Selasa, 13 September 2022

TAKDIR DAN UJIAN DUNIA

Hidup dengan takdir

Allah telah tentukan takdir sebelum diciptakan dunia ini.   Beriman dengan takdir itu baik akan wujudkan iman dalam hatinya.  Jika kesulitan, sangka baik dengan Allah. 

Beriman kepada takdir adalah tuntutan asas yang merupakan rukun iman keenam iaitu beriman kepada qada dan qadar. Qada dan qadar adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai kaitan antara satu sama lain. Di sisi ulama Asy'ariyyah qada ialah kehendak Allah terhadap sesuatu pada azali yang bersesuaian dengannya serta tidak akan berubah pada masa akan datang. 

Manakala takrif bagi qadar pula ialah mewujudkan sesuatu oleh Allah sesuai dengan ketentuan yang khusus dan cara yang taertentu yang dikehendaki Allah. Pendek kata, qada ialah ketentuan daripada Allah dan qadar ialah pelaksanaan bagi ketentuan tersebut.

Hidup dengan ujian

Dunia ini ujian. Ada orang yang diuji dengan ujian dunia bertimpa-timpa.  Dia buruk sangka dengan Allah.  Jia dia berbaik sangka dengan Allah, dia akan dibantu oleh Allah.  Ada banyak contoh ujian dalam Quran.  Kisah Nabi Yusuf yang dibuang oleh abangnya. Akhirnya menjadi pembesar Mesir.  Abangnya Nabi Yaakub dan Daud akhirnya datang kepadanya meminta bantuan. 

Kata Nabi Ibrahim, ujian yang dihadapinya dengan sangka baik dengan Allah. Ubat terbaik bagi musibah ialah berdoa. Hasilnya dirasai dalam dua hal.  Niat yang benar dan tawakalnya benar.  Seseorang yang ditimpa ujian, perlu ikhtiar.  Jangan jadikan ikhtiarnya sebagai solusinya.  Yang maha sembuhkan ialah Allah.  

Ketergantungan itu hanya kepada Allah. Seringkali manusia lupa akan Allah.  Jangan mengeluh.  Imam Ahmad disiksa sebab beriman kepada Allah.  Dia kata setiap yang dilakukan kepadanya tanpa mengeluh.  Yang banyak hadapi berat ujian kepada para nabi dan anbiya.  Seseorang itu diujia sekadar dengan agamanya.  Semakin kuat ugamaya, ujiannya semakin berat.  

Nabi bersabda:  "Sungguh hebat urusan orang Mukmin kerana semua hal baik baginya. Hal ini tidak berlaku melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Sekiranya terjadi perkara yang bergembira baginya maka ia bersyukur dan itu baik untuknya dan sekiranya ditimpakan musibah, maka ia bersabar dan ia baik untuknya." (Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Cara kita berinteraksi dengan takdir Allah adalah pengukur tahap keimanan kita kepada Allah. Oleh itu, berdamailah dengan segala takdir Allah. Kita perlu sedar, kita hamba Allah yang lemah. Ada batasan terhadap ikhtiar dan kemampuan kita. Oleh itu, sentiasalah berdoa dan bergantung harap kepada Allah.

Jika kita memilih sebaliknya dan mempertikai takdir Allah maka ia dicela oleh Allah seperti dalam hadis Qudsi:  "Barangsiapa yang tidak reda terhadap qada Ku serta tidak sabar terhadap ujian Ku, maka carilah Tuhan lain selain Ku." (Hadis Riwayat Thabrani)


Jumaat, 9 September 2022

UMUR PANJANG DAN BERKAT

Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun.  Baginda juga merupakan raja paling lama bertakhta.  Kesihatannya merosot sejak sebulan lalu.  Akibatnya pergerakannya terhad.  

Dr. Mahathir juga panjang umurnya.  Kini dia berusia 97 tahun. Baru-baru ini dia berkata, “Saya tahu saya sudah tua tetapi saya agak beruntung sebab masih boleh bercakap dengan orang, masih boleh berhujah dan memimpin parti." Dalam konteks politik, dia masih berteka teki sama ada akan bertanding dalam pilihanraya akan datang.  Begitulah kurniaan Allah.  Ada yang diberi umur panjang.  Ada pula yang singkat dan menemui Allah dalam usia muda.  

Manusia tidak tahu bila umurnya akan berakhir.  Bagi umat Rasulullah SAW, umur mereka sekitar 60-70 tahun.  Berbanding dengan umat terdahulu, umur mereka sangat panjang. Yang penting ialah bukannya panjangnya umur seseorang tetapi sejauh mana umur itu digunakan. 

Rasulullah saw bersabda, "Tak akan bergeser kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang empat perkara, iaitu tentang umurnya dihabiskan untuk apa; tentang masa mudanya, dipergunakan untuk apa; tentang hartanya, dari mana diperoleh dan untuk apa dibelanjakan; dan tentang ilmunya, apakah sudah diamalkan". (HR At-Tarmidzi).

Allah kurniakan umur panjang agar diberkati.  Selalu dalam ucapan hari lahir, kita ucapkan " Selamat hari lahir, semoga panjang umur".  Yang lebih baik lagi ialah bukan setakat umur panjang tetapi umur yang berakat.

Apakah maksud umur yang berkat? Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya yang menceritakan:

"Ada seorang lelaki bertanya, 'Wahai Rasulullah, siapakah orang yang terbaik?' Beliau jawab: 'Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya'. Ia bertanya lagi: 'Lalu siapakah orang yang terburuk?' Beliau jawab: 'Orang yang panjang umurnya dan buruk perbuatannya'." (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Haitami).  

Nabi saw mengingatkan:

"Manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara:

Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, hidupmu sebelum datang kematianmu."

(HR. Al Hakim dalam Al Mustadroknya).

Berkat menurut Ar-Raghib Al-Isfahani: "Keberkatan itu ialah tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu."  Oleh itu "berkat" yang dimaksudkan ialah "bahagia, beruntung, bertambah dan berkembang".

Katanya lagi: "Sedikit terasa cukup. Rezeki yang biasanya dianggap kurang pada orang lain tetapi terasa cukup pada dirinya. Setelah berusaha mencari rezeki maka reda dengan kuantiti rezeki yang dia dapat serta Allah swt mencukupkan baginya rezekinya.

Apakah tanda umur yang berkat?

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)-nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."

(QS. Ath Thalaaq: 2-3)

Oleh itu, panjang atau pendek umur seseorang adalah termasuk takdir yang ditetapkan.   Namun yang penting adakah umur itu memberi kebaikan kepadanya dan sekelilingnya.

Khamis, 8 September 2022

TAK NAK SAF PERTAMA

Amalan yang sering ditemui di masjid atau surau ialah susahnya jemaah untuk memenuhi saf pertama. Malahan ada yang datang awal tetapi lebih suka duduk terperosok di saf belakang. Adakalanya jemaah tak mahu penuhkan saf pertama yang kosong.  

Hal ini berlaku disebabkan jemaah tidak mengetahui akan kelebihan saf pertama. Mungkin juga mereka beranggapan saf pertama untuk jemaah tertentu.  Atau menunjukkan dia tawaduk!

Solat di saf yang pertama mempunyai begitu banyak kelebihan seperti yang disebutkan oleh banyak riwayat. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا

Maksudnya: Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi.

Riwayat Al-Bukhari (615)

Berdasarkan hadis di atas, sekiranya manusia itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan terhadap besarnya ganjaran dan fadhilat solat di saf yang pertama, sudah pasti mereka akan berebut-rebut mengambil peluang bagi memenuhkan saf pertama. Sehingga jika tiada cara lain, pasti mereka akan menggunakan cara mencabut undi bagi menentukan siapakah yang dapat mengisi saf yang pertama.

Berikut beberapa kelebihan saf yang pertama serta keutamaan solat di dalamnya.

Pertama: Allah dan Para Malaikat Berselawat Kepada Saf Pertama

Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas saf yang pertama.”

Imam al-Munawi apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada ahlinya (mereka yang bersolat di saf yang pertama) iaitu dengan beristighfar kepada mereka.

Kedua: Rasulullah SAW menyebut tentang kelebihannya sehingga jika sekiranya perlu untuk dibuat undian, maka sudah tentu orang ramai akan membuatnya untuk mendapatkan perkara tersebut. Rasulullah SAW bersabda:

‏ لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا

Maksudnya: “Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi.”

Berdasarkan hadis di atas, sekiranya manusia itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan terhadap besarnya ganjaran dan fadilat solat di saf yang pertama, sudah pasti mereka akan berebut-rebut mengambil peluang bagi memenuhkan saf pertama. Sehingga jika tiada cara lain, pasti mereka akan menggunakan cara mencabut undi bagi menentukan siapakah yang dapat mengisi saf yang pertama.

Ketiga: Saf Terbaik Bagi Lelaki Adalah Saf Pertama

Hal ini merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik saf orang lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling belakang. Manakala sebaik-baik saf orang perempuan adalah saf yang terakhir manakala seburuk-buruk saf orang perempuan adalah yang paling hadapan.”

Dalam hadis di atas, saf paling baik bagi orang lelaki adalah saf yang pertama. Ini kerana, saf yang pertama menjadikan kita sebagai manusia yang bersegera ke arah kebaikan, hampir kedudukan dengan imam, dapat mendengar dengan baik bacaan imam serta mendapat pengajaran dari bacaan imam, serta lebih sejahtera pemikiran dari melihat orang yang berada di hadapannya.

Yang dimaksudkan dengan seburuk-buruk saf bagi lelaki dan perempuan adalah: Yang paling kurang pahala dan kelebihan serta jauh dari kehendak dan tuntutan syara’. Manakala maksud sebaik-baik saf bagi lelaki dan perempuan pula adalah: Yang paling banyak pahala dan kebaikan serta memenuhi kehendak syarak.

Kami nyatakan di sini, kelebihan saf yang terakhir bagi orang perempuan adalah apabila berlakunya solat berjamaah yang melibatkan orang lelaki dan juga orang perempuan. Namun sekiranya solat berjamaah hanya melibatkan orang perempuan sahaja, maka keadaannya kembali kepada saf terbaik adalah saf pertama manakala saf terburuk adalah saf yang di belakang.

Bagi jemaah perempuan, baiknya saf terakhir dalam solat berjemaah yang melibatkan orang lelaki adalah kerana yang demikian itu menjauhkan jarak mereka dari bercampur dengan orang lelaki, menjauhkan mereka dari memandang ke arah lelaki ajnabi serta mendengar ucapan-ucapan mereka.

Justeru, marilah kita sentiasa melazimi solat di saf yang pertama. Elakkan saf-saf dari dikosongkan atau lambat dipenuhkan. Hal ini kerana begitu besar fadhilat dan ganjaran yang ada padanya sepertimana yang telah dijelaskan. 

Rujukan:

Zulkifli Mohamad Al Bakri, 2021.  Kelebihan solat di saf pertama; https://maktabahalbakri.com/135-kelebihan-solat-di-saf-pertama/

Selasa, 6 September 2022

THE HABITAT











HABITAT ialah tempat haiwan dan tumbuhan hidup secara semula jadi ( Kamus Dewan).  Hidupnya kedua-dua ciptaan Allah itu perlu dipelihara. Peluang untuk membesar dan membiak disediakan dengan cukup luas. 

Namun peluang untuk hidup kadang kala diganggu. Gangguan yang boleh merencatkan kehidupan ciptaan Allah itu kini semakin giat dilakukan. Manusia yang rakus untuk keperluan duniawi sering menjadikan habitat haiwan dan tumbuhan terpaksa melalui laluan sukar. 


Akibat gangguan habitat itu, ada binatang yang pupus dan tumbuhan yang tidak dapat lagi menstabilkan iklim dunia. 


Dalam usaha memelihara habitat dari diganggu, The Habitat diwujudkan di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Pemeliharaan habitat dibuat dengan membuka peluang kepada orang ramai menikmati kehidupan tumbuhan dan haiwan di dalamnya. 


Saya dan isteri berpeluang menikmati keindahan alam sekitar ciptaan Allah yang dipelihara untuk tujuan pelancongan. Orang ramai berpeluang menikmati indahnya habitat yang dikawal dan diselia dengan menarik. Pelancong didedahkan dengan pelbagai flora dan fauna melalui informasi yang disediakan. 


Pada pemerhatian saya, tidak berapa ramai yang menikmati keindahan The Habitat  yang tersedia. Hal ini mungkin bayaran tiket masuk yang agak mahal. Mungkin juga kerana bukan waktu cuti.  Namun dengan membeli tiket menggambarkan iltizam yang tinggi terhadap habitat yang disediakan Allah kepada ciptaanNya. 


THE REEF


Dr Wan Kadir, pemilik The Reef 










Pertama kali pancing di laut 





REEF  maksudnya terumbu  karang. Itulah kelebihan sumber kecantikan alam di  Pulau  Perhentian, Terengganu. Keindahan terumbu karang nya menjadi daya tarikan pelancong.

Saya bersama 11 ahli keluarga berpeluang bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu. Kami di sana selama tiga hari dua malam (27-29/7/2022). Tak pernah saya ke sini. Selama ini kewujudan Pulau Perhentian hanya melalui tontonan dan bacaan.  Keindahan pulau ini memang sering diwar-warkan. 

Sesampai di jeti Kuala Besut, kumpulan kami diuruskan oleh sebuah agensi pelancongan. Mereka uruskan  berkaitan bot yang akan kami naiki. Situasi di jeti tenang saja. Pelancong tidak berapa banyak. Ada datang dalam kumpulan. Ada yang datang sendirian.  Perjalanan ambil masa hampir 40 minit. 


Bot laju dengan kuasa dua enjin mudah meredah laut yang agak tenang. Sesekali lantunan akibat ombak yang agak kuat. Namun kami kagum dengan pemandu bot yang berpengalaman. Apabila hampir dengan pulau, kelihatan penempatan penduduk di di Pulau Perhentian Kecil. Ada sekolah, klinik, masjid dan jeti yang nampak terurus. Perjalanan kami ialah ke Pulau Perhentian Besar. 


Sesampai dijeti, kelihatan deretan bangunan resort. Keadaan jeti kayu agak lama. Ada papan pemijak yang boleh diganti untuk keselamatan pengunjung. Bagi warga emas, mereka perlu berhati-hati melalui jeti ini.


Kami menginap di Resort The Reef. Resort ini diuruskan oleh Dr Wan Kadir. Dia mantan pensyarah kaunseling UKM. Isterinya, Rashidah. Dia berasal dari Australia tapi tidak kekok dengan budaya Melayu. Boleh berbahasa Melayu dengan dialek Kelantan.  


Pemandangan di sini sangat indah. Dengan air laut jernih bersih dan tidak sibuk dengan manusia. Sebelah petang selepas makan tengahari kami mandi laut. Laut  tenang.  Jernihnya air berkaca hingga nampak dasar. Sesuai untuk merehatkan diri. 


Hari kedua, kami mulakan dengan aktiviti snorkling. Selepas sarapan kami bersedia menaiki bot. Beberapa tempat dibawa untuk teroka isi perut laut. Subhanallah. Ciptaan Allah yang terbentang untuk diteroka. Walaupun aktiviti agak mencabar untuk warga emas, namun semangat untuk mencuba tetap ada.


Sebelah petang, aktiviti memancing. Sudah lupa bila kali terakhir pegang joran kail. Kami naik bot nelayan. Dibawa ke tengah laut dalam. Bila enjin bot dimatikan, bot mula berayun. Mulalah ada yang terasa mual. Dua tiga orang mula muntah. Yang memancing mencuba bakat. Ada juga ikan yang lekat di mata pancing walaupun agak kekok. 


Setelah penat memancing, sebelah malam kami menikmati makan malam ala barbeku. Kami di sini ambil pakej beserta makan. Masakan sarapan, tengah hati dan malam memang sedap. Berselera apatah lagi selepas penat dengan aktiviti fizikal. 


Setelah tiga hari dua malam di resort The Reef ini, saya harap dapat  berehat di sini lagi, insyaallah. 

Khamis, 1 September 2022

ORANG TERBAIK ANTARA YANG TERBURUK

Menjadi yang terbaik sepatutnya menjadi impian. Namun tak semua yang begitu. Kadang-kadang impian untuk menjadi yang terbaik tidak terlintas langsung di benak fikiran. Biarlah wajah kehidupan ditentukan takdir. Maka akan lahir masyarakat yang tidak berdaya saing. Selesa dengan apa yang ada. 

Sepatutnya manusia berguna kepada orang lain. Berguna dalam bidang kepakaran. Walaupun tidak pakar, sumbangan minimum pun cukup bermakna. Dalam situasi sukar, peranan orang yang memberi kebaikan kepada orang lain sangat bernilai.

Hadis berikut menerangkan keutamaan menjadi orang yang berguna kepada persekitarannya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ  فَقَالَ   أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ   قَالَ  فَسَكَتُوا  فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ  فَقَالَ رَجُلٌ  بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ  أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا  قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ  وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ  

Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman dari gangguannya.” (Sunan  Tirmidzi no. 2263) Status: Sahih dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603.

Pengajaran:

1.Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan  kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya. 

2.Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya

3.Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai kebaikan oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban  No:  2/48) 

4.Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139

Marilah kita berusaha untuk menjadi warganegara yang bermanfaat dan jauh dari menjadi musibah dan mudarat kepada masyarakat dan negara. Keluarga Malaysia Teguh Bersama. 

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

Sumber:

#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor



TAKDIR, TANDA TERIMA KASIH, GANJARAN, ALAM BAQA

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran - 3:145 وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبًا مُّؤَجَّلًاۗ وَمَ...