Isnin, 15 Jun 2009

anekdot 1: fikirkan tentang susah

Sekitar tahun 1960. Sukar hendak menyatakan kembali susahnya kehidupan masa itu. Umur ketika itu baru empat tahun. Kesusahan yang dialami semasa kecil sering menjadi bualan ketika berbual bersama keluarga dan anak beranak. Sering saya ceritakan kesusahan semasa zaman kanak-kanak. Semasa tinggal di kampung emak dan abah di Johol, N. Sembilan. Masih teringat ketika itu kehidupan amat susah. Tinggal di rumah yang serba kurang pada masa itu. Beratapkan rumbia dan dinding papan yang serba ringkas. Tak ada bilik yang khusus untuk anak-anak tidur. Tingkap rumah pula sekadar untuk mendapatkan cahaya masuk agar terang. masa itu, tak payah di sebut elektrik. Sekadar lampu minyak tanah yang apabila pagi akan berjelaga (hitam) lubang hidung sebab asap pelita yang kadangkala melintasi muka. Tak ada hiburan yang dapat didengar atau ditonton. TV mungkin belum ada dalam istilah kehidupan dikampung. Radio pun susah nak dengar sebab tak ada dan tak mampu nak miliki.

Abah kerja kampung. Menorah getah dan kerja sawah. Hasil tanam padi dapatlah dijadikan beras buat. Masa zaman Jepun, abah ada bekerja sebagai SC (Special Constable) yang bertugas menjaga kampung. Ada ditulis dalam surat beranak. Pekerjaan ayah, SC. Tapi bila masa dah aman, dan komunis pun dah mulai reda ancamannya, abah kerja kampung saja. Abah seorang yang gigih dan usahanya tak kunjung padam. Nak menyara hidup keluarga. Emak pula, macam kebanyakan orang kampung yang lain, suri rumah. Tapi banyak kerja-kerja kampung yang dibuatnya. Pendidikan mereka sekadar dapat tulis nama pun dah cukup baik. Disebabkan keluarga mereka juga susah, maka peluang nak belajar masa itu memang tak ada. Pendidikan agama juga tak seberapa. Sekadar tahu sembahyang dan puasa pun sudah bagus. Walau bagaimanapun, emak sering ikut mengaji ugama di surau bersama kawan-kawannya. Kalau dikaji susur galur keluarga sebelah emak, ramai juga dalam kalangan mereka yang berpendidikan agama dan dihormati di kampung.

Semasa kecil, saya sering bermain-main dengan Maen (nama sebenarnya Ismail), kawan rapat masa kecil. Dia sebaya dengan saya. Arwah ayahnya pernah bekerja sebagai anggota polis. Ayahnya meninggal semasa dia masih kecil lagi. Masa itu, kerja polis sudah cukup hebat. Saya anggap hidup mereka sangat kaya. Dengan mainannya yang banyak menjadikan saya sering ke rumahnya untuk tumpang sama. Maklumlah, nak beli memang tak mampu. Saya masih ingat lagi. Kereta mainannya memang menjadi idaman saya untuk memilikinya. Rumah dia juga pada saya sangat cantik dan ada selesa jika dibandingkan dengan rumah saya.

Itu sekadar catatan ingatan kehidupan semasa kecil. Semua serba kurang. Dibandingkan pula dengan orang yang lebih dari kita. Maka nampak semakin daiflah jadinya. Tapi semua itu kita perlu fikirkan dengan kesusahan dan kedaifan kehidupan orang yang lebih susah dari kita. Fikirkanlah kehidupan dulu dan sekarang...

TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...