Thursday, December 30, 2010

Perjalanan 4: Cikgu Limbang pulang ke Limbang


Limbang dari udara


Perjalanan balik ke Brunei agak berliku-liku. Dari KLIA ke Kuching utuk transit. Ambil masa hampir sejam. Teruskan perjalanan ke Miri dari kucing juga ambil masa hampir sejam penerbangan. Lepas itu ambil penerbangan ke Limbang. Tunggu kapal terbang terlewat hampir sejam. Allah uji tahap sabar hambaNya hadapi tekanan. Stres yang sering dihadapi ialah ketika menunggu.

Setelah bercuti di Malaysia selama 17 hari, saya dan isteri kembali semula ke Brunei. Hari Isnin yang lalu sibuk menguruskan hal-hal yang perlu diselesaikan. Hubungi PTS Profesional untuk urusan ulang cetak buku, hubungi LHND fasal cukai, pergi UPM jumpa kawan. Petangnya ke rumah adik, Mazni di Seremban nak jumpa emak yang baru buat rawatan kesihataan di Hospital Columbia Asia. Malam tadi, bakal besan Hj Abdul Rahman datang berkunjung ke rumah kami di Bandar Baru Bangi. Dapat kami berbual panjang hal keluarga serta mengimbau kisah kami semasa bergait dalam ABIM tahun 80an dan 90 an yang lalu.

Semasa dalam pesawat, terdapat ramai guru-guru dari semenanjung yang bertugas di Limbang yang menaiki pesawat bersama kami. Ada yang masih bujang dan ramai juga yang sudah berkeluarga. Saya kagum dengan semangat yang mereka miliki demi bertugas jauh. Dengan membawa bersama anak-anak kecil, mereka tetap menjalankan tugas sebagai pendidik. Pemandu teksi dari lapangan terbang Limbang yang kami naiki kata, "Ramai lagi cikgu yang belum balik ke Limbang, bah!" Saya lihat mereka gigih menggalas harapan masyarakat mendidik anak mereka. Harapan kita ialah mereka mendidik dengan ikhlas dan profesional walaupun mungkin telah berkali-kali mengusulkan surat untuk berpindah ke kampung halaman mereka. Mereka sabar menanti saat itu.

Bagi isteri saya yang juga mengajar di Limbang, selamat bertugas kembali. Walaupun tidak puas mengomel cucu, tugas perlu diteruskan.

Wednesday, December 29, 2010

RENUNGAN: alam akhirat dan kuasa Allah

Surah Luqman, ayat 33-34;

Untuk renungan; Bahawa janji Allah kepada umatnya tentang kematian dan hari akhirat adalah jelas. Setelah sarat isi kehidupan dengan dunia, elok juga fahamkan betul-betul ayat Allah di bawah yang mengingatkan kita dengan alam akhirat. Mudah maksudnya untuk difahami..kecuali bagi yang tak nak faham..

"Wahai manusia! Bertakwalah kepada Rab (Tuhan) kamu, dan takutlah suatu hari yang seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan janganlah kamu diperdayakan terhadap Allah oleh yang memperdayakan.

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya (Allah) sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui apa yang dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui apa yang akan diusahakannya besok, dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Khabir (Maha Mengerti/Mengenal).
"

Sunday, December 26, 2010

Perjalanan 3: Santai di Langkawi




santai dengan cucu

Hujung minggu yang lalu (23-25 Disember), saya, isteri, Nuruddin (anak sulung) bersama isteri (Zura) serta anaknya Darwish (cucu pertama kami) dan Zulhilmi (anak ketiga) bercuti ke Langkawi. Perjalanan dari Bangi terus ke Jeti Kuala Kedah mengambil masa sekitar 5 jam berkereta. Kami solat Subuh di surau Hentian R&R Sg Perak. Zulhilmi telah sedia mengunggu kami di sana setengah jam lebih awal. Dia bertolak dari Lumut, Perak tempat dia bertugas. Kami bersarapan di Hentian R&R Gurun, Kedah. Makan nasi lemak bungkus dan teh secawan.

Di sebebkan terlewat sedikit sampai ke Jeti, maka kami terpaksa menunggu hampir sejam untuk menaiki feri jam 1030 pagi. Banyak orang yang melancong ke Langkawi. Trend rakyat Malaysia bercuti hujung tahun. Setelah mengharungi lautan yang tidak begitu bergelora akhirnya kami sampai juga ke Langkawi pada jam 12 tengahari. Banyak perubahan saya lihat pada pembangunan infrastruktur di jeti setelah hampir 7 tahun tidak ke sana. Sudah banyak kedai-kedai yang menjalankan perniagaan di sana. Yang menariknya ialah kemampuan peniaga Melayu mengendalikan pelbagai jenis urusan dari perkhidmatan berkaitan pelancongan dan kereta sewa hinggalah menjual barang-barang berharga yang menjadi kegilaan pelancong.


Kami menyewa MPV untuk ke hotel penginapan. Awana Porto Malai. Nama yang sering dikaitkan dengan pemandangan lautan yang sangat menarik. Sewa semasa musim perayaan sangat mahal. Tapi saya melihat dari sudut keindahan pemandangan yang disajikan serta perkhidmatan yang diberikan. Terdapat beberapa kapal layar yang berlabuh dijeti hotel tersebut.

Pada sebelah petang kami bersiar-siar hingga kawasan pantai Kok yang banyak terdapat perahu layar berlabuh. Nampak juga beberapa buah kapal layar yang ditulis ‘for sale’. Agaknya tempat itu jual beli kapal klayar dilakukan. Pemandangan pada waktu matahari terbenam di pantai amat mengasyikkan. Itulah kuasa Allah yang menjalankan matahari pada laluannya yang mengajak manusia mengimaninya.

Makan malam kami di gerai makanan Arab. Tapi senarai masakannya termasuk makanan laut di samping masakan Arab. Harga makanan mahal di kawasan tersebut. Goreng sotong bersalut tepung untuk 2 gram (bukan 2 kg) 24 ringgit. Itu harga yang perlu dibayar jika bercuti di Langkawi semasa cuti sekolah dan perayaan. Yang seronoknya apabila melihat peniaga Melayu rancak berniaga sehingga larut malam. Ramai pelancong luar negara yang suka tempat peranginan yang simple yang tak ada di negara mereka.

Keesokan paginya, kami melakukan island hoping. Sewa sebuah bot dengan harga RM 200 untuk perjalanan selama 3 jam. Kami di bawa ke Tasek Dayang Bunting, tempat helang mencari makan dan mandi manda di pantai di sebauh pulau yang saya lupa namanya. Cucu saya yang berumur 6 bulan juga seronok berendam dalam laut yang bersih dari pencemaran. Itulah indahnya Langkawi dengan pantainya yang memutih.

Kami hanya menginap semalaman saja di Awana Porto Malai. Hanya dapat tempah semalam saja sebab telah penuh ditempah. Petangnya, kami berpindah tempat menginap di bandar Kuah. Beli belah ala kadar saja. Tengahari Sabtu kami berangkat pulang.

Dalam perjalanan ke Bangi, kami singgah bermalam di rumah Hj Haris, besan saya di Baling. Baru-baru ini dia dikesan sakit jantung dan pada 6 Januari dijadualkan menjalani pembedahan pintasan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Kami doakan agar beliau selamat dan sabar menghadapi dugaan tersebut.

Di samping seronok bersantai, namun jangan lupa menjaga kesihatan agar tidak dihinggapi penyakit . Oleh itu, memberi hak kepada fikiran dengan melegakannya dengan melupakan sementara kerja-kerja rutin, kita juga perlu waspada dengan penyakit yang amat mudah hinggap dalam badan. Bila hinggap, penyakit agak sukar untuk meninggalkan kita. Oleh itu, bagi yang sakit, makan ubat dan jaga kesihatan mental dan fizikal. Ubah gaya hidup dan gaya berfikir agar jasad dan fikiran diberikan haknya.

Wednesday, December 22, 2010

Perjalanan 2: Meminang

MAKLUMAT DIKEMAS KINI: Disebabkan anak saya Zulhilmi (tunang kepada Fiza) ditawarkan untuk mengiikuti latihan juruterbang helikopter pada saat hampir hari perkahwinan mereka, maka majlis tersebut terpaksa ditangguhkan sehinga ia tamat latihan. Mungkin pada tahun hadapan (2013) hajat mereka akan termakbul. Dalam hal ini, kita merancang, Allah yang menentukan segala-galanya..


(Gambar atas: meminang Fiza,Sabtu-18/12;
bawah: meminang Faqehah,Ahad,19/12)

Bila sampai waktu dan ketika yang sesuai, anak-anak yang sudah dewasa akan menyatakan pada ibu bapanya akan hajat untuk berumah tangga. Begitu juga dengan dua orang anak teruna saya. Mereka telah mengusulkan hasrat untuk meminang pilihan hatinya. Ini adalah langkah pertama sebagai menandakan ikatan sebelum berkahwin. Hasrat mereka kami terima dengan lapang dada. Muhamad Zahid, anak teruna kedua saya, bekerja sebagai Jurutera dengan MAS. Manakala Muhamad Zulhilmi, anak teruna ketiga pula, bertugas sebagai Leftenan dengan Tentera Laut Di-Raja Malaysia. Kalau ikutkan umur dan kemampuan, rasanya mereka sudah layak untuk berumah tangga.

Tapi yang agak menariknya ialah hari pertunangan kedua-dua mereka. Mungkin menarik bagi mereka dan pasangannya tapi mungkin kedaan boleh jadi kecoh jika tidak ditadbir dengan baik. Zulhilmi bertunang pada hari Sabtu yang lalu, manakala Zahid pula pada hari Ahad berikutnya. Jadi, sangat sibuklah kami sekeluarga serta bapa dan mak saudara serta suku sakat yang lain untuk menguruskan perjalanan majlis tersebut.
Zulhilmi ditunangkan dengan Fiza, anak kepada Cikgu Molok, Guru Besar di SK Kerambit. Keluarga mereka yang tinggal di kampung Kerambit di Kuala Lipis Pahang.

Rombongan dari keluarga kami menginap di Jerantut Hill Resort sehari sebelum majlis pertunangan. Dengan bertolak awal, dapat juga kami berehat. Luruskan pinggang. Kami menginap di lapan buah chalet atas bukit yang indah pemandangannya. Hujan renyai-reyai saja hari itu. Berkabus pemandangan alam dari atas bukit. Nyaman. Itu semua mengajak kita memikirkan akan kebesaran Allah yang menjadikan ciptaannya di muka bumi ini menarik dipandang. Subhanallah.

Di samping bersantai, dapat juga kami bersembang-sembang sesama ipar lamai dan anak saudara yang agak lama juga tidak berkumpul seperti bersama-sama. Inilah acara tidak formal yang dapat merapatkan lagi ikatan kekeluargaan yang sudah tentunya perlu disemai dan dibaja. Situasi seperti ini juga mampu menjadi pemangkin dan pengajaran kepada anak-anak agar tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu, perlu ada rasa untuk menunjukkan kepada generasi yang lebih muda akan pentingnya hidup harmoni antara ahli dalam keluarga yang besar.

Resort tempat kami menginap, tidaklah sehebat mana. Unsur kecinaannya tergambar semasa kami sampai untuk mendaftar masuk. Ada kolam renang. Malangnya semasa kami ke sana, masih lagi di jalankan kerja-kerja pembaikan. Jadi tak dapatlah cucu dan anak-anak saudara yang sejak beberapa hari sebelumnya menyebut-nyebut untuk mandi manda di kolan renang. Mungkin ada hikmahnya Allah tak makbulkan hajat mereka.
Dari tempat menginap ke rumah Cikgu Molok ambil masa hampir 40 minit. Jalan dari Jerantut ke Kuala Lipis berliku dan agak sempit. Mungkin sesuai untuk pemandu berdarah panas. Mungkin juga sesuai bagi mereka yang nak tunjuk bakat memandu di selekoh bahaya. Walau bagaimanapun, berhati-hati memandu adalah dituntut terutama memandu dalam jalan yang tidak begitu baik.

Alhamdulillah kami sampai pada masa yang dijanjikan. Selepas upacara yang biasa dijalankan dalam majlis pertunangan, rombongan kami dijamu makan tengahari yang lazat. Yang tak dapat kami lupakan ialah kelazatan gulai ikan patin masak tempoyak dan gulai pelanduk. Disebabkan kekenyangan dengan menu yang dihidangkan, sehnggakan kami terlupa untuk membawa balik tepak sirih yang kami bawa tadi. Lebih mendebarkan lagi, tepak sirih itu juga yang akan digunakan pada majlis pertungan Zahid yang akan dilangsungkan pada hari Ahad keesokan harinya. Oleh kerana perkara itu disedari setelah sampai ke bandar Kuala Lipis, kami terpaksa fikirkan pilihan lain bagi mengatasi masalah tersebut.

Hari Ahad keesokan harinya, kami serta sanak saudara yang sudi menyertai rombongan bersedia ke Subang Jaya pula untuk menunangkan Zahid dengan Faqehah anak kepada Hj. Abdul Rahman Othman. Hj. Rahman adalah sahabat lama saya yang sudah lebih 30 tahun tidak pernah bertemu. Kami pernah sama-sama bergiat dalam program ABIM semasa di Serdang pada tahun 80an dulu. Akhirnya Allah telah menemukan saya dengan Hj Rahman manakala anak saya setelah Zahid berkenan dengan anak daranya. Sementara itu, adik bongsu saya, Fauzi dapat pula berjumpa denga anak sulung Hj Rahman yang sama-sama belajar di fakulti undang-undang UIAM suatu ketika dulu. Itu semua adalah hebatnya kekuasaan yang Allah swt miliki untuk menentukan sesuatu perkara itu berlaku. Alhamdulillah, semua majlis selesai dilangsungkan dan hanya menunggu hari perkahwinan.

Bercakap tentang kahwin, semasa saya membujang dulu, emak dan abah ada pesan kalau boleh jangan cari isteri orang jauh. Lebih dekat, lebih baik. Ada juga benarnya kata mereka. Senang nak uruskan kerja meminang dan kahwin. Walau bagimanapun, disebabkan adanya kemudahan perhubungan yang baik semua masalah itu sepatutnya tak timbul lagi sekarang. Tapi yang selalu timbul masalah ketika lepas kahwin. Bagi pasangan yang duduk jauh ialah isu yang sering perlu diselesaikan ialah bab balik raya atau majlis yang berkaitan dengan keluarga. Nak balik perlu duit minyak, nak bayar tol, belanja makan dan sebagainya. Di samping itu, perlu ada persefahaman dalam merungkai masalah lain yang timbul semasa bekeluarga.

Sehubungan itu, pasangan yang sudah berkahwin perlu ambil berat bab menziarah keluarga. Menjadi kewajipan anak-anak agar mereka luangkan masa ziarah emak bapak yang tinggal kesunyian di kampung. Di samping itu perlu juga diambil berat terhadap tanggung jawab memberi biaya kehidupan bagi keluarga yang susah di kampung. Ingatlah bahawa perjalanan hidup kita pada masa depan tidak dapat kita jangka. Entahkan susah, entahkan senang. Keberkatan dalam meraikan kehidupan emah ayah akan dibalas oleh Allah setimpal dengan usaha yang diberikan, insyaallah.

Sunday, December 12, 2010

Perjalanan





Perjalanan hari ini telah sekian lama kami tunggu. Tiket kapal terbang telah lama ditempah. Sejak bulan Februari lalu. Disebabkan tiket waran kerajaan (percuma setahun sekali), maka saya dan isteri perlu manaiki pesawat MAS untuk balik bercuti ke Kuala Lumpur. Sudah agak lama tak balik menjenguk keluarga di Malaysia. Walaupun anak-anak dan keluarga ada datang ke Brunei, namun perasaan nak pulang jenguk keluarga di kampung tetap ada.

Seperti kata perbilangan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,elok juga negeri sendiri. Macam itulah kata-kata yang pernah diucapkan oleh beberapa orang kawan apabila saya menyatakan akan berhijrah buat sementara ke Brunei. Saya melihat dari perspektif yang mungkin berbeza dalam konteks mengambil kebaikan yang tersirat dengan amalan hijrah itu sendiri. Walaupun duduk jauh (Brunei taklah jauh dari KL, 2 jam 15 minit penerbangan), tapi penghijrahan memberi kita peluang membuka minda dan persepsi terhadap sesuatu yang baru kita temui. Jauh berjalan, luas pandangan.

Sempena menyambut tahun baharu hijrah yang baru lepas, elok juga dilihat kembali akan neraca yang kita gunakan dalam menghadapi cabaran tahun baru. Seperti slogan yang selalu disebut-sebut semasa menyambut awal tahun hijrah, perbuatan berhijrah memberi seribu satu makna kepada kehidupan kita.

Dalam hidup ini, menggunakan akal dituntut oleh Allah swt. Akal yang dianugerahkan perlu diguna seoptimum mungkin ketika kita berkuasa dan mampu menggunakannya. Akal itu pula perlu difokuskan untuk melihat kebesaran Allah serta buat perbandingan dengan kehidupan yang pernah dilalui selama ini. Banyak pengajaran yang boleh dikutip apabila berada ditempat yang jarang lalui. Perbezaan cara hidup, budaya kerja, cara berfikir,peluang yang boleh diambil merupakan intipati yang boleh diperoleh dari amalan hijrah.

Sehubungan itu, perjalan hidup perlu diteruskan. Perjalanan ke KL bermula seawal pagi. Selepas solat subuh,dhuha dan musafir. Kami mohon agar perjalanan dirahmati dan di bawah lindungan Allah swt. Bertolak dari rumah di Jerudung, Brunei Darussalam pada pukul 7 25 pagi tadi. Kami terus ke sempadan Brunei Malaysia dengan memandu kereta. Untuk sampai ke sempadan memakan masa lebih kurang 20 minit. Deretan kereta terpaksa kiu untuk pemeriksaan imigresen Brunei dan selepas itu Imigresen Malaysia.

Sampai di Limbang dalam pukul 845 pagi. Disebabkan perut mulai terasa lapar, kami terus ke Bandar Limbang untuk sarapan. Dalam pukul 945 pagi, kami menaiki teksi untuk ke Lapangan Terbang Limbang. RM 25 tambangnya. Kereta kami tumpangkan di Kuarters guru SMK Kubung, tempat isteri saya bertugas. Aiport Limbang hanya mengendalikan kapal terbang Maswings ke Miri saja. Kami sampai ke Miri 1130 pagi setelah terbang selama 30 minit saja. Hanya sempat minum sekotak air Milo.

Sekarang sedang menunggu penerbangan ke KLIA pukul 410 petang. Oleh kerana lama menunggu, maka catatan perjalanan ini sempat ditulis semasa makan tengahari di Marry Brown, Lapangan terbang Miri. Makan nasi ayam MB dan air mineral...

Thursday, December 9, 2010

KISAH CIKGU ALI: Mr. Karu dan Zali




Cikgu Ali duduk bersandar di kerusi guru di depan kelas Tingkatan 1A. Matanya masih menumpu kepada pelajar kelasnya. Pelajar telah diberikan latihan yang berkaitan. Pelajar juga sedang tekun buat latihan matematik yang diberikan. Dalam pada itu, Cikgu Ali teringatkan cikgu yang mengajarnya matematik semasa dia bersekolah dulu.

Cikgu Ali masih ingat lagi semasa dia belajar di tingkatan empat dan lima. Mr. Karu mengajar Cikgu Ali matematik. Cikgu Ali berminat dengan matematik disebabkan cara Mr. Karu mengajar. Mr. Karu seorang guru yang simple. Cara dia berpakaian, cara dia bercakap, cara dia memudahkan operasi matematik, sering terbayang oleh Cikgu Ali.

Sepanjang Mr. Karu mengajar, itu sajalah baju dan seluar yang dia sering pakai. Dia suka pakai baju warna putih dan seluar hitam. Tak tahulah berapa pasang baju yang Mr. Karu ada. Susah nak ramal sebab dia seakan-akan pakai baju dan seluar yang sama saja setiap hari. Satu hal yang melucukan ialah dia selalu pakai seluar yang ada kesan koyak yang tak pernah dijahit pada bahagian kaki seluarnya. Tak ada masalah baginya pakai seluar yang koyak atau cangkok pin seluarnya tercabut. Dia ke sekolah naik Vespa antiknya. Dia akan parking Vespanya itu tersorok di hujung bangunan sekolah. Mungkin dia tak mahu tunjukkan Vespa lamanya itu.

Dalam kelas, Mr. Karu sabar dengan kerenah pelajarnya. Tidak pernah Cikgu Ali lihat Mr. Karu marah jika ada pelajar yang tak buat atau tak siapkan latihan matematik. Pelajar yang ingin berjaya akan rasa insaf sendiri. Mr. Karu sebenarnya berjaya mendidik muridnya melalui tingkahlaku terpuji. Tidak perlu guna denda dan menjerit-jerit masa mengajar. Oleh kerana cikgu Ali dan kawan-kawannya meminati gaya Mr. Karu, akhirnya kebanyakan pelajarnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dalam mata pelajaran matematik.

“Zali, dah siap latihan yang cikgu beri?”

Hari itu Cikgu Ali mengajar tajuk rajah Venn bagi menunjukkan perkaitan dalam sistem nombor. Zali hanya geleng kepala, tanda kerja tak siap lagi. Mulutnya membunyikan isyarat yang dia belum siap lagi kerja itu. Dia seakan faham soalan Cikgu Ali. Tangannya menggayakan yang dia membuat latihan matematik dengan tekun. Cikgu Ali tak sampai hati nak memarahi Zali jika dia buat salah dalam latihan Matematik yang diberikan. Cikgu Ali akan cuba guna kudrat dan kemahiran mengajar yang diperoleh semasa belajar di maktab perguruan dulu. Dia usahakan agar Zali faham operasi matematik yang diajarkan.

Zali, pelajar yang sukar nak bercakap dengan jelas. Sukar nak faham apa yang dituturkanya. Dia nampaknya tekun menjawab soalan latihan. Sekali-sekala matanya menjangkau ke depan kelas. Nak dilihatnya kelibat Cikgu Ali. Kalau ada peluang mahu juga rasanya dia cuba buat onar dalam kelas. Zali juga suka meniru kerja kawa-kawannya.

Zali jenis murid yang tidak suka duduk diam. Ada saja yang menarik perhatiannya. Bagi Cikgu Ali, Zali adalah murid istimewa tapi bermasalah dalam kelas. Sudahlah keadaan fizikalnya macam itu, ditambah dengan kenakalannya, Cikgu Ali selalu sakit kepala memikirkannya.

“Sepatutnya dia ni masuk sekolah pendidikan khas, cikgu” saran Cikgu Ali kepada pengetua apabila dia melaporkan keadaan Zali dalam mesyuarat panitia Matematik minggu lalu. Disebabkan kekurangan yang dimilikinya, Cikgu Ali kadangkala putus ikhtiar dibuatnya.

Sekarang baru cikgu Ali faham bahawa guru perlu ada daya kreatif dan mahir sesuaikan keadaan dalam selesaikan masalah murid. Itulah antara cabaran yang ditempuh cikgu Ali masa semasa mula-mula mengajar.

Masalah itu tak pernah terlintas dalam benaknya semasa dia berkursus dulu. Pensyarah sampaikan kuliah secara umum saja. Dia masih ingat semasa belajar ilmu pedagogi. Pensyarahnya, Mr. Sundaram memarahi guru pelatih yang salah menulis objektif pengajaran. Bukan itu saja. Dia koyakkan kertas yang ditulis oleh guru pelatih itu dan membaling kertas itu ke muka pelajar tersebut.

Bila Cikgu Ali dah jadi guru, baru dia faham bahawa situasi semasa belajar dulu tak sama dengan realitinya. Bukan mudah nak beri pelajar mahir ilmu mengajar. Itu baru satu masalah yang dia hadapi. Walau bagaimanapun, Cikgu Ali masih belum luntur lagi semangatnya. Usaha untuk membantu murid macam Zali masih dianggap tugas utamanya, walaupun sukar.

BAGAIMANA MENJADI PEMBACA AKTIF

Sering kita membaca tanpa tujuan khusus.  Contohnya membaca bahan bacaan ringan.  Namun ketika membaca teks yang lebih mencabar, pembaca ...