Jumaat, 25 Mac 2011

CUCU



Darwish sudah mula "lasak". Gambar diambil oleh Arif Yahya, anak keempat yang meminati seni fotografi. Sekarang sedang belajar dalam bidang Mechanical Engineering..

Selasa, 22 Mac 2011

Islam dan bencana di Jepun



Mengingatkan bencana di Jepun, teringat saya akan ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz yang juga usahawan semasa kuliah subuh sabtu di Surau Bangi Perdana minggu lalu. Kebetulan balik ke Malaysia kali ini kerana emak menjalani pembedahan di Hospital KPJ Seremban. Menurut ustaz tersebut, bencana berganda yang menimpa Jepun adalah azab yang diturunkan oleh Allah kepada manusia yang tidak beriman kepadaNya. Berdasarkan sejarah Islam, malapetaka dan azab Allah diturunkan kerana manusia lupa bahawa ia diciptakan hanya untuk beriman dan beramal dengan ilmuNya. Beliau juga menegaskan bahawa kejadian tersebut juga memberi peringatan kepada manusia lain bahawa Allah berkuasa melakukan apa sahaja tanpa mengira faktor geografi, keturunan, pegangan agama dan sebagainya.

Berfikir tentang bencana tersebut, pagi ini saya membaca artikel yang mempunyai kaitan dengan perkara yang diperkatakan di atas. Seorang professor dari Universiti Kyoto di Jepun bercakap tentang Islam di Jepun. Menurut beliau, Islam datang ke Jepun agak lewat dan agama lain telah awal mewarnai negara Jepun. Keganjilan terhadap persepsi terhadap Islam menjadikan penyebarannya juga tidak sehebat agama lain.

Walau bagaimanapun, saya sangat tertarik dengan komitmen yang ditunjukkan oleh profesor tersebut yang mendalami ilmu Islam dengan mendalam. Tasawwurnya terhadap Islam juga jelas dan mungkin lebih baik berbanding umat Islam yang telah lama (memeluk) Islam. Baca temu bual ini.

Selasa, 8 Mac 2011

Paradigma dalam Pendidikan



Pendidikan bukan berfungsi sebagai kilang (tonton video Ken Robinson, 2010). Kilang berasaskan pembuatan yang tidak memerlukan unsur pertumbuhan dan perkembangan manusia. Mereka perlukan motivasi, minat dan berusaha untuk membentuk diri secara seimbang.

Untuk memastikan dasar pendidikan berlangsung dengan berkesan, pembuat dasar tidak hanya tertumpu kepada pencapaian yang merujuk kepada angka semata-mata. walaupun petunjuk kepada kejayaan diterjemahkan dalam bentuk angka yang perlu dicapai, namun usaha untuk memastikan insan yang terlahir dari sistem pendidikan itu juga perlu diberikan fokus. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam sistem pendidikan yang semakin mencabar kini, keperluan menyediakan insan yang diharapkan mampu bersaing dalam dunia yang semakin sengit cabaran serta desakannya dianggap wajar.

Sehubungan dengan itu, insan yang dihasilkan juga perlu mampu untuk berfikir dengan kritis terhadap masa depannya. Bukan hanya untuk tujuan membuat keputusan dengan tepat tetapi juga dapat meletakkan dirinya setanding dengan keperluan semasa dan akan datang. Berfikir kritis juga boleh mendorong seseorang berjaya dalam bidang yang diceburi.

Tonton slide animation berkaitan perubahan paradigma dalam pendidikan menurut pandangan Ken Robinson .

Sabtu, 5 Mac 2011

Kembara Shahnon Ahmad dan ketinggian Al-Quran



Membaca karya Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad mengingatkan saya akan novel Ranjau Sepanjang Jalan. Garapannya terhadap kehidupan sukar Lahuma dan Jeha menunjukkan ketinggian nilai estetik berbahasa dan imajinasi yang tinggi. Perlukisan plot dan watak yang menonjolkan konflik manusia meneruskan kehidupan di kampung yang serba kurang mampu menarik minat untuk terus membacanya.

Baru-baru ini saya membaca karya terbaru beliau bertajuk KEMBARA SEORANG HAMBA terbitan Karangkraf (2010). Karya beliau ini sangat jauh bezanya dengan yang sebelumnya. Karya beliau ini memfokuskan Islam dalam catatan sisa hidupnya. Bisikan kalbu melalui monolog dalam dirinya yang sudah di hujung usia sangat memberi kesan kepada saya.

Menceritakan penyakit yang dideritainya Shanon mengungkapkan; "penyakit yang kuderitai ini bersaing kuat dengan ketuaan sehingga habis tenaga direntapnya. Seluruh anggota tubuh badan dilusuhkannya sehingga urat saraf dan imuniti direnggut hingga lumpuh segala anggota...Kecuali otak yang masih berdenyut, menerima dan memberi pemikiran serta hati yang masih berdegup sebagai isyarat untuk meneruskan perjalanan yang bersisa ini...Dan bila minda diserang dan hati dilanda olehnya, bagaikan benar-benar hendak dilenyapkan kewujudanku ini.. Sementara minda masih tegar berfikir dan hati masih berdegup, maka aku cuba isikan lowongan ini dengan catatan yang terilham dalam keadaanku yang serba daif ini" (ms9)

Atas kekuatan yang dimilikinya, maka ditulisnya catatan ini dan mengibaratkannya dirinya sebagai sebiji durian di hujung julai. Julai maksudnya ranting (kayu) yg hujung sekali, carang; berjulai, berjulai-julai, menjulai, ter­julai berjuntai-juntai (Kamus Dewan).

Itulah kekuatan yang dimiliki oleh insan hebat ini yang masih mampu berkarya untuk menulis catatan berkaitan hujung hidupnya secara kreatif dan penuh pengajaran. Antaranya catatannya tentang al-Quran. Tulisnya lagi;
"KHAZANAH yang seluas tujuh lautan dan tujuh lapisan langit yang kubawa (ku maksudnya al-Quran-penulis)ini banyak yang diabai dan disihkan oleh manusia. Malah, diperlakukan mengikut tuntutan hawa nafsu amarah manusia saja. Kerana sifat manusia itu sendiri yang memang tidak habis asyik membantah (Surah al-Nahli: 4)Dan sememangnya bersifat bodoh dan zalim (Surah al-Ahzab:72). DIA juga tidak akan memberi sebarang petunjuk kepada mereka yang bodoh dan zalim (Surah al-Shaf:7)"

Melalui karya beliau ini saya berfikir akan pentingnya meletakkan al_Quran di tempat yang tinggi. Bukannya tinggi letaknya hingga tak tercapai oleh tangan untuk membacanya, tetapi hakikat tinggi yang membawa maksud untuk dijadikan keutamaan dibaca, difaham dan diamalkan.

"Aku (maksudnya al-Quran) adalah cahaya yang sentiasa menerangimu supaya selamat dalam perjalanan menuju keabadian. Hidupmu langsung tidak bermakna kecuali dipimpin olehku, kepimpinanku relevan sepanjang zaman. Barakahnya sama saja seperti barakah kepada orang terdahulu dengan syarat kau mengikut perintah, menjauhi larangan, mempercayai ancaman, mengenali kiasan, memahami dan merasai bahasa figuratif, perbandingan dan alegorinya.

(Maksud 1. figuratif ialah menunjukkan makna (perkataan, rangkai kata, dsb) yg lebih abstrak atau imaginatif drpd makna biasanya, bersifat kiasan atau lambang; 2. alegori: (alégori) sesuatu karya (cerita, puisi dsb) yg menggunakan watak, peristiwa dll sbg lambang utk menerangkan (menyampaikan) sesuatu yg lebih mendalam)

Oleh itu bacalah al-Quran, fahami maksudnya dan beramal dengan kandungannya.

Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.

TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...