Khamis, 19 Januari 2012

prabayar


Maksud prabayar dalam Kamus Dewan ialah telah dibayar terlebih dahulu . Sering digunakan dalam perkhidmatan telefon mudah alih. Bagi yang tidak suka membayar bil, maka prabayar merupakan pilihan yang baik. Di samping khidmat telefon, prabayar juga digunakan dalam perkhidmatan lain seperti melalui kad touch n go . Kaedah yang digunakan juga berkaitan prabayar. Jika dalam kad tersebut tiada jumlah yang mencukupi untuk membayar tol lebuhraya misalnya, maka pemandu akan menghadapi masalah. Oleh itu, pengguna perlu memastikan jumlah wang yang cukup di dalam kad tersebut untuk membayar tol atau parkir.


Di sesetengah universiti, sistem pembelian makanan di kafe dan perjalanan bas dalam kampus juga telah menggunakan sistem ini. Jadi pelajar akan merasa mudah untuk berurusan semasa membeli makanan dan juga merancang perjalanan.


Di beberapa negara, perkhidmatan elektrik juga menggunakan sistem prabayar. Maksudnya, pengguna perlu membayar sejumlah wang terlebih dahulu sebelum menggunakan tenaga elektrik di premis masing-masing.

Di samping itu, penggunaan sistem perkhidmatan prabayar juga melatih pengguna merancang perbelanjaan dengan lebih baik. Contohnya jika pengguna tahu baki kad prabayar telefon mudah alih, maka ia boleh mengubah suai cara penggunaan perkhidmatan tersebut. Meringkaskan perbualan telefon, bersedia untuk menambah jumlah baki wang dalam sistem prabayar tersebut. Begitu juga dengan perkhidmatan elektrik. Pengguna perlu memastikan jumlah baki yang mencukupi tertera di dalam meter elektrik.



Walau bagaimanapun, apabila pengguna kurang mengambil tahu baki yang terkandung di dalam perkhidmatan prabayar yang dilanggan, banyak masalah boleh timbul. Contohnya, bila terlupa untuk melihat baki wang pada meter elektrik, maka kesusahan akan timbul bila bakinya tinggal pada tahap paling minimum. Jika ketika meneliti meter elektrik yang hampir habis bakinya pada waktu malam, sudah tentu akan timbul kesusahan yang besar pada pengguna. Kalau di Brunei, pembelian prabayar elektrik hanya boleh dibuat pada waktu pejabat sahaja. Oleh itu, pengguna perlu merancang dan sering meneliti baki prabayar pada meter elektrik jika tidak mahu bekalan elektrik terputus pada waktu malam.

Hal ini terjadi pada saya baru-baru ini. Disebabkan kecuaian tidak meneliti meter elektrik, bekalan terputus pada sebelah petang dan mungkin pilihan atasi masalah malam itu ialah menelefon hotel untuk bermalam di sana..Bagaimana jika keluarga yang besar bilangan ahlinya?

Moral cerita ini ialah perlunya sikap beringat dan prihatin terhadap perkhidmatan prabayar yang dilanggani sama ada telefon, parkir, lebuhraya, makanan, elektrik dan sebagainya kerana kecuaian dan kelalaian pengguna akan menimbulkan pelbagai masalah.

Rabu, 18 Januari 2012

Cabaran Borneo



Cabaran Borneo ini telah lama saya rancang. Sejak pertama kali menjejakkan kaki di Brunei saya sudah memasang cita-cita tersebut. Maksud cabaran ini ialah menjelajah Borneo dari Brunei, Sarawak dan Sabah. Walaupun jelajah ini tidaklah seluas mana kawasan yang diliputinya, namun idea ini sangat mengujakan saya.

Setelah selesai majlis perkahwinan anak lelaki saya pada 11 Disember 2011 yang lalu, seminggu selepas itu saya bersama-sama isteri dan anak lelaki keempat ('Arif) terus balik ke Brunei. Arif dibawa bersama bagi tugas pemandu kereta yang boleh diharapkan. Saya terpaksa memendekkan cuti di Malaysia sebab pada hari saya balik semula ke Brunei (18 Diember) merupakan hari terakhir cuti bagi kontrak pertama saya dengan Universiti Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, kontrak saya dilanjutkan setahun lagi sehingga Disember 2012. Oleh itu, saya merasakan inilah waktu yang paling sesuai untuk memulakan jelajah Borneo sebelum balik ke semenanjung Malaysia pada hujung tahun ini.



Kami memulakan perjalanan pada 20 Disember 2011.Kami memohon doa agar perjalan ini dirahmati Allah dan selamat dari mara bahaya. Setelah semuanya telah sedia, kami tiga beranak memulakan perjalanan seawal lepas subuh (lebih kurang 530 pagi)dengan harapan untuk mengejar kedudukan terawal di pos Imigresen Kuala Lurah, Brunei. Namun usaha untuk tersebut gagal apabila deretan kenderaan sudah hampir tiga suku kilometer panjangnya berbaris dalam kegelapan selepas subuh. Apabila kaunter pos dibuka pada jam 6 pagi, setelah hampir empat puluh minit (640 pagi) baharulah selesai di pos imegresen yang pertama. Menunggu lama ketika musim cuti sekolah di pos imigresen Brunei sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk di sini. Mungkin kereta yang berada paling hadapan sudah menunggu sejak sebelum subuh lagi agaknya! Oleh itu, kesabaran adalah senjata utama bagi mengelakkan dari naiknya bacaan tekanan darah dalam kebanyakan hal yang melibatkan kerja menunggu di sini.

Selang beberapa meter ke hadapan ialah pos imegresen Malaysia. Tidak ada kenderaan yang beratur panjang di sini dan urusan pasport ambil masa yang amat cepat. Alhamdulillah setelah memandu dalam setengah jam kami sampai ke bandar Limbang. Kami berhenti sebentar di stesen minyak di situ untuk membeli sedikit makanan untuk sarapan semasa dalam perjalanan.



Selepas memasuki Sarawak di Limbang, kami perlu keluar semula untuk memasuki wilayah Brunei di Temburung. Jadi pasport perlu dicop di imigresen Malaysia dan Brunei. Yang menariknya ialah untuk memasuki semula Brunei, kenderaan perlu menaiki feri yang ditarik dengan kabel bagi meneyeberang sungai yang luasnya beberapa meter saja. Masa yang diambil untuk ke seberang tak sampai lima minit. Menurut cerita, sudah lama rancangan untuk bina jambatan ubtuk hubngkan kedua-dua negara. Namun hingga sekarang masih belum jadi kenyataan. Oleh kerana kenderaan yang menunggu untuk menaiki feri tidaklah begitu banyak, maka masa menunggu untuk melepasi sungai kecil itu ambil masa sekitar setengah jam.

Inilah kali pertama saya ke Temburung, sebuah daerah Burei yang terpisah oleh wujudnya Limbang. Memasuki daerah Temburung menjadikan fikiran saya berubah dari segi lanskapnya. Ketika dalam kawasan Limbang kelihatanya kurang terurus persekitarannya. Namun apabila memasuki Temburung Brunei, suasana agak berbeza dari segi keceriaan pemandangan dan kebersihan persekiran.



Setelah memasuki daerah Temburung Brunei, kami perlu keluar semula untuk memasuki bumi Sarawak. Pos Imegresen Puni perlu dilewati untuk mesuk semula ke Malaysia. Begitulah uniknya perjalanan kami keluar masuk antara Brunei dan Malaysia dengan menempuhi tiga pos imegresen (Pos Brunei-Pos Malaysia, Pos Malaysia-Pos Brunei, dan Pos Brunei-Pos Malaysia semula). Wah, banyak peluang pekerjaan pegawai imigresen boleh wujud dengan adanya pos ini.

Seterusnya, kami akan melewati Lawas, Sarawak. Perjalanan ke Kota Kinabalu masih jauh..

bersambung..

TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...