Wednesday, January 18, 2012

Cabaran Borneo



Cabaran Borneo ini telah lama saya rancang. Sejak pertama kali menjejakkan kaki di Brunei saya sudah memasang cita-cita tersebut. Maksud cabaran ini ialah menjelajah Borneo dari Brunei, Sarawak dan Sabah. Walaupun jelajah ini tidaklah seluas mana kawasan yang diliputinya, namun idea ini sangat mengujakan saya.

Setelah selesai majlis perkahwinan anak lelaki saya pada 11 Disember 2011 yang lalu, seminggu selepas itu saya bersama-sama isteri dan anak lelaki keempat ('Arif) terus balik ke Brunei. Arif dibawa bersama bagi tugas pemandu kereta yang boleh diharapkan. Saya terpaksa memendekkan cuti di Malaysia sebab pada hari saya balik semula ke Brunei (18 Diember) merupakan hari terakhir cuti bagi kontrak pertama saya dengan Universiti Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, kontrak saya dilanjutkan setahun lagi sehingga Disember 2012. Oleh itu, saya merasakan inilah waktu yang paling sesuai untuk memulakan jelajah Borneo sebelum balik ke semenanjung Malaysia pada hujung tahun ini.



Kami memulakan perjalanan pada 20 Disember 2011.Kami memohon doa agar perjalan ini dirahmati Allah dan selamat dari mara bahaya. Setelah semuanya telah sedia, kami tiga beranak memulakan perjalanan seawal lepas subuh (lebih kurang 530 pagi)dengan harapan untuk mengejar kedudukan terawal di pos Imigresen Kuala Lurah, Brunei. Namun usaha untuk tersebut gagal apabila deretan kenderaan sudah hampir tiga suku kilometer panjangnya berbaris dalam kegelapan selepas subuh. Apabila kaunter pos dibuka pada jam 6 pagi, setelah hampir empat puluh minit (640 pagi) baharulah selesai di pos imegresen yang pertama. Menunggu lama ketika musim cuti sekolah di pos imigresen Brunei sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk di sini. Mungkin kereta yang berada paling hadapan sudah menunggu sejak sebelum subuh lagi agaknya! Oleh itu, kesabaran adalah senjata utama bagi mengelakkan dari naiknya bacaan tekanan darah dalam kebanyakan hal yang melibatkan kerja menunggu di sini.

Selang beberapa meter ke hadapan ialah pos imegresen Malaysia. Tidak ada kenderaan yang beratur panjang di sini dan urusan pasport ambil masa yang amat cepat. Alhamdulillah setelah memandu dalam setengah jam kami sampai ke bandar Limbang. Kami berhenti sebentar di stesen minyak di situ untuk membeli sedikit makanan untuk sarapan semasa dalam perjalanan.



Selepas memasuki Sarawak di Limbang, kami perlu keluar semula untuk memasuki wilayah Brunei di Temburung. Jadi pasport perlu dicop di imigresen Malaysia dan Brunei. Yang menariknya ialah untuk memasuki semula Brunei, kenderaan perlu menaiki feri yang ditarik dengan kabel bagi meneyeberang sungai yang luasnya beberapa meter saja. Masa yang diambil untuk ke seberang tak sampai lima minit. Menurut cerita, sudah lama rancangan untuk bina jambatan ubtuk hubngkan kedua-dua negara. Namun hingga sekarang masih belum jadi kenyataan. Oleh kerana kenderaan yang menunggu untuk menaiki feri tidaklah begitu banyak, maka masa menunggu untuk melepasi sungai kecil itu ambil masa sekitar setengah jam.

Inilah kali pertama saya ke Temburung, sebuah daerah Burei yang terpisah oleh wujudnya Limbang. Memasuki daerah Temburung menjadikan fikiran saya berubah dari segi lanskapnya. Ketika dalam kawasan Limbang kelihatanya kurang terurus persekitarannya. Namun apabila memasuki Temburung Brunei, suasana agak berbeza dari segi keceriaan pemandangan dan kebersihan persekiran.



Setelah memasuki daerah Temburung Brunei, kami perlu keluar semula untuk memasuki bumi Sarawak. Pos Imegresen Puni perlu dilewati untuk mesuk semula ke Malaysia. Begitulah uniknya perjalanan kami keluar masuk antara Brunei dan Malaysia dengan menempuhi tiga pos imegresen (Pos Brunei-Pos Malaysia, Pos Malaysia-Pos Brunei, dan Pos Brunei-Pos Malaysia semula). Wah, banyak peluang pekerjaan pegawai imigresen boleh wujud dengan adanya pos ini.

Seterusnya, kami akan melewati Lawas, Sarawak. Perjalanan ke Kota Kinabalu masih jauh..

bersambung..

No comments:

Post a Comment

NAMA-NAMA AL-QURAN

Dalam bahagian awal Tafsir al-Munir, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili menerangkan sejumlah nama Al-Quran.  Antara lain ;  al-Qur'an, al-Kit...