Jumaat, 29 Disember 2017

KEMENJADIAN MURID


Murid-murid sedang menjawab soalan peperiksaan.  Dalam benak mereka ialah menjawab untuk lulus peperiksaan.  Ada yang matlamatnya ialah untuk mencapai tahap cemerlang, manakala ada juga yang menjawab tanpa rasa tertekan.  Mungkin mereka tidak merasakan keputusan peperiksaan mengukur keupayaan individu secara menyeluruh.  Perkara ini ada benarnya. 

Nilaian berdasarkan peperiksaan tidak boleh dijadikan kayu ukur kemenjadian murid . 
Menjadinya murid itu bukan hanya dinilai berdasarkan pencapaian akademik sahaja. Kemenjadian murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan secara holistik. Kualiti murid bukan sahaja dilihat dari segi pencapaian akademik berdasarkan keputusan peperiksaan sahaja.
Untuk menilai aspek kemenjadian murid, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 boleh dijadikan rujukan. Intipati PPPM memfokuskan  enam ciri murid yang menjadi aspirasi negara, iaitu murid berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika dan berkerohanian, serta mempunyai identiti nasional. 
Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan PPPM, isu kemenjadian murid menjadi tumpuan.  Murid dinilai  dalam semua program dan aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang dijalankan oleh guru dan pihak sekolah. 
Persoalannya ialah sejauhmanakah  perkara 'kemenjadian' telah diterjemahkan di dalam sistem pendidikan dan adakah harapan kementerian ini didokong juga oleh institusi di luar sekolah? Mungkin kita dapat melihat pelbagai instrumen digunakan untuk mengukur kemenjadian murid di sekolah. Namun pihak kementerian juga perlu melihat keberkesanan instrumen itu sama ada pada pihak guru yang menilai dan kemampuan murid dalam menjawab instrumen itu.  Di samping instrumen yang bersifat objektif, penilaian guru secara holistik perlu dilakukan juga.  Hal ini boleh memudahkan penafsiran umum murid apabila penjaga atau ibu bapa bertanyakan 'kemenjadian' anak mereka. Kegagalan guru membuat tafsiran akan menjadikan waris terkeliru atau tidak dapat menerima sepenuh hati.

Oleh itu, persoalan kemenjadian ini perlu dijadikan asas persefahaman antara pihak sekolah dan ibu bapa agar semua pihak dapat menjadikan alat ukur kemenjadian  ini benar-benar mengukur perkara yang ingin diukur. Bukan mudah untuk meletakkan beban menilai dan mengukur kemenjadian murid kepada pihak sekolah sahaja jika pihak di luar sekolah tidak faham konsep dan aplikasi menjadikan murid 'menjadi'.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...