban yang direalisasikan pada zaman Rasulullah SAW berdasarkan falsafah yang ditetapkan. Berdasarkan korban zaman Rasulullah dapat kita fahami falsafah korban iaitu suatu tuntutan perjuangan untuk mengenepikan rasa cinta kepada wang, perasaan, dan nyawa. Mungkin dalam hal ini pengorbanan seseorang tidak sama antara satu sama lain.

Mungkin pada orang kaya mereka perlu korbankan perasaan. Mereka banyak harta, banyak unta dan kibas tetapi untuk menyahut seruan korban, mereka perlu korbankan perasaan sayang kepada harta tersebut. Namun mungkin pada orang miskin lain pula cabarannya. Mereka perlu korbankan wang yang sentiasa tidak cukup. Maka mereka perlu mencari wang tambahan untuk membolehkan mereka mendapat kibas dan sembelih.

Falsafah korban yang berjaya dilakukan oleh golongan kaya mahupun miskin adalah tanda mereka redha dengan cabaran Allah. Sungguhpun begitu bentuk pengorbanan ini adalah cabaran awal yang merupakan latihan ke arah pengorbanan yang lebih besar. kalau umat Islam boleh melakukan korban wang dan perasaan tentulah suatu hari nanti mereka mampu melakukan korban yang melibatkan nyawa dan darah.

Lihatlah sahabat Rasulullah seperti yang telah disebut di atas, apabila mereka mampu korbankan wang dan perasaan dengan menyembelih kibas dan unta, maka tiada halangan untuk mereka turun ke medan perang melawan musuh bagi mempertahankan Islam dan negara. Tawaran sukar ini disambut dengan baik.  Mereka tidak sayangkan nyawa dan darah mereka, malah terus mengejar syahid.

Keadaan itu kalau kita bawa ke zaman ini tentu jauh bezanya. Lihatlah berapa ramai umat Islam yang kaya boleh korbankan perasaannya? Biasanya orang kaya sekarang sanggup berkorban adalah kerana wang sudah banyak, lalu dengan itu dia tidak ada rasa sayang dengan berkurangan wang mereka. Manakala orang miskin pula, mereka bukan sahaja tidak sanggup berkorban wang ringgit malah menjadi alasan kuat untuk mereka tidak melakukan korban.

Kalau begitulah kedudukan kita pada hari ini mampukah kita sahut cabaran untuk korbankan nyawa dan darah di medan perang? Inilah realiti umat Islam pada hari ini. Mereka tidak sanggup untuk korbankan nyawa dan darah untuk mempertahankan Islam dan negara. Percayalah mereka yang sanggup masuk angkatan tentera, asalnya bukan kerana mahu berkorban tetapi kerana jaminan gaji tetap dan pencen sepanjang hidup.

Sudahkah kita berkorban?

Tahun ini kita akan menempuh hari-hari korban lagi. Kalau orang di Kelantan dan Terengganu amalan membuat korban adalah secara keluarga. Tetapi kalau orang negeri-negeri lain mereka buat korban melalui anjuran masjid. Walaupun sesebuah masjid membuat korban lebih 10 ekor lembu, namun kalau hendak dibandingkan dengan peratus penduduk sekitar kariah tersebut adalah masih kecil mereka yang sanggup berkorban.

Oleh sebab tidak ramai yang berkorban, maka agihan kepada anak kariah tidak boleh merata dan tidak boleh dalam kadar yang banyak. Persoalannya, adakah mereka yang tidak berkorban itu kerana tiada wang atau sayangkan wang? Kalau jelas mereka tiada wang kenapa tidak usahakan untuk mendapatkan wang tambahan untuk membolehkan mereka membeli lembu atau kambing korban?

Kalau kita sedar pentingnya seruan supaya berkorban tentu mereka akan usahakan untuk mengumpul wang secara bulanan untuk membolehkan mereka berkorban. Kalau cara ini boleh dilakukan sudah layaklah mereka dianggap telah melakukan korban. Ingatlah orang kaya yang sanggup berkorban kerana wang banyak belum tentu boleh dinilai sebagai telah berkorban.

Sebenarnya orang kaya yang hendak berkorban seharusnya bertindak atas dasar hendak korbankan perasaan sayangkan terhadap harta atau wang. Kalau dia sanggup korbankan perasaan sayang kepada wang ringgitnya lalu wang itu dibelinya binatang korban, barulah nilai korbannya tercapai. Saya percaya kita semua mampu berkorban pada tahun ini berdasarkan falsafah korban di atas.

Dalam hal ini Rasulullah memberi jaminan dengan sabdanya yang bermaksud:

“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat korban yang kamu lakukan.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Yakinlah kalau Allah redha dengan pengorbanan yang kita laku apa lagi yang kita harapkan dengan korban ini. Oleh sebab itu sewaktu kita melakukan korban dengan sembelihan binatang ternakan redhalah dengan wang yang dikeluarkan, lepaskan rasa sayang kepada harta yang dimiliki dengan ketentuan Allah. Saya yakin dengan cara ini kita akan mampu tingkatkan korban kita ke arah korban nyawa dan darah.

http://baei.blogspot.com

Selasa, 28 Mei 2013

DULU ABAH, KINI MAK

Ketika saya menulis di blog ini, Mak baru saja meningalkan kami 10 beradik untuk selama-lamanya. Setelah bertarung hampir dua tahun melawan sakit kanser usus, akhirnya ketentuan Allah telah tertulis bahawa Mak menemui Allah pada pagi Isnin, 20 Mei, jam 915 pagi di kampung.   Sejak semalam kesihatan Mak semakin kritikal dan nazak.  Dia semakin sukar bernafas walaupun dengan bantuan gas oksijen. Ubat penahan sakit juga sudah tidak berfungsi lagi. Kami adik beradik dan ahli keluarga yang lain silih beganti membacakan surah Yassin dan berdoa agar memohon rahmat Allah ke atas Mak yang terlantar sakit.

Selepas sempat mencium mak jam 615 pagi itu dan  dengan berat hati terus memandu ke UKM untuk bertugas. Dia masih tidur dan lemah. Setelah terima panggilan telefon dari adik bongsu saya di kampung pada jam 915 pagi, hati saya sudah berdetik akan berita yang bakal diterima.  Telahan saya tepat bahawa berita kematian Mak saya terima.  Saya reda dengan ketentuan Allah dan dapat bersabar dengan berita tersebut walaupun air mata sedih menitis sendirian di bilik pejabat. Sebagai anak, saya telah kehilangan permata berharga dalam hidup saya iaitu Mak yang disayangi dan didik saya sejak lahir.

Mak meninggal setelah hampir 3 tahun arwah Abah meninggalkan kami. Abah meninggal  akibat sakit kanser hati. Mak sabar menghadapi situasi kehilangan Abah. Walau bagaimana pun memang sudah ketentuan Allah, Mak juga menderita akibat serangan kanser yang sukar untuk diceritakan kesakitan yang dialaminya.

Tidak dapat nak dituliskan jasa Mak mendidik saya dan adik beradik yang lain. Terlalu banyak dan tak akan hilang dalam inagatn kami. Dalam satu keluarga yang besar (10 beradik) Mak punyai kekuatan dalam mendidik kami. Walaupun tidak mendapat didikan formal di sekolah, namun dia dapat memastikan anak-anaknya berjaya dalam hidup.  Dia bukan saja pentingkan kejayaan dunia, namun  aspek agama menjadi keutamaannya. Dia tidak punya didikan agama secara formal, tapi gesaannya agar anak-anak terdidik dalam agama menjadi fokus hidupnya.

Sebagai anak, saya reda dengan pemergian Mak. Semoga roh mak diletakkan bersama dengan orang-orang yang beriman dan soleh.  Sebagai anak, insyaAllah kami akan sentiasa doakan roh Mak dan Abah dirahmati Allah sehingga akhir hayat kami. Amin ya rabbal alamin.

Selasa, 7 Mei 2013

Akhir PRU 13


Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) sudah selesai. Keputusannya, BN menang dan dapat memerintah semula.

SPR memaklumkan BN memperolehi 5.2 juta undi popular manakala lawannya PR mendapat 5.5 juta undi popular. PR mempunyai lebih penyokongnya di Malaysia dibandingkan dengan BN kali ini. Namun yang menjadi lumrah kuasa di Malaysia adalah berpaksi pada parti yang memenangi majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan. 

BN dapat kuasai semula Kedah. Walau bagaimanapun 7 kerusi parlimen disauk oleh PR. Kebanyakan negeri yang dimenangi BN menang tipis tanpa majoriti 2/3. PR pula kekal menang di Kelantan,  Selangor dan Pulau Pinang.  Semuanya dapat majoriti 2/3.  PAS banyak tambah kerusi di Selangor.  Keputusan ini menunjukkan pengundi Melayu beralih ke PR. Pengundi Cina pula pdu menyokong DAP.

Kesimpulan yang dibuat oleh Datuk Najib semasa berucap sejurus BN menang bahawa berlaku Tsunami Cina dalam pilihanraya ini dilihat kurang tepat jika dianalisis keseluruhan keputusan PRU13.

Artikel oleh Shaharul Shafie yang dipeti dari MI saya anggap menarik dan sesuai untuk dibaca.


Sabtu, 2 Mac 2013

KEMAHIRAN MENDENGAR


Dr Yahya Othman

Pengenalan

Mendengar  adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif terutama semasa pelajar di sekolah rendah dan menengah seperti yang terkandung di dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar penting dikuasai disebabkan penggunaannya yang sangat meluas dalam kehidupan. Sehubungan dengan itu, dianggarkan  lebih kurang 60% daripada masa yang digunakan adalah  untuk mendengar.  Disebabkan banyak masa digunakan untuk mendengar, pendengar perlulah memiliki kemahiran mendengar yang berkesan agar mesej yang diterima dapat dimanfaatkan dengan baik.  Mendengar mesej yang diterima dalam pelbagai bentuk dan bahasa yang pelbagaimemerlukan mereka mentafsirkan dalam bebtuk yang difahami.  Kesukaran memahami mesej yang didengar mungkin diakibatkan oleh kelemahan pendengar menerima dan menganalisis mesej tersebut.  Oleh itu, perlu ditekankan keupayaan mendengar yang berkesan agar pelajar dapat menggunakan kemahiran tersebut dalam menguasai mata pelajaran yang lain.

Untuk tujuan tersebut, antara keutamaan dalam mempelajari bahasa ialah usaha untuk menuasai kemahiran mendengar.  Dari segi perkembangan pemerolehan bahasa, proses mendengar dilalui secara semula jadi sejak zaman kanak-kanak lagi. Disebabkan penguasaan bahasa belum dikuasai dengan baik pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak,  penguasaan kemahiran mendengar sekadar mewujudkan respons melalui gerak isyarat atau bunyi bahasa yang hanya difahami oleh ibu bapa mereka sahaja. Kanak-kanak tidak banyak disogokkan dengan aktiviti mendengar yang khusus kerana mereka belum mengerti maksud pertuturan ibu bapanya secara spesifik. Penguasaan kemahiran mendengar dalam konteks memberikan respons melalui bahasa semakin bertambah baik apabila kanak-kanak dapat menggunakan bahasa untuk tujuan mewujudkan komunikasi dengan ibu bapa mereka.

Pada tahap yang lebih matang, pelajar mendengar pada jangka masa yang lama sebelum mencuba untuk bertutur. Kemahiran mendengar juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan makna bagi mesej yang didengar menggunakan bahasa tersebut.  Ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki kemampuan dari segi penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi.  Jika pelajar tidak berusaha mendengar secara efektif, ia tidak akan dapat mengambil bahagian dalam pembelajaran dalam bahasa yang dipelajari.

Mendengar interaktif 

Mendengar secara interaktif melibatkan kedua-dua belah pihak iaitu penutur dan pendengar.  Masing-masing akan berperanan secara aktif semasa sesi perbualan tersebut.  Semasa aktiviti mendengar interaktif, seseorang boleh mencelah dengan mengemukakan soalan tambahan untuk mencari penjelasan, pengulangan atau mengucapkan semula.  Pelajar tidak akan merasa tidak dilibatkan semasa sesi perbualan dalam kelas.  Mereka  akan berpeluang untuk mempraktikkan mendengar interaktif  melalui perbualan dalam kelas biasa yang dapat membantu penguasaan  kemahiran yang ini.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar, waktu yang sedikit diperuntukkan tidak dapat membantu secara maksimum penguasaan kemahiran tersebut.  Pelajar tidak berpeluang untuk menjadi pendengar yang baik.  Ini disebabkan guru lebih banyak memperuntukkan isi pengajarannya menyediakan pelajar dengan keperluan penguasaan kemahiran yang berkaitan dengan peperiksaan.  Penekanan ini juga menjadikan pelajar diabaikan aspek kemahiran mendengar.  Peluang untuk menguasai kemahiran mendengar secara efektif yang terbatas boleh mengakibatkan pelajar gagal dalam mengaplikasikan kemahiran dalam kehidupan.

Dari segi kenyataannya, aktiviti mendengar wujud dalam situsasi yang berbeza dan dengan penutur yang berbeza pula.  Fikirkan kesemua orang yang berbeza yang telah bertutur dalam jangka masa 24 jam dengan kita.  Anda sebenarnya telah mendengar beberapa individu yang bertutur dengan cara yang berbeza.  Berdasarkan kepelbagaian pengalaman dalam aktiviti mendengarpelajar sebenarnya  memerlukan latihan tambahan untuk menyediakan diri sebagai pendengar yang baik.

Mendengar tidak interaktif

Seringkali juga wujud situasi mendengar tidak interaktif.  Pendengar tidak berpeluang untuk memberikan respons secara verbal terhadap mesej yang didengar.  Walau bagaimanapun untuk mendapatkan suasana berkomunikasi yang baik, pendengar perlu bersedia dengan situasi tersebut.  Ini termasuklah keadaan yang pendengar tidak boleh mencelah dengan mengemukakan soalan atau untuk mendapatkan penjelasan.  Mendengar jenis ini dipanggil mendengar tidak interaktif.  Secara ringkasnya, pendengar tidak berupaya mengambil bahagian dalam mewujudkan hubungan dua hala seperti mendengar kuliah, radio, menonton televisyen, filem  atau siaran langsung. 

Bagaimana untuk berlatih mendengar?

Untuk menyediakan beberapa jenis situasi mendengar, dicadangkan agar pelajar memulakan usaha melibatkan diri dengan program mendengar sejak dari awal pembelajaran bahasa.  Di sini dicadangkan beberapa cara yang dianggap sesuai untuk menguasai kemahiran tersebut.

Mendengar secara berterusan 

Usaha untuk menguasai kemahiran bahasa dengan berkesan perlulah dilakukan dengan usaha yang berterusan.  Pembelajaran secara tidak formal dalam persekitaran yang baik dapat membantu pelajar mendengar dengan berkesan dan menjadikan penutur dan pendengar saling memperteguhkan kefahaman terhadap mesej yang diterima.  Pelajar boleh menguasai perbualan  dengan penutur natif bagi bahasa yang anda sedang pelajari (mendengar interaktif) seperti mendengar radio, menghadiri kuliah, menonton televisyen dan filem dalam bahasa kedua (mendengar tidak interaktif).

Pilih bahan yang sesuai

Penggunaan bahan pengajaran sangat penting dalam mewujudkan pemahaman bahasa. Kesesuaian bahan banyak mempengaruhi sama ada kepada penutur mahupun pendengar. Bagi kebanyakan orang, cara termudah untuk memulakan penguasaan mendengar ialah dalam keadaan situasi mendengar interaktif bersemuka, sebab pendengar boleh secara bersungguh-sungguh menguasai pertuturan penutur.  Jika pendengar tidak mempunyai peluang atau tidak selesa dengan cara itu, carilah bahan yang khusus disediakan untuk mengajar mendengar untuk tujuan pemahaman.   Kini terdapat banyak buku-buku teks yang moden mengandungi bahan yang bertujuan untuk menstrukturkan tugasan mendengar pelajar.  Contohnya dengan menggunakan cakera padat interaktif yang boleh menarik minat pendengar untuk mengetahui kandungan teks yang dipelajari.

Di samping itu, pelajar juga boleh menggunakan bahan autentik untuk tujuan memudahkan penguasaan kemahiran mendengar. Walaupun  selesa dengan bahan yang bersifat bersemuka, pelajar boleh mencari bahan untuk tujuan mendengar yang bersifat autentik.  Bahan autentik untuk kemahiran  mendengar banyak terdapat di sekeliling kita.  Ini termasuklah program radio dan televisyen, syarahan, ucapan, filem, dan drama.  Bahan tersebut senang diperoleh dan penutur boleh mendapatkannya dalam susunan yang senang kepada yang agak susah.

Mencari tahap kepayahan yang betul  

Dalam pembelajaran bahasa melalui kemahiran mendengar, bahan yang digunakan perlulah selaras dengan objektif pembelajaran serta tahap pembelajaran pelajar.  Jika penguasaan bahasa pelajar berada tahap permulaan atau pertengahan, pelajar digalakkan menggunakan bahan video terlebih dahulu sebelum menggunakan bahan audio.  Tujuannya agar pelajar mendapat gambaran secara umum tajuk yang akan dipelajari.  Sementara bahan yang memasukkan bahan visual akan memudahkan pelajar mengikuti perkara yang diucapkan.  

Guru boleh memulakan pengajaran dengan menggunakan segmen televisyen yang pendek  berdasarkan topik yang biasa didengar yang dibantu dengan visual.  Kaedah ini akan menjadikan pertuturan lebih jelas dan dapat di sampaikan dengan berkesan.  Contohnya penggunaan rakaman iklan, pengumuman, laporan cuaca, temu bual atau berita ringkas.   Selain itu, pelajar  juga boleh menonton rancangan yang lebih panjang masanya, seperti tayangan filem dengan klu visual yang baik agar boleh membantu memahami perkara yang diucapkan.  Jika pelajar telah mahir, mereka boleh mendengar bahan yang lebih kompleks seperti kuliah, ucapan, diskusi profesional, filem, dan apa sahaja program radio atau televisyen.

Pilih bahan yang boleh menggembirakan

Pembelajaran akan menjadi lebih berkesan jika bahan yang digunakan boleh menggembirakan pelajar.  Ini disebabkan manusia mendengar untuk tujuan mendapatkan maklumat dan hiburan. Pilihlah bahan yang difikirkan akan memberikan maklumat serta dapat menghiburkan mereka.  Oleh itu, perhatian pelajar akan lebih baik dan ia mungkin akan lebih memahaminya dengan mudah.  Secara ringkasnya, jika pelajar meminati sukan, tontonlah rancangan sukan di televisyen atau mendengar laporan di media yang lain. 



Strategi Untuk Meningkatkan Kemahiran Mendengar

Dalam bahagian ini, akan disenaraikan masalah-masalah umum ketika belajar mendengar bagi bahasa pertama dan kedua dengan memberikan beberapa aspek praktikal dan penyelesaian berdasarkan strategi.  Pelajar boleh memilih dan menyesuaikan dengan keperluan kendiri.

Bercakap terlalu cepat

Mendengar perbualan yang terlalu cepat boleh menjadikan pendengar sukar untuk memahami kandungan percakapan tersebut. Jika pelajar merasakan tidak dapat mengikuti perbualan rakan, cubakan teknik berikut yang dijangka akan dapat membantu menghadapi situasi tersebut.  Adalah lebih baik untuk mengkhususkan masalah yang dihadapi agar rakan berbual pelajar tahu apakah yang boleh dibantu untuk menghasilkan pemahaman yang baik.

Bertanya dan nyatakan yang anda tidak memahami percakapannya

Pelajar tidak boleh membiarkan komunikasi melalui pendengaran terganggu akibat tidak memahami pertuturan rakannya.  Jika pelajar tidak memahami perkataan atau frasa, tanyakan penutur tersebut akan maknanya.  Belajar cara mengucapkan frasa untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan seperti "Apakah yang …… dimaksudkan?"  ," Saya tidak tahu apa…… dimaksudkan," dan "Saya tidak tahu perkataan untuk ….."

Minta diulang

Apabila tidak memahami perkara yang dituturkan, pelajar boleh meminta penutur mengulang percakapannya.  Gunakan frasa "apakah yang anda nyatakan?" atau " Tolong ulangi" dalam bahasa yang dipelajari.

Minta bercakap dengan perlahan sedikit

Mungkin rakan pelajar bercakap dengan cepat dan mengakibatkan pelajar tidak dapat mengikuti perbualan dengan berkesan.  Pelajar boleh menyatakan " Tolong bercakap perlahan sedikit" dan " Bolehkah anda bercakap perlahan sedikit?"

Dapatkan penjelasan

Semasa perbualan, pelajar mungkin memerlukan maklumat tambahan bagi mengatasi masalah tidak memahami perkara yang dibincangkan.  Jika pelajar tidak mendapat sebahagian daripada mesej, pelajar boleh bertanyakan soalan tambahan.  contohnya, jika anda tidak dapat mengikuti arahan yang dinyatakan oleh rakan berbual, pelajar boleh tanyakan perkara-perkara yang perlukan penjelasan lanjut.

Menyebutkan semula frasa

Sering timbul masalah pelajar tidak memahami percakapan rakan berbual.  Oleh itu, jika pelajar tidak pasti yang ia memahami apa yang diperkatakan oleh orang lain,  nyatakan semula frasa yang dinyatakan oleh penutur tersebut sebaik mungkin, sebagai contohnya, "  maksud awak….. ?" 

Mengulang ayat yang tidak difahami

Ulang bahagian ayat yang tidak fahami dengan menggunakan intonasi penyoalan.  Sebagai contohnya, jika tidak pernah mendengar perkataan yang tidak mempunyai makna, pelajar boleh mengulanginya.  Penutur akan berpeluang untuk membetulkan perkataan yang tidak difahami.

Beri perhatian terhadap intonasi dan ton suara

Intonasi dan ton suara memberikan panduan terhadap maksud sesuatu pengucapan. Intonasi mungkin akan memberikan klu sama ada pengucapan yang anda dengar adalah kenyataan atau soalan.  Dengan lain perkataan, ton suara boleh boleh menggambarkan sama ada penutur sabar, marah, atau gembira.

Fokuskan kepada kata tanya

Kata tanya yang digunakan semasa pertuturan dapat membantu pelajar memahami perkara yang didengar dengan lebih baik.  Setiap bahasa mempunyai bilangan yang terhad bagi kata tanya seperti siapa, apa, bila, di mana, dan bagaimana.  Sesetengah bahasa menggunakan perkataan yang menunjukkan pertanyaan bagi menunjukkan penegasan.
 
Menganggap perbualan sebagai relevan

Perbualan yang berkesan adalah berkaitan peristiwa yang relevan dengan dirinya sendiri.  Apabila perbualan dapat difahami dan berkaitan dengan persamaan kepentingan kedua-dua belah pihak, akan wujud kemesraan dalam perbualan serta menambahkan kelancaran perbualan. Oleh itu, penutur perlu menganggap bahawa apa yang diucapkan oleh penutur itu berkait dengan pengalamannya.  Kebanyakan perbualan berkaitan dengan keadaan ketika itu.  Perbualan sering berkisar di sekitar cuaca, keadaan sosial, perasaan atau beberapa tingkah laku. 

Mendengar bahasa kedua

Sebagai pelajar yang mempelajari bahasa kedua, kadang kala pelajar tidak memahami serta tidak memperoleh apa-apa semasa menonton televisyen dan tayangan filem dalam bahasa kedua.  Kesukaran ini perlu diatasi kerana ini akan membantu pelajar memahami bahasa yang dipelajari dengan lebih berkesan melalui aktiviti luar bilik darjah secra tidak langsung.  Terdapat beberapa cara yang menekankan aspek membuat ramalan semasa mendengar yang juga melibatkan kemahiran berfikir semasa mendengar.

Gunakan klu visual

Semasa menonton, matikan fungsi suara televisyen dengan hanya melihat visual sahaja. Ini mungkin akan membantu pendengar untuk menumpukan perhatian ke atas pemaparan visual yang dapat memberikan beberapa klu seperti yang terdapat pada latar belakang, aksi, interaksi, ekspresi muka dan gerak isyarat.  Ini akan membantu untuk mendapatkan idea umum perkara yang sedang berlaku.  Tonton segmen tersebut sekali lagi dengan suara untuk memastikan agakan anda tepat.

Gunakan latar belakang pengetahuan

Pengetahuan lalu banyak memberikan panduan kepada penutur dalam memberikan klu untuk memahami sesuatu fenomena yang baru.  Semasa menonton, pendengar boleh melakukan refleksi terhadap perkara yang dilihat dan mengaitkannya dengan pengalaman lalu.  Pendengar menjangkakan maklumat dalam segmen berdasarkan pengetahuan lalu bagi segmen yang terkandung ditonton.  Sebagai contohnya, jika pelajar menonton temu bual dengan seorang pemain piano, ia mungkin akan meramalkan soalan yang akan diajukan adalah berkaitan dengan latihan artis tersebut, komposer yang diminati, rancangan masa depan dan sebagainya.  Setelah memilih apakah maklumat yang akan diperoleh dari segmen tersebut, tonton semula bagi kali kedua untuk mengetahui jawapan bagi soalan tersebut. Ini boleh membantu untuk meramalkan perkataan atau frasa spesifik yang mungkin digunakan.

Gunakan maklumat daripada segmen itu sendiri

Ramalan berkaitan cerita seperti plot, watak dan tema dapat memberikan input kepada pendengar untuk memahami dialog yang dilafazkan oleh pelakon. Oleh itu, butiran berkaitan watak, latar cerita, atau jalan cerita bagi episod itu mungkin  boleh membantu membuat ramalan apakah yang akan berlaku seterusnya.  Ini boleh membantu apakah yang akan diucapkan seterusnya.  Sebagai contoh, jika menonton drama berkaitan pahlawan dan menentang lawannya, apakah yang difikir akan berlaku seterusnya?

Memastikan genre

Pengetahuan pendengar terhadap segmen yang ditonton juga dapat memberikan klu bagi meramalkan apakan yang akan berlaku di dalam segmen tersebut.  Sebagai contoh, jika temu bual, maka tumpukan kepada soalan-soalan yang akan ditanyakan di dalam sesi tersebut.  Manakala jika segmen berita, gunakan strategi untuk mengetahui persoalan siapa, bila, di mana dan mengapa berlakunya peristiwa tersebut.  Jika menonton drama pula, kenal pasti plotnya agar dapat menimbulkan keseronokan ketika menonton.

Mendengar dan mencatatkan perkataan / frasa yang diulang

Perkataan atau frasa yang tidak difahami mungkin boleh diulang beberapa kali.  Kadang-kala, pengulangan akan membantu untuk ramalkan makna perkataan daripada konteks.  Pada masa yang lain, pengulangan akan membantu untuk mengingat perkataan atau frasa yang sesuai untuk bertanyakan seseorang apakah yang dimaksudkan.  Pada masa yang sama, perkataan tersebut boleh dituliskan bagi membolehkan mencari maknanya di dalam kamus.




Kesimpulan

Kemahiran mendengar sangat penting dalam kehidupan seseorang.  Keperluan mendengar secara berkesan dapat mewujudkan suasana berkomunikasi yang baik dengan penyaluran mesej secara dua hala dan menghasilkan persefahaman secara optimum.  Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, pelajar perlu menguasai kemahiran mendengar agar membolehkan mereka dapat menguasai kandungan mata pelajaran yang disampaikan oleh guru dalam pengajarannya.  Keupayaan mendengar yang baik juga merupakan satu kelebihan terutamanya bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran yang akan berlangsung dengan lancar.


Sabtu, 16 Februari 2013

KONSTRUKTIVISME DAN PROSES MEMBACA


Dr Yahya Othman

Membaca merupakan teras kepada segala keupayaan  untuk meneroka alam ini dengan diperkukuhkan oleh faktor kepentingan budaya ilmu (Wan Mohd. Noor Wan Daud, 1994).  Untuk memenuhi keperluan insan berilmu, membaca merupakan wahana yang paling berkesan terutama dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang perlu dikuasai. 
 
Konstruktivisme dalam membaca menegaskan bahawa pembaca membina pengetahuan melalui proses perkembangan mental yang aktif.  Pembacalah yang membina, mencipta makna dan pengetahuan (Smith, 1993). Golongan konstruktivis juga percaya bahawa pembaca mampu membina pengetahuan berdasarkan pembelajaran yang diperoleh sama ada melalui pengalaman ataupun pendedahan (Briner,1999). Pengetahuan adalah sesuatu yang relatif dan berubah mengikut masa. Menurut prinsip konstruktivisme lagi,  proses pembelajaran bertindak melalui fungsi penyesuaian. Pembaca mampu menguasai pengetahuan dengan menyesuaikan dengan keperluan pembelajarannya.  

Dalam konteks proses membaca, teori ini dikaitkan secara komprehensif dengan pembinaan makna teks yang dibaca. Teori konstruktivisme mengaitkan pembaca dengan pembinaan makna dengan cara mensintesiskan pengalaman baru dan dikaitkan dengan perkara yang mereka telah fahami sebelum ini (Bruner, 1966). Pembaca membentuk pemahaman melalui refleksinya berdasarkan interaksi dengan objek dan idea yang dipaparkan dalam teks. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna, mereka akan menginterpretasikan apa yang dilihat supaya selaras dengan pemahaman yang dibentuk.  Di samping itu, mereka akan menyesuaikan pemahaman mereka agar dapat menerangkan maklumat baru dengan lebih baik (Tierney,1990).

Di samping itu, konstruktivisme juga ditafsirkan sebagai satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuannya sendiri (Angela, 1997). Ini bermakna sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif dari luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan secara langsung daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih (Nik Azis Nik Pa,1999). Pengetahuan yang terbina adalah kesan langsung keupayaan seseorang menggunakan sumber-sumber yang sesuai. Dalam konteks proses membaca, pembaca berusaha membina pengetahuan tersebut secara aktif dengan menjadikan teks yang dibaca lebih bermakna.

Sementara itu, Spiro (1980) menghuraikan bahawa teori konstruktif menekankan perlunya peranan pembaca diberikan keutamaan dalam sesi pembelajaran. Ini kerana pembacalah yang berinteraksi dengan bahan dan peristiwa yang dialaminya serta memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, pembaca membina sendiri pemahaman dan membuat penyelesaian kepada masalah yang dihadapi semasa membaca. Autonomi dan inisiatif yang ditunjukkan oleh pembaca untuk memahami hendaklah diterima dan perlu digalakkan.  Jika dikaitkan dengan proses pemahaman membaca, konsep ini sangat sesuai kerana pembaca akan menentukan kesesuaian teks yang dibaca dengan matlamat membaca yang dirancang sendiri oleh pembaca.
Menurut teori konstruktif, pengetahuan dibina secara aktif oleh individu dengan menggunakan pemikirannya (Ausubel, 1968). Dalam konteks pemahaman membaca, pembaca tidak menyerap secara pasif sebarang maklumat yang diperoleh dari teks.  Oleh itu, semasa membaca, maklumat dan pengetahuan yang diperoleh melalui teks diproses secara aktif dan melibatkan aspek mental serta strategi membaca yang sesuai. Pembaca akan menyesuaikan sebarang maklumat baru berdasarkan pembacaan dengan melibatkan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan-rakan  dan guru-gurunya.

Penggunaan teori konstruktif dalam proses pemahaman membaca  menghuraikan proses pembelajaran yang dilalui pembaca.  Teori ini juga menerangkan cara pengetahuan diperoleh melalui pembacaan dan  penyusunan idea dari teks  melalui minda manusia. Pembaca dapat membina pengetahuan yang diterima mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran terhasil dan dicirikan melalui usaha pembaca tersebut. Dalam konteks proses membaca teks, pembaca membina makna teks berdasarkan pengalaman yang telah dialami serta pengetahuan lalu yang dimiliki. Binaan asas untuk membentuk makna teks yang dibaca perlu berasaskan skema aktiviti mental yang digunakan dalam  proses renungan atau refleksi kandungan teks tersebut.

Berdasarkan kerangka teoretikal konstruktif Bruner (1966), pembelajaran dikatakan sebagai proses aktif dengan pembaca membina idea atau konsep berasaskan pengetahuan terkini atau yang lalu.  Melalui  proses membaca,  pembaca dapat memilih dan mengalihkan maklumat, membina hipotesis, dan membuat keputusan berkaitan struktur kognitif serta tugasan semasa membaca teks tersebut.  Struktur kognitif seperti skema bacaan, model mental yang menyertakan makna, dan organisasi teks untuk mewujudkan pengalaman serta menjadikan individu agar lebih luas capaian maklumatnya berbanding  maklumat yang terdapat dalam teks.

Pembaca pada asasnya telah memiliki satu set idea dan pengalaman yang boleh membentuk struktur kognitif berdasarkan persekitaran mereka. Perkara yang terdapat di dalam fikiran pembaca tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitarannya (Mahoney,1991).  Menurut Mahoney lagi, realiti yang diketahui pembaca adalah berdasarkan pengalaman yang terdapat dalam pemikirannya yang dibina sendiri oleh pembaca. Oleh itu, usaha pembaca untuk memahami teks mempunyai kaitan dengan pengalaman membaca mereka yang akan memberikan gambaran kandungan teks untuk membentuk realiti tersebut.

Di samping itu, untuk membantu pembaca membina konsep atau pengetahuan baru melalui proses membaca, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada pelajar. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru berkaitan huraian teks yang dibaca dapat dibina (Stanovich, 1994). Stanovich menekankan pentingnya pembaca membina pemahaman secara bermakna agar dapat digunakan dengan berkesan apabila diperlukan. Pembelajaran melalui pembacaan yang bermakna bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada pembaca

Sehubungan dengan itu, Tierney (1990) berpendapat bahawa pembaca mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara terutama sekali perkara yang pernah dilaluinya. Oleh itu, sebelum membaca teks, mereka boleh menetapkan tahap pemahaman berdasarkan tajuk yang dibaca. Walau bagaimanapun, kemungkinan akan wujud juga masalah salah tanggapan terhadap teks yang dibaca. Jika  salah tanggapan kefahaman ini diabaikan atau tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal.

John Dewey menguatkan lagi teori konstruktif ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan (Brooks & Books, 1999).  Di samping itu, beliau juga menekankan kepentingan penyertaan pembaca di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Dalam konteks penguasaan membaca, konsep yang ditekankan tadi dianggap penting kerana semasa membaca, pembaca perlu melakukan aktiviti mental yang akhirnya membantu pembaca menguasai teks walaupun dengan tajuk atau tema yang baru dibaca (Muhamad Haron, 1998).

Berdasarkan teori konstruktif, fungsi guru dalam pengajaran pemahaman akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan, dan cara melaksanakan kurikulum (Lewis,1991).. Sebagai contoh, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu kepada kejayaan pembaca membina skema konseptual adalah berdasarkan kepada pengalaman yang aktif.  Dalam pengajaran membaca, guru-guru perlu memberikan tumpuan kepada sejauh mana pembaca dapat menggunakan maklumat yang terkandung di dalam teks  dalam usaha untuk membina konsep pemahamannya.

Pada pandangan ahli konstruktif juga, setiap pembaca mempunyai peranan dalam menentukan perkara yang akan mereka pembaca (Brooks & Books, 1999). Penekanan diberi kepada usaha untuk menyediakan pembaca dengan peluang untuk membentuk kemahiran dan pengetahuan. Dalam konteks penguasaan membaca, peluang  meneroka kandungan teks yang diminati atau mempunyai kaitan dengan bidang pengajian akan mempengaruhi tahap pemahaman pembaca. Ini akan membantu mereka menghubungkaitkan pengalaman lalu mereka dengan kegunaan masa depan dalam bidang atau pengajian mereka.

Berdasarkan paradigma konstruktif, pengetahuan dilihat sebagai sesuatu yang boleh disesuaikan dan boleh berubah. Teori ini juga mengandaikan  bahawa individu bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk menggunakan pelbagai cara bagi memproses maklumat dan menyelesaikan masalah (Bruner, 1966).  Oleh itu, semasa proses membaca berlangsung, pembaca boleh menggunakan pelbagai strategi yang boleh membantu mereka memahami teks yang dibaca untuk tujuan pembentukan pengetahuan.  Ini termasuklah penggunaan strategi metakognitif serta skemata yang membantu pembaca memahami teks dengan lebih baik.  Pengkaji menggunakan teori ini dengan mengambil kira wujudnya keperluan pembaca membina pemahaman berdasarkan teks yang dibaca serta kesedaran untuk memilih strategi membaca yang sesuai.

Rujuk buku saya, MENGAJAR MEMBACA

TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...