Saturday, July 11, 2009

KEGIGIHAN, AMALAN DAN KEKABU

Innalillahiwainnailaihirajiun.

Terhambur kalimat itu apabila mendapat berita kematian emak mentua saya pada 1 Julai 2009 yang lalu. Ketika itu saya sedang berada di pejabat SHBIE, Universiti Brunei Darussalam untuk siapkan artikel yang akan dihantar ke Jurnal JARE UBD. Berita tersebut di terima dengan rasa sebak tapi kesedihan masih dapat dikawal. Beberapa hari yang lalu isteri saya ada beritahu melalui perbualan dalam Skype akan keadaan mentua yang makin uzur. Sudah lebih empat tahun beliau terlantar di katil akibat strok yang dialaminya. Sebelah kanan anggotanya lumpuh. Dia juga tidak boleh bertutur sejak dijumpai terjatuh di dalam rumah kediamannya di kampung. Ketika itu hanya dia seorang diri di rumah setelah beberapa bulan tinggal dengan kami di Bandar Baru Bangi. Sejak itu, dia hanya terbaring di atas katil sehinggalah saat-saat kematiannya.

Mengenang kembali kehidupannya, teringat beberapa peristiwa yang masih terpahat dalam ingatan. Pernah satu hari saya diminta menghantarnya pergi ke ladang getah miliknya beberapa kilometer dari rumah. Kami pergi dengan motosikal. Ketika itu saya bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Datuk Mohd Taha, Gemencheh. Dia nak bersihkan ladang getahnya seluas tiga ekar. Poko getah sudah besar tapi masih belum ditoreh. Dia menebas semak samun tanah getahnya menggunakan penyabit rumput. Saya juga bantu menebas semak. Tapi setelah hampir setengah jam menyabit rumput, saya mulai letih. Namun dia masih lagi gigih bekerja. Saya pula sudah mulai tersandar di pangkal pokok getah. Walaupun dia sudah berumur hampir 60 tahun, tetapi kudratnya memang hebat. Jika buat kerja, sememangnya dia akan pastikan sesuai dengan standard yang diingininya. Jika kita fikirkan, itulah upaya yang dia miliki untuk membesarkan anak-anak dan dengan kehidupan yang begitu mudah kita nampak pada pandangan mata kasar.

Satu lagi perkara yang menjadi kepantangan arwah ialah dia tidak suka barang atau hasil tanamannya dibinasakan. Contohnya pernah satu hari sebatang pokok kekabu yang tingginya dalam tiga atau empat kaki telah ditebang secara tidak sengaja. Bukan kepalang marahnya dia bila dapat tahu pokok itu ditebang walaupun dengan cara tidak sengaja. Pokok kekabu adalah antara tanaman yang dijaga dengan cermat kerana dia sangat suka kumpul isi kekabu untuk dibuat isi bantal. Untuk diguna anak cucu semasa balik kampung. Begitulah cara dia berfikir. Pada fikiran saya, apalah sangat ada pada kekabu. Tetapi pada dia kekabu ada hasil dan berguna kepada anak cucu. Itulah yang perlu difikir sebab cara berfikir tidak selalunya sama.

Ada banyak lagi yang saya kenangkan kehidupan arwah. Di samping gigih, dia seorang yang kuat beribadat. Sembahyang lima waktu ditunaikan dengan taat. Selalu puasa sunat. Sedekah pun begitu juga. Itu sebab kalau anak cucu tak sembahyang maka dia akan berleter panjang. Walaupun dia tak ada didikan agama secara formal, tak pergi sekolah agama tapi bab amal ibadat tak ada tolak ansur. Banding dengan budak-budak sekarang. Belajar agama bertahun-tahun tapi amal ibadat lintang pukang. Cuba kita fikirkan sejauh mana berjayanya sistem pendidikan agama kita berbanding dengan komitmen untuk beramal dan mengerjakan yang suruhan Allah walaupun tanpa pergi sekolah secara formal.

Alfatihah

bersambung....

Thursday, July 9, 2009

Sains, Matematik kembali diajar dalam BM pada 2012


PUTRAJAYA: Kabinet semalam meluluskan strategi baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan. Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.


Pada sidang medianya di sini, beliau yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata penguasaan bahasa Inggeris akan terus ditingkatkan dengan me-nambah baik pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan. Pada 2003, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi mendapat bantahan pelbagai pihak terutama pejuang bahasa yang mahu dasar itu dikaji semula.


Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan bermula secara bertahap bagi Tahun Satu dan Empat di sekolah rendah serta Tingkatan Satu dan Empat di sekolah menengah pada 2012, tetapi tidak membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014, katanya.


Sambil menolak andaian keputusan itu dibuat akibat tekanan mana-mana pihak, Muhyiddin menegaskan:


"Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru mengajar subjek Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Pemantauan kementerian pada 2008, katanya, mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.


Selain pemantauan kementerian, Laporan Trends in Mathematics and Sciences Study 2007 juga menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam subjek Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke-21 pada 2007. Bagi subjek Matematik pula, laporan sama menyatakan kedudukan murid Malaysia merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 kepada ke-20 pada 2007.


Kajian universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah di tahap nominal, iaitu tidak melebihi tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI yang bermula sejak 2003. "Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu Melayu di sekolah kebangsaan dan menengah dan bahasa Cina dan Tamil di SJK Cina dan Tamil," katanya.


Mengenai langkah untuk memartabatkan bahasa Malaysia, beliau berkata, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum bahasa itu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada asas kemahiran berbahasa menerusi pendekatan modular bersepadu meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.


"Pada peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa," katanya.


INFO: Kelemahan PPSMI


  • Peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi subjek Sains dan Matematik.

  • Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada 2008 mencapai tahap profisiensi.

  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus sekolah luar bandar.

  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 untuk subjek Matematik bagi murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

  • Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam subjek Sains dan Matematik semakin melebar.


  • Ulasan:

    Setelah sekian lama diperjuangkan bagi mengembalikan kedudukan BM seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, akhirnya matlamat tersebut tercapai. Berkat perjuangan ahli bahasa, ahli akademik, rakyat yang cintakan BM, kerajaan terpaksa akur bahawa penggunaan bahasa ibunda bagi tujuan memperoleh ilmu terutama bagi pelajar peringkat rendah adalah benar seperti yang diperjuangkan. Adalah malang apabila pendapat yang menyatakan menggunakan BM tidak akan meningkatkan penguasaan ilmu sains dan matematik pelajar serta pelajar tidak akan dapat menghadapi cabaran global yang lebih mencabar. Hal ini ditambah dengan andaian yang tidak disertakan dengan dapatan kajian yang empirikal. Walau apapun alasan yang diberikan untuk menolak peranan BM sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatu negara, perlu disedari bahawa kekuatan bangsa dan negara ditandai dengan sejauh mana rakyat mendaulat dan menjiwainya dalam kehidupan.

    BAGAIMANA MENJADI PEMBACA AKTIF

    Sering kita membaca tanpa tujuan khusus.  Contohnya membaca bahan bacaan ringan.  Namun ketika membaca teks yang lebih mencabar, pembaca ...