Jumaat, 13 Julai 2018

ANALISIS DIALOG DALAM FILEM MELAYU



(Artikel untuk penerbitan Kompilasi Buku Kementerian Dalam Negeri 2018) 



ANALISIS DIALOG DALAM  FILEM MELAYU
Yahya Othman [1]

Dialog adalah wahana dalam filem bagi tujuan menyampaikan dan mengukuhkan mesej.  Sehubungan itu, penggunaan bahasa di dalam dialog penting untuk mempamerkan idealisme pengarah melalui skrip yang ditulis.  Dalam konteks penapisan  filem di Malaysia, dialog yang digunakan pula perlu mengikut  Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010.  Dialog yang tidak menepati garis panduan yang ditetapkan  akan disenyapkan atau adegan berkaitan dipotong.  Permasalahan wujud apabila filem menggunakan dialog perkataan terlarang dalam pembikinan filem Melayu dan  tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.  Untuk tujuan tersebut, kajian secara tinjauan ini meneliti 12  buah filem Melayu dari tahun 2014 hingga 2017 dengan mengenal pasti penggunaan perkataan terlarang melalui dialog.   Filem cereka  tersebut dari jenis seram, tahayul, khurafat,  jenayah, aksi, komedi dan penyiasatan. Analisis dibuat dengan mengenal pasti bahasa tersebut dan mengklasifikasikan penggunaannya.  Dapatan kajian menunjukkan terdapat trend dalam penggunaan dialog menggunakan bahasa kasar, kesat dan lucah di dalam filem Melayu. Penggunaan bahasa terlarang diberikan perhatian di dalam penapisan filem dengan mengambil kira kepentingan dalam sosio budaya dan usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui  dialog dalam perfileman.

Kata kunci:  Dialog, Filem Melayu,  Perkataan  Terlarang

DIALOGUE ANALYSIS IN MALAY FILM

Dialogue is a medium in the movie for the purpose of delivering a message. In that regard, the use of language in dialogue is important to show the idealism of directors through scripts written. In the context of film cencorship in Malaysia, the dialogue used should follow the Film Censorship Guidelines, Ministry of Home Affair, 2010. Dialogue that do not meet the set guidelines will be silenced or cut-off scenes. The problem exists when the films uses a prohibited language dialogue in the making of a Malay films and does not follow the set guidelines. For that purpose, this research surveyed 12 Malay films from 2014 to 2017 by identifying the use of prohibited language through dialogue. The fictional films are of the kind of horror, superstition, crime, action, comedy and investigation. An analysis is made by identifying the language and classifying its use. The findings show that there are trends in the use of dialogue using abusive, vulgar and obscene language in Malay films. The use of prohibited language is given attention in films cencorship taking into account the importance of socio-culture and efforts to uphold the Malay language through dialogue in the film.

Key words:  Dialogue, Malay Films, Prohibited Language


PENDAHULUAN

Dialog mempunyai fungsi yang cukup besar di dalam filem.  Dalam hal ini, Blacker (1996) menggariskan  empat fungsi dialog di dalam filem iaitu  menggerakkan jalan cerita, mendedahkan aspek perwatakan yang yang tidak digambarkan, menjelaskan peristiwa lalu dan meletakkan suasana atau atmosfera bagi filem. Untuk merealisasikan fungsi tersebut, kesedaran berbahasa pula perlu wujud sama ada kepada pelakon dan penonton. Hal ini disebabkan dialog sebagai wahana komunikasi boleh memberi impak kepada penonton.  Pengguna bahasa tersebut sama ada secara  individu ataupun kolektif bertanggungjawab sehingga menimbulkan rasa saling memiliki suatu bahasa. Dengan demikian ia berkemahuan untuk ikut membina dan mengembangkan bahasa itu.  Melalui dialog dalam filem, kesedaran berbahasa akan terpelihara.

Penggunaan bahasa di dalam dialog filem diolah untuk menterjemahkan adegan agar lebih realistik. Tanpa dialog  yang  baik, penceritaan akan lemah dan kurang meyakinkan penonton. Oleh itu, dialog dalam  filem merupakan medium yang sesuai untuk mempertajamkan kreativiti di samping mengungkapkan peristiwa. Kreativiti yang ingin di paparkan melalui tema, plot, watak dan perwatakan jika diadun dengan penggunaan dialog yang meyakinkan boleh menjadikan filem itu bermakna dalam penyampaian mesejnya.

Walau bagaimanapun, usaha ini berhadapan dengan pelbagai cabaran.  Cabaran tersebut datang dari pelbagai dimensi.  Antaranya antara mnenggunakan bahasa yang betul dan baik dengan menggunakan bahasa yang diunjurkan untuk memenangi cita rasa penonton. Penggunaan bahasa terlarang sering diungkapkan dalam menyampaikan perutusan di dalam sesuatu filem. Walaupun pihak penerbit filem faham akan kesan penggunaan dialog bahasa terlarang, namun mereka berpendapat penggunaan bahasa secara semula jadi dianggap lebih  menarik perhatian penonton.

Oleh itu dalam tulisan ini akan membincangkan dan menganalisis tinjauan terhadap penggunaan  dialog menggunakan bahasa terlarang dalam filem Melayu dan cabarannya dalam meningkatkan kesedaran berbahasa dalam industri filem.



DIALOG FILEM DAN BAHASA TERLARANG

Dialog Filem
Filem mempunyai sejarahnya sendiri dan sering dikaitkan dengan pemikiran dan melalui bahasa  yang digunakan melalui dialog yang digunakan.  Dialog dalam filem melalui penggunaan bahasa saling berkaitan dan memerlukan.  Tidak akan terpamer lakonan diskrin tanpa dialog dengan penggunaan bahasa pelakon yang difahami dan menarik.  Maka peranan bahasa sangat dominan dalam memastikan kejayaan sesebuah filem di samping faktor-faktor yang lain.

Penulis skrip filem menggunakan bahasa untuk menterjemahkan cerita yang terpendam difikirannya.  Pengarah pula akan memikirkan aksi pelakon menggunakan dialog  yang akan menjadikan idea penulis dan pengarah dapat dijelmakan. 

Oleh itu pemikiran tentang bahasa di dalam filem memerlukan penelitian yang mendalam.  Jika penggiat seni melihat bahasa mampu memberikan impak kepada penonton setelah mereka menonton, maka, ruang dalam keseluruhan pembikinan filem itu perlu diteliti.  Bermula dengan penulis skrip hinggalah kepada imaginasi penonton  perlu diambil kira. 

Soalan-soalan seperti siapa, apa, di mana, bila, mengapa dan bagaimana merupakan soalan yang biasa dalam kehidupan berkomunikasi.  Soalan-soalan ini tertanam dalam otak kerana sentiasa bertanya kepada orang lain sama ada secara sedar atau tidak sedar tentang segala yang dilihat dan dilakukan di dunia. Jawapan kepada soalan-soalan itu merupakan unsur dalam pemikiran yang  digunakan untuk memahami dunia. Dalam konteks filem, soalan-soalan itu  adalah komponen asas sebuah cerita yang kebanyakannya menggunakan dialog. Untuk merealisasikannnya, maka bahasa digunakan bagi memastikan persoalan tersebut terjawab.

Sebagai contoh, dalam filem Sarjan Hassan, dialog antara Bapak Ajis dan Hassan seperti berikut;
Hassan:  Terima kasih Pakcik.
Bapak Ajis:  Ke mana kau nak pergi?
Hassan:  Saya nak cari rumah.
Bapak Ajis:  Tak payahlah, di sini rumah kau jugak, sebab itu aku bawa kau ke mari.
Hassan:  Di sini?
Bapak Ajis: Ya
(Hassan terharu dan menangis.  Bapa Ajis memegang bahu Hassan dan bawa Hassan ke dalam rumah)
Diaog ini juga ringkas dan jelas maksudnya (A. Rahman A. Hanafiah, 2012).

Namun dalam filem Kongsi, penggunaan bahasa pasar menjadi boleh menjadi polemik kebahasaan walaupun gaya bahasa itu sememangnya sesuai dengan adegan dan realiti penggunaannya. Filem Kongsi arahan Farid Kamil ini banyak menggunakan bahasa pasar dan slanga.  Antara dialog yang digunakan ialah “Kalau wa kata talak untung,lu kata wa tipu”, “Kata ada untung, olang lengki”, “Hai! Boleh la carik makan.”, “ Polis ada bagus apa? Ada power”, “Ha, makan sudah tiba. Jom makan.”

Bahasa Terlarang
Menurut Kamus Dewan (2014),  bahasa terlarang adalah bahasa/percakapan yang dilarang/ ditegah daripada diperkatakan.

Bahasa kasar iaitu  bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan (digunakan).  Bahasa kesat didefinisikan sebagai  bahasa kasar yang digunakan untuk percakapan atau tulisan yang menyakitkan hati orang lain apabila mendengar atau membacanya. Manakala bahasa lucah  pula ialah bahasa dengan kata-kata yang tidak senonoh, tidak sopan atau keji.

Sebarang penyiaran kandungan yang menggunakan bahasa kasar, kesat dan lucah hendaklah ditegah bagi mengelak daripada tidak melanggar adab atau kesopanan atau menyinggung perasaan umum.  Filem yang mengandungi dialog atau frasa yang lucah atau menjurus kepada kelucahan dan bahasa kasar dalam sebarang bahasa adalah tidak digalakkan penggunaannya.  Namun begitu, penggunaannya harus diteliti kesesuaiannya dalam konteks filem tersebut.

Penapisan aspek bahasa tersebut perlu mengikut pemberatan seperti berikut: (Rujukan Industri Bengkel Pematuhan Industri Kandungan: Bahasa Terlarang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, 2017)

(a) Keterlaluan: Menyebut perkataan-perkataan kelucahan yang melampau seperti menyebut alat kelamin/kemaluan manusia atau binatang; atau menyamakan manusia dengan binatang yang dianggap jijik atau kotor; atau menyebut sifat/perilaku manusia yang terkutuk. Contoh: puki, burit, butuh, babi, anjing, asshole, motherfucker.

(b) Berat: Menyamakan manusia dengan binatang atau menyebut alat kelamin/ kemaluan manusia atau binatang; dalam bahasa/istilah lain yang kurang sopan atau menyebut sifat-sifat /perilaku manusia yang terhina, contoh: biawak, jalang, barua, bangsat, bitch, fuck.

(c) Sederhana: Menyebut sifat-sifat manusia yang tidak disukai atau menyamakan manusia dengan binatang yang dianggap bersifat negatif.  Contohnya perkataan gila, bangang, celaka, kurang ajar, lembu, keldai, monyet, shit, damn.

(d) Ringan: Menyebut sifat-sifat manusia yang tidak disukai atau menyamakan manusia dengan binatang yang dianggap bersifat negatif.  Contohnya perkataan  lembab, kura-kura,

Terdapat juga perkataan /frasa yang digunakan hanya dalam kalangan kelompok tertentu. Penggunaan bahasa slanga banyak digunakan oleh para remaja. Mereka sering menggunakan perkataan yang direka dan difahami dalam kalangan mereka sahaja.  Di dalam filem, penggunaan yang bermaksud kasar, kesat dan lucah serta  boleh memberi impak kepada penonton. Penggunaan perkataan ini juga perlu dielakkan jika bermaksud demikian.

Dalam konteks penapisan dan  klasifikasi filem,  Garis Panduan Penapisan Filem (2010) Kementerian Dalam Negeri merupakan dokumen penting yang digunakan sebagai sumber rujukan Ahli Lembaga Penapis Filem (ALPF) untuk menapis filem.

KAEDAH KAJIAN

Kajian ini dijalankan dengan  menggunakan kaedah tinjauan (Burnett, R, 2013).  Instrumen kajian adalah berdasarkan data berkaitan bahasa terlarang yang diambil dari sejarah tapisan filem melalui Sistem Maklumat Penapisan Filem (eFilem), Kementerian Dalam Negeri.  Sistem eFilem merupakan sistem yang dibangunkan untuk kegunaan Ahli Lembaga Penapis Filem (ALPF)  merekodkan laporan secara dalam talian bagi semua aktiviti penapisan filem. Sistem ini juga hanya boleh diakses oleh ALPF yang dilantik. Sistem Maklumat Penapisan Filem (eFilem) merupakan satu pembangunan sistem aplikasi berasaskan web yang menggunakan sistem pelayar-pelayar dengan pelbagai fungsi untuk membantu memudahkan segala proses penapisan Filem yang sebelum ini dibuat secara manual. Pengurusan maklumat secara elektronik dapat mengurangkan kemungkinan ralat yang berlaku akibat kecuaian semasa proses dokumentasi (manual).
Filem yang dipilih dari filem  cereka  jenis seram, tahyul, khurafat,  jenayah, aksi, komedi dan penyiasatan. Sebanyak 14 buah filem dari tahun 2014-2017 telah dipilih secara rawak dengan mengambil kira terdapatnya data yang ingin dikumpulkan di dalam filem tersebut. Laporan dari eFilem yang berkaitan tema dan dialog dikutip dan dianalisis.  Data yang telah dianalisis telah  dikategorikan berdasarkan bahasa kasar, kesat, lucah, dan slanga.


DAPATAN KAJIAN

Berikut adalah dapatan yang diperoleh dari aplikasi eFilem, Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri. Aspek yang diambil  kira ialah tajuk filem,  tema dan  dialog seperti yang terdapat di dalam laporan penapisan. Cara penulisan laporan berkaitan dialog telah diubah suai selaras dengan keperluan kajian.

Sindiket
Tema :  Misi seorang pegawai keselamatan untuk menyelamatkan wanita-wanita yang ditipu oleh agensi yang menjual mereka .
Dialog:
·         Terdapat beberapa perkataan yang agak keras, keterlaluan dan berunsur lucah di dalam dialog seperti perkataan ‘sial’  telah dilemparkan beberapa kali ketika dalam kemarahan dan
·         perkataan-perkataan ‘ boleh try’ ketika seorang pelanggan memilih gadis untuk memenuhi kehendak seksnya.

Kamar Seksa
Tema:  Penderitaan emosi dan fizikal yang melibatkan wanita.
Dialog:
Perkataan yang di senyapkan:
·         Dialog antara dua perempaun ‘I dah dapat you’,
·         dialog ‘aku akan rasa kau sesuatu hari’,
·         perkataan ‘Hei Betina’ dalam dialog,
·         perkataan 'main' dalam dialog “macam baru dapat main’.,
·         perkataan 'main' dalam dialog “main dengan I pun macam tak nak main’.

Lebuh Raya Ke Neraka
Tema : Misteri iaitu krisis manusia dengan syaitan.  Ketika manusia koma dan di ambang maut, syaitan cuba untuk terus menggoda manusia supaya terus berbuat jahat dan mungkar .

Dialog: Dalam filem ini terdapat dialog yang kasar dan dan kesat
·         seorang lelaki yang berambut panjang berkata  kepada pemandu lori  ‘Pergi mampuslah kau!
·         seorang lelaki yang berjubah hitam berkata kepada   lelaki yang berbadan sasa dengan perkataan "Lepas maghrib, aku mengkedarahlah !'
·         Seorang lelaki yang berjubah hitam berkata "Ini rumah aku......he he he....lalu dijawab oleh lelaki berbadan sasa"Syaitan memang menyusahkan".
·         Lelaki pakai jubah hitam menjawab"Nama lagi Syaitan, tyson,tysan syaitan"
·         seorang lelaki yang memakai tudung putih berkata kepada lelaki yang berbadan sasa"Kecil-kecil tak nak mampus,dah besar menyusahkan orang ".

Minah Moto
Tema:  Filem bertemakan kemelut percintaan seorang remaja perempuan yang berjiwa mat motor atau ‘rempit’.
Dialog:
Perkataan bahasa slanga:
·         willie – aksi mengangkat tayar depan motosikal semasa menunggang motosikal
·         wekang – aksi mengangkat tayar belakang motosikal semasa menunggang motosikal
·         Port – menjurus kepada tempat penagih dadah berkumpul yang mana dijadikan sebagai sarang dadah
·         Senyapkan dialog seorang perempuan menyebut 'Pisang cheese rentung kau tu' kepada seorang lelaki di hadapan rumah. Dialog ini berunsur dwimakna yang menjurus kepada kemaluan lelaki.
·         Senyapkan dialog "lenjan sampai lembik" yang diucapkan oleh seorang perempuan minah rempit kepada seorang lelaki yang merupakan habuannya.
·         Filem mengandungi beberapa bahasa/ dialog/ perkataan kesat seperti berikut:
o   Cikaro’ – menjurus kepada perempuan bohsia sebagai habuan mat rempit yang menang dalam perlumbaan  haram
o   cingkarong’ – menjurus kepada lelaki yang menjadi habuan kepada minah rempit yang menang dalam perlumbaan  haram
o   Dialog seorang lelaki mengatakan ‘klinik’ dan ‘doktor pakar’ yang merujuk kepada sarang dadah sebagai klinik, dan penagih dadah sebagai doktor pakar Bongok

Abang Long Fadil 2
Tema : Usaha seorang lelaki untuk membersihkan namanya atas tuduhan dia sebagai pembunuh upahan bersiri.
Dialog:
·         Terdapat beberapa perkataan bahasa yang kasar dan kesat digunakan namun selari dengan jalan cerita. Antaranya, “bangsat”, “brainsek” ( bahasa Indonesia), “ betina” dan “penyangak”.

Mendidih Bro
Tema:  Menjejaki suku kaum terakhir di Asia Tenggara.
Dialog:
Senyapkan sebutan
·         "sunat" dalam dialog "perempuan tak sunat."
·         "potong" dalam dialog "tak potong ma."
·         "tahan" dalam dialog "of course you boleh tahan."
·         "sunat" dalam dialog "dia tak sunat, you tak geli ke?"
·         "Filipinos" dalam dialog "all Filipinos are expensive."
·         "mani" dalam dialog "air mani pekat jadi batu."
·         "must be tight" dalam dialog "two girls must be tight."
·         "air" dalam dialog "pistol air aku pun ada."

Kolesterol VS Cinta
Tema:  Filem ini bertemakan cabaran dihadapi seorang gadis yang sanggup berkorban dalam menagih cinta.
Dialog:
Terdapat banyak dialog / bahasa kasar dan mengelirukan saperti berikut :
·         ' ke dia ada bomoh ' yang diucap seorang perempuan di pejabat.
·         ' siapa dia ni, ( herdik ), tiada adab dan memalukan ' yang diucap seorang lelaki.
·         ' awak makan dedak ' yang tidak bermaksud untuk menyindir. 
·         Disamping itu terdapat juga bahasa kasar yang lain saperti 'gatal ' , ' bodoh ' ,  ' kurang ajar ' penipu ' , ' banyak songel ' , ' santau ' dan ' mandrum ' .

I Am Not A Terrorist
Tema: Filem ini bertemakan kemelut seorang pemuda yang terperangkap dalam kancah keganasan gangster yang ganas di kampungnya.
Dialog:
·         Senyapkan ucapan “Assalamualaikum” yang diberi oleh seorang lelaki (Abu Zar) kepada lelaki lain .
·         Senyapkan dialog “Holy War” yang diberi oleh seorang lelaki (Abu Zar) kepada lelaki lain serta pada sarikatanya yang boleh disalah tafsir sebagai jihad.
·         Senyapkan dialog seorang wanita yang sedang mempropagandakan jihad kepada wanita lain untuk merelakan dirinya sebagai pengebom berani mati dan menjadi shahid serta ahli syurga.
·         Potong perkataan “Demi Allah” daripada sarikata kerana kontes tidak sesuai.
·         Senyapkan dialog “Masya Allah” yang diucapkan oleh seorang lelaki (Abu Zar) semasa melihat seorang wanita cantik yang menjadi sasarannya.



Munafik
Tema: Perancangan dan tindakan seorang pengamal ritual syaitan untuk menghapuskan orang-orang alim di sebuah kampung tetapi menemui kegagalan.
Dialog: Dialog (berunsur menyindir, kasar dan kesat)
·         Panggil Ustaz buat apa.. bayar berapa.. nak kena sedekah kat masjid baru nak kerja...Senyapkan perkataan ‘ustaz’ dari dialog tersebut
·         Senyapkan dialog ‘Perempuan murah, jalang macam kau... tempat kau di neraka jahannam’
·         Dialog ‘ Menyekutukan Allah adalah zalim paling besar...’. Gantikan perkataan ‘zalim’ dengan perkataan ‘dosa’.
·         Senyapkan dialog ‘Kami’ rmaksud ‘Allah dan Nabi Isa’ disenyapkan
·         Senyapkan dialog ‘…yang Amir sudah lama meninggal…sama dengan Zulaika’ Dialog ini adalah sangat penting disenyapkan atas dasar kehadiran watak Amir di sepanjang filem akan menyebabkan filem ini ditafsirkan sebagai mengandungi adegan-adegan khurafat.lemah/tidak memahami akidah dan boleh mengelirukan penonton
·         Panggil Ustaz buat apa.. bayar berapa.. nak kena sedekah kat masjid baru nak kerja...
·         Hati kau busuk, sebusuk-busuk bangkai anjing hitam
·         Orang munafik macam kau orang dah tak respect... banyak mana perempuan kau dah main... pelacur dah main... orang macam kau ni bertuhankan nafsu bukan bertuhankan Allah.
·         Tak semua ustaz, alim ulama boleh kita percaya... perangai manusia di luar tu gunakan agama untuk menghalalkan perbuatan haram mereka

Lu Mafia Gua Gangster
Tema: Filem genre drama komedi ini bertemakan jenayah dan pergaduhan sama sendiri angkara perebutan untuk memiliki barang berharga.
Dialog:
·         Filem ini mengandungi penggunaan kata-kata kasar dan kesat yang sederhana seperti bodoh; gila; setan, jahanam; bangang dan seumpamanya.

Perjanjian Syaitan
Tema: Pembalasan dendam seorang wanita terhadap perogolnya.
Dialog:
·         Terdapat dialog dwimaksud berunsur lucah. Abang dah lama tak rasa...
·         Terdapat dialog konotasi  kasar: Orang tua miring, dah tak senter.

Aliff Dalam 7 Dimensi
Tema : Kecelaruan fikiran seorang lelaki yang mewarisi saka bapanya sehingga membawa beliau ke alam metafizik.
Dialog:
·         Dialog/Sari kata: Penggunaan perkataan kasar seperti bodoh dan bangang.

Doktor Dukun Dani (2015)
Tema : Seorang lelaki mencari hala tuju kerjaya beliau setelah gagal pada percubaan pertama.
 Dialog:
·         Penggunaan bahasa kasar : kerja gila ; bongok (2x) ;  lembap ; ni sekor lagi melaun

Puaka Balai Gombak (2014)
Tema:  Filem ini bertemakan kajian yang dilakukan sekumpulan pengkaji paranormal untuk mengesahkan kewujudan entiti makhluk halus.
Dialog: 
Terdapat banyak dialog dan bahasa kasar saperti ' kau nak pergi mampus ' , ' bodoh ' , ' setan', ' puaka '. Bagi bahasa kasar yang berat dan keterlaluan saperti  ' anjing ' , ' babi ' , '  Aku nak kencing kat muka kau ' telah pun dipotong.

PERBINCANGAN

Bahasa kesat
Bahasa kesat dikatakan sebagai bahasa yang paling rendah dan tidak boleh digunakan sama ada dalam situasi yang rasmi ataupun tidak rasmi. Sekiranya bahasa ini digunakan, ia boleh menyakitkan hati apabila mendengarnya dan boleh menyinggung perasaan orang lain. Selalunya, bahasa ini digunakan oleh orang yang sedang marah dan tidak mampu mengawal perasaannya, serta untuk menghina seseorang.

Bahasa kesat  digunakan untuk percakapan atau tulisan yang menyakitkan hati orang lain apabila mendengar atau membacanya (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005)

Berdasarkan hasil kajian, terdapat 27 perkataan dalam kategori bahasa kesat digunakan di dalam filem Melayu.  Perkatan ‘bodoh’ paling banyak digunakan (4) dan ‘bangang’ (2) dan ‘bongok’ (1).  Perkataan yang membawa maksud mengatakan, menganggap, atau menuduh dengan sewenang-wenagnya sesorang sebagai bodoh.  Manakala penggunaan perkataan bangang dan bongok digunakan dalam keadaan bahasa basahan.  Kata kesat yang ‘sial’ (1)  yang membawa maksud makian kepada seseorang. Begitu juga dengan perkataan setan  (2) dan puaka (1) yang ditujukan kepada seseorang dengan menyamakannya dengan syaitan atau puaka.  Semua perkataan  itu memberi konotasi makian yang ka kesat. 

Selain itu terdapat juga penggunaan perkataan yang bermaksud merendahkan orang lain dengan memanggil ‘bangsat’ (1), penyangak (1), dan ‘penipu’ (1).   Perkataan tersebut sering digunakan bagi menyatakan kemarahan yang melampau.  Kerap juga penggunaan perkataan itu bertujuan untuk menyamakan seseorang dengan ciri individu yang tidak baik.   Penggunaan perkataan ‘gila’ (2) pula menyamakan  sifat individu yang tidak  siuman. Oleh itu, kata-kata kesat yang diungkapkan di dalam dialog bersifat bahasa kasar.

Mampus (2), mengkedarah (1) juga merupakan perkataan yang bernada kesat apabila digunakan dalam berkomunikasi. ‘mampus’ merujuk kepada perasaan marah apabila sesuatu perkara tidak dapat diatasi.  ‘mengkedarah’ dirujuk kepada makna makan dalam bahasa kasar.

Bahasa kasar
Bahasa kasar  ialah bahasa yang tidak sopan dan tidak manis dituturkan atau digunakan. Bahasa ini hanya boleh digunakan dalam keadaan tertentu dan dengan orang yang tertentu, seperti semasa berhubungan antara dua atau lebih kawan rapat dan setaraf, serta dalam situasi tidak rasmi, bersifat peribadi dan tiada kehadiran pihak ketiga.

 Bahasa kasar bermaksud bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan (digunakan) (Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, 2005).  Bahasa kasar lazimnya digunakan apabila berhubung dengan rakan-rakan yang karib dan setaraf serta dalam suasana yang sangat tidak formal. Biasanya dalam suasana yang bersifat peribadi atau ketidakhadiran orang ketiga.

 Bagaimanapun, kesannya kepada orang lain adalah subjektif, kerana adakalanya bahasa yang dianggap kasar di kawasan tertentu dianggap gurauan atau bahasa cakap mulut di kawasan yang lain. Misalnya perkataan celaka diaggap kasar di Selangor, tetapi dianggap biasa di Melaka.

Dapatan kajian menunjukkan terdapat tujuh (7) perkataan  yang bersifat kasar.  Antaranya frasa ‘kerja gila’, ‘gatal’, ‘penyagak’, ‘penipu’, ‘miring’, ‘lembab’, dan ‘malaun’.

Bahasa Slanga
Menurut Nik Safiah Karim (1994) bahasa slanga tergolong dalam bahasa yang terhad. Terhad dari segi jumlah penutur, peranan atau fungsinya dan inventori bahasa itu sendiri. Bahasa slanga merupakan satu trend komunikasi yang popular kerana melibatkan golongan remaja dan dewasa dalam pelbagai konteks komunikasi tidak formal.  Penggunaannya, tidak terhad kepada komunikasi verbal tetapi juga melibatkan nonverbal seperti yang terdapat dalam khidmat pesanan ringkas (sms) dan  laman sosial.

Penggunaan bahasa slanga di dalam filem tidak terkecuali.  Filem yang berfokuskan kalangan remaja sering menggunakan bahasa slanga.  Penggunaannya bertujuan untuk menarik perhatian kumpulan penonton yang sering menggunakan bahasa tersebut. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan bahasa slanga dari beberapa buah filem yang dikaitkan dengan penggunaan bahasa slanga dapat dinyatakan.   Contohnya perkataan Willie, wekang,  Port, lenjan sampai lembik,  Cikaro, cingkarong, brainsek, klinik,  doktor pakar. 

Bahasa lucah

Penggunaan bahasa lucah dikenal pasti di dalam beberapa filem Melayu yang dikaji.  Antaranya di dalam filem Mendidih Bro yang mengandungi dialog seperti perempuan tak sunat, tak potong ma, of course you boleh tahan,  dia tak sunat, you tak geli ke?",  air mani pekat jadi batu, two girls must be tight,  pistol air aku pun ada. Dialog ini disenyapkan dalam tapisan filem kerana dianggap keterlaluan dengan maksud lucah.   Di dalam filem Minah Moto pula, terdapat kata lucah dan sering digunakan oleh mereka yang terlibat di dlam lumba motorsikal haram.  Contohnya seorang perempuan menyebut 'Pisang cheese rentung kau tu' kepada seorang lelaki di hadapan rumah. Dialog ini berunsur dwimakna yang menjurus kepada kemaluan lelaki.

Juga di dalam dialog yang menyebut "lenjan sampai lembik" yang diucapkan oleh seorang perempuan minah rempit kepada seorang lelaki yang merupakan habuannya.  Kesemua frasa atau dialog ini di senyapkan dalam tapisan filem.

Terdapat 18 perkataan/frasa di dalam dialog berunsur lucah yang dapat dikenal pasti di dalam kajian ini. Kebanyakan filem yang banyak menggunakan bahasa lucah bertemakan remaja yang liar, dan  bersifat anti sosial.
           

ISU DAN CADANGAN

Bahasa terlarang
Filem Melayu tidak terkecuali dari menggunakan bahasa yang kasar, kesat dan lucah.  Kecenderungan ini dilihat selari dengan penggunaan kata terlarang dalam filem Inggeris terutama filem jenis komedi, aksi dan  seram.  Berdasarkan penapisan filem dari data eFilem KDN, filem ‘Why Him?’ terdapat hampir 60 perkataan fuck dan fucking yang dituturkan melalui dialog.  Filem ini diklasifikan sebagai 18 dan perkataan yang membawa maksud kelucahan dibenarkan. Filem ‘The Wolf of Wall Street’ menuturkan 569 perkataan lucah. Filem tersebut tidak dibenarkan ditayangkan di Malaysia.

Oleh itu, adalah tidak sesuai jika penggiat filem Malaysia terikut-ikut dengan trend menggunakan bahasa terlarang dalam pembikinan filem mereka. Budaya setempat yang lebih menekankan kesantunan bahasa perlu diberi perhatian.  Fungsi filem untuk berhibur dan mendidik menjadi tunggak dalam berkarya.  Kreativiti tidak lahir dari paparan kehidupan realiti masyarakat penutur bahasa itu.  Kemusnahan tata susila melalui penggunaan bahasa terlarang perlu dielakkan demi menjamin hasrat memartabatkan bahasa Melayu melalui filem.

Filem, bahasa dan pemikiran
Bahasa di dalam filem bukan hanya berfungsi sebagai medium menyatakan mesej. Filem Melayu memerlukan pemikiran kritis bagi mendidik penonton memperoleh sesuatu yang baharu. Filem yang struktur bahasanya streotaip boleh membosankan penonton.  Bagi filem Melayu, pemikiran luar kotak yang kritis dapat ditonton melalui filem arahan Dain Said berjudul ‘Interchange’. Menurut Muhammad Yusof (2016), Dain terbukti ‘pemikir filem’ yang bukan sekadar bermain ‘extramental subject’ tetapi menghurai dengan mendalam tentang konsep typically altering the perspective from their everyday lives. Dain ingin penonton  menyelami dengan lebih mendalam tentang ‘dunia Interchange’ melalui adegan dan dialog yang disampaikan.

Dalam perspektif yang lain, filem jarang menjadikan bahasa sebagai bahan ceritanya. Namun di dalam filem ‘Arrival’, aspek bahasa yang melibatkan makhluk asing telah digarap.  Filem Arrival menggunakan kandungan teori bahasa dalam menyelesaikan masalah yang perlu dileraikan. Menurut  Stolworthy (2016), filem ini dipilih sebagai salah sebuah 10 filem terbaik 2016 oleh Institut Perfileman Amerika (AFI) meskipun ia tergolong dalam genre sains fiksyen. 

Arrival mempersembahkan tema lingustik yang jarang sekali diketengahkan dalam filem.  Tema ini  juga mampu membuatkan penonton  berfikir bahawa bahasa dan komunikasi boleh membentuk ketamadunan untuk maju ke hadapan. Helmi Afendi (2017) dan Shazryn Mohd Faizal (2017) di dalam ulasannya terhadap filem ini mendapati tesis atau jurnal yang pernah ditulis oleh Dr Louise  mengaitkan  frasa yang sangat memberatkan peranan bahasa dalam pembinaan sebuah tamadun.  Filem ini mengungkapkan bahasa sebagai asas tamadun dan senjata pertama dalam peperangan.

Dalam treler filem Jason Bourne, Matt Damon menunjukkan aksi mencemaskan dan tegang, Dalam dialog dengan suara garau dan nada perlahan dia berkata, “This is Jason Bourne”, “I know who I am”, dan  “I remember everything”. Dia hanya menuturkan lapan baris ayat secara  berhemat.  Dialog tersebut menggambarkan pemilihan kata atau ayat yang cukup bermakna bagi menyatakan sesuatu maklumat atau keadaan. Dalam filem, penggunaan kata yang terlalu banyak dalam sesuatu ayat boleh membosankan penonton. Dalam filem ini Jason hanya menggunakan 25 baris ayat (Loughrey, 2016) disebabkan filem ini mementingkan adegan aksi berbanding dialog.

Secara umumnya, bahasa di dalam filem mempunyai perspektif yang berbeza-beza.  Kehebatan filem boleh diolah dengan menggunakan medium bahasa dan boleh dipaparkan dengan teknik yang berbeza pula.

KESIMPULAN
Bagi tujuan mempertahankan bahasa kebangsaan, pihak kerajaan melalui agensinya seperti Dewan Bahasa dan Pustaka perlu dapat merealisasikan hasrat kerajaan dalam penggunaan bahasa secara baik dan betul. Manakala pihak industri filem pula tentu ingin menjadikan penggunaa bahasa sebagai daya penarik kepada penonton sasaran.  Mereka mungkin lebih mementingkan aspek pulangan daripada memikirkan pemantapan bahasa itu sendiri.

Wujud konflik antara soal memperkasa bahasa Melayu dalam filem dengan keutamaan pembikinan filem.  Pengarah filem dan stesen televisyen lebih condong kepada pasaran media. Pasaran media pula mahukan sesuatu yang senang “disambut” oleh khalayak mereka ( Hazimah Yusuf, 2000).  Untuk memperkasa bahasa dalam filem, bahasa filem itu harus dimanfaatkan oleh bahasa pertuturan.  Bahasa pertuturan mesti dijadikan sebahagian bahasa filem supaya bahasa dapat menjadi peneraju kepada aspek penyampaian bentuk dan kandungan  dalam filem.



BIBLIOGFARI

Bernard, H, R. (2013). Social research methods: Qualitative and quantitative approaches, London: SAGE

Blacker, I.R (1996). The elements of screenwriting, New York : Macmillan

Caviglia,  F. (2006). Film dialogue as a resource for promoting language awareness https://www.academia.edu/645508/Film_Dialogue_as_a_Resource_for_Promoting_Language_Awareness

Hazimah Yusuf (2000). Pembikin filem dan drama turut menangani isu bahasa Melayu. http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1401. 17.11.2017
A.        Rahman A. Hanafiah (2011) Dialog filem Sarjan Hassan dalam https://www.academia.edu/15192502/Skrip_Filem_Sarjan_Hassan

Helmi Affendi (2017).  Ulasan arrival: Filem sai-fai yang menguji kecerdasan penonton dalam The Patriot, https://www.thepatriots.asia/archives/2764

Muhammad Yusof (2016). Filem Interchange ajar berfikir di luar kotak. https://www.thevocket.com/ulasan-filem-interchange/

Nik Safiah karim  &  Faiza Tamby Chik  (penyusun) (1994). Bahasa dan undang-undang: Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shazryn Mohd Faizal (2017). ‘Arrival’ naskhah hebat di luar kotak pemikiran dalam
http://www.mstar.com.my/hiburan/wayang/2017/01/25/arrival/#psWzOFpMQvfmdDHm.99

Stolworthy, J (2016). Arrival: The climactic final line of dialogue has been revealed dalam Independent , 28 November 2016.


LAMPIRAN

JENIS BAHASA DALAM FILEM:
KASAR
1
sial
2
Pergi mampus
3
Lepas maghrib, aku mengkedarahlah
4
Ini rumah aku......he he he....
5
bangsat
6
betina
7
penyangak
8
bodoh
9
penipu
10
santau
11
mandrum
12
bodoh
13
gila
14
setan
15
jahanam
16
bangang
17
Orang tua miring, dah tak senter
18
Bodoh
19
bangang
20
kerja gila
21
bongok
22
lembap
23
ni sekor lagi melaun
24
kau nak pergi mampus 
25
bodoh
26
setan
27
puaka

KESAT
1
kerja gila
2
gatal
3
penyangak
4
penipu
5
miring
6
lembap
7
melaun







SLANGA
1
willie
2
wekang
3
Port
4
lenjan sampai lembik
5
Cikaro
6
cingkarong
7
brainsek
8
klinik
9
doktor pakar







1
boleh try
2
boleh try
3
I dah dapat you
4
aku akan rasa kau sesuatu hari
5
Hei Betina
6
main
7
macam baru dapat main
8
main dengan I pun macam tak nak main
9
perempuan tak sunat
10
tak potong ma
11
of course you boleh tahan
12
dia tak sunat, you tak geli ke?
13
air mani pekat jadi batu
14
two girls must be tight
15
Abang dah lama tak rasa...
16
pistol air aku pun ada
17
banyak mana perempuan kau dah main
18
Pisang cheese rentung



LUCAH



[1] Yahya Othman adalah Ahli Lembaga Penapis Filem Malaysia sejak Julai 2017.  Berkelulusan Doktor Falsafah dari Universiti Putra Malaysia dalam bidang Pendidikan Bahasa (2006).  Sebelum ini pernah bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (2013-2015),  Universiti Brunei Darussalam  (2008-2012) dan Universiti Putra Malaysia(1998-2008). Telah menerbitkan tujuh (7) buah buku akademik,  sembilan (9) tajuk bab dalam buku,  28 artikel jurnal, artikel untuk malajah DBP, artikel prosiding seminar serta penulisan modul pembelajaran.  Berpengalaman sebagai editor jurnal akademik semasa di Malaysia dan Brunei Darussalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAKDIR, TANDA TERIMA KASIH, GANJARAN, ALAM BAQA

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran - 3:145 وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبًا مُّؤَجَّلًاۗ وَمَ...