Rabu, 4 November 2015

Tautan Kasih Kerinchi 1

Hari pertama 9 Oktober 2015, Jumaat

Program untuk melawat dan eratkan silaturrahim dengan saudara mara di Kerinchi telah dibuat sejak beberapa bulan lalu.  Maka pada hari ini program tersebut dapat dijelmakan.
Peta kedudukan Sungai Penuh, Kerinchi.  

Tiket kapal terbang ke Padang
12 orang waris Kerinchi Simat di KLIA2 (Dr Yusuf tukang gambar)
Check in di KLIA2.  Pak Teh Ali dan Habibah bersemangat walaupun datang jauh dari Palong 6
Bandara Minangkabau
Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau Padang sekitar jam lapan pagi.  Menurut  pengumuman juruterbang,  penerbangan tiba awal 20 minit.  Agaknya langit berjerebu menjadikan kapal terbang makin laju. Pemandangan sekitar Bandara (Bandaraya Udara),  banyak akronim di Indonesia) berjerebu (Indonesia:  Kabut asap).  Jarak penglihatan sekitar 900 meter di Bandara. Saya mula memikirkan akan ancaman jerebu terhadap program selama enam hari lima malam.  Setelah urusan imigresen dan kastam selesai rombongan kami terus ke Sungai Penuh, Kerinchi.

Rombongan kami seramai 12 orang disediakan 3 van Inova oleh agen pelancongan yang sedia menunggu.  Pengalaman serik naik bas dari Dumai ke Padang sekitar tahun 80an masih dalam ingatan.  Ketika itu ikut lawatan ke institusi pendidikan tinggi sekitar Padang bersama pensyarah dan pengetua Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka.  Jadi dengan menaiki van yang masih cantik  memberi harapan akan keselesaan perjalanan kami nanti.  

Innova.  Kijang Indonesia

 Misi utama kami ke Sungai Penuh, Kerinchi adalah untuk mengeratkan silaturahim dengan keluarga di sini.  Setelah merangka program ini hampir tiga bulan yang lalu, akhirnya cita-cita dapat dijelmakan.   Dr Yusuf dan Nornas banyak beri harapan yang program ini akan berjaya. Di samping itu usaha gigih Hj Razak, suami Nornas juga banyak bantu urusan perjalanan kami. Walaupun pada peringkat awal ramai yan setuju nak turut serta, namun akhirnya hanya 12 orang yang berhati waja untuk teruskan amal ibadat ini.  

Saya dan rakan perserta lain juga setuju bahawa usaha eratkan silaturahim mengandungai fadilat yang dituntut untuk dilakukan.  

Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW: "Mahukah kalian aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan saum?" tanya Rasul pada para sahabat. "Tentu saja," jawab mereka. Beliau kemudian menjelaskan, "Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menghubungkan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan tali persaudaraan di antara mereka adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali silaturahmi" (HR Bukhari Muslim). 

Di samping itu, kami berhasrat untuk merungkai salalasilah keluarga yang berjauhan di seberang.  Maka program ini  dapat menemukan saudara mara di Kerinchi.  Arwah emak saya selalu beritau yang saudara sebelah datuknya berasal dari Kerinchi.  Masa itu tidak terbayang yang satu hari saya akan bertemu juga saudara yang dimaksudkan oleh emak.  Di samping itu, melalui perjumpaan dan bualan di dalam grup whats app cadangan ini seringkali ditimbulkan. Oleh itu, saya dan ahli waris yang lain bulatkan tekad satukan hati untuk ke sana.

Melalui usaha Dr Yusuf dan Hajah Nornas, isteri kepada Hj. Abd Razak dari Seremban program ini dapat dirancang dengan lebih baik.  Ini disebabkan dia memiliki banyak pengetahuan berkaitan tentang jurai kerurunan keluarga kami.  Kebetulan Nornas memang ada keluarga sebelah bapanya di Kerinchi.  Maka kemungkinan untuk bertemu sanak saudara yang lain akan dimakbulkan. 

Pemandangan sepannagn perjalanan ke Kerinchi jika cuaca terang
Setelah semuanya siap, van kami mula meluncur ke Kerinchi. Menurut pemandu van, Rafles namanya, perjalanan dari Padang ke Sungai Panjang makan masa sekitar 8 jam.  Dia yang berasal dari Padang berpengalaman membawa pelancong keserata tempat di Sumatera. Kami membayangkan jarak perjalanan kami dari KL ke Kota Baru melalui jalan biasa. Tidak ada lebuh raya di sini.  Jalan pula dikatakan sangat berliku hajam.  Walau bagaimanapun pengalaman melalui jalan sempit dari Dumai - Bukit Tinggi - Padang (1980an), jalan sempit di Medan -Brastagi (90an) serta lawatan ke Padang Bukit Tinggi sebelum ini mungkin dapat bantu melegakan hati.  

Setelah melalui perjalanan sebenar, memang tepatlah semua yang dijangkakan.  Rafles, pemandu van kami nampak cekap kendalikan van melalui jalan berliku dan curam. Perjalanan mendaki gunung curam dan berliku menjadikan mata sukar untuk dilelapkan. Jalannya berliku dan banyak yang rosak.  Tapi disebabkan sekitar perjalanan pemandangannya cantik.  Melalui ladang teh dan kebun sayur yang luas.  Cuaca yang sejuk juga menyumbang kepada giatnya usaha pertanian di sini.  Agak malang apabila sekitaran berjerebu.  Jarak pandangan sekitar 900 meter sahaja.

Akibat cuaca berkabut, kami tak dapat lihat keindahan alam di sini sepenuhnya.  Tapi semua itu kuasa Allah.  Kita hanya mampu merancang.  Allah yang berkuasa menentukan semua kejadian.  Maka yang penting kita reda dengan ketentuan-Nya.
Pemandangan di ladang teh di Kabupaten Solok.  Nun dihujung ufuk masih berjerebu. 

Van innova yang kami naiki sepanjang misi ini

Minum kopi o kau dihentian ladang teh.  Minum kopi di ladang teh!

Masih segar walaupun dah hampir 2 jam perjalanan

Hantian pertama kami ialah di Ladang teh di Kabupaten Solok.  Ladangnya agak luas dan ada kelihatan pekerja yang sedang petik daun teh.  Mereka masih petik guna tangan dengan gunting pemotong.  Sempat juga kami minum kopi di warung tepi jalan. 


Singgah makan tengahari di restoran ini.  Masak guna kayu api (kayu manis).  Dikatakan guna kayu dapat kekalkan kesedapan masakan
Perjalanan lalui jalan berliku sangat meletihkan.  Namun mata sukar dilelapkan sebab tidak selesa dan rasa hati nak juga lihat tempat yang baru dikunjungi.  Kami makan tegnahari di sebuah rumah makan di Kabupaten Solok Selatan.  Hidangan utama orang Padang dengan lauk pauk yang banyak.  Disebabkan perut lapar maka juadah yang dihidangkan terasa enĂ¥k.

Sembelih ayam sempena ketibaan rombonban kami.
Setelah sampai di Sungai Penuh, kami terus ke rumah Andri, anak buah Nornas. Ramai saudara mara dia yang tunggu kesampaian kami.  Nampaknya mereka telah lama menunggu.  Suasana penuh mesra apabila pertama kali bertemu.  Kami di bawa ke rumah saudara Nornas di seberang jalan.  Bila sampai, mereka sedia menunggu dengan dua ekor ayam yang nak di sembelih.  Mungkin itu adat mereka apabila sambut tetamu yang telah lama tidak bertemu. Semasa berbual, mereka sangat teruja dengan kedatangan kami.  Namun saya masih tidak dapat merasai ikatan keluarga yang dibincangkan sebelum ini.  Perbualan sekitar bertanya khabar dan menyebut satu dua nama yang saya tidak pernah dengar.  Mungkin Nornas maklum sebab rumah itu adalah saudara sebelah bapanya.



Nornas disambut saudara mara 

Senyum, sampai juga den kat Kerinchi..

Setelah minum dan makan sedikit juadah petang, kami mohon pulang ke hotel.  Kami menginap di Hotel Mahkota.  Dalam perjalanan ke hotel kami singgah untuk makan malam disebuah restoran yang telah sedia dengan makanan Padang. Satu kelebihan yang ada pada pelayan restoran ialah bawa piring lauk pauk dalam jumlah yang banyak. Menurut pemandu van kami, Rafles, ada teknik yang digunakan agar piring tidak jatuh.  Cara ini baik sebab dapat jimat masa dan menunjukkan kemahiran unik orang Padang. Makanan Padang yang diletakkan di atas meja banyak sekali.  Sekali pandang agak sukar untuk dihabiskan.  Namun harus diingat,  setiap piring yang diusik lauknya perlu dibayar. 

Bila dah makan perut kenyang.  Bila dah malam, mata mengantuk.  Disebabkan badan penat, perut kenyang maka alamatnya perlu rehat.  Malam ini kami menginap di Hotel Mahkota.  Letaknya dalam pekan Sungai Penuh Kerinchi.  Hotel dalam kadar 2 bintang agaknya. Tak ada aircon tapi jika buka tingkap udara sejuk juga.  Tapi sebab jerebu kuat, tingkap mesti ditutup. Kena tahan panas sementara sejuk menjelma. Alhamdulillah, tamat satu hari program hari ini. Banyak masa habis didalam van..


Gambar kenangan di hadapan Hotel Mahkota, Sungai Penuh

TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...